Tuesday, December 23, 2008

IMPIAN SELURUH AHLI PAS SUPAYA HUDUD TERLAKSANA TIDAK PERNAH BERUBAH

Isu Hudud kembali ditembak oleh Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO dalam sesi debatnya bersama YB Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS. Memang pemuda seorang ini terkenal dengan kelantangannya dan kebetahannya bercakap. Beliau juga terkenal kerana suka mencari publisiti termasuk yang dianggap murahan dengan pelbagai ragam dan aksi sebagai anak muda.

Hudud adalah syariat Islam ciptaan Allah, yang membawa maksud had, undang-undang atau peraturan. Secara harfiahnya dan secara perinciannya boleh dilihat jelas dalam kitab-kitab bahasa Arab terjemahan sarjana besar Islam. Ia secara langsung dinaskan di dalam Al Qur'an. Perintahnya jelas dan mudah difahami. Di Dalam Al Qur'an ada beberapa peraturan atau hukuman yang Allah perintahkan untuk dilaksanakan tanpa kompromi. Antaranya seperti hukum zina, mencuri, membunuh, menuduh orang berzina dan lain-lain. Maka ada juga hukum Islam yang tidak jelas sepenuhnya- ada khilaf dan pandangan para ulama' yang direndahkan sedikit tarafnya seperti hukum peminum arak, dadah, dan lain-lain. Ia dinamakan takzir.

Di Malaysia sejak dulu hingga kini mengamalkan hukum takzir. Ia tidak boleh dinamakan hukum Islam selagi mana hudud tidak menjadi asas perundangan negara. Kita tidak boleh mencanang kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara Islam berdasarkan kepada takzir yang dilaksanakan. Takzir tidak boleh mendahului hudud dalam bab syariat Islam yang asas.

Penegasannya Hudud bukan ciptaan PAS. PAS tidak pernah mendakwa Hudud miliknya. Kiranya UMNO ikhlas mahu melaksanakan hudud, maka saya dan ribuan umat Islam lainnya menyokong tindakan UMNO ini. Tetapi ada orang UMNO yang mencipta nama Islam baru. Namanya Islam Hadhari. Walaupun mereka tidak dakwa itu sebagai agama baru, hakikatnya macam Islam yang sedia ada sekarang tidak sempurna. Maka untuk menyempurnakannya terpaksa cipta satu istilah untuk dinisbahkan kepada Islam. Sudah tentu Islam yang ditambahi atau dikurangi tidak sama dengan Islam yang sudah sedia umatnya anuti kini. Macam Prof Madya, ia tidak sama dengan professor sepenuhnya. Professor penuh mempunyai keistimewaan tertentu lebih dari Penolong Profesor (Madya). Sama seperti Jeneral. Di dalam tentera pelbagai pangkat yang boleh hampir-hampir mencapai taraf Jeneral. Ada Mejar Jeneral, Ada Brigadier Jeneral, ada Leftenan Jeneral. Tetapi yang berjawatan Jeneral satu saja. Yang lain adalah pegawai bawahannya saja. Islam samalah. Dinisbahkan dengan nama lain sudah tentu tidak sama. Islam sempurna, manakala Islam Hadhari adalah Islam ciptaan dan tidak sempurna. Islam Hadhari ciptaan manusia di dalam UMNO manakala Hudud yang diperjuangkan PAS tidak ada pertambahannya sejak zaman Nabi Muhammad saw.

Justeru kenapa perlu UMNO terkejut sakan apabila PAS isytihar hendak laksanakan Hudud. Kemudiannya canang ke seluruh negara kononnya PAS akan menentang doktrin dan ideologi DAP kerana berlaga angin soal Hudud. Kalau begini sikap UMNO, kita perlu bertanya balik, betulkah Islam UMNO? Mempertikaikan Hudud, kemudian mencari titik persengketaan PAS dan DAP, kemudian gambarkan seolah-olah PAS akan laksanakan undang-undang ekstrem. Kemudian takut-takutkan bangsa lain seolah-olah semua manusia akan dihukum. Apa jenis Islam parti UMNO ini?

Patutnya UMNO mencari segala kebaikan perkara berkaitan dengan Islam. Cari ruang dan bantu sama dalam memahamkan bukan Islam perkara berkaitan dengan Islam. Ceritakan bagaimana Hudud mampu menjadi penyelesaian masalah jenayah negara yang kian parah. Apakah hudud boleh menyelesaikan isu perzinaan, anak haram, rogol, fitnah liwat, mencuri, rompak, culik, bunuh, minum arak, samun, ragut, dan lain-lain. UMNO patut beri ruang di dalam media rasmi milik mereka (walaupun itu sebenarnya milik kerajaan) untuk beri liputan baik tentang undang-undang Islam ini. Beri ruang Tok-tok guru, dan ustaz-ustaz di masjid dan surau seluruh negara membuka kitab 'jinayat' dan Syariat Islam, bukan hanya cerita bab Haid dan Nifas sahaja. Maka barulah masyarakat khususnya umat Islam akan faham.

Kesimpulannya cerita soal Hudud dan Qisas ini adalah cerita lama diolah kembali. Bagi PAS betapapun halangannya, kami setia bersama perjuangan menegakkan Islam. Siapapun kawan kita, mahupun musuh yang datang, Islam tetap menjadi dasar perjuangan. Biarpun terpaksa menunggu seribu tahun lagi, kerana yang kita cari adalah redha Allah, bukan redha manusia. Ahli dan pendokong PAS bukan mengejar jawatan menteri dan menjadi pak angguk semata, tetapi mengejar pahala dan ganjaran syurga yang tiada tara!

No comments: