Saturday, June 6, 2009

PEMILIHAN MUKTAMAR AGUNG PAS KE 55: PERWAKILAN TELAH BERSUARA

Sekalung takziah dan tahniah kepada pimpinan PAS Pusat yang telah menjalani proses pemilihan dalam Muktamar Agungnya ke 55 kelmarin. Tahniah kepada mereka yang kalah, kerana telah terlepas dari beban tanggungjawab yang berat di hadapan Allah swt kelak. Takziah kepada kepimpinan baru yang bakal menggalas tugas dan bebanan yang sangat berat dan bakal menjawab di hadapan Allah swt.

Dalam banyak jawatan, sudah tentu Timbalan Presiden menjadi lensa fokus kamera semua pihak. Maklumlah, Timbalan Presiden adalah nombor dua dalam hierarki parti dan seterusnya menentukan pemimpin yang bakal mencorakkan masa depan parti. Inilah 'post' yang dianggap pelapis kepada kepemimpinan YB Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden selepas ini.

Dalam persaingan ini, muncul sekali lagi YB Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai pemenang. Sudah tiga kali percubaan menentang Ustaz Nasha dilakukan dan dalam ketiga-tiga percubaan ini, ramai tokoh besar tumbang. Memang rezeki untuk Ustaz Nasha berada di posisi itu selama tiga penggal. Mengimbas kembali antara pesaing Ustaz Nasha di penggal pertama adalah Ustaz Hassan Shukri. Hasilnya menang Ustaz Nasha dan terpelanting Ustaz Hassan Shukri. Penggal kedua, muncul pula tanpa diduga Ustaz Dato' Haron Taib - Ketua Dewan Ulama' menawarkan diri bertanding. Tidak pernah dalam sejarah Ustaz Haron Taib beria-ia mahu bertanding tetapi pada tahun 2007 beliau beradu dengan Ustaz Nasha. Kehebatan dan ketokohan ulama' ini gagal untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden. Kali ini tahun 2009, dua orang tokoh bersifat nasional juga mencuba nasib dan kedua-duanya tumbang di tangan Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Bukan calang-calang Haji Mohd Sabu dan Dato' Husam Musa. Apa yang tidak kena pada kedua-dua tokoh ini pun tidak diketahui, hanya perwakilan mengenali mereka.

Percubaan kali ketiga ini merupakan satu tamparan buat Ustaz Nasha. Ramai perwakilan bahkan pembahas mahukan seorang Timbalan Presiden yang mampu mendokong kepepimpinan Presiden PAS. Mungkin ramai yang beranggapan, selama ini kepemimpinan Ustaz Nasha masih belum terserlah sepenuhnya dan mereka mahu seorang tokoh yang apabila disebut boleh menggantikan Presiden maka orang akan cepat menyerasikan tokoh tersebut. Keserasian ini nampaknya belum ada pada Ustaz Nasha. Tempoh sepenggal lagi diharapkan Ustaz Nasha mampu mengilap imej dan keupayaan setanding tokoh negarawan dalam PAS yang lain.

Untuk Naib-naib Presiden, bagi saya perwakilan memilih tokoh yang betul. Kesemua mereka - sama ada yang dipilih ataupun tidak, layak menjadi pemimpin. Ketokohan mereka bertaraf negarawan. Namun perwakilan lebih melihat dua orang bekas Ketua Pemuda iaitu YB Haji Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar memenangi kerusi tersebut. Seorang lagi, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man adalah tokoh sangat popular. Diharapkan ketiga-tiga mereka dapat membantu bukan setakat menaikkan nama PAS ke persada negara sebagai pengganti UMNO yang kian usang, bahkan juga mampu menaikkan nama Presiden dan Timbalan Presiden.

Saya mengharapkan Naib-Naib Presiden nanti mampu merakyatkan diri bersama masyarakat dan rakyat marhein. Sesungguhnya rakyat juga ahli-ahli PAS tidak sekadar inginkan kepopularan pemimpin yang kerap keluar masuk TV dan akhbar, tidak hanya bercakap dalam apa juga isu nasional, berdebat dan berhujah, tetapi yang lebih mengharukan apabila pemimpin tertingginya mampu duduk bersama rakyat jelata, hadir apabila diperlukan, makan makanan rakyat, tidur bersama rakyat, tidak malu dan canggung menegur sapa dan beramah mesra dengan pembantu-pembantu, staf dan kakitangan, juga rakyat, tidak memilih untuk hidup dalam dua darjat, tidak berteriak slogan retorik mengajak ahli berjihad tetapi apabila sampai masanya, pemimpin itu tidak kelihatan, bahkan memilih untuk bersama dengan kelompok elitis di hotel-hotel mewah dan di luar negara- ketika rakyat berpeluh berperang dengan kezaliman rejim pemerintah.

Itulah pemimpin sejati yang luhur dan ikhlas tanpa berpura-pura. Pemimpin yang mempunyai pilihan untuk hidup mewah dengan kenderaan megah, rumah besar tetapi memilih untuk hidup sebagaimana biasanya. Saya mengharapkan Naib-Naib Presiden serta ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat yang baru mampu menterjemahkan kehidupan sebegini bagi membina imej kepemimpinan tertinggi PAS. Selamat maju jaya PAS.









BERIKUT ialah keputusan penuh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Sesi 2009-2011

PENGERUSI TETAP

1. Abu Kasim Abdullah - menang tanpa bertnading

TIMBALAN PENGERUSI TETAP (1 kerusi)

1. Hussin Ismail (609) - penyandang

2. Ishak Surin (200)

3. Tengku Puji Tengku Abd Hamid (199)

PRESIDEN

1. Datuk Seri Abdul Hadi Awang - menang tanpa bertanding

TIMBALAN PRESIDEN (1 kerusi)

1. Datuk Husam Musa (281)

2. Mohamad Sabu (261)

3. Nasharudin Mat Isa (480) - penyandang

NAIB PRESIDEN (Tiga kerusi)

1. Datuk Mahfuz Omar (636) - penyandang

2. Dr. Mujahid Yusof Rawa (277)

3. Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah (333)

4. Salahuddin Ayub (824) - penyandang

5. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (871) - penyandang

AHLI JAWATANKUASA KERJA (18 kerusi)

1. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - 884

2. Idris Ahmad - 799

3. Datuk Kamaruddin Jaffar - 769

4. Datuk Seri Azizan Abdul Razak - 683

5. Datuk Dr Hassan Mohd Ali - 642

6. Dr Hatta Ramli - 638

7. Abdul Ghani Shamsudin - 637

8. Datuk Abu Bakar Chik - 622

9. Mohamad Hanipa Maidin - 619

10. Datuk Ir. Amiruddin Hamzah - 606

11. Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali - 589

12. Abdul Ghani Abdul Rahman - 584

13. Dr Zulkifli Ahmad - 570

14. Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - 530

15. Hashim Jasin - 522

16. Mazlan Aliman - 513

17. Taib Azamuddin Mohd Taib - 508

18. Dr Mujahid Yusof Rawa - 448

PEMERIKSA KIRA-KIRA

1. Mohd Rashidi Hassan(penyandang)

2. Musaniff Abd Rahman (penyandang)

No comments: