Thursday, November 4, 2010

BERMARUAHKAH KEMENANGAN BN DI GALAS DAN BATU SAPI?

Akhirnya BN diisytiharkan menang di Galas dan Batu Sapi. Di Galas BN merampas kerusi yang dimenangi oleh PAS tahun 2008 dulu. Manakala di Batu Sapi mempertahankan kerusi yang pernah mereka menangi

Maka tersenyumlah Najib dan Muhyiddin. Lebih penting lagi Rosmah tersengeh-sengeh. Tidak sia-sia Rosmah menggalas tugas suaminya merasmikan program besar negara. Tidak sia-sia beliau bertemu dengan pemimpin luar negara sebagai menggantikan suaminya. Tidak rugi beliau meminta peruntukan RM 111 juta untuk Permata berbanding hanya RM 95 juta untuk SAR. Tidak ada kesan apa-apa menaikkan harga minyak petrol RM 0.05 sen beberapa hari yang lalu. Semuanya bahkan menaikkan undi BN lagi.

Muhyiddin pula dan BN, tidak segan-segan meratah jentera kerajaan sepuas-puasnya. Habis sekolah, dengn m urid-muridnya, guru-guru, ibu bapa, polis, tentera, pegawai kesihatan, hospital dan pelabagai agensi dikerah bagi berkempen untuk UMNO. Semuanya digunakan semaksimum mungkin tanpa rasa malu dan segan.

Hampir tergelak sekalian rakyat yang cerdik telatah SPR yang diperkudakan. Kalau PAS buat, semuanya ditohmah rasuah, walaupun ianya zakat. Tapi yang dibuat BN, depan mata, sogokan berjumlah RM 250, RM 100, RM 1000 dan pelbagai rasuah wang dianggap sebagai peruntukan kerajaan kepada rakyat. Kesian SPR yang masih hitam dari kebebasan demokrasi.

Di Batu Sapi, apakah keburukan yang tidak dilemparkan oleh BN terhadap pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat? Naik jemu kita mendengar pujian melangit media terhadap kepemimpinan Perdana Menteri dan BN. Kononnya hanya BN layak perintah negara. Pembangkang pula - lembaplah, rasuahlah, tidak cekaplah, tidak peduli rakyatlah, tiada wawasanlah dan macam-macam lagi perkataan buruk dilemparkan.

Sekiranya inilah trend kerajaan BN dalam berkempen yang tidak mempedulikan etika dan menjaga kebebasan media, maka sukarlah indeks kebebasan akhbar negara untuk meningkat. Labih jauh lagi, bagaimana Malaysia akan diiktiraf dunia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenar.

Apakah yang BN hendak dibanggakan dengan kemenangan ini. Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri, bermaruahkah kemenangan ini dengan segala macam penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan?

Bagi Pakatan Rakyat, kekalahan ini memberi makna bahawa Galas dan Batu Sapi akan kembali dimenangi dalam Pilihanraya Umum akan datang sebagaimana terjadi di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan DUN Ijok tahun 2008. Kerana Pilihanraya Kecil bukanlah ukuran kekuatan BN melainkan sebagai ukuran kekuatan jentera kerajaan yang menggempur Pakatan Rakyat!

No comments: