Friday, March 20, 2009

APA NILAI BERITA RASUAH PEMIMPIN UMNO SEDANGKAN IA ADALAH BUDAYA MEREKA?

Tersaksilah sudah sebuah penghakiman rimba oleh sebuah parti yang bakal tenggelam iaitu UMNO. Lembaga Disiplinnya telah membentangkan kertas pertuduhan dan hukuman selesai dijalankan. Spekulasi yang sebelum ini rancak dibualkan rakyat, menjadi kenyataan. Dato' Seri Mohd Ali Rustam didapati bersalah dan hilang kelayakan bertanding. Manakala Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah namun terlepas dari sebarang hukuman melainkan hanya amaran. Manusia yang dianggap sangap lekat dengan rasuah, Dato' Seri Dr Khir Toyo pula selamat bebas, lolos dari sebarang tindakan! Lain-lain adalah ikan bilis yang tidak menarik untuk diperkatakan disini.

Seperkara yang boleh dilihat dalam kes Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin ini adalah rasuah sudah menjadi amalan biasa pemimpinnya. Sebab itu tidak hairan apabila penyokong Mohd Ali Rustam berteriak dengan menuduh Lembaga Disiplin UMNO tidak telus dan didalangi oleh kelompok Najib. Mereka hairan kenapa hanya Ali Rustam yang sangkut, sedangkan berpuluh bahkan bertimbun kes rasuah yang melibatkan hampir semua calon terlibat. Mengapa ada pendakwaan dan hukuman terpilih dilaksanakan. Bahkan mereka boleh menceritakan bagaimana rasuah melibatkan AP dibuat oleh ejen tertentu tetapi terlepas dari sebarang pendakwaan. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin yang lain.

Pemimpin UMNO yang terpalit dengan rasuah bukan lagi menjadi rahsia. Sudah menjadi bualan umum. Dan dengan kes melibatkan jawatan kedua tertinggi dalam UMNO, ruang manakah di dalam UMNO yang selamat dari sebarang rasuah atau 'politik wang' bahasa mereka. Mungkin jawatan untuk pemeriksa kira-kira atau pencatat minit barangkali yang tiada unsur rasuah. Empat tahun lepas, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Samad telah digantung kerana rasuah. Sekarang yang terkena adalah calon Timbalan Presiden, dan bakal Ketua Pemuda. Mujur jawatan Presiden dimenangi dengan mudah. Kalau calon Presiden itu ada pertandingan, berapakah wang rakyat melayang hanya untuk membeli undi dan menduduki kerusi panas itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, dalam pada itu menarik diri dari menyiasat kes-kes yang membabitkan Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Agaknya mereka beranggapan, kedua-duanya bersalah 'politik wang', tetapi bukan rasuah. Rasuah dan politik wang adalah dua terma yang membawa maksud yang berbeza agaknya. Ataupun SPRM menganggap rasuah dalam UMNO adalah halal. Hanya rasuah yang tidak membabitkan parti UMNO sahaja dianggap haram dan berdosa besar. SPRM sibuk pula menyingkap kesalahan Speaker Perak yang bertindak atas bidang kuasanya, sedangkan kes UMNO yang terang-terangan rasuah dipejamkan. Begitu juga dengan Gerak. Kalau rasuah ini membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat, melompat kedua-dua agensi ini menyiasat tak cukup tangan. Sehingga kini kita belum mendengar gesaan Pengerusi Gerak supaya SPRM menyiasat pemimpin UMNO yang didapati bersalah rasuah, mana ada!

Ali Rustam pula sedang membuat rayuannya. Kelakarlah kalau Lembaga Disiplin atau Presiden UMNO boleh menerikma rayuannya. Katakanlah beliau diterima, bertanding dan akhirnya menang. Nanti akan jadi pula Timbalan Presiden UMNO yang berimej rasuah. Memang cocok dengan Presidennya yang dilabel 'penjenayah' dan terpalit hitam dengan imej buruknya. Bagaimana mereka berhadapan dengan rakyat dengan label dan imej sebegini kotor. Memang patutlah UMNO karam awal.

Bahkan ada penyokong-penyokong dan pemimpin yang bersimpati dengan Ali Rustam. Pesalah rasuah diberikan simpati dan disanjung tinggi? Ada yang merasa beliau dikambing hitamkan. Sedangkan sepatutnya Ali Rustam perlu meletakkan jawatannya selaku Ketua Menteri Melaka. Beliau perlu mengambil tanggungjawab bahawa beliau bersalah melakukan rasuah dan politik wang dengan melepaskan jawatannya. Kalau benarlah UMNO ingin menjaga wibawanya, inilah tindakan yang patut dilakukan. Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin. Beliau walau macamanapun dianggap bersalah dan wajar untuk beliau tidak bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Berkenaan pergeseran kem-kem yang melibatkan orang Pak Lah dan Najib, saya tidak mahu komen. Biarkan mereka selesaikan masalah dalam kelambu mereka. Tetapi sedikit ulasan saya ialah, UMNO selamanya begitulah. Belum pernah mereka bersahabat dan berukhwah dengan ikhlas. Berebut jawatan, Jatuh menjatuh, tikam belakang, hipokrasi, ampuisme, dan lobi melobi adalah adalah budaya biasa dalam UMNO. Ini bukan menjadi berita lagi buat kita. Sekadar menjadi bualan kosong di kedai kopi. Hari ini mereka menyokong Pak Lah, esok berputar pula menyokong Najib.

Saya berpandangan, tindakan Lembaga Disiplin UMNO sekadar untuk mewajarkan tindakan supaya UMNO dilihat bersih dan tuntas dari rasuah. Walaupun hukumannya memang 'selective' dan nampak berpura-pura. Pada rakyat, yang hendak ditonjolkan ialah UMNO benar-benar mahu memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Membebel pemimpin mereka kononnya UMNO sangat telus sehingga pemimpin besarnya pun tidak terlepas sama. Tidak ada kasta dalam memerangi rasuah.

Sedangkan yang rakyat sedang melihat ialah permainan politik perasuah dalam UMNO. UMNO semakin kotor dan tiada ruang untuk dibersihkan, melainkan dibuang atau ditinggalkan saja. Dan rakyat juga sedang melihat sebuah drama lakonan pemimpin perasuah ini yang sedang mengatur jabatan kerajaan untuk bertindak atas arahan mereka, termasuk SPRM. SPRM haram menyiasat dan bertindak lebih-lebih terhadap kaki perasuah yang disabitkan bersalah oleh Lembaga Disiplinnya. Besar manapun rasuah pada pemimpin mereka diamkan sahaja. Selain UMNO, siasatlah sampai masuk ke kandang lembu pun tidak mengapa!

No comments: