Wednesday, May 20, 2009

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT : SEMOGA BERLANGSUNG DENGAN AMAN!

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat dijangka berlangsung pada 3-4 Jun 2009 bertempat di markaz yang bersejarah iaitu Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Perkara yang dinanti dan ditunggu oleh semua- baik perwakilan, pemerhati, Kelab Penyokong, penyokong, sehingga kepada rakyat Malaysia dan diplomat adalah kepada agenda pemilihan tahun ini.

Semua mata tertumpu kepada sayap PAS yang begitu dinamik dan agresif selama ini. Pemuda PAS sejak dulu dikenali sebagai pencetus atau pelopor. Era kebangkitan kepimpinan ulama' adalah hasil cetusan pandangan pemuda. Ketokohan kepimpinan yang hari ini mewarnai kepimpinan PAS Pusat adalah hasil kerja tangan-tangan pemuda. Keulungan aktivisme adalah hasil kekuatan kepimpinan pemuda PAS. Dunia hari ini mengenali YB Dato' Haji Mahfuz Omar sebagai aktivis parti yang lahir dari sistem kaderisasi pemuda PAS. Sebegitu sinonim kerja merakyat PAS dengan masyarakat dengan kehebatan tokoh rakyat marhein seumpama Haji Muhamad Sabu, Ustaz Dato' Abu Bakar Chik, Mazlan Aliman, dan kini YB Salahuddin Ayub.

Pemuda PAS turut melahirkan tokoh tarbiyah sepenting Ustaz Idris Haji Ahmad dan Ustaz Nik Mohd Abduh. Jiwa kerohanian mereka mampu memberikan roh perjuangan kepada diri setiap ahli. Individu inilah yang mengisi setiap ruang program dengan pengisian yang bermakna serta nasihat yang mampu menyuburkan iman setiap pejuang.

Bahkan jika disebutkan, amat janggal kalau dibilang permata atau mutiara yang bergemerlapan hari ini tanpa mereka pernah dikaitkan dengan pemuda. YB Abdul Wahid Endut adalah bekas pimpinan pemuda, YB Dato' Husam Musa adalah bekas pimpinan pemuda, YB Ust Mohd Amar Nik Abdullah, Dato' Takiyuddin Hassan, dan lain-lain lagi. Gerombolan pemuda menghiasi hampir setiap pentas organisasi bernama PAS disetiap peringkat.

Muktamar kali ini mengundang seribu pertanyaan. Ke mana arah tuju perjuangan PAS bakal ditentukan oleh siapa yang bakal mengemudi pemuda. Ramai mula mencongak apakah wajah baru pemuda PAS yang diisyaratkan sebagai pemimpin rakyat Malaysia dalam masa terdekat. Ramai juga mula membayangkan siapakah yang bakal bersaing dengan Khairy Jamaluddin sebagai seteru utama sayap kanan parti politik terbesar di negara ini.

Atas kertas, dua nama disahkan akan bertanding sebagai Ketua Pemuda. YB Mohd Zaki Ibrahim akan bersaing dengan Ustaz Nasrudin Hassan. Ustaz Nasrudin adalah Timbalan Ketua di sesi 2007-2009 manakala YB Mohd Zaki Ibrahim sebagai Bendahari.

Kedua-duanya adalah nama besar dalam pemuda dan kedua-duanya telah menempuh segala macam ranjau perjuangannya. YB Mohd Zaki terkenal dengan kelantangannya berpidato. Kekuatannya pada kepetahannya. Kepimpinannya di Kelantan sebagai Ketua Pemuda Negeri tersebut menjawab segala-galanya. Tiada apa yang perlu dipertikaikan kewibawaan dan kehebatannya. Keutuhannya selama dua penggal menjadi ADUN mengangkatkan beliau sebagai Timbalan Speaker. Tuan Guru telah memberikan lampu hijau buatnya pergi lebih jauh. Layaklah beliau bersemuka dengan Khairy Jamaluddin, budak nakal genius dari UMNO.

Sementara Ustaz Nasrudin Hassan memiliki pakej lengkap kepimpinan. Lenggok gaya pidatonya sangat memukau dan menyihir. Baik-baik kata indah yang disusun mengingatkan saya kepada gaya ucapan Syeikh Imam Hassan Al Banna. Tidak syak lagi, Ust Din adalah stok kepimpinan masa depan. Berikan ruang untuknya berpencak dalam pemuda, saya yakin dalam beberapa tahun mendatang pengganti Tok Guru (Dato' seri Abdul Hadi Awang) sudah ditemui. Ust Din Tantawi juga hebat dalam penulisannya. Bunga dan tari gaya penulisannya mengasyikkan. Secara peribadi saya mengagumi gaya penulisan beliau. Beliau kaya dengan istilah dan perkataan.

Secara terus terang untuk saya memihak kepada mana-mana amatlah tidak wajar. Kedua-duanya saya kagumi. Kedua-duanya mampu dan layak di kerusi tersebut. Tahniah kepada perwakilan negeri-negeri yang melihat kilauan bintang dari saf pemuda. Saya menganggap sesiapa sahaja yang menang adalah yang terbaik yang dipilih oleh Allah swt melalui tangan-tangan perwakilan.

Sementara kerusi Timbalan dan Naib kesemuanya memilik kelebihan tersendiri. Ahmad Sabki Yusof adalah arkitek pemuda. Kehebatannya pada pengurusannya. Belum pernah PAS melahirkan pengurus yang begitu strategis sebaik Sabki. Ust Nik Mohd Abduh memilik aura tersendiri. Beliau mampu memberikan buah pemikiran tersendiri yang mengungkap identiti dirinya. Ust Musaddak Ahmad adalah contoh aktivis yang lahir dari bawah. Kerja keras dan usaha bersungguhnya memungkinkah Kedah ke tahap yang sangat dikagumi. Ustaz Azman Shapawi adalah Tuan Guru Abdul Hadi Awang in-the-making. Beliau di barisan depan senarai kepimpinan masa depan. Karisma beliau terserlah terutama ketika berhadapan dengan PRK Kuala Terengganu.

Suhaizan Kaiat anak muda dari Johor yang mempunyai iltizam tersendiri. Amukannya memunginkinkan ribuan anak muda turun ke jalan raya dalam demo PPSMI baru-baru ini. Memang beliau seorang perancang yang licik. YB Ust Mohd Firdaus Jaafar yang saya kenali adalah seorang yang sangat menyantuni rakyat. Beliau punya wawasan tersendiri yang hanya mampu ditafsirkan bagi yang mengenalinya. DACS pimpinannya mampu terbang tinggi. Irihati rakan seangkatannya memikirkan bagaimana gerak langkah sejauh itu beliau mampu pergi. Beliau memang seorang ahli politik yang bijak.

Saya hanya inginkan Muktamar yang berlangsung dengan penuh ukhwah dan harmoni. Biarpun kepimpinan berentap sesama sendiri, tetapi semuanya didasarkan atas ketaqwaan dan keinginan untuk berjuangan di barisan depan. Saya yakin semua mereka berniat untuk berjuang demi Islam . Semoga Muktamar ini berlangsung dengan baik, dan kita jadikan penanda aras bahawa PAS bukan berjuang kerana nafsu dan perut semata-mata, lebih dari itu adalah kerana ingin mendaulatkan Islam di muka bumi...

No comments: