Sunday, September 27, 2009

ALAHAI KERAJAAN SELANGOR KU!!

Selangor ini negeri bertuah, dan negeri rebutan. Tak habis-habis pemimpinnya bertelagah, di depan khalayak. Rakyat sudah mula muak dengan telatah seperti budak-budak ini.


Sudahlah. saya sendiri berserabut hendak fikirkan nasib negeri paling kaya ini. Biarkanlah rakyat yang menentukan dua tiga tahun akan datang. Masa itu, jangan menyesal pula..




Pemuda PAS khuatir isu Selcat bawa kejatuhan Pakatan Rakyat



Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS pusat memberi amaran kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah" berikutan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat).

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu.

Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.

Pada 12 November 2007, kerajaan negeri ketika itu pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri," kata Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Nasrudin melahirkan pendiriannya ini ketika banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali keluar Pakatan Rakyat negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

"Walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, jangan sampai beliau dipancung, jangan beliau dibuang.

"Perbezaan pandangan ini mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," katanya.

"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.

Hasan telah melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).

Malah, pemimpin Pakatan Rakyat termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

No comments: