Thursday, June 11, 2009

KERAJAAN PERPADUAN SANGAT KECIL UNTUK DITANGANI BERBANDING MASLAHAT UMMAH.

Muktamar PAS telah melabuhkan tirainya. Serentak dengan itu, seharusnya isu yang membelenggu semua pimpinan, perwakilan, pemerhati bahkan penyokong PAS telah pun selesai. Ia tidak perlu menjadi polemik lagi alhasil segala perbahasan dan luahan hati telah pun dimuntahkan oleh perwakilan dan pimpinan.

Namun isu 'Unity Government' yang dilontarkan dan dicetuskan oleh Presiden PAS sendiri masih belum selesai. Ia adalah ibu segala perselisihan pandangan di kalangan pimpinan semua peringkat sehinggalah kepada perwakilan dan pemerhati. Sehingga kini para 'bloggers' meniupkan isu ini dalam setiap penulisan mereka. Para media pula ibarat 'batu api' yang bertugas untuk melaga-lagakan pimpinan dan ahli agar dengannya api yang padam marak kembali bahkan lebih ganas dan merbahaya yang membakar perpaduan jemaah PAS.

Saya tidak nampak apa salahnya dalam isu 'Kerajaan Perpaduan' yang dilontarkan oleh Presiden PAS. Ia bermatlamatkan baik. sebagai sebuah harakah dakwah, juga sebagai jemaah Islam yang berusaha melebarkan jaluran dakwahnya- sudah pasti PAS perlu menggiatkan pelbagai usaha mendekati mad'u termasuk UMNO. Kalau dihitung, rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat sudah acap kali mengadakan pertemuan sama ada secara rahsia atau terang-terangan dengan musuh politik Pakatan Rakyat, iaitu UMNO. Tidak pernah ada isu keikhlasan persahabatan dalam Pakatan Rakyat dibangkitkan. PAS pula seakan memberikan sepenuh kepercayaan kepada PKR mahupun DAP untuk bertemu dengan sesiapa sahaja untuk menarik mereka ke dalam Pakatan Rakyat. Kenapa pula apabila Presiden PAS baru melontarkan wawasannnya, tiba-tiba ramai yang melenting marah?

Saya juga tidak nampak apa salahnya kemarahan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung ura-ura usaha mewujudkan persefahaman politik antara PAS dengan BN. Sebagai murabbi dan Mursyidul Am PAS, beliau wajar berasa gusar dan khuatir PAS bersahabat dengan musuh sejak dahulu. Walaupun apa alasannya, sama ada PAS tidak akan bergabung dengan UMNO sekadar mengadakan kerjasama kerajaan (perpaduan) mahupun memang ada perjanjian belakang tabir antara PAS dan UMNO, bagi Mursyidul Am dan sesetengah pihak dalam PAs, ia tidak perlu dilaksanakan. memang wajar rakyat di Perak, Kedah, Kelantan dan Selangor merasa kecil hati dengan usaha berbaik dengan UMNO kerana mereka merasakan pengkhianatan UMNO. Krisis di Perak belum habis reda dengan peristiwa rampasan kuasa. Tanyalah orang kampung manapun, siapa yang dapat memaafkan kejahatan UMNO?

Ibarat seorang bapa yang sayangkan anak-anaknya, sudah tentu dia perlu merasa bimbang anak gadisnya berbaik dengan pemuda yang terkenal dengan kejahatannya. Walaupun mungkin alasan anaknya untuk berdakwah atau untuk belajar, tetapi seorang ayah yang pernah bergelumang hidup dengan penuh pengalaman risau anaknya akan terjebak dengan pujuk rayu jejaka jahat dikampungnya. Begitulah perumpamaan Mursyidul Am pada PAS. Beliau dan orang sepertinya sangat sayangkan PAS.

Dalam hal ini ramai yang memilih untuk berpihak dan bersentimen. Tidak kurang yang telah bersilat dan membuka gelanggang. Ada yang mula mengasah parangnya- untuk apa semua ini? Untuk bergaduh dan saling bertikam antara satu sama lain? Macam Hang Tuah dan Hang Jebat yang saling berbunuhan, akhirnya Sultan juga yang tersenyum bahagia dengan pembunuhan adik beradik ini.

Saya mengutarakan beberapa pandangan, semoga ianya boleh meleraikan kekusutan kita semua. Saya penulis kerdil, hanya mengharapkan penulisan ini membuka jiwa kita untuk melihat permasalahan sebenarnya.

1. sebenarnya yang mengambil laba dan keuntungan dari pertelingkahan ini adalah media dan UMNO-BN. Lihatlah bagaimana sedari awal media telah meniupkan api sentimennya dengan pelbagai istilah dan label yang tidak pernah selama ini digunakan. Istilah 'ulama', 'profesional', 'Erdogan', 'Erbakan', 'fundemental', 'konservatif', 'liberal' dan lain-lain adalah ciptaan mereka. Istilah inilah yang diulang-ulang bagi menyedapkan halwa telinga dan lidah kita. Kesannya, PAS turut terkesima dengan menggunakan serta melabelkan istilah kepada mana-mana kelompok atau pihak. Sehinggakan kalau ada beberapa pandangan yang berbeza sudah tentu orang tersebut akan diistilahkan dengan pelbagai istilah yang negatif. Isu 'Kerajaan perpaduan' ini sebenarnya sudah lama senyap tetapi sengaja dihidupkan kembali untuk menghangatkan iklim politik negara.

Lihatlah juga bagaimana kemudiannya UMNO-BN seolah-olah menyambut cadangan 'kerajaan perpaduan' ini. Seakan-akan mahu menggambarkan bahawa UMNO-BN telah berpihak kepada suatu golongan dan memusuhi kelompok lain dalam PAS. Secara tersiratnya, mereka mahu mempropagandakan bahawa memang wujud perjanjian sulit angtara pemimpin PAS dan UMNO, tanpa restu!

2. Kerajaan perpaduan baru setakat lontaran pandangan. Soalnya, wujudkah ia secara praktikal dan realiti? Di mana dalam Malaysia ini telah terwujudnya kerajaan perpaduan ini. Ia belum terjadi dan belum terlaksana, kenapa kita tercungap-cungap menangkis pandangan ini. Seharusnya ia perlu dijadikan bahan esperimen atau uji kaji terdahulu, baru boleh membuat pelbagai tanggapan dan pandangan.

3. Sekiranya terdapat belah bahagi antara dua pandangan- sama ada setuju ataupun tidak, saya mengharapkan agar pimpinan mengambil kira kedua-dua pandangan ini dan jadikan ia keputusan bersama. Saya berpendapat, adalah lebih baik ia didiamkan atau ditangguhkan pandangan ini kerana ia mengundang kontroversi. Dengan ini kita perlu akui bahawa pandangan Presiden PAS telah mendahului zamannya. Adakalanya pandangan kita hari ini sangat jauh dan mendahului zamannya. Mungkin dalam masa beberapa tahun mendatang, dengan isu yang baru ketika itu, barulah idea kerajaan perpaduan ini dapat diterima oleh semua pihak.

Sebegitu pandangan saya terhadap Kelab Penyokong PAS untuk dijadikan Dewan dalam PAS. Ia idea yang baik dan bernas, tetapi perlu dilihat dari pelbagai sudut. Adalah bijak Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional menyerahkan kebijaksaan ini kepada kepimpinan tertinggi untuk menilainya dan membuat kajian terperinci mengenainya.

Dalam keadaan krisis politik di Perak, serta sentimen rakyat yang bencikan UMNO-BN, wajar sungguh kerajaan perpaduan ditangguhkan demi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam jemaah.

4. Semua pihak perlu mendiamkan diri setelah mendengar pandangan tegas Presiden PAS yang memberikan komitmen untuk meneruskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Apa perlunya kita - sama ada pimpinan mahupun ahli berterusan memanjangkan isu ini. Kalaupun ia adalah dari lidah antara Presiden PAS dan Mursyidul Am yang dilihat tidak sekata, biarkanlah mereka dengan pandangan tersebut. Sebagai ahli 'wala' lah dengan keputusan yang telah dibuat tanpa banyak soal.

Kalaupun media yang memainkan isu ini, lambat laun ia akan senyap sunyi kerana sudah tiada isu dari kalangan ahli dan pimpinan. Justeru, isu ini pasti akan senyap ditelan zaman dan suasana baru yang menghambat komitmen ahli dan pimpinan.

No comments: