Friday, March 20, 2009

USAH DIHARAP PADA KEAJAIBAN PAK LAH

Tidak sampai dua minggu lagi Pemilihan UMNO akan berlangsung. Desas-desus Pak Lah meletakkan jawatannya juga semakin cerah. Ada yang melihat tarikh 2 April 2009 sebagai sebagai tarikh peralihan kuasa. Tidak kurang yang mengagak Pak Lah tidak akan menyerahkan kuasanya.

Pelbagai teori dibahaskan. Ada yang memujuk Pak Lah mengekalkan kuasanya. Ada yang memberi pandangan sesuatu akan berlaku di saat akhir, dimana Pak Lah akan terus menjadi PM manakala Najib hanya kempunan sekadar menjadi Presiden UMNO sahaja. Ramai juga yang menyusun strategi saat-saat akhir untuk menyelamatkan karier Pak Lah. Pelbagai agenda diaturkan semata-mata hanya mahu melihat Pak Lah terus berkuasa.

Pak Lah dikhabarkan telah bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah beberapa kali. Entah apa isi perbincangannya tidak dipastikan. Tetapi telahan ramai bahawa ada rundingan rahsia antara mereka. Kemudian Pak Lah bertemu juga dengan Anwar. Pertemuan 'tidak sengaja' di Hulu Langat mencetuskan pelbagai spekulasi politik negara. Mungkinkah Pak Lah merundingkan sesuatu yang sangat bernilai dengan Anwar? Taun Guru Presiden PAS juga ada menimbulkan suatu polemik baru dengan mencadangkan Kerajaan Perpaduan. Ini semua adalah suatu 'hint' untuk Pak Lah.

Saya tidak nampak keberanian Pak Lah melakukan sesuatu yang diluar norma kehidupannya. Pak Lah sejak awal dulu adalah seorang yang sangat tekun dan patuh kepada partinya. Buatlah apapun, beliau tetap setia dengan partinya. Pak Lah dianggap lurus dan jujur dari kalangan pemimpin UMNO. Beliau ini tidak pernah dan belum ada rekod beliau melakukan sesuatu yang di luar 'tabiie' hidupnya.

Soalnya, mampukah Pak Lah menongkah arus melanggar susila budaya hidupnya. Beranikah Pak Lah menyanggah Najib dari menjadi Predana Menteri ke 6. Meskipun seluruh rakyat membenci Najib, tetapi apakah daya Pak Lah saat kritis ini? Sekarang pun sudah dilihat penguasaan Najib pada segenap ruang. dalam UMNO, Najib dan proksinya yang bersuara. Di dalam kerajaan Najib sudah mula menghantar orang-orangnya di segenap sektor. Di mana ruang lagi untuk Pak Lah bertindak. Kelihatan juga sedikit demi sedikit orang-orang Pak Lah meninggalkannya dan mencari 'majikan' baru buat meneruskan hidup.

Pak Lah bukan macam Mahathir yang berani melakukan risiko dalam kariernya. Mahathir sanggup memekakkan telinga dan membuatakan mata untuk memecat mana-mana orang sekelilingnya yang tidak sebulu dengannya. Ini sejarah Mahathir yang sanggup dibuatnya. Soalnya, Pak Lah berani kah melakukan demikian?

Saya tetap mengatakan bahawa Pak Lah akan melepaskan jawatannya dan serahkan kepada Najib. Biarlah apapun imaginasi kita, dan apapun harapan kita, saat itu pasti terjelma. nak harapkan siapa lagi: Tengku Razaleigh Hamzah - beliau sudah tidak bertaring lagi. Anwar - sudah jauh merentasi sempadan untuk melangkaui Pejabat Perdana Menteri. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang - beranikah Pak Lah mencetus kemarahan UMNO dengan memberi laluan mudah kepada pemimpin PAS?

Jangan kita dalam keadaan gawat ini bermimpi indah. Tidak akan bulan jatuh ke riba. Jangan kita harapkan ada lampu ajaib Aladdin yang muncul selamatkan negara. Tidak perlu kita berkhayal benih kacang panjang menjadi pokok gergasi hingga ke langit. Tiada telur emas yang akan dihasilkan oleh ibu ayam yang mendengar muzik. Juga tidak perlu kita impikan akan datangnya hero penyelamat dunia dari diri Pak Lah. Pak Lah bukan sesiapa. Dia bukan juga seseorang (somebody).

Yang penting mulai sekarang kita mempersiapkan mental dan fizikal kita selaku rakyat untuk menerima kehadiran pemimpin nombor satu negara yang punya latar belakang hitam dan kelam. Kita mesti bersedia menerima apa juga asakan yang bakal dihadapi dari pemimpin rakus ini. Saat manis menghayati sedikit ruang demokrasi terbuka hasil kelemahan Pak Lah mungkin akan berakhir dalam beberapa hari mendatang. Mungkin tiada lagi perkataan 'Islam' secara mudah dapat dituturkan oleh rakyat. mungkin juga Sekolah-Sekolah Agama Rakyat menerima nasib yang sama seperti beberapa tahun lepas. Mungkin akan ada beberapa buah kerajaan negeri akan jatuh. Mungkin juga PAS akan diharamkan dari persada politik negara. Mungkin ceramah politik dan agama menjadi haram dalam orde pemerintahan barunya. Mungkin pendemonstrasi bakal menghiasi penjara besi Sungai Buloh secara berbondong-bondong. Mungkin penghuni Kem Kamunting semakin bertambah dari pemimpin pembangkang. Mungkin juga surau dan masjid akan dikunci dari pengisian kuliah ilmu. Dan mungkin ada beberapa gadis Malaysia dibunuh dan diletupkan secara misteri, siapa tahu! Dalam politik segalanya berkemungkinan. Bersedialah kita dengan segala kemungkinan ini.

No comments: