Monday, July 25, 2011

PEMUDA PAS WP MENGHARAPKAN LEBIH BANYAK KERUSI PARLIMEN DIPERUNTUKKAN UNTUK PAS WP DALAM PRU KE 13

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
(21 Julai 2011)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kenyataan Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub yang mensasarkan 80 kerusi Parlimen akan ditandingi PAS dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Untuk itu, DPPWP berharap kerusi tambahan tersebut ada di Wilayah Persekutuan.

Dengan hanya 3 kerusi sahaja untuk PAS bertanding sebelum ini iaitu di Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan, DPPWP mengharapkan rundingan antara pimpinan tertinggi nanti akan memberikan ruang yang lebih untuk PAS WP bertanding dalam PRU ke 13. Dengan kekuatan jentera di kebanyakan kawasan, penambahan keahlian yang begitu ketara, penambahan pengundi yang mendadak serta mood rakyat dan pengundi yang meletakkan harapan yang tinggi untuk PAS di Wilayah Persekutuan menjadi sebab untuk melayakkan PAS bertanding di banyak kerusi. Malahan banyak kawasan yang tidak bertanding telah melancarkan jentera pilihanraya mereka seolah-olah mereka akan bertanding dalam PRU ke 13 kelak.

DPPWP mensasarkan beberapa kerusi tambahan yang mempunyai potensi kerana kekuatan jentera pilihanraya, dana dan ahli yang ramai seperti Parlimen Wangsa Maju, Setiawangsa dan Bandar Tun Razak. DPPWP melihat tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong dari PKR telah melompat keluar dari parti menjadi asas kuat untuk PAS bertanding di kawasan tersebut. Kebanyakan pengundi di kawasan tersebut amat kecewa dengan tindakan beliau dan mahukan calon dari parti lain (Pakatan Rakyat) bertanding di kawasan tersebut.

Parlimen Bandar Tun Razak dan Setiawangsa pula mempunyai kekuatan jentera yang ampuh di samping dana yang mencukupi. Beberapa aktiviti menambah pengundi serta pertambahan cawangan membuktikan PAS bersedia untuk bertanding. Lagipun, PAS pernah bertanding di kedua-dua kawasan terbabit.

Akhir sekali, DPPWP mengharapkan penambahan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan akan menjadi perangsang dan semangat untuk ahli-ahli, jentera dan penyokong PAS Wilayah Persekutuan bekerja dengan lebih baik bagi menghadapi PRU ke 13 nanti.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tuesday, July 12, 2011

PENGAJARAN DARI BERSIH 2.0




Himpunan BERSIH 2.0 berjaya juga dilaksanakan pada 9 Julai 2011 yang lalu. Tarikh 9 Julai 2011 pasti akan terpahat dalam sejarah, kerana rakyat dari segenap pelusuk tanahair berani keluar menyatakan pendirian mereka. Meskipun diancam, diugut, disekat dan ditangkap, rakyat sedikitpun tidak gentar dengan pelbagai halangan ini. Puluhan ribu, bahkan sesetengah penganalisis meletakkan angka ratusan ribu rakyat membanjiri ibu kota untuk bersama-sama berhimpun dalam himpunan BERSIH 2.0.


Terlalu banyak pengajaran yang berharga yang boleh dicatatkan hasil dari Himpunan ini.

1. Himpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan dalam suasana aman dan tenang. Ratusan ribu rakyat berhimpun tanpa ada sedikitpun insiden kekerasan dilakukan. Sebaliknya peserta himpunan pula yang dikasari, dipukul, ditangkap, dicederakan, disembur dengan air kimia dan ditembak dengan gas pemedih mata, sehingga ada yang meninggal dunia. Kerajaan gagal memburukkan imej Himpunan BERSIH 2.0 sebagai ganas dan melampau kerana tidak ada sedikit pun harta benda awam yang musnah dirosakkan oleh para demontran. Ini membuktikan juga bahawa himpunan yang diadakan tidak membawa impak dan implikasi buruk kepada negara, jauh sekali boleh memudaratkan kemananan negara.



2. Meskipun pelbagai sekatan dan tangkapan dibuat, rakyat tetap hadir ke himpunan ini. Difahamkan ada juga yang ditangkap di sekitar ibu kota ketika sedang bersarapan pagi walaupun tanpa memakai baju kuning! Sekatan jalan raya hampir di semua jalan pintu masuk Kuala Lumpur, termasuk di negeri-negeri namun PDRM dan kerajaan gagal menyekat arus kebangkitan rakyat yang mahu melihat perubahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Tanpa baju kuning yang diharamkan, rakyat tetap hadir ke Kuala Lumpur.



3. Kuala Lumpur pada 9 julai 2011 diibaratkan sebagai zon perang. Hampir semua kedai ditutup. Masjid-masjid dikunci dari diimarahkan. Pasaraya-pasaraya besar juga diarahkan tutup. Perkhidmatan awam dihentikan atau dilencongkan. Jalan-jalan utama ditutup. Keadaan panik seperti ini sengaja dicipta oleh PDRM dan kerajaan Malaysia bagi menggambarkan himpunan BERSIH sebagai membahayakan orang ramai terutama peniaga. Sebaliknya ada peniaga kecil yang meneruskan perniagaan, mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Dalam keadaan demikian, tidak ada kedai yang dipecah masuk, dicuri atau dirompak. Tidak ada vandalisme dilaporkan dilakukan oleh para demonstran. Ramai peniaga yang rugi hanya kerana mereka menutup perniagaan, bukan kepada mereka yang meneruskan perniagaan pada hari tersebut. Jalan-jalan raya masih elok dan boleh dilalui selepas himpunan ini, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sehari sebelumnya.



4. Walaupun BERSIH diisytiharkan haram oleh kerajaan Malaysia, ramai yang masih menyertai himpunan ini. Mereka terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira bangsa dan warna kulit. Ini membuktikan bahawa BERSIH adalah perjuangan yang didokong oleh rakyat. Rakyat masih mengiktiraf BERSIH walaupun kerajaan menganggapnya haram. Jika tidak mana mungkin rakyat sanggup merisikokan diri mereka hanya untuk hadir dalam perhimpunan ini.



5. Ini juga bermaka rakyat melihat isu pilihanraya yang tempang dan pincang sebagai isu yang serius. Kerajaan perlu melihat isu iini dan selesaikan sesegera mungkin. Rakyat tidak selesa melihat segala macam penyelewengan yang berlaku terutama dalam pengendalian urusan pilihanraya. SPR pula tidak boleh berdalih lagi dengan menolak 8 tuntutan BERSIH 2.0. Pengajaran penting buat SPR adalah - SPR perlu berubah, dari menjadi ‘budak suruhan’ BN, ia perlu bebas dan berintigeriti. Jika tidak, rakyat sendiri akan mengubah SPR.



6. Institusi kerajaan adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Pemimpin negara yang mengetuai pelbagai institusi dan agensi kerajaan perlu menunaikan amanah rakyat ini. Barulah ia dihargai dan disanjungi. Hari ini, agensi kerajaan tidak berada di landasannya. Mengambil contoh bagaimana PDRM diperkudakan sedemikian rupa, sehingga bertindak di luar kewarasan akal kemanusiaan hanya kerana melayan ketakutan memuncak pemimpin BN. Warga emas dikasari, wanita diheret dan digari, rakyat yang tidak bersalah turut menjadi mangsa ditangkap dimana-mana, dan ramai yang dibelasah sesuka hati, ibarat penjenayah paling dikehendaki.



SPR pula ‘diarahkan’ bertindak sebagai perkakas untuk memenangkan BN dalam setiap kali pilihanraya. Dengan daftar pemilih yang sangat dicurigai, undi pos sebagai senjata akhir memenangkan pihak pemerintah, penggunaan media keterlaluan oleh kerajaan, menjadikan SPR badan yang berada di bawah telunjuk pemimpin UMNO-BN. Begitu juga dengan pelbagai agensi lain yang dikerah untuk berkempen setiap kali pilihanraya kecil atau umum berlangsung.



7. Himpunan BERSIH 2.0 menyaksikan siri keganasan yang disengsarakan buat pemimpin rakyat. Begitulah namanya perjuangan. Cedera, sakit, kematian, ditangkap, dipukul, diburu dan lain-lain adalah saksi hebatnya perjuangan menegakkan keadilan. Perjuangan ini juga perlu dibayar dengan pengorbanan yang tidak ternilai harganya kerana kebebasan dan keadilan yang didambakan bukan boleh diperolehi dengan percuma. Percayalah, penderitaan rakyat ini pasti akan berakhir dengan kemenangan bermakna, hasil perjuangan yang sama-sama kita didokongi.



Disediakan oleh;



MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Timbalan Ketua

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

NAJIB GAGAL TANGANI BERSIH


KUALA LUMPUR, 11 Julai: Sehari selepas berlangsungnya perhimpunan Bersih 2.0, para penyokong BN sendiri mulai menyerang pemimpin mereka dan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib disifatkan gagal melaksanakan cadangannya sendiri agar perhimpunan dijalankan di stadium dan disifatkan pemimpin 'flip-flop' atau 'kluk-klek'.

Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed), Matthias Chang (gambar) dalam tulisannya memberikan masa sekurang-kurangnya 10 bulan kepada BN untuk boleh membetulkan balik kesilapan cara BN mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 ini.

Sebelum Matthias, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah turut mempertikaikan strategi BN dalam menghadapi Bersih 2.0.

"Selepas perhimpunan 9 Julai 2011, saya mencadangkan agar Perdana Menteri dan seluruh pemimpin BN, bahawa keutamaan mereka sekarang adalah membuang semua penasihat politik yang tidak ada pengalaman langsung dalam realiti politik," tulis Matthias mengulas peranan penasihat politik Najib yang dikatakan pakar dalam “Blue Ocean Strategy” (strategi lautan biru).

Kerajaan BN, kata Mathias, membelanjakan bilion ringgit untuk membayar para 'pakar strategi' ini namun sehingga kini tidak menunjukkan sebarang hasil yang jelas 'di alam realiti dan di peringkat akar umbi.'

Tulisan Mathias membayangkan cerita sebenar di sebalik kegelisahan dan tindakan berlebihan kerajaan pimpinan Najib dalam mengendalikan Bersih 2.0.

Sehari selepas perhimpunan Bersih 2.0, Najib menghimpunkan 6,000 para penyokongnya di PWTC dan memberikan ucapan berapi kononnya Bersih 2.0 tidak ada sebarang kesan.

Sebelum itu, beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyidin Yasin telah membuat kenyataan bahawa semua urusan mengendalikan perhimpunan kali ini diserahkan kepada polis.

Hasilnya, seluruh bandaraya Kuala Lumpur dikepung dan tidak ada sebarang kenderaan yang dibenarkan masuk sejak tengahmalam sebelum 9 Julai.

Namun, pelbagai pihak menganggar lebih 100,000 penyokong Bersih berhimpun di ibunegara walaupun mendapat tentangan ganas dari pihak keselamatan.

Seorang peserta, Baharudin Ahmad, 58 tahun telah meninggal dunia. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur dan Najib sendiri mendakwa ia berpunca dari sakit jantung tetapi keluarganya berkata, Allahyarham, seorang bekas tentera yang segar bugar mustahil terkena komplikasi jantung.

Keluarganya juga berkata, jenazah Allahyarham menunjukkan tanda empat tulang dadanya patah manakala tiga batang giginya turut patah.

Di samping Baharudin, 1697 peserta ditahan sepanjang operasi polis itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga.

Kesan dari itu, Mathhias yang menyebut dia adalah bekas setiausaha politik PM sebelum ini berkata, jika pilihan raya diadakan tahun ini, BN tidak akan berjaya mendapat dua pertiga majoriti dalam Parlimen mahupun mengambil balik empat negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Yang lebih teruk lagi, beliau menjangkakan PM akan dihalau keluar enam bulan selepas itu.

(Polis menembak gas pemedih mata kepada peserta perhimpunan yang menuntut agar pilihan raya dijalankan dengan bersih dan adil)

Bagi menghadapinya, Matthias memberikan tiga cadangan untuk Najib:

1) Arahkan para penasihat politik beliau menonton siri TV “The Three Kingdoms” dan belajar asas-asas strategi politik.

2) Hantar sepupu beliau, Datuk Seri Hishamudin Husein iaitu Menteri Dalam Negeri untuk dianalisa jiwanya untuk “Enlarged Ego Syndrome” (EES) dan menyusun semula semua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

3) Masukkan ke dalam peti sejuk semua pimpinan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaludin. Ini kerana masalah sebenar Najib bukannya pembangkang tetapi dalaman BN sendiri.

Bagi Mathias, perhimpunan 9 Julai 2011 menimbulkan tujuh persoalan untuk dijawab oleh Najib:

1) Mengapa para pakar "Strategi lautan biru" gagal menjangkakan dengan tepat apa akan berlaku dalam Bersih 2.0 dan membuat langkah awal?

2) Kenapa pasukan keselamatan kebangsaan gagal menjangka apa berlaku dalam Bersih 2.0 dan bila PM dan menteri kabinet ditaklimatkan tentang demonstrasi itu?

3) Kenapa kerajaan BN membenarkan agen provokasi Perkasa mengambilalih tugasnya dalam mengendalikan Bersih dan diikuti oleh Pemuda Umno yang tidak matang?

4) Mengapa Najib flip-flop dalam keputusannya membenarkan perhimpunan di stadium dan memberikan kebenaran kepada polis untuk bertindak sepenuhnya?

5) Apa yang menyebabkan agen propaganda BN merasa dengan menyekat seluruh ibu negara akan menyebabkan rakyat marah kepada pembangkang bukannya kerajaan BN?

6) Adakah penilaian dibuat terhadap kesan dari tindakan keras terhadap demonstrasi Bersih 2.0. Adakah ia berjaya mengekalkan penyokongnya atau menghalau keseluruhan 40 peratus pengundi atas pagar dari BN?

7) Adakah dikenalpasti objektif yang hendak dicapai dengan pendekatan kasar menghadapi Bersih dan bagaimana ia boleh menambahkan lagi sokongan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang?

Friday, July 8, 2011

kenyataan media

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

SEMUA PIHAK DIMINTA HORMATI PANDANGAN SUHAKAM

( 8 Julai 2011)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pihak polis dan kerajaan Malaysia menghormati pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sebagai badan bebas yang memantau hak-hak asasi di Malaysia. Jika tidak, DPPWP meminta kerajaan memansuhkan sahaja SUHAKAM kerana suara mereka tidak lagi didengari.

Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataannya berkata kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Beliau juga mengingatkan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat pula terkandung dalam Perkara 19 UDHR.

DPPWP mengingatkan kerajaan bahawa Himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan aman dan dijamin oleh pemimpin-pemimpinnya. Tidak ada agenda tersirat disebalik himpunan ini melainkan untuk menyambut semangat kebebasan berhimpun dan bersuara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Dalam menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, BERSIH 2.0 sanggup berkompromi untuk adakan himpunan di Stadium Merdeka.

Oleh itu, DPPWP mendesak kerajaan dan pihak polis agar menghormati titah ucapan DYMM serta pandangan SUHAKAM agar membenarkan himpunan diadakan secara aman di Stadium Merdeka esok. DPPWP sanggup memberi kerjasama untuk memastikan keselamatan orang awam, peniaga, serta lalulintas berjalan lancar pada masa tersebut. DPPWP juga mendesak kerajaan agar membebaskan semua tahanan BERSIH 2.0 dan tidak melakukan tangkapan lagi bagi menghormati peserta Himpunan BERSIH yang bertindak mengikut lunas Perlembagaan. Selain itu, DPPWP mendesak kerajaan agar mendakwa semua tahanan yang ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dibebaskan atau didakwa di mahkamah secepat mungkin.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Timbalan Ketua

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan



SAJAK BERBISA DARI SASTERAWAN NEGARA...

PELUDAH WARNA

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said