Tuesday, October 20, 2009

KERAJAAN BN MULA IKTIRAF TARIKH 16 SEPTEMBER

Akhirnya kerajaan UMNO-BN iktiraf tarikh 16 September dan jadikannya cuti umum. Inilah tarikh yang setahun lalu sangat digeruni oleh pemimpin mereka. Sehingga terpaksa lari dan membawa lari bersama Ahli Parlimen ke Taiwan. Semata-mata mahu mengelak tarikh keramat itu.

Setahun yang lalu, Dato' Seri Anwar dan ramai pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan majlis sambutan 16 September sebagai hari Malaysia. Maka UMNO seakan-akan terpana dan tersedar dari lena. Rupanya itulah tarikh penyatuan Malaysia, tarikh yang mereka sudah lupa sekian lama.

Kini mereka sedikit demi sedikit mengakui tidak sia-sia disambut 16 September, Dan buktinya, Najib isytihar ia sebagai cuti umum Malaysia. Patutnya UMNO-BN berterima kasih kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang memperjuangkan tarikh 16 September itu..




Cuti 16 Sept sempena "Hari Malaysia" disambut baik

KOTA KINABALU: Pengumuman cuti umum bagi seluruh negara sempena Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun disambut baik oleh kalangan pemimpin serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Ketika mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia akan dirayakan dengan acaraacara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia, kata Najib.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pengiktirafan tinggi oleh Perdana Menteri yang mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum amat signifikan bagi menggambarkan bahawa gagasan 1Malaysia telah lama dihayati dan menjadi amalan rakyat Sabah selama ini.

"Sesungguhnya, 16 Sept merupakan peristiwa yang amat bersejarah bagi rakyat negeri ini. Ini kerana, pada tarikh keramat tersebut, rakyat Sabah daripada pelbagai kaum dan etnik bersatu dan sepakat mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata pengumuman itu pasti akan mencetuskan semangat dan iltizam kerajaan negeri dan rakyat Sabah untuk terus mengukuhkan perpaduan dan rasa kekitaan sebagai pemangkin bagi memacu kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, sesuai dengan aspirasi gagasan 1Malaysia.

No comments: