Thursday, June 24, 2010

TIDAK WAJAR TUAN GURU DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG MENJADI PENGGANAS

Heboh kebelakangan ini ada pihak cuba mengaitkan PAS dengan pengganas, pemimpin seperti YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai individu yang ada hubungan dengan pengganas.
1. Presiden PAS adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980an lagi. Daripada menjadi Naib Yang Di Pertua, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002. Beliau juga adalah Ahli Parlimen dan seorang ADUN. Mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara. Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media.

2. Pengganas tidak bersifat demikian. Seorang pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak. Beliau takut dirinya akan ditangkap. Segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan. Ambillah contoh beberapa figur yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya. Sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi YB Dato’ Seri Presiden PAS.

3. Kalau YB Tuan Guru Presiden PAS seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru hara. Sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan sepertimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand berlaku. Pengikut PAS dan penyokong YB Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS ada di mana-mana di Malaysia ini. Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau. Populariti beliau lebih daripada YAB Perdana Menteri sendiri. Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri. Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat.

4. Semua tulisan dan ucapan beliau tidak pernah menjuruskan ke arah keganasan. Beliau tidak pernah meminta umat Islam Malaysia berperang dengan kerajaan Malaysia. Semua ucapan dan penulisan beliau adalah berbentuk dakwah dan tarbiyah. Beliau menjurus persoalan akidah dan tauhid, akhlak dan syariat yang menjadi pedoman umat Islam. Beliau selalu meluruskan umat Islam yang bengkok dan lari dari landasan perjuangan.

5. Apakah kerana ketegasan YB Presiden PAS terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, Selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas. Sedangkan itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen. Sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi.

6. Keganasan bukan sikap PAS dan cara PAS mendapatkan kuasa. Sejak tahun 1951, PAS telah menyertai Pilihanraya. Kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS. Tidak pernah PAS mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya.

7. Mengaitkan YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang ini. Tindakan yang mengaitkan beliau dengan keganasan tidak lain hanyalah sikap manusia yang ‘desperate’ serta dengki terhadap populariti beliau. Bahkan orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.

PEMUDA UMNO DISARAN TURUN KE HIMPUNAN AMAN GERAKAN RAKYAT MEMBANTAH JUDI SUKAN (GMJ)

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pula membantah lesen judi sukan selepas Badan Perhubungan UMNO Perak dan Johor mendahului dengan membantah pengeluaran lesen yang sama. Nampaknya usaha Perdana Menteri yang menunjangi kerajaan untuk membenarkan lesen judi sukan tidak dipersetujui oleh pengikut mereka sendiri. Sebenarnya ramai lagi pemimpin dan penyokong UMNO yang membantah tindakan kerajaan UMNO-BN. Namun mereka hanya membantah secara senyap-senyap dan tidak berani menyatakan bantahan secara terang-terangan, kerana takut pelbagai risiko yang menanti mereka.

Sikap Perdana Menteri pula apabila disuakan persoalan ini, dijawab bahawa kerajaan akan meminta pandangan daripada rakyat dahulu. Soalnya, perlukah kerajaan meminta pandangan masyarakat sedangkan dalam Islam, bahkan ajaran mana-mana agama menyatakan hukumnya haram dan berdosa besar? Yang sepatutnya kerajaan meminta pandangan rakyat adalah perkara yang berkaitan dengan rakyat sendiri, seperti kenaikan harga barang, tol, gaji minimum, elaun, dan lain-lain. Itu tidak pernah hendak dirundingkan dengan rakyat dahulu. Tetapi soal pokok yang menjadi asas hukum dalam Islam mahu pula ditanya pendapat rakyat!

Atas alasan apa lagi Perdana Menteri dan kerajaan UMNO-BN mahu terus memberi lesen judi sukan ini. Apakah kerajaan telah muflis dan miskin idea sehingga terpaksa ‘memperjudikan’ negara dengan aktiviti perjudian. Apakah sumber pendapatan negara yang kaya dengan hasil bumi ini telah kering dan hilang sehingga terpaksa menghalalkan perjudian bagi menambah pendapatan negara? Mengapa pula kerajaan UMNO-BN terpaksa melayan kehendak segelintir tauke-tauke judi yang mengaut keuntungan berbilion ringgit hasil dari aktiviti mereka. Sedangkan keuntungan perniagaan mereka belum tentu dapat dikongsikan bersama rakyat dan negara ini. Semua ini menjadi persoalan yang perlu kerajaan UMNO-BN jawab dihadapan rakyat.

Kepada yang membantah pengeluaran lesen judi sukan ini, teruskan membantah. Ini kerana menyanggah perkara yang mungkar pasti mendapat pahala dari sisi Allah. Isu halal dan haram adalah isu besar yang melangkaui sempadan politik. Buat Pergerakan Pemuda UMNO, disarankan agar bersama-sama rakyat turun ke himpunan aman pada 3 Julai 2010, sebagai tanda protes kedegilan kerajaan UMNO-BN meneruskan lesen judi sukan. Semua kita dari parti politik mana pun dapat bersatu menyatakan bantahan atas persoalan menegakkan kema’rufan dan mencegah kemungkaran seperti mana isu Palestin dan kejahatan Israel. Katakan ya kepada aktiviti sukan tetapi tidak kepada perjudian!

Disediakan oleh
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
PEMANGKU NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
24 Jun 2010

Monday, June 14, 2010

BALASUNGKAWA BUAT ALMARHUM UST HASSAN SYUKRI

Terkejut dan agak sedih mendengar berita kepulangan almarhum Ustaz Hassan Syukri ke rahmatullah jam 2.00 petang hari ini. Baru sahaja saya melihat kelibat beliau di Muktamar dalam keadaan sihat dan bertenaga, tetapi Allah menghendaki segalanya..

Beliau baru sahaja dinobat sebagai Tokoh Dewan Pemuda PAS pada Muktamar DPP Pusat di PUTIK beberapa hari yang lalu. Dan itulah pertemuan saya yang terakhir di dunia dengan beliau.

Ustaz Hassan mungkin tidak sempat menatap kolej Universiti Zulkifli Mohamad di atas tanah yang diwakafnya, namun jasa beliau pasti akan dikenang sehingga bila-bila. Di atas tanah itu beliau berusaha bersama ahli-ahli dan pimpinan PAS membangunkan Markaz Tarbiyah PAS Pusat. Markaz itulah sejak sekian lama menjadi pusat kegiatan aktiviti tarbiyah PAS. Daripada ceramah, konvensyen, ijtimak, usrah, tamrin sehinggalah kepada Muktamar Agung. Paling meriah adalah sambutan bulan Ramadhan setiap tahun yang pasti tidak kurang pengunjung dan tetamu yang datang dari dekat dan jauh.

Bila saya bersama rakan-rakan mendengar cerita beliau bagaimana susahnya generasi awal membangunkan PAS, pasti saya akan merasa sebak dan terharu. Dengan ikhlas dan tawadhuk, tawakkal, serta sabar beliau bersama generasi awalan berjihad untuk membina PAS sehinggalah ke tahap hari ini yang boleh dibanggakan. Tidak tergambar bagaimana beliau boleh berjalan merata Malaysia dalam keadaan kemudahan yang terhad serta komunikasi yang kurang semata-mata mahu menyebarkan risalah dakwah Islam kepada masyarakat.

Tidak sesiapa dapat menafikan ketokohan dan kepakaran beliau dalam Perlembagaan PAS. Selama ini beliaulah yang menulis dan meminda perlembagaan. Sehinggalah Perlembagaan terkini tahun 2009, beliaulah orangnya yang menulis dengan tekun perlembagaan PAS. Beliau tahu satu persatu fakta dan fasal dalam perlembagaan PAS walaupun tidak menatap buku tersebut. Sehinggakan sesiapa sahaja menjadi kagum dengan kekuatan ingatan beliau terhadap perlembagaan PAS.

Dimana-mana beliau berceramah pasti beliau akan menyebut perihal cawangan dan pentingnya menubuhkan cawangan. Beliau berkata itulah faktor kemenangan jemaah dimana-mana tempat, iaitu dengan kekuatan cawangan yang berselerak merata-rata.

Dengan ketokohan beliau, hampir semua jawatan penting di dalam PAS kecuali Presiden PAS telah beliau sandang. Daripada Ketua Pemuda PAS (1971-1973), AJK PAS Pusat, Setiausaha Agung, Naib Presiden, Timbalan Presiden, sehinggalah kepada Ahli Majlis Syura Ulama' PAS. Beliau juga sempat menjawat jawatan selaku Senator selama dua penggal. Namun kesederhanaan beliau tidak membezakan beliau dengan ahli. Bahkan ramai tidak menyangka beliau dengan bersahaja menyapu sampah, membersih serta membakar sampah di markaz hampir setiap hari!

Zaman beliau selaku Setiausaha Agung PAS boleh dianggap antara zaman terhebat PAS. Beliau kerap berkelana untuk menubuhkan cawangan PAS di merata-rata. Beliau jugalah insan yang sangat mengambil berat kebajikan kakitangan dan golongan murabitun. Tanyalah kepada Sdr Zubir, Taufik, Mohd Zain serta Sulaiman Bujang, Ust Hassan tidak pernah kekok menyantuni mereka seakan-akan mereka adalah keluarga Ust Hassan.

Saya bila mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada staf Pejabat Agung, pasti rasa sebak dan terharu. Saban tahun beliaulah orangnya yang memberi 'infak wajib' beras kepada kami setiap kali menjelang hari raya Aidilifitri. Bahkan beliau tidak kedekut memberi saguhati hari raya sekurang-kurangnya RM 200 setiap tahun kepada kami. Dalam keadaan insan lain melupakan kami, beliau adalah pembela yang menjadi pelindung kami kakitangan Pejabat Agung PAS.

Ramai peminta sedekah yang datang ke markaz PAS Pusat, pasti tidak akan pulang dengan kehampaan. Dengan kemammpuan beliau, beliau akan menghulurkan sejumlah sumbangan untuk di bawa pulang.

Pemergian Ust Hassan Syukri, antara pangasas PAS sukar dicari ganti. Dengan jasa dan pengorbanan beliau sebegini besar, marilah kita medoakan roh beliau diangkat sebagai kekasih Allah di tempatkan sebagai golongan syuhada dan solihin. Alfathihah...