Sunday, May 24, 2009

FATIMAH TAHA WANITA CEKAL DISEBALIK KETOKOHAN SUAMI

Posting ini saya rakamkan kekaguman khas buat seorang srikandi perjuangan Islam PAS. Beliaulah wanita yang saya maksudkan, Fatimah Taha. Seperti yang dilaporkan Siasah dua keluaran lepas, mungkin ramai yang terlepas pandang atau tidak ambil pusing terhadap kisah individu berkenaan. Yelah, mungkin ceritanya bukan sekitar politik sensasi negara dan mungkin bukan dari seorang tokoh kenalan ramai!

Saya kagum dan terharu memebaca pengorbanan beliau di sebalik kejayaan suaminya. Suaminya gah membina nama di persada negara sebagai seorang negawaran, tetapi di sebalik itu ada insan lain sebagai penyokong kekuatan perjuangan suaminya. Itulah isteri YB Haji Salahuddin Ayub. Sehingga ke hari ini apabila membaca artikel tersebut pasti saya menitiskan air mata kerana di celahan umat akhir zaman ini, masih ada insan yang berjiwa kental menghadapi saat kesulitan hidup.

Beliau menceritakan saat menghadapi jerih payah perjuangan ketika awal muda mereka berdua membesarkan anak-anak. Sehingga suatu ketika kedua-dua pasangan ini dengan anak seramai tiga orang, berpindah ke sebuah bilik di tengah kebun. Tanpa eletrik dan air, wanita ini yang sering ditinggalkan suami yang menyambut panggilan jihad di medan, tabah menghadapi liku-liku hidupnya. Sehinggakan saatnya terpaksa berjalan sejauh satu kilometer meredah semak dan belukar ke luar semata-mata untuk mendapatkan keperluan asas keluarga mereka. Saat ketikanya diuji Allah terpaksa membawa tiga orang anaknya ke luar dari rumah dalam hujan lebat dan ribut petir menimpa bagi mencari kebutuhan hidup.

Dalam keadaan susah begitu, beliau redha dengan perjuangan suaminya. YB Salahuddin Ayub meletak jawatan dalam kerjayanya bagi menumpukan perjuangan sepenuh masa, ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda PAS kawasan Pontian. Saya sendiri tidak dapat hendak membayangkan bagaimana kesusahan yang dialami beliau membesarkan anak-anak dalam keadaan kemelut dan krisis kewangan masih membelenggu hidup. (YB Salahuddin kini mempunyai enam orang anak). Tanpa kerjaya, isteri pula suri rumah sepenuh masa mereka mampu hidup dalam kerukunan rumahtangga tanpa goyah.

Bagi menampung keperluan asas rumahtangganya, beliau sendiri mengambil upah menjahit pakaian. Rezeki itu adakalanya datang adakalanya tidak. Kesusahan mereka ditanggung bertahun lamanya. Ini mengingatkan saya perjuangan Islam generasi terdahulu sejak zaman Nabi Muhammad saw sehingga para sahabat yang hidup susah. Rupa-rupanya masih ada generasi hari ini yang menurut langkah yang sama.

Beliau menambah, hanya selepas tahun 2004 baru mereka mampu memiliki rumah sendiri, kereta sendiri dan perabot rumah! Itupun hanya setelah YB Salahuddin Ayub menjadi Ahli Parlimen mereka memilik kesemua kemudahan itu. (Setelah berbelas tahun mendambakan diri pada perjuangan).

Teladan paling bernilai yang dapat saya kutip dari pengalaman hidup Fatimah Taha ini adalah:-

1. Kecekalan menghadapi kesulitan hidup. Ramai wanita bersuamikan pejuang Islam tidak sanggup menghadapi kesukaran hidup bersama lalu mengambil jalan lain untuk selamatkan diri.

2. Beliau tidak pernah merasa sangsi dengan perjuangan suaminya bahkan meyakini apa yang dilakukan merupakan perjuangan tertinggi dalam Islam.

3. Beliau tidak pernah merungut dan meminta apa-apa selain keredhaan suami. Sepanjang liku-liku hidup ini beliau tidak pernah meminta sesuatu yang tidak mampu ditunaikan suaminya.

4. Guru dan pendidik anak-anak yang sabar. Beliau tahu masa suaminya sangat terhad, justeru mengambil peranan selaku pendidik utama anak-anaknya. Anak-anaknya kini berjaya di menara gading.

Itulah Fatimah Taha. Wanita cekal gigih yang layak dinobatkan tokoh dan serikandi perjuangan Islam. Yang sebenarnya beliaulah wira disebalik ketokohan suaminya. Saya yakin di dalam saf perjuangan Islam bernama PAS ini, masih ramai kalangan pemimpin yang ikhlas dan teguh dalam perjuangan tanpa mengharapkan apa-apa habuan meskipun hidup mereka serba kesusahan...

YB haji Salahuddin Ayub wajar mendapat tempat setinggi mana beliau pergi kerana mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangannya melayakkan beliau diangkat sebagai pemimpin yang telah diuji. Syabas YB Salahuddin dan Fatimah Taha.

Buat wanita yang bergelar isteri kepada pejuang-pejuang Islam, ambillah pengkisahan pengalaman ini sebagai teladan. Insyaallah, suami dan perjuangannya akan berjaya kalau ada seribu orang wanita seumpama tkoh yang saya bicarakan ini.

No comments: