Friday, January 29, 2010

HUJAH DR YUSUF AL QARADHAWI BERKENAAN KALIMAH ALLAH.

Sebaik-baik isu Kalimah Allah meletus, pelbagai pihak menyuarakan pandangan. Ramai yang meyokong tidak kurang yang membantah.

Di pihak PAS, menerima kalimah Allah boleh digunapakai oleh penganut agama lain (Kristian) tetapi dengan amaran keras agar ianya tidak disalah guna. Bagi saya keputusan ini adalah paling tepat dan paling bijak. Tidak perlu disangkal lagi. Maka UMNO terperangkap lagi kali ini. Asalnya nak raih undi dan sokongan PAS, tetapi PAS ambil sikap berkecuali. Ramai bukan Islam sokong PAS berbanding UMNO. Yang Melayu pula terpecah dua. Yang tak paham termasuk NGO Islam kata PAS gadai prinsip / akidah, termasuk seorang YB yang mendakwa alim dan perjuangkan Islam itu.

Ada juga menerima keputusan ini dengan nada positif. Nasihat saya, positif lah. Kerana Jemaah yang membuat keputusan kerana Allah lebih diberkati daripada keputusan seorang diri.

Maka ada ulama' paling besar di dunia Islam kini menyokong keputusan PAS. Alhamdulillah, Dr Yusuf Al Qaradhawi yang dikenali dengan Imam Al wasati (Imam Paling sederhana) telah mengeluarkan hujahnya beberapa hari lepas. Saya nukilkan ucapan beliau, mudah-mudahan dapat meredakan kemarahan segelintir ulama' di Malaysia ini. Beliau berhujah ringkas:

"Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? "

Thursday, January 28, 2010

ZUL NORDIN LOMPAT PARTI.. APA NAK DIHERANKAN!

"Utusan Malaysia hari ini menyiarkan bahawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti lain untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Akhbar itu memuatkan sms Zulkifli semalam yang berbunyi "Saya akan tunggu dan lihat apa tindakan mereka dalam tempoh sebulan ini, insya-Allah baru saya akan melihat tindakan lanjut yang sewajarnya.

Ini maklumat hasil dari laporan Utusan Malaysia hari ini. Bagi saya apa yang nak dihairankan. Tindak tanduk YB Kulim ini dari awal sangat mencurigakan. Kononnya nak pertahankan Islam melalui Kalimah Allah, tetapi yang nak dimasuknya ialah UMNO. UMNO ni perjuangkan ISlam ke?

Kerana itulah YB Zul tidak dibenar oleh Majlis Syura untuk bertanding. Dan akibat rakusnya beliau, dilanggarnya keputusan parti. kemudian isytihar masuk PKR.. Hari ini marah pula pada Anwar dan PKR, dan nak lompat lagi. Biarkanlah dia.

Islam dan perjuangannya tidak akan rugi dengan kehilangan manusia seperti ini. Islam perlukan manusia biasa yang ikhlas, sabar dan taat pada perjuangan. Hebat sangatkah beliau jika dan dibandingkan dengan para anbiya', awliya', siddiqin dan syuhada terdahulu dan sekarang?

Monday, January 25, 2010

ALFATIHAH...

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya di sini kira-kira jam 7.45 malam ini. Kematian Ghazali, 88, disahkan oleh cucunya Farah ketika dihubungi.

Tun Ghazali Shafie lahir di Kuala Lipis, Pahang, pada 22 Mac 1922 merupakan ahli politik Malaysia era Tunku Abdul Rahman hinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu dari 1970-1984.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Penerangan Malaysia (1970) dan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tugas-Tugas Khas semasa Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak. Kedua-dua mereka berasal dari negeri Pahang.

Sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Menteri Penerangan Malaysia, beliau bertanggungjawab membentuk, merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975.

Tun Ghazali juga pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Peranan beliau amat berkesan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu pada 1975.

Allahyarham turut bertanggungjawab terhadap pembentukan Rukun Negara iaitu satu prinsip perpaduan negara selepas Peristiwa 13 Mei. Cogan kata Bersatu Bertambah Mutu bagi Malaysia juga adalah hasil inisiatif beliau sebagai Menteri Penerangan pada tahun 1970.

Dari 1993-1995 Allahyarham menjadi penulis tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Isteri beliau, Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008. Allahyarham meninggalkan dua orang anak lelaki Bachtiaer dan Sheriffudin.

Wednesday, January 20, 2010

MURSYIDUL AM IKHWAN MUSLIMIN YANG BARU : KE 8

KAHERAH, 20 Jan: Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun.

Beliau adalah Mursyid Am kelapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928.

Dr Muhammad Badi’ (GAMBAR) menggantikan Mursyid Am KeTujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir.

Beliau adalah anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan tiga orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin kelapan dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Saturday, January 16, 2010

ISU KALIMAH ALLAH. AGENDA SIAPA?

Tiba-tiba isu kalimah Allah mencuri perhatian. Dibesar-besarkan dan di highlight sedemikian rupa. seluruh media arus perdana seakan memprojekkan besarnya isu ini. Tidak boleh berkompromi dan ada kaitan dengan aqidah.

Persoalan yang perlu dibangkitkan, apa sebenarnya isu kalimah Allah ini? Walaupun betul Allah adalah kalimah suci dan milik tuhan bagi umat Islam, tetapi benarkah ia menyebabkan aqidah umat Islam gugur kalau digunakan oleh penganut agama lain? Adakah benar ada dalil mengharamkan kalimah Allah dugunapakai oleh penganut agama Samawi? kalau begitu mengapa tiada tindakan kepada pemimpin DAP yang bercakap dengan ayat Qur'an dan hadis Nabi SAW? Ramai juga orang-orang cina dan India yang bukan beragama Samawi di Kelantan dan Kedah yang boleh bercakap InsyaAllah, Alhamdulillah, dan lain-lain.

Tiba-tiba UMNO bercakap untuk mempertahankan kalimah Allah. Seolah-olah merekalah juara dalam mempertahankan aqidah umat. Pelik juga. Saya boleh mengaku UMNO memang juara bab spin isu. Mereka juara dalam mempolitikkan isu, kerana mereka ada media rasmi negara. Jadi kalau UMNO beria-ia sehingga menggunakan radio IKIM dan Televisyen termasuk pihak Mufti dan Jabatan Agama Islam, bukankah ia ada agenda tersembunyi?

Is kalimah Allah ini dikaitkan dengan akidah, sementara sepihak lagi berhujah sebagai dakwah. Ia aqidah umat atau dakwah kepada non Muslim? PAS sendiri tidak meletakkan hukum haram terus kerana ada hukum yang membolehkan, asal jangan menyelewengkan tujuan kalimah tersebut.

Kalau ia boleh menyebabkan murtad, kalau begitu banyak kes murtad dalam negara ini akibat dari penyalahgunaan kalimah Allah ke? Aisyah Bukhari yang murtad adalah seorang yang fasih dan hafaz beberapa surah Al Qur'an. Dan sebelum ini ramai yang murtad tanpa heboh isu kalimah Allah pun.

Kalau UMNO juara aqidah umat, mengapa mereka tidak bangkit pertahankan beberapa pelajar yang ditangkap dan dibuang sekolah kerana memakai serban? Mengapa tidak dibela siswi yang memakai purdah yang dibuang kolej. Mengapa tidak mempertahankan rumah-rumah Allah (masjid) yang dirobohkan di Terengganu dan Selangor sedikit masa dulu. Banyak kes murtad dalam nega aini sejak berpuluh tahun dahulu, pernah tengok puak-puak UMNO berdemo membantah kes murtad? Mengapa bila Anwar Ibrahim mahu memindahkan kes liwatnya ke Mahkamah syariah dan menghukum qazaf kepada Saiful UMNo berdiam diri, kalau tidak membantah pun! banyak lagi isu aqidah yang berlegar dalam negara kita, tetapi UMNO duduk diam, bila isu kalimah Allah muncul UMNO menelnting. UMNO mengaji Islam tak?

Tiba-tiba dan Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah Allah di gereja / pihak kristian. Boleh pula? UMNO mengaji hukum dan uruf ke? Pelik sungguh. Takde pula juak-juak UMNO di Sabah berdemo nak mengharamkan kalimah Allah digunakan oleh gereja. UMNO Sarawak pun diam semacam je.

Saya nampak isu ini adalah mainan pihak tertentu (kalau tidak UMNO) sebagai usaha untuk memancing undi orang Melayu. Dan bila umat Islam berada dalam keadaan emosional yang tinggi, tiba-tiba ada kes bakar gereja. Bukan satu atau dua tetapi telah mencecah hampir sepuluh gereka dirosakkan. Nanti skripnya diolah sama seperti Operasi Lalang tahun 1988 dulu. Orang Melayu marah, bangkit dan turun ke jalan raya. Kesannya nanti, pimpinan PAS ditangkap dan masuk ISA. Mereka hendak begitulah akibatnya. Mujurlah kecerdikan pimpinan PAS menafikan kehendak UMNO. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana agaknya ahli-ahli PAS dikerah turun ke jalanraya. Berpuluh ribu ramainya seperti demo ISA, BERSIH dan PPSMI tempohari.

Serampang dua mata mereka ialah supaya umat Melayu nampak UMNO pembela Melayu dan Islam. PAS pula dilabel tunduk kepada DAP. Dibesar-besarkan gambar Tok Guru lawat gereja dan hulurkan simpati. PAS dianggap telah menjual prinsip perjuangannya, terlalu liberal, takut kepada non Muslim dan lain-lain lagi.

Walaupun undi dan dokongan bukan Islam pada PAS agak solid dalam isu ini, tetapi mereka mahu memecahkan sokongan orang Melayu. Akhirnya PAS dianggap sama macam UMNO, ataupun UMNO adalah juara Islam. Inilah jarum halus yang perlu kita teliti, bukan isu kalimah Allah sebagai perisai UMNO, kerana UMNO sejak dulu hingga kini bukan hendak berjuang atas dasar aqidah islamiyyah, tetapi sanggup mempolitikkan apa sahaja demi survival diri mereka. Kesian UMNO....

Sunday, January 3, 2010

KESAN KENAIKAN GULA..

Tahun 2010 amat menyesakkan. Bajet sulung Najib tahun 2010 digunakan untuk membakar mercun sempena Malam Tahun Baru. Kemudian berlaku kenaikan harga barang runcit mendadak.
Harga Gula telah menjadi mangsa. Barang keperluan dan kawalan ini telah dinaikkan, bertambah 0.20 sen.

Apakah peruncit serta penjual makanan akan duduk diam? Sudah pasti harga barang-barang makanan juga turut akan naik. Mana ada makanan tanpa gula? Daripada kuih-muih sehinggalah kepada kuah dan lauk-pauk, akan menerima tempiasnya.

Sekali lagi, siapakah akan menjadi mangsa kali ini kalau bukan pengguna biasa seperti kita? Jangan terkejut apabila membeli kuih di tepi jalan, harganya bernilai RM 1 satu atau RM0.80 satu,s edangkan sekarang kita masih boleh dapat dengan julah 3 keping untuk RM 1.

Barapakah harga secawan teh O, kopi O dan lain-lain? Mungkin jumlahnya akan naik mendadak daripada RM 0.90 kepada RM 1.50 mungkin.

Mungkin Najib telah melepaskan kemarahannya kerana bajetnya hampir ditolak, dan mangsanya adalah rakyat biasa...

ISU KALIMAH ALLAH

Saya tidak berniat hendak mengulas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kristian menggunakan kalimah Allah di gereja. Bagi saya, yang paling awla sekarang adalah merujuk kepada pakar yang layak untuk bercakap, dan sudah tentu mereka adalah dari kalangan ulama'.

Saya tidak akan mengulas sehinggalah Dewan Ulama' PAS atau mana-mana pimpinan PAS dari kalangan ulama' mengulas serta meletakkan asas hukum di dalam isu ini.

Buat rakyat biasa di luar sana, jangan terlalu gelojoh mengulas tanpa ada dalil yang disertakan. Sabar seketika untuk kita bersama suara para ulama', kerana ulama' sebenarnya adalah pewaris para Nabi a.s.

BERAKHIRNYA SEBUAH REJIM..

Akhirnya setelah sembilan tahun menerajui Universiti Teknologi Mara (UiTM), Naib Canselor Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah berhenti juga. Tugasnya akan disambung oleh penggantinya iaitu Datuk Prof. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Selama sembilan tahun beliau di UiTM, bukan sedikit jasanya kepada UMNO. Beliaulah antara yang paling selamba menempekkan diri dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun. Beliau juga menerajui Kelab Penyokong UMNO luar negara. Dalam beberapa tahun sebelum ini, semasa musim pemilihan Agung UMNO terdapat beberapa orang pelajar UiTM yang dihantar bertugas sebagai pegawai pemilihan secara rasmi, dan Naib Canselor ini tidak pernah mengambil tindakan apa-apa.

Beliau pernah hendak membukukan dan mensilibuskan Pemikiran Tun Dr Mahathir, nasib baik hayat Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak panjang.

Beliau antara nama yang disebut-sebut untuk bertanding di Melaka dan calon untuk menjadi Ketua Menteri Melaka tahun 2008 yang lalu. Mujur namanya tidak tersenarai pendek.

Bukan juga sedikit jasanya dalam menyekat pengaruh kumpulan ISlam di kampus. Beliaulah yang mengharamkan PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) serta membubarkan ADASI (Persatuan Islam). Sejak tahun 2001 tidak ada lagi persatuan yang boleh menggunakan perkataan Islam.

Beliau bijak bertindak menafikan hak mahasiswa berpersatuan dan berpolitik kampus. Sejak tahun 2001, sesiapapun tidak dibenarkan bertanding untuk Pilihanraya Kampus tanpa tajaan HEP. Rakan sezaman saya yang pernah mencuba nasib untuk bertanding atas tiket bebas tetapi semuanya dilarang bertanding. Kesannya Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yanga da pada hari ini semuanya adalah kaderisasi HEP yang boleh dicucuk hidung dan tidak mempunyai jati diri dalam berfikir dan merancang.

Beliau pernah bertindak menukarkan pensyarah yang berfikrah Islam. Antaranya Ustaz Fadhlullah Shuib yang lantang dan berani mengkritik beliau. Hanya kerana keberanian beliau menyatakan dakwah Islamnya, beliau telah ditukar ke Sabah.

Pusat Islam menjadi saksi bisu betapa program-program Agama disekat habis-habisan. Kuliah agama sudah hampir tidak langsung diadakan (semasa saya belajar - 1997-2003). Sehingga kini mahasiswa serta pensyarah yang dahagakan Islam serta kuliah terpaksa mendapatkan dari masjid di luar UiTM.

Rakan-rakan saya mahasiswi pernah diburu dan diberi amaran hanya kerana bertudung labuh atau berjubah. Manakala mahasiswi yang tidak bertudung tidak diambil tindakan apa-apa.

Begitulah tindakan beliau selama 9 tahun mentadbir UiTM Shah Alam. Saya doakan semoga Naib Canselor yang baru agar diberi hidayah serta mampu berfikiran rasional dan bertindak lebih professional.

PEMUDA UMNO BANTAH IKHLAS ATAU BERLAKON?

Pergerakan Pemuda UMNO membantah kenaikan harga gula pada hari semalam. Ikhlaskah mereka atau sekadar berlakon, mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka juga prihatin dengan kenaikan ini?

Sukar hendak meneka apakah yang terbuku di hati Pemuda UMNO. Kalau mereka benar ikhlas baguslah dan teruskan langkah mereka. Pemuda PAS sanggup bersama menghantar memorandum membantah kenaikan harga gula ini. Sudah tentu ianya amat membebankan pengguna. Meskipun kenaikan ini cuma bernilai RM 0.20 sen sahaja tetapi bagi pengguna biasa, ia sedikit sebanyak telah menjejaskan perbelanjaan mereka.

Kalau Pemuda UMNO ikhlas, maka langkah ini perlu diteruskan dan jangan berhenti di tengah jalan. Jumpalah Perdana Menteri yang meneraju Malaysia. Sudah tentu Perdana Menteri akan mendengar suara hati pemudanya. Soalnya, beranikah Pemuda UMNO?

Saya syorkan supaya Pemuda UMNO bertemu dengan rakyat. dengar keluhan hati rakyat di bawah. Kemudian suara itu sampaikan kepada mereka yang berada di anjung kuasa. Barulah nanti ia memberi impak besar kepada perjuangan UMNO..






AKHIRNYA DIA PERGI JUA...

Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah jua yang sebaik-baik perancang.

Tanpa mahu mengulas apa-apa, saya merakamkan takziah kepada keluarga balu Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul meninggal dunia hari ini akibat penyakit kronik yang dideritainya sejak beberapa lama.

Beliau yang terkenal sejak tahun 1998 dengan perkataan 'irrelevant' dengan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sejak keputusan penghakimannya yang menghukum Anwar Ibrahim ke penjara Sungai Buloh selama 6 tahun, selepas itu jarang-jarang nama beliau disebut.

Sedar-sedar hari ini terdengar berita kematiannya. Sekali lagi, takziah diucapkan kepada keluarga beliau.