Sunday, May 24, 2009

FATIMAH TAHA WANITA CEKAL DISEBALIK KETOKOHAN SUAMI

Posting ini saya rakamkan kekaguman khas buat seorang srikandi perjuangan Islam PAS. Beliaulah wanita yang saya maksudkan, Fatimah Taha. Seperti yang dilaporkan Siasah dua keluaran lepas, mungkin ramai yang terlepas pandang atau tidak ambil pusing terhadap kisah individu berkenaan. Yelah, mungkin ceritanya bukan sekitar politik sensasi negara dan mungkin bukan dari seorang tokoh kenalan ramai!

Saya kagum dan terharu memebaca pengorbanan beliau di sebalik kejayaan suaminya. Suaminya gah membina nama di persada negara sebagai seorang negawaran, tetapi di sebalik itu ada insan lain sebagai penyokong kekuatan perjuangan suaminya. Itulah isteri YB Haji Salahuddin Ayub. Sehingga ke hari ini apabila membaca artikel tersebut pasti saya menitiskan air mata kerana di celahan umat akhir zaman ini, masih ada insan yang berjiwa kental menghadapi saat kesulitan hidup.

Beliau menceritakan saat menghadapi jerih payah perjuangan ketika awal muda mereka berdua membesarkan anak-anak. Sehingga suatu ketika kedua-dua pasangan ini dengan anak seramai tiga orang, berpindah ke sebuah bilik di tengah kebun. Tanpa eletrik dan air, wanita ini yang sering ditinggalkan suami yang menyambut panggilan jihad di medan, tabah menghadapi liku-liku hidupnya. Sehinggakan saatnya terpaksa berjalan sejauh satu kilometer meredah semak dan belukar ke luar semata-mata untuk mendapatkan keperluan asas keluarga mereka. Saat ketikanya diuji Allah terpaksa membawa tiga orang anaknya ke luar dari rumah dalam hujan lebat dan ribut petir menimpa bagi mencari kebutuhan hidup.

Dalam keadaan susah begitu, beliau redha dengan perjuangan suaminya. YB Salahuddin Ayub meletak jawatan dalam kerjayanya bagi menumpukan perjuangan sepenuh masa, ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda PAS kawasan Pontian. Saya sendiri tidak dapat hendak membayangkan bagaimana kesusahan yang dialami beliau membesarkan anak-anak dalam keadaan kemelut dan krisis kewangan masih membelenggu hidup. (YB Salahuddin kini mempunyai enam orang anak). Tanpa kerjaya, isteri pula suri rumah sepenuh masa mereka mampu hidup dalam kerukunan rumahtangga tanpa goyah.

Bagi menampung keperluan asas rumahtangganya, beliau sendiri mengambil upah menjahit pakaian. Rezeki itu adakalanya datang adakalanya tidak. Kesusahan mereka ditanggung bertahun lamanya. Ini mengingatkan saya perjuangan Islam generasi terdahulu sejak zaman Nabi Muhammad saw sehingga para sahabat yang hidup susah. Rupa-rupanya masih ada generasi hari ini yang menurut langkah yang sama.

Beliau menambah, hanya selepas tahun 2004 baru mereka mampu memiliki rumah sendiri, kereta sendiri dan perabot rumah! Itupun hanya setelah YB Salahuddin Ayub menjadi Ahli Parlimen mereka memilik kesemua kemudahan itu. (Setelah berbelas tahun mendambakan diri pada perjuangan).

Teladan paling bernilai yang dapat saya kutip dari pengalaman hidup Fatimah Taha ini adalah:-

1. Kecekalan menghadapi kesulitan hidup. Ramai wanita bersuamikan pejuang Islam tidak sanggup menghadapi kesukaran hidup bersama lalu mengambil jalan lain untuk selamatkan diri.

2. Beliau tidak pernah merasa sangsi dengan perjuangan suaminya bahkan meyakini apa yang dilakukan merupakan perjuangan tertinggi dalam Islam.

3. Beliau tidak pernah merungut dan meminta apa-apa selain keredhaan suami. Sepanjang liku-liku hidup ini beliau tidak pernah meminta sesuatu yang tidak mampu ditunaikan suaminya.

4. Guru dan pendidik anak-anak yang sabar. Beliau tahu masa suaminya sangat terhad, justeru mengambil peranan selaku pendidik utama anak-anaknya. Anak-anaknya kini berjaya di menara gading.

Itulah Fatimah Taha. Wanita cekal gigih yang layak dinobatkan tokoh dan serikandi perjuangan Islam. Yang sebenarnya beliaulah wira disebalik ketokohan suaminya. Saya yakin di dalam saf perjuangan Islam bernama PAS ini, masih ramai kalangan pemimpin yang ikhlas dan teguh dalam perjuangan tanpa mengharapkan apa-apa habuan meskipun hidup mereka serba kesusahan...

YB haji Salahuddin Ayub wajar mendapat tempat setinggi mana beliau pergi kerana mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangannya melayakkan beliau diangkat sebagai pemimpin yang telah diuji. Syabas YB Salahuddin dan Fatimah Taha.

Buat wanita yang bergelar isteri kepada pejuang-pejuang Islam, ambillah pengkisahan pengalaman ini sebagai teladan. Insyaallah, suami dan perjuangannya akan berjaya kalau ada seribu orang wanita seumpama tkoh yang saya bicarakan ini.

Wednesday, May 20, 2009

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT : SEMOGA BERLANGSUNG DENGAN AMAN!

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat dijangka berlangsung pada 3-4 Jun 2009 bertempat di markaz yang bersejarah iaitu Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Perkara yang dinanti dan ditunggu oleh semua- baik perwakilan, pemerhati, Kelab Penyokong, penyokong, sehingga kepada rakyat Malaysia dan diplomat adalah kepada agenda pemilihan tahun ini.

Semua mata tertumpu kepada sayap PAS yang begitu dinamik dan agresif selama ini. Pemuda PAS sejak dulu dikenali sebagai pencetus atau pelopor. Era kebangkitan kepimpinan ulama' adalah hasil cetusan pandangan pemuda. Ketokohan kepimpinan yang hari ini mewarnai kepimpinan PAS Pusat adalah hasil kerja tangan-tangan pemuda. Keulungan aktivisme adalah hasil kekuatan kepimpinan pemuda PAS. Dunia hari ini mengenali YB Dato' Haji Mahfuz Omar sebagai aktivis parti yang lahir dari sistem kaderisasi pemuda PAS. Sebegitu sinonim kerja merakyat PAS dengan masyarakat dengan kehebatan tokoh rakyat marhein seumpama Haji Muhamad Sabu, Ustaz Dato' Abu Bakar Chik, Mazlan Aliman, dan kini YB Salahuddin Ayub.

Pemuda PAS turut melahirkan tokoh tarbiyah sepenting Ustaz Idris Haji Ahmad dan Ustaz Nik Mohd Abduh. Jiwa kerohanian mereka mampu memberikan roh perjuangan kepada diri setiap ahli. Individu inilah yang mengisi setiap ruang program dengan pengisian yang bermakna serta nasihat yang mampu menyuburkan iman setiap pejuang.

Bahkan jika disebutkan, amat janggal kalau dibilang permata atau mutiara yang bergemerlapan hari ini tanpa mereka pernah dikaitkan dengan pemuda. YB Abdul Wahid Endut adalah bekas pimpinan pemuda, YB Dato' Husam Musa adalah bekas pimpinan pemuda, YB Ust Mohd Amar Nik Abdullah, Dato' Takiyuddin Hassan, dan lain-lain lagi. Gerombolan pemuda menghiasi hampir setiap pentas organisasi bernama PAS disetiap peringkat.

Muktamar kali ini mengundang seribu pertanyaan. Ke mana arah tuju perjuangan PAS bakal ditentukan oleh siapa yang bakal mengemudi pemuda. Ramai mula mencongak apakah wajah baru pemuda PAS yang diisyaratkan sebagai pemimpin rakyat Malaysia dalam masa terdekat. Ramai juga mula membayangkan siapakah yang bakal bersaing dengan Khairy Jamaluddin sebagai seteru utama sayap kanan parti politik terbesar di negara ini.

Atas kertas, dua nama disahkan akan bertanding sebagai Ketua Pemuda. YB Mohd Zaki Ibrahim akan bersaing dengan Ustaz Nasrudin Hassan. Ustaz Nasrudin adalah Timbalan Ketua di sesi 2007-2009 manakala YB Mohd Zaki Ibrahim sebagai Bendahari.

Kedua-duanya adalah nama besar dalam pemuda dan kedua-duanya telah menempuh segala macam ranjau perjuangannya. YB Mohd Zaki terkenal dengan kelantangannya berpidato. Kekuatannya pada kepetahannya. Kepimpinannya di Kelantan sebagai Ketua Pemuda Negeri tersebut menjawab segala-galanya. Tiada apa yang perlu dipertikaikan kewibawaan dan kehebatannya. Keutuhannya selama dua penggal menjadi ADUN mengangkatkan beliau sebagai Timbalan Speaker. Tuan Guru telah memberikan lampu hijau buatnya pergi lebih jauh. Layaklah beliau bersemuka dengan Khairy Jamaluddin, budak nakal genius dari UMNO.

Sementara Ustaz Nasrudin Hassan memiliki pakej lengkap kepimpinan. Lenggok gaya pidatonya sangat memukau dan menyihir. Baik-baik kata indah yang disusun mengingatkan saya kepada gaya ucapan Syeikh Imam Hassan Al Banna. Tidak syak lagi, Ust Din adalah stok kepimpinan masa depan. Berikan ruang untuknya berpencak dalam pemuda, saya yakin dalam beberapa tahun mendatang pengganti Tok Guru (Dato' seri Abdul Hadi Awang) sudah ditemui. Ust Din Tantawi juga hebat dalam penulisannya. Bunga dan tari gaya penulisannya mengasyikkan. Secara peribadi saya mengagumi gaya penulisan beliau. Beliau kaya dengan istilah dan perkataan.

Secara terus terang untuk saya memihak kepada mana-mana amatlah tidak wajar. Kedua-duanya saya kagumi. Kedua-duanya mampu dan layak di kerusi tersebut. Tahniah kepada perwakilan negeri-negeri yang melihat kilauan bintang dari saf pemuda. Saya menganggap sesiapa sahaja yang menang adalah yang terbaik yang dipilih oleh Allah swt melalui tangan-tangan perwakilan.

Sementara kerusi Timbalan dan Naib kesemuanya memilik kelebihan tersendiri. Ahmad Sabki Yusof adalah arkitek pemuda. Kehebatannya pada pengurusannya. Belum pernah PAS melahirkan pengurus yang begitu strategis sebaik Sabki. Ust Nik Mohd Abduh memilik aura tersendiri. Beliau mampu memberikan buah pemikiran tersendiri yang mengungkap identiti dirinya. Ust Musaddak Ahmad adalah contoh aktivis yang lahir dari bawah. Kerja keras dan usaha bersungguhnya memungkinkah Kedah ke tahap yang sangat dikagumi. Ustaz Azman Shapawi adalah Tuan Guru Abdul Hadi Awang in-the-making. Beliau di barisan depan senarai kepimpinan masa depan. Karisma beliau terserlah terutama ketika berhadapan dengan PRK Kuala Terengganu.

Suhaizan Kaiat anak muda dari Johor yang mempunyai iltizam tersendiri. Amukannya memunginkinkan ribuan anak muda turun ke jalan raya dalam demo PPSMI baru-baru ini. Memang beliau seorang perancang yang licik. YB Ust Mohd Firdaus Jaafar yang saya kenali adalah seorang yang sangat menyantuni rakyat. Beliau punya wawasan tersendiri yang hanya mampu ditafsirkan bagi yang mengenalinya. DACS pimpinannya mampu terbang tinggi. Irihati rakan seangkatannya memikirkan bagaimana gerak langkah sejauh itu beliau mampu pergi. Beliau memang seorang ahli politik yang bijak.

Saya hanya inginkan Muktamar yang berlangsung dengan penuh ukhwah dan harmoni. Biarpun kepimpinan berentap sesama sendiri, tetapi semuanya didasarkan atas ketaqwaan dan keinginan untuk berjuangan di barisan depan. Saya yakin semua mereka berniat untuk berjuang demi Islam . Semoga Muktamar ini berlangsung dengan baik, dan kita jadikan penanda aras bahawa PAS bukan berjuang kerana nafsu dan perut semata-mata, lebih dari itu adalah kerana ingin mendaulatkan Islam di muka bumi...

Thursday, May 14, 2009

SEMAKIN RAMAI DESAK BUBAR DUN PERAK!

Drama krisis di Perak memasuki fasa yang yang lebih jauh dan dalam. Nampaknya semua pihak sudah semakin buntu. Semakin banyak cabang-cabang perundangan yang perlu diselesaikan. Baru satu kes, sangkut lagi beberapa kes. Selesai mahkamah tinggi, mahkamah rayuan pula menunggu, menang Nizar, Zamby pula halang. Selepas itu Nizar pula merayu. Tamat watak Nizar, Speaker pula menjadi pertikaian. Dulu Sivamukar sah menjadi Speaker, kini Ganesan pula mengaku jadi Speaker. Yang halal dibatilkan oleh yang haram. Itu baru satu bahagian. Bagaimana pula dengan kes sidang bawah pokok, perlantikan Speaker serat sidang DUN 7 Mei, serta lain-lain kes.

Para peguam semakin pening menafsirkan undang-undang. Bahkan tidak kurang hakim-hakim yang memberikan pelbagai persepsi perundangan. Jalan penyelesaian di Perak semakin buntu, ibarat ikan yang tersangkut di pukat tunda. Semakin dilerai, semakin kusut jadinya.

Jalannya ada dan mudah. Iaitu dengan cara membubarkan DUN dan berikan hak itu kepada rakyat Perak. DYMM Sultan Perak perlu melihat ini sebagai jalan keluar dari terowongan yang gelap ini. Jika dibiarkan, semakin kusut dan buntu. Sedangkan Perak perlukan pengemudi yang mampu memangkin kestabilan politik dan ekonomi negeri tersebut. Kalaulah semua ini dilihat dengan mata yang halus, saya yakin Perak telah lama menemui jalan penyelesaiannya.

Semakin berlarutan semakin ramai yang bersuara. Daripada kaca mata rakyat sudah tentu pilihanraya semula negeri Perak memberikan cahaya. Mandat baru diperlukan bagi membentuk kerajaan yang lebih mantap. Perak tidak akan dapat dipimpin oleh dua orang Ketua, ataupun berkerajaankan dua gabungan parti yang saling berselisihan. Hanya mereka yang buta gagal melihat kebenaran dan keadilan.

Terkini SUHAKAM telah bersuara. Menyatakan rasa yang sama, bahawa Perak dahagakan Pilihanraya semula. Pulangkan kepada rakyat menentukannya dan memilih kerajaan baru mereka. Tengku Razaleigh Hamzah juga bernada sama, mendesak Paduka Tuanku Sultan menerima hasrat Pakatan Rakyat. Lalu datanglah suara Gerakan dari Pulau Pinang menyatakan hasrat yang sama. Sebenarnya mereka ini telah melihat apa yang rakyat inginkan. Rasionallah dan berfikir waraslah, apakah mampu kemelut ini diselesaikan dengan baik tanpa perlu Pilihanraya semula.

Zambry mendakwa dia Menteri Besar yang sah, sedangkan dia sebenarnya merampas kuasa. Nizar pula kehilangan sokongan akibat tindakan khianat 3 orang ADUNnya. Lalu jalan apakah yang paling selamat kalau bukan pembubaran DUN. Rakyat Perak dan seluruh negara sebenarnya sedang menanti kalimat keramat muncul dari lidah DYMM Sultan Perak, iaitu memperkenankan PEMBUBARAN KERAJAAN NEGERI PERAK!

Sunday, May 10, 2009

BARU SEBULAN BERKUASA NAJIB SUDAH MULA MENUNJUKKAN KUKU BESINYA!

Sejak Najib menduduki kerusi Perdana Menteri, bahkan sebelum dari itu lagi rakyat tidak mengharapkan apa-apa dari keajaiban tangannya. Rakyat sudah lama mengagak sikap ganas dan terburu-burunya memimpin. Beliau akan memaksakan pemikiran dan tindakan beliau ke atas rakyat Malaysia.

Sehinggakan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat terpaksa menghantar memorandum membantah perlantikan Najib sebagai PM. Umum dapat melihat apakah yang bakal terjadi dengan pemerintahan beliau.

Najib sejak muda dikenali dengan sikap agresif dan suka menyerangnya. Ditambah dengan sikap beliau yang ketara iaitu suka berfoya-foya dan kaki skandalnya. Ramai teman-teman yang berbisik bagaimana kehidupan Najib sewaktu usia muda, dan kemana banyak masa dihabisinya. Itu semua sudah diketahui sehinggalah rakyat dikejutkan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu.

Sejak itu namanya buruk dan hina. Kemana-mana rakyat mengingati nama Altantuya yang menjadi korban antara nafsu dan kepentingan diri. Najib sendiri tidak ternafi dan sukar beliau membawa diri ke mana-mana. Sehingga media antarabangsa tidak putus-putus menyiarkan berita sensasi skandal tersebut.

Dalam kemelut itu, seawal usia pemerintahannya beliau mengambil sikap cuba berbaik dengan rakyat Malaysia. Tahanan ISA dibebaskan manakala larangan terhadap Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik. Ia suatu permulaan yang baik buat sesetengah rakyat, namun tidak semua yang termakan budi baik yang ditaburinya. Rakyat bangkit kembali bahkan mengamuk kembali dengan kemelut isu di Perak. Sudah habis segala bomoh undang-undang menafsir bagaimana rupa bentuk seharusnya Negeri Perak itu berada sekarang, tetapi masing-masing dengan jampi serampah sendiri. Semuanya ada tafsiran yang mengandungi pelbagai warna! Perak semakin kelam, dari berwarna keemasan berpudar ke gangsa dan hampir-hampir kelabu. Siapa punya angkara semua ini kalau bukan Najib?

Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri menuding jari kepada UMNO yang gopoh merampas Perak. Seakan Tun Dr Mahathir tidak percaya terhadap apa yang berlaku di Perak. Krisis ini berpanjangan dan nampak sukar mencari jalan penyelesaian. Sebenarnya jalan penyelesaian itu mudah, iaitu bubarkan saja DUN Perak dan biarkan mandat itu diberikan kepada rakyat. Tetapi pilihan inilah yang paling digeruni oleh UMNO dan sekutunya. Lalu jalan gelap dan berliku yang mereka pilih yang terus menggelapkan Perak dari dunia demokrasi.

Yang malang dan terjejas adalah DYMM Sultan Perak. Istana diseret hina sedemikian rupa. Rakyat sudah mula mencongak dan berkira-kira untuk menumpahkan taat setia kepada Istana. Puncanya tidak lain kerana sikap Najib yang terdesak mahu memulihkan namanya yang terus terjejas ekoran kekalahan demi kekalahan dalam PRK sebelumnya.

Akhirnya jadilah apa yang tidak ingin kita lihat. Sidang DUN pada 7 Mei 2009 tercatat dalam sejarah sebagai Sidang DUN paling buruk. Sepaker dihina seakan budak belasahan. Belum pernah terjadi Speaker yang sah diseret umpama mangsa gangster ke dalam bilik persalinan dengan menafikan haknya sebagai Speaker. Dan lagi beliau merupakan ADUN yang sah.

Inilah kali pertama dalam sejarah demokrasi, orang ramai yang berhimpun dan berkumpul seramai 5 orang di kawasan sekitar SUK ditangkap. Buat pertama kalinya sesiapa yang memakai baju hitam di Ipoh akan ditangkap pada hari tersebut. Inilah juga kali pertama sejarah merakamkan DUN tempat bersidang tidak lagi selamat. Sesiapa sahaja boleh menembusi dewan tersebut tanpa tag nama dan petugas keselamatan. Ahli-ahli ADUN dikasari seperti binatang. Sementara paduka Raja Dr Nazrin terpaksa melewati 5 jam menanti untuk membacakan titah ucapan baginda!

Bagi saya semua tindakan dan episod keganasan di Perak sebagai modal berharga buat kita semua pencinta keadilan. Inilah modal untuk dibawa dan dihidangkan kepada rakyat menjelang PRU ke 13 kelak. Kita akan rakamkan siapakah wajah Najib sebenarnya. Sejak berkuasa tidak sampai dua bulan sudah pelbagai rakaman sejarah hitam demokrasi dilakarkan. Kuku besi beliau yang sebenarnya belum lagi dikeluarkan sehabisnya. Yang berlaku di Perak hanya kilauan daripada sisa kuku besinya yang sebenar. Bagaimana rupa bentuk kukunya yang sebenar, nantikan dua tiga tahun akan datang.

Buat masa ini mungkin rakyat di Perak mampu bercerita dan berkongsi segalanya bagaimana mereka dimangsakan sedemikian. Dan rakyat Perak perlu bercerita pengalaman mereka ber MB kan dua orang, Setiausaha DUN dua orang serta Speaker dua orang...

Friday, May 8, 2009

LAKUKANLAH APA SAHAJA DI PERAK KERANA PERAK KINI ADALAH ZON BEBAS UNDANG-UNDANG

Saya berkesempatan mengikuti perjalanan polemik politik di Perak dari dekat. Terpanggil dengan arahan mengadakan munajat seawal jam 5 pagi di Masjid Al Ittihadiyyah, Manjoi, Perak, kami rombongan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berangkat jam 12.45 malam. Seperti biasalah, pasukan 'selective committee' membawa kelengkapan seadanya . Meskipun diberi amaran bermacam-macam, demi menyahut seruan jihad ini kami langkahkan kami.

Setiba di masjid Ittihadiyyah, langkah awal kami rombongan rakyat disekat oleh pasukan FRU. Bayangkan, masjid dikunci dari imarah. Tuan rumah (Perak) lantas bergegas menukar lokasi ke surau Al Ikhlasiyah tidak jauh dari Masjid Ittihadiyyah. Usai bermunajat, ucapan pembakar semangat dari Tuan Haji Aris Awang anggota Badan Mobilisasi Rakyat mengujakan. Namun terkilan sedikit kerana pimpinan PAS awal-awal menyekat kemaraan rakyat untuk turun berhimpun. Ya, mungkin mesejnya supaya PAS tidak dipalitkan dengan imej buruk seperti demo 'baring' atas jalan raya di Kuala Kangsar dua bulan lepas berulang.

Semalamnya heboh dengan penangkapan Haji Mohamad Sabu, Pengerusi BERSIH. Apakan daya dalam negara jakun seperti ini, segalanya dihalalkan demi mencapai matlamat UMNO-BN. Saya turut mendengar info Cikgu Bard turut ditahan polis. YB Salahuddin sebut ada beberapa figur penting lain sedang diburu ketika itu.

Selepas 'nge-teh' dan roti canai di rumah YB Dr Lo' Lo', langkah kami laju ke bangunan SUK. Kesesakan luar biasa di Bandaraya Ipoh menceritakan segalanya. Polis seakan menjadikan sekitar bangunan SUK seakan zon perang. Tatkala kami sampai, berpuluh aktivis yang turut hadir sedang dan telah ditahan. Dahsyatnya tindakan polis apabila menahan sesiapa sahaja yang berkumpul selih dari 5 orang. Kesian saya melihat 'apek' cina yang sudah tua turut menjadi tahanan polis. kami tersangkut dan tersekat setakat itu sahaja. Menjelang tengahari apabila langkah kami terhalang setakat bandaraya Ipoh kami mengambil keputusan untuk pulang.

Terkejut apabila diupdate maklumat di dalam dewan apabila Speaker dihurung umpama penjenayah. Speaker digantikan dengan sedemikian rupa tanpa pertimbangan dan kewarasan sewajarnya. Siapa pula izinkan pihak polis berwenang mengotori memenuhi ruang dewan DUN dan mengangkat Speaker dan mengurungnya di sebuah bilik. Jelas UMNO sudah kemaruk kuasa, sidang ini wajib mereka adakan kerana sekiranya ditangguhkan juga takut-takut terbubar DUN dengan sendirinya.

Speaker baru pula dilantik dalam keadaan kelam kabut. Mengangkat sumpah sekelip mata dan sejurus kemudian dipakaikan jubah Speaker. Dalam keadaan Speaker masih ada di adakan seorang lagi Speaker. Perak kini menjadi sejarah paling pelik, memiliki dua speaker, dua setiausaha DUN, dua MB dan dua barisan Exco.

Dan sejarah tercatat lagi di Perak. Belum pernah Sultan terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk merasmikan sidang DUN terpaksa berbuat demikian hingga jam 3.30 petang. Jauh tersasar YM Raja Dr Nazrin dari jangkaan masa perasmiannya dari jam 10 pagi. Angkara siapa kesemua drama dan kekalutan ini berlaku kalau bukan kerana kebodohan UMNO-BN?

Hairan juga bagaimana pihak Bentara di taklimatkan supaya patuh hanya pada Speaker yang baru dilantik dan bukan Sepaker yang sedia ada. Speaker yang baru dilantik pula boleh keluarkan arahan ketika Speaker yang sah masih di kerusinya. Bagaimana Zamry dan Exconya yang telah diusir keluar dewan enggan patuh pada kuasa Speaker lalu mengusulkan supaya Speaker pula disingkirkan. Undang-undang Tubuh mana mereka pakai dan di bawah peruntukan mana dalam Perlembagaan mereka guna untuk justifikasikan tindakan mereka?

Saya nak cadangkan selepas ini apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuashati dengan Speaker, maka usulkan sajalah pemecatan beliau. Kalau Speaker menolak saya cadangkan MP Pakatan Rakyat beramai-ramai angkat Sepaker dan humban keluar. Kalau ini terjadi bagaimana warna demokrasi di Malaysia agaknya!

Perkara yang belum pernah berlaku hari ini telah berlaku. Berlaku di Perak, negeri yang banyak sejarahnya. Undang-undang, perlembagaan dan peraturan sudah dibakul sampahkan.

Maka dengan ini saya isytiharkan Perak adalah negeri zon bebas undang-undang. Saya cadangkan semua penduduk Perak, selepas ini jangan patuhi lagi undang-undang kerana Dewan Undangan Negeri tempat memutuskan undang-undang sekalipun sudah dikotori. Tidak perlu lagi pekatuhan kepada peraturan.

Di Perak tiada makna lagi perlaksanaan undang-undang. Andaikan selepas ini kenderaan anda berada di depan lampu trafik berwarna merah, jalan sajalah. Kalau polis menahan anda, langgar polis tersebut. Tidak perlu saudara bersusah payah membayar cukai kerana pembayar cukai hanya tertakluk di negeri yang menyanjung undang-undang. Kalau MB (yang haram) ini melawat kawasan anda, dan merasmikan sesuatu di kawasan anda, balingkan saja telur-telur busuk ke mukanya! Bila ditangkap katakan Perak adalah zon bebas undang-undang. Tidak percaya rujuk lah kembali pada Sidang DUN 7 Mei 2009 sebagai panduan.

Anda tidak perlu bersusah payah membaharui cukai jalan, abaikan saja. Sudah tentu polis tidak akan menahan anda di negeri bebas Undang-undang seperti Perak. Kalau anda bosan dengan majikan yang tidak henti-henti berleter dan bengkeng, angkat saja beramai-ramai bersama kakitangan lain, campakkan majikan anda keluar. Anda bebas, sebebas-bebasnya tanpa undang-undang. Perak adalah negeri pertama di dunia yang menjadi zon bebas undang-undang, dipraktikkan permulaannya di DUN Perak pada 7 Mei 2009.

Tuesday, May 5, 2009

KONSEP KEPIMPINAN ULAMA' YANG PERLU KITA FAHAMI

Saya tidak bercadang menulis dalam bentuk akademik - dengan penegasan fakta, sejarah dan figur tertentu. Saya hanya berminat berbincang dari aspek konsep yang sedang hari ini diperkatakan, Kepimpinan Ulama'. Mungkin saudara punya pandangan sendiri, dan silalah buat telahan mengikut
persepsi masing-masing.

Konsep Kepimpinan Ulama, seperti yang digagaskan pada tahun 1982, berkisar banyak kepada kepimpinan utama datangnya dari kalangan ulama'. Pada tahun itu, juga dengan meletusnya revolusi di Iran, membangkitkan semangat betapa Parti Islam seperti PAS ini perlu dipimpin oleh golongan ulama'. Supaya PAS dilihat berimej dan beridentitikan Islam. Maka bermulalah era kepimpinan Ulama', yang diterajui oleh Almarhum Tuan Haji Yusof Rawa sebagai yang DiPertuanya. Selepasnya, muncul pula tokoh utama Almarhum Dato' Haji Fadzil Noor. Tokoh ini tidak pernah dipertikaikan kerana karima dan ketokohan mereka memimpin ummah. Di bawahnya, kukuh teguh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Presiden. Era ini adalah era yang terbaik PAS pernah lahirkan tokoh kepimpinan. Muncul pula zaman tersebut Majlis Syura Ulama' yang diketuai oleh Mursyidul Am PAS. Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah dipertikaikan orang kehebatan dan ketokohannya. Maka sesuailah ia dengan zaman Kepimpinan Ulama'. Sehingga kini jawatan Mursyidul Am PAS tidak mampu tergugat oleh sesiapa selain Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saya menganggap konsep kepimpinan Ulama' akan terus kekal terpahat di hati sanubari setiap ahli sehingga sekarang, andainya ada dari kalangan kepimpinan tertinggi PAS yang hebat dan jitu ketokohan mereka. Sejak kematian Almarhum Dato' Haji Fadzil Noor, PAS tercari-cari siapakah sparring partner terbaik untuk diregukan dengan Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Ramai yang mahu melihat kepimpinan nombor dua adalah pelapis utama kepada Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Opsyen diberikan dengan menaikkan Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Tokoh Pemuda ini muncul di era Ustaz Dato' Fadzil Noor masih dihayatnya. Ustaz Nasharuddin Mat Isa diangkat menjadi Setiausaha Agung selama dua penggal. Sejak kematian Almarhum Dato' Fadzil Noor dengan tiba-tiba Ustaz Nasharuddin Mat Isa dilonjak menjadi Timbalan Presiden. Beliau disebut-sebut sebagai pengganti utama kepada Tuan Guru Dato' Seri Presiden PAS. Dengan kemampuannya berhujah dalam banyak bahasa - Inggeris, Arab, Urdu dan Melayu, ditambah dengan latar pendidikannya yang tinggi sehingga ke peringkat sarjana, beliau dianggap memiliki pakej sempurna. Tahun 2005, dengan perlantikannya sebagai Timbalan Presiden tidak pernah seorang ahli mempertikaikan konsep kepimpinan Ulama' dalam PAS. Mereka menganggap konsep kepimpinan Ulama' adalah ulama' mesti menjadi Presiden dan Timbalan Presiden. Itu persepsi yang tiada disangsikan oleh sesiapa sejak dahulu.

Dua tiga tahun kebelakangan ini, tiba-tiba muncul istilah lain yang diciptakan - Ulama vs profesional. Saya tidak berminat berbahas soal ini. Tetapi sudah mula menjalar persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan ulama? Adakah ulama' sahaja layak memimpin parti manakala selain yang berstatus ulama' tidak layak? bagaimana pula mereka yang memilik pelbagai status - ada ulama, ada profesional, dan lain-lain. Serta bagaimana dengan mereka yang tidak mewakili kedua-duanya - Ulama' tidak profesional pun tidak. Mereka adalah aktivis termasuk manusia kerdil seperti saya.

Ada juga yang mempersoalkan, apakah Majlis Syura ulama' tidak cukup kompeten untuk memimpin dan dianggap sebagai kepimpinan Ulama? Saya berpendapat, konsep kepimpinan ulama' adalah kolektif. Ulama' mesti memimpin dalam erti kata sebagai sebuah kumpulan, bukan individu. Dalam PAS ada dua institusi yang sangat penting sebagai pakar rujuk kepada PAS. Mereka adalah Majlis Syura Ulama' dan Dewan Ulama'. Kedua-dua institusi ini memiliki kredit yang sangat tinggi dalam menentukan hala tuju PAS.

Saya berpandangan, kedua-dua institusi ini wajar diperkasakan dan diangkat martabatnya setinggi boleh. Sebagai contoh di Iran (maaf jika digunakan Iran sebagai contoh, bukan kerana sentimen Syiah). Majlis Syura begitu agung dan tinggi sebagai kata pemutus. Pada Ikhwanul Muslimin, Mursyidul Am adalah pemimpin tertinggi dalam pertubuhannya. Kita di Malaysia, ada dua institusi yang menjalankan kerja parti, satu majlis Syura manakala satu lagi adalah jawatankuasa kerja PAS Pusat yang diketuai oleh Presiden.

Saya bersetuju jika Presiden dan Timbalan Presiden di kalangan ulama', tetapi mereka adalah dari kalangan yang benar-benar layak dan berkemampuan. Itupun tidak boleh dipaksakan ke atas kotak pemikiran ahli-ahli. Saya melihat ramai yang berandaian Presiden mahupun Timbalan Presiden dan Naib-Naibnya bukan semestinya ulama' kerana ada isu yang berbangkit. Ada suara-suara yang menyatakan kepimpinan seperti Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang dari kalangan ulama' belum mampu menunjang dan menyokong Presiden sekarang. Dalam erti kata yang sebenar, ramai melihat Presiden keseorangan berhadapan dengan musuh politik dalam dan luar. Ramai juga berpendapat, kepimpinan tidak berjaya membantu Presiden dalam menghuraikan agenda besar PAS yang hendak dibawa. Ramai mempersoalkan, apakah 'projek' ataupun agenda besar pengganti presiden selama dua penggal ini?

Saya percaya, ahli tidak mempertikaikan konsep kepimpinan Ulama'. Ulama' yang kolektif sifatnya sangat dihormati dan disanjung tinggi. Bahkan ahli masih meletakkan wala' nya kepada Presiden. Mereka cuma mahukan pasukan yang kuat buat membantu Presiden.

Pandangan peribadi saya, menyanjung tinggi konsep kepimpinan Ulama dalam PAS, PAS wajar melaksanakan kaedah 'syura' dalam menentukan kepimpinan tertingginya. Dalam konteks ini, Presiden dan Timbalan Presiden perlu disyurakan secara rahsia oleh Majlis Syura, Dewan Ulama' dan mungkin jawatankuasa kerja. Pencalonan dibuka seawal Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi calon-calong yang diangkat perlu dibincangkan terlebih dahulu. Hasilnya nanti adalah keputusan Majlis Syura untuk menentukan Presiden dan Timbalan Presiden. Ini mengharmonikan keadaan. Ahli sudah membuat keputusannya dengan mencalonkan sesiapa sahaja di peringkat Presiden dan Timbalan Presiden. Manakala Majlis Syura, Dewan Ulama' ataupun mungkin Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat sesama mereka menentukan siapa yang layak mengemudi bahtera PAS ini.

Dengan ini isu pergelutan dan perbalahan antara puak-puak yang dinamakan serta diciptakan tidak akan menjadi kenyataan. Juak-juak UMNO akan menganga mencari kesalahan PAS sedangkan PAS terlebih dahulu berbincang dengan penuh ukhwah mereka yang layak menjadi Presiden.

Saya menyokong kepimpinan Ulama secara kolektif seperti ini. Tetapi saya tidak menyokong kepimpinan Ulama' secara individu. Barangkali mereka yang tidak berstatus ulama' tetapi mempunyai fikrah yang jelas, patuh dan setia, karisma, kepimpinan dan ketokohan, disamping lama bergelumang dengan PAS, menyokong kepimpinan ulama' serta pandangan yang jauh lebih layak memimpin PAS sebagai Timbalan Presiden buat ketika ini. Dan mereka ini mungkin selama ini berada di bawahan, menjaga perbatasan sebagai aktivis yang ikhlas bekerja!

DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN BERMUKTAMAR DALAM SUASANA PENUH UKHWAH

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan selesai menjalani proses Muktamar ke 24 pada Sabtu dan Ahad (2 dan 3 Mei 2009). Inilah kali pertama dalams ejarah, Muktamar DPPWP dilangsungkan selama dua hari. Ustaz Nasrudin Hassan merasmikan Muktamar tersebut diiringi ucapan-ucapan oleh YB Dr Lo' Lo' Hj Ghazali serta Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, tuan Haji Mohamad Noor bin Mohamad.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pula melaksanakan ucaptamanya dengan penuh bersemangat dan berapi-api, walaupun terlupa tema! Dalam kesuntukan masa dan kesibukan komitmen beliau, akhirnya sempat juga beliau menyiapkan ucaptama tersebut. Tahniah kerana ucapan beliau menyentuh banyak hal, daripada persoalan dalaman tarbiyah, organisasi membawa kepada pertembungan fikrah hinggalah kepada isu antarabangsa termasuk perlantikan Barrack Obama selaku presiden Amerika Syarikat. Nampaknya radar pemuda Wilayah Persekutuan juga terjurus kepada persoalan dunia sejagat, bukan hanya terarah kepada kepompong politik Malaysia.

Saya melihat daripada banyak aspek, yang banyak ditekankan oleh KP Wilayah Persekutuan (Kamaruzaman Mohamad) adalah aspek sepak terajang politik. Betapa besar hasratnya nak jadikan Kuala Lumpur benar-benar sebagai universiti politik terbuka, serta bersungguh beliau nak lahirkan jaguh demonstrasi sepertinya. Mesej tersuratnya adalah sesiapa yang ingin menjadi pemimpin pemuda Wilayah, mesti juara dalam demonstrari jalanan. Lebih hebat kalau orang itu ditangkap, direman sehari dua dalam penjara. Kalau tidak jangan bermimpi nak jadi pimpinan pemuda!

Meremang juga saya apabila beliau bingkas mengajak pemuda fokus kerja kepada Kebajikan dan Kemasyarakatan, khususnya di parlimen Titiwangsa. Ya, Parlimen Titiwangsa adalah sasarannya dan kamilah pemuda kawasan Titiwangsa yang akan menjadi perantaranya. Tak menang tangan nanti kami nak melayan kerenah kerja yang pelbagai serta arahan bersilang fungsi.

Sekalung tahniah kepada pembahas yang mula menjinakkan diri dengan mikrofon. Aktivis PAS mesti membiasakan diri membasahkan lidah serta menghangatkan suasana dengan mikrofon s. Ini juga buat pertama kalinya, ada agenda perbahasan ucaptama dan semua kawasan berjaya melepasinya.

Akhir sekali tahniah diucapkan kepada Exco DPPWP yang terpilih sepenggal tahun 2009-2011. DPPWP meneruskan tradisi syura dengan lantikan Ketua, Timbalan dan Naib tanpa pertandingan. Kalianlah penyambung perjuangan Islam buat dua tahun berikutnya. Dua tahun mendatang menjanjikan cabaran yang pastinya sengit untuk dicaturkan. Musuh tidak akan berdiam diri dan Wilayah Persekutuan adalah salah satu medan utamanya!

Friday, May 1, 2009

ISU AGAMA ANAK : KABINET DAHULUI MAHKMAH DAN PERLEMBAGAAN!

Keputusan kabinet yang membenarkan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama sangat mengejutkan. Apa tidaknya, Dalam Perlembagaan pasal 12(4) perlembagaan persekutuan yang mengizinkan salah seorang ibubapa menentukan agama anak. Ibu atau ayah ada hak terhadap anak yang dibawah umur sama ada untuk membawa mereka ke dalam agama Islam atau lain-lain.

Tidak ada angin yang bertiup kencang, tiba-tiba kabinet membuat keputusan yang membelakangi rakyat. sepatutnya, kabinet berbincanglah dulu dengan pakar-pakar agama untuk dapatkan nasihat mereka. Di Malaysia, ada banyak institusi agama seperti JAKIM, pihak Mufti, Jabatan Fatwa, tokoh-tokoh ulama' yang sedia berbincang. Kenapa Kabinet sanggup mengenepikan kehendak rakyat, khususnya umat Islam yang menjadi majoriti penduduk di Malaysia. Apakah mereka terdesak sangat mahu mengambil hati dan sokongan golongan bukan Islam sehingga menggadaikan maruah umat Islam terbanyak.

Saya berpandangan jauh daripada itu, kabinet sebenarnya telah menghina Yang Di Pertuan Agung yang menjadi payung atau Ketua bagi Umat Islam di negara ini. Bahkan mereka juga telah menghina institusi Majlis Raja-Raja Melayu yang merupakan ketua bagi agama Islam di negeri-negeri. Sekarang jelas, siapakah yang menderhaka Raja, PAS atau UMNO?

Sejahat-jahat PAS seperti yang didakwa tidak pernah menggadaikan Islam. Setakat beri tanah kepada penduduk kaum cina yang memang mereka berhak ke atas tanah yang mereka terokai sejak lama. PAS masih berpegang teguh bahawa Islam adalah agama tertinggi dan matlamat tertingginya. PAS boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, dan rakan-rakan yang berkawan dengan PAS akan menerima tempias dakwah Islamnya. UMNO pulak, sejak berkawan bertahun-tahun dengan rakan komponen parti BN, tidak pernah bercakap soal hendak memperjuangkan Islam. Sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah agama Islam sendiri hanya semata-mata mahu gembirakan kaum parti kawannya.

Kabinet juga dilihat mendahului Perlembagaan dan mahkamah. Perlembagaan telah jelas dengan peruntukannya, begitu juga dengan kuasa mahkamah. Kenapa pula Kabinet hendak 'over rule' kuasa mahkamah dan Perlembagaan Malaysia. Nak tunjukkan bahawa mereka sangat berkuasa daripada mahkamah atau perlembagaan? Cukuplah kerajaan haram di Perak sedang porak peranda berperang dengan undang-undang dan kuasa rakyat. Jangan ditambah dengan kuasa kabinet yang melanggar sebebasnya sesiapa sahaja, termasuk Perlembagaan.

Isu anak diagama asalkan bukan isu kecil dan juga bukan isu politik. Tetapi isu ini dipolitikkan sedemikian rupa supaya UMNO mendapat kredit, bahawa mereka boleh mendapatkan sokongan bukan Islam hanya dengan menggadaikan Islam.

Tidak terbayangkah mereka bagaimana nantinya seorang yang menganut Islam, tidak berhak mengislamkan anak-anaknya. Seolah-olahnya ibu bapa tidak ada hak langsung kepada anak-anak yang dikandung dan dididik sejak lahir.

Saya yakin ramai yang celik agama akan bangkit menentang keputusan kabinet baru ini. Saya juga hairan wibawa Menteri baru di Jabatan Perdana Menteri yang senyap seribu bahasa, dan membenarkan tindakan kabinet ini. Dimana maruah Jamil Khir Baharom, seorang beka pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia yang tidak berani angkat muka membantah keputusan berat sebelah ini.

Bila keputusan ini dikekalkan, nantilah gelombang baru kebangkitan rakyat. Tatkala itu nanti, gelombak ini akan membawa gelodak rasa yang memuncak dan akan menenggelamkan sama sekali bahtera UMNO-BN. Biarkan mereka dengan keputusan ini, kerana nama BN selepas itu akan menjadi sejarah hitam buat demokrasi di Malaysia!