Tuesday, May 5, 2009

KONSEP KEPIMPINAN ULAMA' YANG PERLU KITA FAHAMI

Saya tidak bercadang menulis dalam bentuk akademik - dengan penegasan fakta, sejarah dan figur tertentu. Saya hanya berminat berbincang dari aspek konsep yang sedang hari ini diperkatakan, Kepimpinan Ulama'. Mungkin saudara punya pandangan sendiri, dan silalah buat telahan mengikut
persepsi masing-masing.

Konsep Kepimpinan Ulama, seperti yang digagaskan pada tahun 1982, berkisar banyak kepada kepimpinan utama datangnya dari kalangan ulama'. Pada tahun itu, juga dengan meletusnya revolusi di Iran, membangkitkan semangat betapa Parti Islam seperti PAS ini perlu dipimpin oleh golongan ulama'. Supaya PAS dilihat berimej dan beridentitikan Islam. Maka bermulalah era kepimpinan Ulama', yang diterajui oleh Almarhum Tuan Haji Yusof Rawa sebagai yang DiPertuanya. Selepasnya, muncul pula tokoh utama Almarhum Dato' Haji Fadzil Noor. Tokoh ini tidak pernah dipertikaikan kerana karima dan ketokohan mereka memimpin ummah. Di bawahnya, kukuh teguh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Presiden. Era ini adalah era yang terbaik PAS pernah lahirkan tokoh kepimpinan. Muncul pula zaman tersebut Majlis Syura Ulama' yang diketuai oleh Mursyidul Am PAS. Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah dipertikaikan orang kehebatan dan ketokohannya. Maka sesuailah ia dengan zaman Kepimpinan Ulama'. Sehingga kini jawatan Mursyidul Am PAS tidak mampu tergugat oleh sesiapa selain Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saya menganggap konsep kepimpinan Ulama' akan terus kekal terpahat di hati sanubari setiap ahli sehingga sekarang, andainya ada dari kalangan kepimpinan tertinggi PAS yang hebat dan jitu ketokohan mereka. Sejak kematian Almarhum Dato' Haji Fadzil Noor, PAS tercari-cari siapakah sparring partner terbaik untuk diregukan dengan Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Ramai yang mahu melihat kepimpinan nombor dua adalah pelapis utama kepada Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Opsyen diberikan dengan menaikkan Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Tokoh Pemuda ini muncul di era Ustaz Dato' Fadzil Noor masih dihayatnya. Ustaz Nasharuddin Mat Isa diangkat menjadi Setiausaha Agung selama dua penggal. Sejak kematian Almarhum Dato' Fadzil Noor dengan tiba-tiba Ustaz Nasharuddin Mat Isa dilonjak menjadi Timbalan Presiden. Beliau disebut-sebut sebagai pengganti utama kepada Tuan Guru Dato' Seri Presiden PAS. Dengan kemampuannya berhujah dalam banyak bahasa - Inggeris, Arab, Urdu dan Melayu, ditambah dengan latar pendidikannya yang tinggi sehingga ke peringkat sarjana, beliau dianggap memiliki pakej sempurna. Tahun 2005, dengan perlantikannya sebagai Timbalan Presiden tidak pernah seorang ahli mempertikaikan konsep kepimpinan Ulama' dalam PAS. Mereka menganggap konsep kepimpinan Ulama' adalah ulama' mesti menjadi Presiden dan Timbalan Presiden. Itu persepsi yang tiada disangsikan oleh sesiapa sejak dahulu.

Dua tiga tahun kebelakangan ini, tiba-tiba muncul istilah lain yang diciptakan - Ulama vs profesional. Saya tidak berminat berbahas soal ini. Tetapi sudah mula menjalar persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan ulama? Adakah ulama' sahaja layak memimpin parti manakala selain yang berstatus ulama' tidak layak? bagaimana pula mereka yang memilik pelbagai status - ada ulama, ada profesional, dan lain-lain. Serta bagaimana dengan mereka yang tidak mewakili kedua-duanya - Ulama' tidak profesional pun tidak. Mereka adalah aktivis termasuk manusia kerdil seperti saya.

Ada juga yang mempersoalkan, apakah Majlis Syura ulama' tidak cukup kompeten untuk memimpin dan dianggap sebagai kepimpinan Ulama? Saya berpendapat, konsep kepimpinan ulama' adalah kolektif. Ulama' mesti memimpin dalam erti kata sebagai sebuah kumpulan, bukan individu. Dalam PAS ada dua institusi yang sangat penting sebagai pakar rujuk kepada PAS. Mereka adalah Majlis Syura Ulama' dan Dewan Ulama'. Kedua-dua institusi ini memiliki kredit yang sangat tinggi dalam menentukan hala tuju PAS.

Saya berpandangan, kedua-dua institusi ini wajar diperkasakan dan diangkat martabatnya setinggi boleh. Sebagai contoh di Iran (maaf jika digunakan Iran sebagai contoh, bukan kerana sentimen Syiah). Majlis Syura begitu agung dan tinggi sebagai kata pemutus. Pada Ikhwanul Muslimin, Mursyidul Am adalah pemimpin tertinggi dalam pertubuhannya. Kita di Malaysia, ada dua institusi yang menjalankan kerja parti, satu majlis Syura manakala satu lagi adalah jawatankuasa kerja PAS Pusat yang diketuai oleh Presiden.

Saya bersetuju jika Presiden dan Timbalan Presiden di kalangan ulama', tetapi mereka adalah dari kalangan yang benar-benar layak dan berkemampuan. Itupun tidak boleh dipaksakan ke atas kotak pemikiran ahli-ahli. Saya melihat ramai yang berandaian Presiden mahupun Timbalan Presiden dan Naib-Naibnya bukan semestinya ulama' kerana ada isu yang berbangkit. Ada suara-suara yang menyatakan kepimpinan seperti Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang dari kalangan ulama' belum mampu menunjang dan menyokong Presiden sekarang. Dalam erti kata yang sebenar, ramai melihat Presiden keseorangan berhadapan dengan musuh politik dalam dan luar. Ramai juga berpendapat, kepimpinan tidak berjaya membantu Presiden dalam menghuraikan agenda besar PAS yang hendak dibawa. Ramai mempersoalkan, apakah 'projek' ataupun agenda besar pengganti presiden selama dua penggal ini?

Saya percaya, ahli tidak mempertikaikan konsep kepimpinan Ulama'. Ulama' yang kolektif sifatnya sangat dihormati dan disanjung tinggi. Bahkan ahli masih meletakkan wala' nya kepada Presiden. Mereka cuma mahukan pasukan yang kuat buat membantu Presiden.

Pandangan peribadi saya, menyanjung tinggi konsep kepimpinan Ulama dalam PAS, PAS wajar melaksanakan kaedah 'syura' dalam menentukan kepimpinan tertingginya. Dalam konteks ini, Presiden dan Timbalan Presiden perlu disyurakan secara rahsia oleh Majlis Syura, Dewan Ulama' dan mungkin jawatankuasa kerja. Pencalonan dibuka seawal Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi calon-calong yang diangkat perlu dibincangkan terlebih dahulu. Hasilnya nanti adalah keputusan Majlis Syura untuk menentukan Presiden dan Timbalan Presiden. Ini mengharmonikan keadaan. Ahli sudah membuat keputusannya dengan mencalonkan sesiapa sahaja di peringkat Presiden dan Timbalan Presiden. Manakala Majlis Syura, Dewan Ulama' ataupun mungkin Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat sesama mereka menentukan siapa yang layak mengemudi bahtera PAS ini.

Dengan ini isu pergelutan dan perbalahan antara puak-puak yang dinamakan serta diciptakan tidak akan menjadi kenyataan. Juak-juak UMNO akan menganga mencari kesalahan PAS sedangkan PAS terlebih dahulu berbincang dengan penuh ukhwah mereka yang layak menjadi Presiden.

Saya menyokong kepimpinan Ulama secara kolektif seperti ini. Tetapi saya tidak menyokong kepimpinan Ulama' secara individu. Barangkali mereka yang tidak berstatus ulama' tetapi mempunyai fikrah yang jelas, patuh dan setia, karisma, kepimpinan dan ketokohan, disamping lama bergelumang dengan PAS, menyokong kepimpinan ulama' serta pandangan yang jauh lebih layak memimpin PAS sebagai Timbalan Presiden buat ketika ini. Dan mereka ini mungkin selama ini berada di bawahan, menjaga perbatasan sebagai aktivis yang ikhlas bekerja!

No comments: