Saturday, June 6, 2009

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT TELAH MELABUHKAN TIRAINYA

Selesai sudah Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 50 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Buat julung-julung kalinya Muktamar ini berlangsung di luar kawasan utama berlangsungnya Muktamar PAS Pusat. Juga buat pertama kalinya Muktamar Pemuda ini tamat lewat hingga dinihari.

Menepati jangkaan saya, Muktamar pemuda berlangsung dengan penuh ukhwah dan sentosa. Muktamar ini jauh bezanya dengan pemilihan dalam UMNO yang serba kelam kabutnya. Keputusan pemilihan bagi pemimpin tertingginya sudah diketahui lebih awal memandangkan tiada calon lain menampilkan diri untuk mempertaruhkan dalam pertandingan. Tahniah Ust Nasrudin Hassan, Ustaz Azman Shapawi dan Ahmad Sabki Yusof yang menang sebagai Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Pemuda.

Mungkin perbahasan yang agak panjang. Muktamar pemuda, seperti biasanya menampilkan pemidato yang mengagumkan. Negeri Sembilan dengan Ust Khairil Anuar Mohd Wafa yang dengan bersahaja melagukan loghat Minangkabaunya. Melaka, Ust Kamaruddin Sidek memukau hadirin dengan kepetahan berhujahnya. Terengganu, Ust Ridzuan Hashim dengan gaya ketokohan Tuan Guru Haji Hadi Awang memukau hadirin. Namun yang paling menggerunkan saya ialah ucapan tokoh dari dua negeri iaitu Kedah dan Selangor.

Mungkin sengaja penganjur memilih dua negeri sebagai pelabuh tirai ucapan perbahasan ucaptama Ketua Pemuda. Kedah membawa ayam sabungnya YB Ust Mohd Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap. Beliau salah seorang MP PAS paling muda. dengan gaya spontan dan bersahaja, bertenaga dan selamba mengkritik sesiapa sahaja termasuk pemimpin pemuda PAS di atas pentas. Inilah hebatnya PAS kerana pemimpinnya biasa dikritik di dalam majlis utama sebesar Muktamar di hadapan hadirin tanpa selindung!

Perbahasan perwakilan Selangor paling menggamit perhatian. Ustaz Zulkifli Ahmad adalah 'outspoken' dan pemidato hebat. Dengan pantun dan istilah Tamil, Cina serta menyanyikan lagu PAS, ternyata perbahasan Ust Zul berjaya menghiburkan perwakilan. Sehingga perwakilan menjerit-jerit mohon Pengerusi Tetap menambah masa untuk beliau! Ust Zul membawa isu lama yang diolah kembali, perlunya PAS kembali kepada landasan perjuangan. Betapa perlunya calon pimpinan menilai diri kembali - jangan terhegeh-hegeh membuat sidang media menjelang pemilihan. Jangan meniru gaya UMNO yang tidak tahu malu berkempen ke mana-mana. Ust Zul juga mengkritik Harakah yang turut berkempen untuk beberapa orang calon. Dengan nas daripada Hadis dan Al Qur'an, Ust Zul sememangnya pemidato hebat! Gaya rasmi pemidato ini mengetuk rostrum sudah menjadi kebiasaan dan setiap kali beliau berteriak dan mengangkat suara, tidak kering laungan takbir diucapkan perwakilan.

Di akhir penangguhan, suasana bening seketika dengan ucapan mantan Ketua Pemuda, YB Salahuddin Ayub. Saya sebak mendengar kesusahan dan penderitaan beliau sepanjang jalan perjuangannnya dalam Pemuda PAS. Ya, sudah 30 tahun bergelumang selaku Pemuda PAS. memang darah dan dagingnya sudah sebati dalam Dewan Pemuda. dan seperti posting saya sebelum ini, YB Salahuddin adalah contoh insan berjiwa kental yang tidak pernah menyerah kalah dengan kemiskinan yang dihadapinya. Bermula dengan kesusahan hidup yang menghimpit, beliau optimis kemiskinan bukanlah alasannya untuk lari dari medan perjuangan dan pasti ada jalan keluar dari kelemut hidup yang dihadapi. Pesan beliau yang saya ingat, jangan bermusuh dengan media, biarkan media bebas mengkritik diri kita, akhirnya nanti media akan bersahabat juga dengan kita. Beliau menitipkan kata semangat supaya pemuda sentiasa menambah ilmu pengetahuan.

Maka di akhir kalam, Ust Nasrudin Hassan selaku pengemudi baru pemuda menggagaskan beberapa visi dan misi beliau bagi meneruskan legasi ketua pemuda. Ust Nasrudin kaya dengan bahasa yang indah dan muluk sebagai penghias hati. Sesungguhnya memang layaklah beliau dinobat selaku Ketua Pemuda PAS sesi 2009-2011 yang baru. Semoga Pemuda PAS kekal imejnya sebagai perubah PAS, rakyat dan masyarakat Malaysia. Saya mendoakan bahtera pemuda semakin mantap dan akan terus gah 'mempersada perjuangan' ini.

No comments: