Monday, October 12, 2009
CATATAN BAGAN PINANG. UNDI POS ADALAH SENJATA MEMENANGKAN BN
Jika dilihat pada keputusan itu, kemenangan ini awalnya sudah dijangka. Bagan Pinang adalah kubu kuat UMNO, dan situlah tempat mereka berpaut. Sanak keluarga ISA Samad ramai yang menetap di Taman Eastern. Itulah talian hayat mereka.
Jika ditolak undi pos, kemenangan ISA tidaklah membanggakan sangat. Majoriti 5,435 adalah termasuk undi pos. Majoriti undi pos adalah 2,920, sudah boleh mengenyangkan ISA. Dengan undi pos sahaja sudah memadai untuk ISA menang tanpa perlu bersusah payah turun berkempen. Semenangnya undi pos adalah senjata awal dan terakhir UMNO untuk berada di takhta kuasa.
Saya menyaksikan sendiri proses undi pos berlangsung. Budaya ugut dan mendesak telah lama menjalari kem tentera. Sedari awal, kawalan ketat tentera terhadap anggotanya dari menerima tempias kempen PAS. Kami mengedarkan risalah di depan pintu depan kem mereka sudah menjadi suatu bencana buat anggotanya. Bergegas pasukan risikan yang tidak ada kerja lain turun dan mengungut setiap kereta yang keluar dari kem agar tidak mengambil risalah kami. Jika menerima risalah sahaja, nombor plat kereta akan diambil dan seterusnya akan diambil tindakan keras.
Maka menggigillah anggota tentera apabila melalui kawasan kami berhimpun, setengahnya tidak mampu untuk mengangkat kepala melambai kami. Walhal, pemimpin UMNO yang memakai baju Menteri sehingga ke dalam kem berkempen politik parti mereka, sesuatu yang menyanggah dengan tentera (tentera dilarang keras berpolitik kepartian di dalam kem).
Saya bersetuju politik kepartian tidak dibenarkan di dalam kem atas alasan menjaga keharmonian dan kebulatan tentera. Tetapi itu di dalam kem. Mengapa perlu pasukan risikan bersusah payah menjalankan tugas sehingga di luar kem? Kalau nasi lemak di haramkan didalam kem, apa peduli jika tentera memakan nasi lemak di luar kem. Itukan hak mereka. Begitulah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.
Ketika proses pengundian berlangsung, berlaku kelucuan yang tidak munasabah. Bagaimana sebuah organisasi yang mempunyai disiplin yang begitu tinggi tiba-tiba apabila dalam proses pengundian, disiplin itu langsung tidak terpakai. Pasukan PACA (Polling Agent & Counting Agent) kami terpaku mendapat senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR langsung tidak digunakan, bahkan digantikan dengan daftar pemilih milik tentera. Sehinggakan senarai itu tidak lengkap, ada yang bertulisan (font) berlainan dari yang lainnya. Bahkan ada yang ditulis tangan. Begitulah harunya tentera yang boleh diperkudakan sedemikian rupa.
Ramai anggota yang mengadu tidak boleh mengundi kerana daftar pemilih yang dikeluarkan oleh kem tidak ada, sedangkan senarai di SPR ada. Alangkah lucunya. Apabila didesak oleh wakil calon untuk mendapatkan senarai daftar pemilih yang dimiliki oleh kem, mereka enggan menyerahkan dengan pelbagai alasan. Yang meminta adalah wakil calon (orang yang punya autoriti dalam PRK, bukan sebarangan orang).
Pasukan Polling Agent kami menerima 'kebodohan' oleh SPR dan tentera apabila pasukan tentera yang mengundi tidak langsung disebutkan nama dan no kad pengenalannya. Bagaimana boleh dikenalpasti mereka adalah pengundi yang sebenar. Apabila kami bertegas mahu memeriksa senarai nama yang mengundi, jumlah baki nama yang masih belum mengundi mereka enggan bekerjasama. Kalau begitu apa perlunya di adakan PRK dan pemantauan begini.
Ada laporan tentera menafikan hak sesetengah dari kalangan mereka untuk mengundi Beberapa nama yang kami perolehi tidak mengundi, tetapi nama mereka digunakan oleh pengundi lain untuk mengundi. Saya menganggarkan tidak kurang seratus nama berdasarkan kepada laporan dan rungutan mereka yang tidak boleh mengundi tetapi telah diundi oleh orang lain.
Sukar untuk disiasat di kawasan kem tentera yang punyai autonomi sendiri. Mereka beralasan kami orang luar dan tidak mempunyai hak apa-apa Apabila diadukan kepada SPR, SPR berlepas tangan dengan mengatakan ini kuasa tentera.
Tatkala mengundi, pengundi tidak langsung disebutkan nama dan no kad pengenalan tentera. Lazimnya, nama pengundi akan dilaungkan supaya Polling Agent boleh menyemak kesahihan mereka. Ini tidak berlaku. Sudahlah jarak antara Polling Agent dengan pengundi jauh, mereka pula langsung tidak dilaungkan nama. Seolah-olah Polling Agent hanya sebagai 'pak pacak' sahaja. Inilah sistem yang diguna pakai sejak sekian lama bagi menimbulkan keraguan dan seterusnya boleh memihak kepada BN.
Bagi undi luar dari kem pula, SPR akan mengepos undi tersebut. Bayangkan siapa pula dapat memantau apakah setiap helai kertas undi yang dipos (lebih kurang 2,000) boleh sampai ketangan pengundi yang sebenar. Siapa pula dapat mengesahkan mereka yang mengundi dan bukan orang lain. Di Pejabat Tanah (Tempat pengiraan undi pos) kami menerima bertalu-talu undi yang datang dari luar kem (melalui pos). Entah bagaimana undi yang dipos dalam masa dua hari boleh sampai kembali ke tangan SPR tepat pada masanya. Membayangkan setiap pengundi luar sangat peka berlangsungnya PRK Bagan Pinang dan mereka bertindak seberapa segera untuk mengundi dan mengepos undi mereka.
Semasa proses pengiraan undi, kami diarah untuk membantah mana-mana undi yang meragukan. Lebih seratus undi yang dibantah, tetapi hanya 60 bantahan sahaja diterima (undi ditolak). Dan seperti diduga, undi BN jauh mengatasi undi PAS. PAS hanya memperoleh 601 berbanding undi BN (2929). Kalaulah politik tidak dibenarkan di dalam Kem, bagaimana pengundi dapat memilih BN dan menolak PAS? Bukankah itu bermakna perlu politik dan berparti terhadap anggota tentera supaya mereka dapat memilih parti yang mereka inginkan?
Saya hairan di peti undi 14,15 dan 16 tidak ada langsung undi yang memihak kepada PAS. Peti-peti tersebut sampai lewat beberapa jam sebelum tutup pusat pengundian. Sangat meragukan. Agak-agak tidak ada langsung pengundi di peti undi 14-16 ini memihak atau simpati kepada PAS? Adakah semua mereka adalah ahli UMNO-BN, atau penokong tegar BN. Pelik walaupun tidak mustahil.. Mungkin agaknya pengundi ini telah diugut supaya mengundi hanya BN. Ataupun mungkin pengundi tersebut tidak pernah melihat kertas undi mereka sebagaimana yang berlaku kepada beberapa puluh pengundi. Agak malang data mereka tidak dapat kami rekodkan kerana ketakutan mereka untuk ke ketengah pihak pengadilan.
Akhirnya jelas sudah undi pos adalah alat untuk memenangkan BN. Sudah terang lagi bersuluh, BN bergantung harap kepada undi pos. Dengan pekbagai kehairanan serta kepincangan yang wujud, tidak mungkin ia dikekalkan melainkan ada sebab buat BN. Dan apakah alasan lagi buat SPR untuk terus mengekalkan undi pos dalam keadaan negara sekarang yang aman tanpa huru hara. Semestinya hak rakyat perlu diserahkan kepada rakyat secara adil dan saksama, bukan berselindung di sebalik undi pos seperti hari ini..
Friday, October 2, 2009
UNDI POS DIMANIPULASI UNTUK MENANGKAN BN: INI BUKTINYA!
Pengakuan Bekas Tentera : Mengundi Bagi Pihak BN
Pengakuan ini dibuat oleh Kepten Mejer (B) ABu Bin Kassim dihadapan Suruhanjaya SPR. Berikut adalah sedutan pertemuan kami dengan SPR.
Pada hari isnin 28hb September 2009 pimpinan PAS yang diketui oleh YB. Dato Abdul Halim Bin Abd Rahman telah berjumpa dengan SPR. Wakil PAS adalah YB. Salahuddin Ayub, Sdr. Kamaruzaman, YB Firdaus, saya sendiri Suhaizan Kayat dan ramai lagi. Pihak SPR pula dibarisi oleh Pengerusinya Tan Sri Abd Aziz Bin Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi Dato Wan Ahmad Wan Omar dan lain-lain lagi. Berikut adalah sedutan ucapan saya dalam pertemuan tersebut.
Suhaizan Kaiat : Selepas Komanden menerima Karung Khas SPR yang di dalamnya terdapat Sampul-sampul Keutamaan dan selepas Proses Penyerahan pada hari pertama bagi menunggu Proses Penyerahan untuk hari yang kedua Karung Khas SPR akan disimpan dalam Gurd Post tentera atau lokup polis atau bilik kebal SPR. Pihak EPP(Ejen Pengundian Pos) tidak dibenarkan berkawal kerana kedua-duanya adalah kawasan larangan untuk orang awam. Keadaan ini mencurigakan. Terdedah kepada sabotaj daripada pihak-pihak tertentu. Kes Al-Maunah dan suspek lari daripada lokup di Kota Tinggi tahun 2008 merupakan bukti-bukti yang balai polis dan Kem Tentera tiada jaminan Karung Khas SPR selamat.
Dato’ Wan Ahmad Wan Omar : Jadi tuan tidak percaya dengan tentera dan polis lah?
Suhaizan Bin Kaiat : Maaf Pengerusi saya minta bekas anggota tentera Pak Abu Kassim berpangkat Kapten Mejer(B) yang turut sama datang hari ini beritahu kita bagaimana beliau handle Karung Khas SPR semasa bertugas.
Pak Abu Kassim : Maaf tuan. Saya ni bekas anggota tentera. Terlibat dalam pentadbiran. Sayalah yang pangkah dacing pada kertas-kertas undi tu. Saya pangkah BN. Banyak tuan.
Tan Sri Abd Aziz : Kenapa tak pangkah bulan ?
Pak Abu Kassim : Saya pangkahkan bulan juga tapi saya rosakan borang 2. Saya takut masa tu tuan sebab pegawai saya duduk belakang saya. Saya patuh ajalah arahan dia.
Tan Sri Abd Aziz : Bila tu Pak Abu?
Pak Abu Kassim : Masa saya bertugas sebelum tahun 2000.
Tan Sri Abd Aziz : Itu cerita lama. Sekarang era saya tak akan berlaku lagi.
Suhaizan Kaiat : Lama memang lama. Tapi sistem tetap sama tuan.
Tan Sri Abd Aziz : Sekarang tidak akan berlaku lagi.
Suhaizan Bin Kaiat : Saya minta EPP(Ejen Pengundian Pos) dibenarkan mengawal 24jam tuan.
Dato Wan Omar : Perkara tersebut tidak ada dalam undang-undang. Nanti SPR kena pertisen pulak. Kawalan ini telah dibuat oleh pihak tentera dan polis. Mengapa kita curiga?
Pak Abu Kassim : Maaf tuan. Masa saya jaga kawalan selepas saya berhenti tentera. Tahun 2000. Masa Roslan Kassim lawan Sothinathan. Tan Sri Isa Samad mahu masuk dalam kawasan Majlis Daerah PD. Saya yang halang tuan.
Dato’ Wan Omar : Saya pun tak pasti Pak Abu ni. Saya banyak terima aduan macam ni. Saya pun tak pasti. Pak Abu begitu lancar sekali. Tan Sri Isa masuk tu tak de bukti. Lagi pun pihak lagi satu(UMNO) pun tidak ada disini untuk mempertahankannya.
YB. Dr Maria : Bukan kita tidak percaya dengan polis dan tentera Tan Sri Pengerusi tetapi kejadian-kejadian yang telah berlaku sebelum ini telah membuktikan bahawa manipulasi tersebut berlaku. Kita kena kawal semua ini Tan Sri.
Pertemuan ini bermula jam 11.30 pagi dan berakhir jam 2 ptg. Banyak perkara yang dibincangkan. Tetapi tiada suatu pun komitmen SPR untuk berubah dalam pilihanraya Bagan Pinang ini. SPR nampak baik aja. Tetapi sebenarnya SPR menyimpan pekung yang sangat besar dalam pengurusan UNDI POS.
Suhaizan Bin Kayat
Pengerusi J/K Khas Undi POS
Dewan Pemuda PAS Pusat.
SPR SEMAKIN MENGGILA
Ini sudah tentu ditujukan khas buat Pakatan Rakyat dengan koalisinya PKR dan DAP. Jelaslah yang dimaksudkan ialah supaya PKR dan DAP jangan sibuk-sibuk menggantung bendera dan poster pemimpin mereka.
Sedangkan BN diiktiraf sebagai sebuah parti yang sah. Dan dengan begini mana-mana pemimpin dalam BN boleh ditampal poster mereka sama ada dari MCA, MIC, Gerakan atau mana-mana pemimpin BN dari Sabah dan Sarawak (kalau mereka nak).
Apalah yang hendak ditakutkan sangat kalau Pakatan Rakyat dengan kerjasama 3 buah parti politik ini berkempen menggunakan bendera dan poster mereka. Sudah tentu rakyat ingin mengetahui hubungan erat yang terjalin antara komponen Pakatan Rakyat ini, dan sudah tentu rakyat ingin mengenali pemimpin mereka.
Meskipun PKR dan DAP tidak bertanding, tetapi mereka tetap di bawah sebuah Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS. Tanpa PAS siapalah Pakatan Rakyat, begitulah juga tanpa PKR dan DAP, tiada ertinya PAS dalam sebuah PR.
Patutnya SPR menghalang mana-mana parti politik yang bertanding dari menggunakan jentera kerajaan. Ini lebih besar bahayanya kerana melibatkan penyalahgunaan kuasa. Kenapa tidak dilarang BN menggunakan jentera rasmi kerajaan seperti polis, tentera, Kementerian Pendidikan, sekolah, dan lain-lain dari diperbudakkan.
Nampak sangat SPR mahu memberi kelebihan walau dalam keadaan apa pun kepada BN. Dan ini bukan sekali dilakukan untuk memenangkan BN, sudah acapkali. Termasuk menggunakan kaedah undi pos yang sangat diragui oleh seluruh rakyat yang sedar dan celik politik. Harapnya ini yang terakhir cara yang digunakan untuk menyelamatkan hayat UMNO-BN yang sudah nazak. Selepas ini kiranya UMNO-BN tumbang di Bagan Pinang, nantikan sebuah kehancuran mereka, dan terdirilah sebuah demokrasi yang berpaksikan keadilan rakyat!
APABILA BUMI MEMUNTAHKAN ISI PERUTNYA..
Bumi telah memuntahkan segala isinya. Dan manusia ketika ini kembali ingin kepada fitrah. Alangkah kerdilnya diri seorang manusia, yang selama ini menongkat langit.
Bumi Padang (Indonesia) menjadi saksi. dan Indonesia telah acapkali diuji dengan ujian maha hebat. Tusnami, gunung berapi, banjir, dan kini gempa bumi. Semoga Allah menambah iman mereka yang dibadai musibah ini..
JAKARTA 30 Sept. – Indonesia sekali lagi dilanda gempa bumi kuat, kali ini wilayah Sumatera Barat digegarkan dengan gempa berukuran 7.9 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh dan beratus-ratus rumah musnah.
Bencana tersebut dilaporkan turut menyebabkan kebakaran di bandar Padang dan bekalan elektrik terputus mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Gempa yang berpusat di Kilometer 57, Padang Pariaman dengan kedalaman 87 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (pukul 6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang.
Gempa di Sumatera Barat itu berlaku hampir sebulan selepas Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat digegarkan dengan gempa kuat yang mengorbankan 123 orang.
Ia juga berlaku selang sehari selepas gempa kuat menggegarkan Lautan Pasifik yang mencetuskan tsunami di kepulauan Samoa, American Samoa dan Tonga awal pagi ini menyebabkan 113 orang terkorban, manakala 50 yang lain cedera dan berpuluh-puluh lagi dilaporkan masih hilang.
Gempa di Lautan Pasifik tersebut mencetuskan ombak setinggi 4.5 hingga 6 meter menyebabkan banyak kampung di kepulauan tersebut musnah atau ditenggelami air dan ramai pekerja hilang di sebuah taman negara di American Samoa.
Di Sumatera Barat, pasukan mencari dan menyelamat dari Medan, Aceh, Palembang dan Pekanbaru telah dikerahkan ke lokasi gempa membawa peralatan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, televisyen tempatan melaporkan jalan di Kota Padang terputus sama sekali dan bekalan elektrik serta komunikasi juga terputus.
Sumatera Barat dilanda gempa kedua berukuran 6.2 pada skala Richter pada pukul 5.38 petang yang turut menggegarkan kawasan Pariaman di kedalaman 110 kilometer dari dasar laut.
Reuters melaporkan gempa menyebabkan sejumlah rumah dan jambatan rosak serta berlaku kebakaran di Padang.
“Ratusan rumah rosak sepanjang jalan. Juga ada kebakaran, jambatan terputus dan kepanikan luar biasa terjadi kerana paip air bocor sehingga membanjiri jalan,” ujar seorang saksi.
Pusat Peringatan Tsunami Pasifik sebelum itu telah mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Thailand, Malaysia dan India, tetapi kemudiannya menarik balik amaran tersebut.
Agensi berita AFP yang memetik jurucakap Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Rahmat Triyono berkata, beberapa buah hotel di Padang dilaporkan turut musnah.
“Pada masa ini kami tidak dapat menghubungi Padang kerana komunikasi terputus sama sekali," kata Rahmat.
Di Jakarta yang terletak kira-kira 950 kilometer dari lokasi kejadian turut dirasakan gegaran tetapi tidak sekuat gempa yang melanda Tasikmalaya awal bulan ini.
Gegeran akibat gempa tersebut turut dirasai di bangunan-bangunan tinggi di Malaysia termasuk di ibu negara, Kuala Lumpur.
Indonesia terletak di kawalan lingkaran gunung berapi dan Aceh sendiri pernah dilanda gempa dan tsunami pada 2004 yang mengorbankan 220,000 orang. – Utusan
Monday, September 28, 2009
BERUNTUNGNYA PEKERJA ESTET DARI PETUGAS PAS.
Alangkah beruntungnya pekerja estet yang dijaga kebajikannya berbanding pekerja PAS sendiri.
Pakatan akan perjuang gaji minima RM900 untuk pekerja estet
Dzulfikar Mashoor
Sun | Sep 27, 09 | 8:45:56 pm MYT
TELOK KEMANG, 28 Sept: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa gaji buruh ladang di Malaysia, termasuk di beberapa estet di sini adalah tidak adil dan akan memperjuangkan gaji minima RM900 untuk mereka.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas semalam mendesak kerajaan Malaysia melaksanakan polisi gaji minima RM900 untuk rakyat, bukannya memberika duit raya bermotif politik kepada peneroka Felda semata-mata.
Sunday, September 27, 2009
TENTERA DIPOLITIKKAN?!! DAH LAMA DAH..
Kalau tidak masakan UMNO mampu bergentayangan di puncak kuasa berpuluh tahun lamanya..
Petikan dari berita.
Tindakan Zahid Mengheret Tentera Ke kancah Politik Tidak Menguntungkan Negara.BAGAN PINANG – Institusi ketenteraan masih lagi dihormati kerana tugas-tugas yang dilaksanakan samada di dalam dan di luar negara, semasa aman mahupun semasa darurat.
Institusi tersebut dihormati kerana masih tidak terlibat dengan sbarang politik kepartian sebagaimana institusi lain yang telah dipergunakan oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Namun begitu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu memberi amaran kepada Dato’ Ahmad Zahid Hamidi supaya jangan mengheret angkatan tentera Malaysia ke kancah politik.
”Tetapi kita nampak sekarang institusi ketenteraan cuba diheret ke dalam politik sekarang oleh Menteri Zahid Hamidi, cukup jahat Menteri ini,
”saya beri amaran, kalau apa-apa berlaku di Malaysia, Zahid Hamidi bertanggungjawab,”katanya ketika menyampaikan ceramah penerangan pra pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang di Kampung Sirusa, disini semalam 26 September.
Menurutnya, Zahid Hamidi telah menggunakan tiga helikopter tentera ketika merasmikan mesyuarat agong UMNO Bahagian Jasin.
”Baru ni dia pergi rasmi (mesyuarat)UMNO (Bahagian) Jasin, dia (Zahid) guna tiga helikopter tentera, itu program UMNO (bukan program kerajaan atau tentera),
”Apakah Zahid Hamidi nak bawa tentera seperti berlaku di zaman Suharto,”soalnya.
Katanya, Suharto telah menggunakan tentera untuk mengawal dan memaksa rakyat supaya mengundi parti Golkar.
Mukaddimah kepada perbuatan ’ala’ Suharto, kata Mohamad, telah dilakukan oleh Zahid dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai dan Permatang Pasir yang lalu.
”Mukaddimahnya, Zahid Hamidi dah mula buat, iaitu dia turun(kan) pasukan kebajikan tentera di Manek Urai, dituruti kemudiannya di Permatang Pasir,”tegasnya.
Beliau (Mohamad Sabu) mempersoalkan, mengapa Zahid mengarahkan tentera untuk membuat kerja-kerja kebajikan dalam masa pilihanraya.
”kalau nak turun pasukan, nak bina rumah, nak gali parit, nak gali jambatan, kenapa tidak di (buat) masa luar pilihanraya?,
”(sebagai contoh) masa sekarang, pilihanraya tidak ada di Jelebu, pergilah buat sana, di Gerik ramai orang miskin, rumah tak siap, (sepatutnya) kebajikan angkatan tentera Zahid bawa ke sana!,”katanya.
Katanya, Zahid cuba untuk mencampuradukkan tentera dalam arena pertarungan politik
memberi ingatan kepada sesiapa sahaja perisik tentera
Sekaligus, beliau turut membuat gesaan tersebuka supaya prisik tentera yang hadir dalam Majlis ceramahnya, memberitahu para Jeneral, tindakan Zahid itu tidak mengutungkan negara.
”Perisik tentera yang hadir pada malam ini (beri) ingat kepada Jeneral-jeneral, apa yang dibuat oleh Zahid itu tidak menguntungkan negara (ada masa hadapan),”katanya.
Ceramah yang diadakan sempena perasmian dan pelancaran jentera pemuda Pakatan Rakyat turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Azman Shapawi Abd Rani dan Ketuanya, Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi-muslimeen-united.blogspot
ALAHAI KERAJAAN SELANGOR KU!!
Sudahlah. saya sendiri berserabut hendak fikirkan nasib negeri paling kaya ini. Biarkanlah rakyat yang menentukan dua tiga tahun akan datang. Masa itu, jangan menyesal pula..
Pemuda PAS khuatir isu Selcat bawa kejatuhan Pakatan Rakyat
Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS pusat memberi amaran kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah" berikutan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat).
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu.
Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.
Pada 12 November 2007, kerajaan negeri ketika itu pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.
Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.
"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri," kata Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.
Nasrudin melahirkan pendiriannya ini ketika banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali keluar Pakatan Rakyat negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.
"Walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, jangan sampai beliau dipancung, jangan beliau dibuang.
"Perbezaan pandangan ini mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.
"Kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," katanya.
"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.
Hasan telah melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).
Malah, pemimpin Pakatan Rakyat termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.
Monday, September 14, 2009
ULANGTAHUN MEMPERINGATI 16 SEPTEMBER..
Apapun peristiwa 16 September menimbulkan nostalgia. Nak gelak pun ada, dan marah pun ada, nak sedih pun ada. Semuanya terangkum dalam sebuah iltizam seorang pemimpin besar yang disanjung. Itulah gagasan politiknya dan gertakannya sekurang-kurangnya berjaya menggoncangkan lanskap politik negara.
Tahun ini kita bertemu dan bertamu lagi dengan 16 September. Pastinya ia mengundang sebuah keresahan buat politik elit penguasa. Saya ketemukan sebuah analisa ringkas berkaitan 16 September 2009. Tarikh itu tetap berhantu buat sesetangah pihak...
1. Dikhabarkan sembilan atau sepuluh ADUN UMNO di Ganu akan menyertai PKR dan membentuk kerajaan bersama PAS pada 16 September 2009. Perkhabaran ini dipandang serius kerana difahamkan yang sembilan ADUN UMNO itu telah berjumpa DSAI.
2. Di Selangor pula dikhabarkan beberapa ADUN PAS akan membentuk kerajaan baru bersama UMNO. Pada 16 September 2009, MB Selangor yang baru YAB Dr. Hassan Ali akan mengadap untuk memaklumkan majoriti bilangan ADUN yang menyokongnya menjadi MB. Dan seterusnya memohon perkenan istana untuk mengambilalih kerajaan daripada MB Khalid.
3. MIC yang didakwa bersih oleh Samy akan semakin bercelaru kerana Timbalan Presiden Palanivel tidak mendapat sokongan 50% perwakilan MIC. Lebih 60% perwakilan tidak mengundi Palanivel untuk jawatan Timbalan Presiden. Subramaniam dijangka mengikut langkah politik Dr. Chua Jui Meng. Ini bermakna hampir separuh ahli MIC akan meninggalkan MIC.
4. MCA masih terus berkecamuk. Sama ada kecamuk ini merupakan helah yang disengajakan atau tidak, ia tetap memudaratkan kuasa UMNO. PM 1Malaysia tidak mahu mencampuri urusan dalaman MCA. PM 1Malaysiapun pening dengan permainan MCA ini.
5. PKFZ dan Inkues Teoh menambahkan lagi kesengsaraan politik UMNO. Rakyat mula sedar bahawa SPRM adalah agensi kuatkuasa kerajaan untuk menghalalkan tindakan haram jadah UMNO. Sehingga ke hari ini, watak2 UMNO dalam PKFZ dan Inkues Teoh masih berjaya disembunyikan.
6. Kemelut Perak telah memperlihatkan dengan jelas bahawa mahkamah sentiasa dan akan terus melindungi UMNO. Segala tindak tanduk UMNO adalah benar. Keputusan Speaker Sivakumar menggantung tujuh ADUN UMNO telah diputuskan tidak sah oleh mahkamah. Speaker Sivakumar telah mengingatkan mahkamah bahawa menurut Artikel 72, kuasa speaker berkaitan urusan DUN adalah tidak boleh dicabar di mahkamah. Dan yang terbaru Speaker Sivakumar memohon mahkamah untuk mengistiharkan bahawa tindakan Ganesan merampas kerusi speaker adalah tidak sah. Mahkamah membuat keputusan bahawa menurut Artikel 72, mahkamah tiada kuasa untuk mendengar dan membicarakan segala urusan DUN. Masalah DUN mesi diselesaikan di peringkat DUN. Pelik.
7. Atau mungkin pada 16 September 2009, sempena Hari Malaysia, Tiong di Sarawak akan mengumumkan 30 AP Sabah dan Sarawak tidak lagi mewakili BN. Mereka adalah AP Bebas yang menyokong DSAI.
8. Kome boleh baca tapi jangan percaya. Nak percaya, tunggu PRU 13.
DR CHUA SOI LEK DAN SUBRAMANIAM BAKAL MENYERTAI PR?
Dalam pada itu, MIC pula kalut. Dato' Subramaniam yang menawarkan diri bertanding orang nombor dua dalam MIC, telah diugut akan diambil tindakan. Beliau telah pun kalah, tetapi dendam Samy Vellu ke atas penentang-penentangnya tidak berkesudahan. selepas ini akan ada tindakan disiplin yang lebih tegas menimpanya termasuk dipecat. Malanglah kamu wahai Subra!
Nampaknya kedua-dua parti komponen terbesar BN dalam bahaya. Kesan dan akibatnya mungkin akan terpecah bahkan akan hilang dalam lipatan sejarah. Kalau itu benar terjadi maka UMNO akan menjadi satu-satunya parti tanpa komponen yang menyokongnya. Tatkala itu, mampukah UMNO berdiri segah hari ini, ataupun ia turut sama rebah. Dalam pada mereka sibuk menghentam Pakatan Rakyat, bahtera BN yang semakin nazak. Bukan Pakatan Rakyat yang berpecah, tetapi BN yang bercerai.
Tidak ada platform yang terbaik buat kedua-dua bekas pemimpin besar komponen BN itu, melainkan dalam Pakatan Rakyat. Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin oleh dato' seri Anwar Ibrahim dilihat lebih jauh terkehadapan berbanding BN. Dan di dalam PKR masih ada ruang buat kedua-duanya berpencak di gelanggang politik, seperti yang dilalui oleh Dato' Dr Chua Jui Meng sekarang. Rakyat sekarang sudah muak dan jemu dengan parti yang berasaskan perkauman seperti UMNO, MIC dan MCA. Rakyat mahu melihat parti yang berteraskan parti berbilang bangsa seperti PKR atau parti yang meletakkan Islam seperti PAS sebagai dasar perjuangannya berada di depan sekarang. Selamat berhjirah Dato' Subra dan Dato' Chua...
MAHATHIR SENDIRI PERCAYA UMNO-BN BAKAL BERKUBUR..
Tidak perlu menelaah pun sudah diketahui, UMNO bakal hancur. manakan tidak, selama 50 tahun lebih ia dibumbui dengan rasuah, salah guna kuasa, kronisme, mementingkan diri sendiri, dan lain-lain. Insyaallah, berkat nasihat dan teguran Tun Dr Mahathir, kita sama-sama doakan tenggelamnya kapal karat bernama UMNO...
UMNO, BN seperti ikut jejak LDP
Beliau berkata, situasi politik yang berlaku dalam UMNO dan BN dilihat seakan-akan mengikut jejak langkah negara Jepun dan tidak mustahil pilihan raya akan datang, fenomena yang sama turut berlaku.
Menurutnya, parti-parti yang berjuang dan mencapai kemerdekaan di beberapa negara lain, telah hilang begitu saja seolah-olah rakyat di negara itu tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli ‘perjuangan dan pengorbanan’ parti-parti itu dan pemimpinnya.
“Saya begitu hairan, tidakkah mereka tahu mengucapkan terima kasih? Apa yang saya lihat, ada kebenaran dan kesahihannya kerana mendapati sikap pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang menggantikan pejuang kelihatan berubah hampir sepenuhnya,” katanya dipetik dalam blognya, semalam.
Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu, menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.
Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu.
Dr Mahathir berkata, mereka menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.
Walaupun menyatakan bahawa pengundi Melayu begitu setia kepada BN, Dr Mahathir mengingatkan bahawa wujudnya bukti pada pilihan raya umum tahun lalu pengundi setia memberikan undi kepada pembangkang.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.
“Rasuah semakin menjadi-jadi dalam UMNO dan parti-parti komponen (BN) yang lain.
“Dengan adanya pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.
Berkenaan parti komponen BN, Dr Mahathir berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan jika prestasi pembangkang lemah.