Wednesday, July 23, 2008

ANTARA KETERBUKAAN DAN KEKANGAN DUNIA BLOGGERS

Saya mencintai kebebasan dan keterbukaan. Saya rasa semua manusia inginkan begitu. Kerana itulah kedamaian. Setiap manusia ingin isi hatinya diluahkan sepuas-puasnya tanpa ada had.

Itulah juga prinsip demokrasi dalam sesebuah negara. kebebasan dan hak mereka perlu dihargai tanpa disekat. Disekat bermakna manusia akan memberontak. Makanan kalau disekat perut akan memberontak. Nafsu seks kalau disekat zina dan maksiat akan memuncak. Mengantuk kalau disekat mata akan melalak. Kesihatan kalau disekat diri akan mudarat. Begitulah fitrah hidup manusia. Jangan sesekali disekat, kerana lambat laun kemaraan manusia tidak mampu tersekat!

Alhamdulillah, Kita disuburkan kembali dengan kemenangan Pakatan Rakyat. Ibarat baru merdeka beberapa bulan yang lalu, kini nikmat kebebasan dan keterbukaan dilimpah ruah.

Rupanya dalam kebebasan dan keterbukaan ini ada mudaratnya. Memanglah fitrah manusia dapat dipenuhi, tetapi berapa ramai yang menghargai keterbatasan dalam kebebasan ini.

Saya maksudkan dunia bloggers. Memang sebelum PRU 12, inilah senjata paling ampuh meruntuhkan tembok besi keangkuhan UMNO BN. Tapi, ia juga adalah senjata pemusnah paling canggih buat Pakatan Rakyat. Sejak isu muzakarah UMNO-PAS timbul, tidak hentinya bloggers menghakimi suasana. Lebih hebat lagi, kronologi pertemuan sulit dan gelap pemimpin UMNo-PAS dilontar oleh seorang blogger. Inilah mata air pertama yang memancut keluar segala isu yang menjadi perdebatan sekarang. Secara detail dan tekun beliau mensensasikan isu sehingga melebar luaskan renggang Pakatan Rakyat.

Bagi saya, kalau pun blogger mahu mengetengahkan sesuatu isu, biarlah. Tapi tengoklah juga tempat dan etikanya. Kerana apa mahu ditelanjangkan dan diceritakan masalah dalam kelambu rumahtangga jemaah sendiri. Hinggakan keputusan mesyuarat yang belum diminitkan juga ada dalam pengetahuannya. Kemudian sebarkan ke seluruh dunia. Supaya seluruh rakyat tahu dan menjadi hakim.

Walhal mauduk sesuatu isu pun belum dipastikan lagi. Dalam hal muzakarah ini, betullah pertemuan gelap dan peribadi pemimpin dengan niat tertentu tanpa restu jemaah adalah salah. Tetapi salah juga bagi yang menjadikan blog sebagai tempat lepaskan amarah dan salah juga bagi pemimpin yang membocorkan maklumat rahsia ini. Semuanya balik semula kepada akhlak dan disiplin jemaah.

Secara peribadi, kalau orang ini ahli PAS, maka wajar diambil tindakan disiplin. Dan kalau bukan ahli PAS, maka tindakan paling wajar ialah sisihkan dia dari kelompok jemaah. Manakala pemimpin pula mesti bertegas. Mana-mana individu pimpinan yang besar mulut cerita isu dalaman jemaah, maka perlu diambil tindakan disiplin. Kepercayaan dan keyakinan terhadap pemimpin itu penting bagi masa depan jemaah. Benar kita berhak bersuara, tetapi mendedahkan dan memburukkan keluarga sendiri dikhalayak adalah dilarang dalam Islam. Kerana dunia bukanlah hakim yang paling baik menghakimi semua perbicaraan, terutamanya masalah rumahtangga jemaah.

Kesimpulannya, mengurus keterbukaan dan kebebasan sangat sukar. Sama sukarnya mendapat nikmat kebebeasan setelah dibeleggu dengan dunia gelap kesempitan dan kekangan. Nasihat saya pada teman-teman bloggers, nikmat kebebasan ini tidak diberi percuma melainkan akan dihitung juga di hadapan Allah swt. Adakah kita termasuk kelompok yang memberi sumbangan kepada Islam, atau kita penyumbang kepada keruntuhan Islam!

No comments: