Wednesday, December 1, 2010

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
KENAIKAN PETROL RON 97: TERIMA KASIH KERAJAAN BN !
(1 Disember 2010)


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa kesal kerana kerajaan menaikkan harga petrol RON 97 sebanyak 15 sen mejadi RM 2.30 sen seliter mulai hari ini. DPPWP merasakan tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol RON 97 kali kedua secara terburu-buru boleh menyebabkan kesukaran kepada rakyat dan menjadikan keadaan ekonomi negara dalam keadaan huru hara.

Meskipun harga petrol RON 95 dikekalkan pada harga RM 1.85 sen seliter, namun ia tidak membawa erti apa-apa. Dalam keadaan minyak petrol RON 95 yang dipertikaikan ramai kerana kualitinya dikatakan rendah dan boleh menyebabkan kebakaran kepada kenderaan apabila berlaku kemalangan, apakah pilihan kepada rakyat yang inginkan keselamatan mereka di jalan raya? Terlebih lagi minyak RON 97 adalah lebih berkualiti yang mampu menjaga enjin untuk tempoh masa yang lama berbanding RON 95.
Awal November 2010 yang lalu kerajaan telah menaikkan harga minyak petrol RON 97 kepada 5 sen dan tidak sampai dua bulan kerajaan telah menaikkan lagi harga petrol RON 97 menjadi RM 2.30 sen seliter. Mengapa terlalu cepat kerajaan menaikkan harga minyak tanpa mepedulikan impikasi kepada negara. Apakah kerajaan tidak melihat kepada kesengsaraan rakyat yang tidak tertanggung akibat kenaikan petrol. Bagaimana nasib pekerja kelas menengah dan rendah yang terpaksa menanggung beban akibat kenaikan petrol ini.

Dalam hal ini kerajaan langsung tidak bertanyakan respons rakyat terlebih dahulu sebelum mengumumkan kenaikan petrol. Dalam keadaan rakyat terpinga-pinga mahu mencari jalan keluar dari kemelut ekonomi mereka, kerajaan menghadiahkan satu lagi kenaikan petrol tanpa tanpa pengumuman awal sebagai persediaan. Bagi pemimpin BN, kenaikan ini tidak menjejaskan apa-apa kerana mereka tidak merasakan kesusahan hidup sepertimana rakyat biasa.
DPPWP merasa kecewa kerana kerajaan sanggup berbelanja RM 5 billion untuk membina Menara Warisan sedangkan subsidi minyak untuk rakyat dianggap membebankan kerajaan. DPPWP pasti dengan kenaikan ini akan menyebabkan kenaikan pada harga barang-barang keperluan. Peniaga kecil serta pengguna akan merasa terjejas akibat kenaikan harga barang yang berpunca dari kenaikan harga petrol.

Akhir sekali, DPPWP ‘berterima kasih’ kepada kerajaan yang ‘prihatin’ terhadap rakyat dan DPPWP jamin, isu kenaikan petrol ini akan menjadi bekalan buat rakyat menjelang PRU ke 13 nanti. DPPWP berharap kerajaan akan terus ‘komited’ menaikkan harga barang keperluan demi ‘kepentingan diri’ mereka sesuai dengan slogan ‘rakyat diutamakan’.

Disediakan oleh

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments: