Sejak Najib menduduki kerusi Perdana Menteri, bahkan sebelum dari itu lagi rakyat tidak mengharapkan apa-apa dari keajaiban tangannya. Rakyat sudah lama mengagak sikap ganas dan terburu-burunya memimpin. Beliau akan memaksakan pemikiran dan tindakan beliau ke atas rakyat Malaysia.
Sehinggakan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat terpaksa menghantar memorandum membantah perlantikan Najib sebagai PM. Umum dapat melihat apakah yang bakal terjadi dengan pemerintahan beliau.
Najib sejak muda dikenali dengan sikap agresif dan suka menyerangnya. Ditambah dengan sikap beliau yang ketara iaitu suka berfoya-foya dan kaki skandalnya. Ramai teman-teman yang berbisik bagaimana kehidupan Najib sewaktu usia muda, dan kemana banyak masa dihabisinya. Itu semua sudah diketahui sehinggalah rakyat dikejutkan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu.
Sejak itu namanya buruk dan hina. Kemana-mana rakyat mengingati nama Altantuya yang menjadi korban antara nafsu dan kepentingan diri. Najib sendiri tidak ternafi dan sukar beliau membawa diri ke mana-mana. Sehingga media antarabangsa tidak putus-putus menyiarkan berita sensasi skandal tersebut.
Dalam kemelut itu, seawal usia pemerintahannya beliau mengambil sikap cuba berbaik dengan rakyat Malaysia. Tahanan ISA dibebaskan manakala larangan terhadap Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik. Ia suatu permulaan yang baik buat sesetengah rakyat, namun tidak semua yang termakan budi baik yang ditaburinya. Rakyat bangkit kembali bahkan mengamuk kembali dengan kemelut isu di Perak. Sudah habis segala bomoh undang-undang menafsir bagaimana rupa bentuk seharusnya Negeri Perak itu berada sekarang, tetapi masing-masing dengan jampi serampah sendiri. Semuanya ada tafsiran yang mengandungi pelbagai warna! Perak semakin kelam, dari berwarna keemasan berpudar ke gangsa dan hampir-hampir kelabu. Siapa punya angkara semua ini kalau bukan Najib?
Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri menuding jari kepada UMNO yang gopoh merampas Perak. Seakan Tun Dr Mahathir tidak percaya terhadap apa yang berlaku di Perak. Krisis ini berpanjangan dan nampak sukar mencari jalan penyelesaian. Sebenarnya jalan penyelesaian itu mudah, iaitu bubarkan saja DUN Perak dan biarkan mandat itu diberikan kepada rakyat. Tetapi pilihan inilah yang paling digeruni oleh UMNO dan sekutunya. Lalu jalan gelap dan berliku yang mereka pilih yang terus menggelapkan Perak dari dunia demokrasi.
Yang malang dan terjejas adalah DYMM Sultan Perak. Istana diseret hina sedemikian rupa. Rakyat sudah mula mencongak dan berkira-kira untuk menumpahkan taat setia kepada Istana. Puncanya tidak lain kerana sikap Najib yang terdesak mahu memulihkan namanya yang terus terjejas ekoran kekalahan demi kekalahan dalam PRK sebelumnya.
Akhirnya jadilah apa yang tidak ingin kita lihat. Sidang DUN pada 7 Mei 2009 tercatat dalam sejarah sebagai Sidang DUN paling buruk. Sepaker dihina seakan budak belasahan. Belum pernah terjadi Speaker yang sah diseret umpama mangsa gangster ke dalam bilik persalinan dengan menafikan haknya sebagai Speaker. Dan lagi beliau merupakan ADUN yang sah.
Inilah kali pertama dalam sejarah demokrasi, orang ramai yang berhimpun dan berkumpul seramai 5 orang di kawasan sekitar SUK ditangkap. Buat pertama kalinya sesiapa yang memakai baju hitam di Ipoh akan ditangkap pada hari tersebut. Inilah juga kali pertama sejarah merakamkan DUN tempat bersidang tidak lagi selamat. Sesiapa sahaja boleh menembusi dewan tersebut tanpa tag nama dan petugas keselamatan. Ahli-ahli ADUN dikasari seperti binatang. Sementara paduka Raja Dr Nazrin terpaksa melewati 5 jam menanti untuk membacakan titah ucapan baginda!
Bagi saya semua tindakan dan episod keganasan di Perak sebagai modal berharga buat kita semua pencinta keadilan. Inilah modal untuk dibawa dan dihidangkan kepada rakyat menjelang PRU ke 13 kelak. Kita akan rakamkan siapakah wajah Najib sebenarnya. Sejak berkuasa tidak sampai dua bulan sudah pelbagai rakaman sejarah hitam demokrasi dilakarkan. Kuku besi beliau yang sebenarnya belum lagi dikeluarkan sehabisnya. Yang berlaku di Perak hanya kilauan daripada sisa kuku besinya yang sebenar. Bagaimana rupa bentuk kukunya yang sebenar, nantikan dua tiga tahun akan datang.
Buat masa ini mungkin rakyat di Perak mampu bercerita dan berkongsi segalanya bagaimana mereka dimangsakan sedemikian. Dan rakyat Perak perlu bercerita pengalaman mereka ber MB kan dua orang, Setiausaha DUN dua orang serta Speaker dua orang...
No comments:
Post a Comment