Thursday, June 11, 2009

SAF KEPEMIMPINAN BARU PAS LEBIH MANTAP DAN BERTENAGA!

Sebentar tadi Presiden PAS telah mengumumkan saf kepemimpinan PAS bagi sesi 2009-2011. Ramai wartawan ternanti-nanti pengumuman penting Presiden sejak jam 9.00 pagi lagi. Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hanya dimulai jam 10 pagi manakala sidang media pada jam 1.00 tengahari.

Syabas dan tahniah kepada saf baru PAS. Muka lama dan baru diserasikan bagi memperkasakan PAS di persada negara. Dato' Mustafa Ali diangkat sebagai Setiausaha Agung PAS. Bertepatan dengan kehendak Presiden supaya Setiausaha Agungnya adalah pendokong kuat aspirasi dan wawasan beliau. Juga sebagai perisai utama bagi mendepani cabaran politik baru PAS. Ternyata Dato' Mustafa Ali kaya dengan pengalaman dan pengetahuan politik.

Saya menganggap perlantikan Dato' Mustafa Ali adalah persediaan PAS menjadi 'kerajaan menanti'nya. Dato' Mustafa Ali sejak dulu adalah arkitek PAS yang telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber. Saya juga melihat perlantikan beliau tidaklah bermatlamatkan untuk mengetengahkan pemimpin pelapis PAS. Ia bersifat semasa dalam menghadapi kemelut politik semasa.

Ust Idris Ahmad mungkin dianggap pemimpin pelapis pemuda yang serba boleh. Dengan kemampuan ceramahnya yang memukau, gerak kerjanya yang 'laju', serta karisma penampilannya, boleh dikatakan Ust Idris adalah pemimpin masa depan PAS. Memang layaklah beliau menduduki kerusi Ketua Penerangan PAS. Dan ia tanda kemampuan PAS mengorak langkah lebih jauh daripada sekarang.

Manakala Dr Hatta Ramli dikekalkan untuk meneruskan kesinambungan projek Kompleks PAS yang sedang dalam perancangan. Juga untuk meneruskan tugasnya menjaga bangunan PAS yang tersergam indah di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Perlantikan Dato' Halim Abdul Rahman sebagai Pengarah Pilihanraya PAS menguatkan lagi barisan kepimpinan PAS. Pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang politik dan pilihanraya tidak dapat disangkal lagi. Tiada tokoh sehandal Dato' Halim dalam meneruskan engagement dan jalinan licik politik luasnya.

Manakala kedua-dua tokoh ikon PAS, Haji Mohamad Sabu dan Dato' Husam Musa yang dilantik semula sangat bertepatan pada masanya. PAS kini diibarat pasukan Barcelona yang memenangi Piala Eropah, atau Mancehster United yang saban tahun memenangi Juara Liga Inggeris, pastinya ia dicemburui kawan dan lawan.

Sekalung tahniah kepada saf kepemimpinan PAS. Semoga ini sebagai permulaannya bagi menamatkan riwayat UMNO dan meneruskan langkah ke Putrajaya!

No comments: