Thursday, April 1, 2010

PERJANJIAN DENGAN APCO. APA SEBENARNYA BERLAKU?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
PERJANJIAN DENGAN APCO: NEGARA KINI DIAMBANG BAHAYA

(30 Mac 2010)
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius dakwaan bahawa kerajaan Malaysia terlibat secara langsung dengan APCO Inc, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan rejim Zionis Israel sebagai syarikat perundingan total kepada komunikasi negara. DPPWP merujuk kepada pendedahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan penglibatan APCO dengan kerajaan Israel serta kerajaan Malaysia.
DPPWP berpendapat dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat serius kerana ia melibatkan keselamatan negara. Memandangkan syarikat tersebut menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat, maka sudah tentu negara berada dalam keadaan bahaya. Tidak mustahil maklumat penting negara telah terlepas ke tangan syarikat berkenaan dan sudah pasti negara boleh tergadai pada bila-bila masa. Sejarah pernah mencatat sebuah syarikat komunikasi antarabangsa yang pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat. Apakah jaminan kerajaan tidak memberikan apa-apa maklumat strategik negara kepada syarikat berkenaan?
Malaysia baru kehilangan enjin jet pejuang yang telah terlepas kepada syarikat dan negara lain, yang risikonya aset serta maklumat pertahanan negara telah bocor kepada pihak luar. Dalam kes ini, maklumat strategik dan komunikasi rakyat diketahu secara langsung melalui rundingan dengan kerajaan Malaysia, apakah jaminan rakyat dan negara Malaysia berada dalam keadaan selamat sekarang?
DPPWP merasa kesal tindakan kerajaan mengadakan rundingan dengan syarikat yang ada kaitan dengan rejim Zionis. Dalam keadaan seluruh dunia Islam membenci dan memusuhi rejim Zionis kerana tindakan zalim mereka menyerang umat Islam khususnya di negara Palestin, kerajaan seakan tidak menjaga sensitiviti umat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia. Apakah alasan yang akan diberikan jika umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan akibat perjanjian langsung negara dengan syarikat yang ada kaitan dengan rejim Zionis Israel. Mengapa kerajaan tidak bersikap berhati-hati dengan menyemak latar belakang syarikat serta tokoh-tokoh di sebalik syarikat berkenaan terlebih dahulu?
DPPWP mempersoalkan apakah relevannya kerajaan membazirkan wang rakyat berjuta-juta ringgit hanya untuk memperbaiki imej kerajaan UMNO-BN dan Perdana Menteri yang sudah rosak di mata rakyat. Perdana Menteri dan kerajaan tidak perlu menipu rakyat dengan slogan dan imej yang dibuat-buat. Rakyat di Malaysia sangat cerdik dan celik maklumat untuk mengenali Perdana Menteri mereka.
Akhir sekali, DPPWP mendesak kerajaan agar membatalkan perjanjian dengan APCO serta merta dan mendesak agar ditubuhkan Siasatan Di Raja bagi menyiasat skandal yang memalukan negara ini.
Disediakan oleh
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments: