Monday, January 31, 2011

MUNGKINKAH REVOLUSI DI ARAB AKAN BERJANGKIT KE MALAYSIA

Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, ia diekori oleh negara-negara Arab yang lain.

Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga mengamalkan demokrasi. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan. Bahkan pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab.

Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mmedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya.

Keadaan di Malaysia, meskipun tidak ketara tetapi situasinya hampir sama. Meskipun parti politik bebas bertanding dalam pilihanraya, namun hanya BN diberi tempat yang luas. Setiap pilihanraya berlangsung dalam keadaan yang tempang dan pincang. Undi pos adalah senjata utama bagi memenangkan percuma buat BN. SPR pula dijadikan kuda tunggangan dengan pelbagai peraturan ketat buat pembangkang, bukan BN. Daftar pemilih dimanipulasi sehingga berlaku penyelewengan yang ketara. Sengaja pemerintah tidak melaksanakan sistem celup jari bagi mengelakkan keadilan terlaksana. Manakala jentera kerajaan diperah semaksima mungkin bagi berkempen untuk pihak mereka. Media pula bersikap seolah-olah hanya BN sahaja parti bertanding. Pembangkang dinafikan hak untuk akses di mana-mana media. Lebih dari itu, pembangkang dihinakan sebagai parti yang tidak layak menjadi sebuah parti politik berdaftar yang sah di Malaysia. Pengundi pula ada yang dipujuk dengan pelbagai habuan seperti kain pelikat, beras termasuk wang ringgit. Habis berjuta ringgit duit kerajaan masuk ke poket pengundi.

Kalau dikira tekanan, maka wajarlah Malaysia disamakan dengan negara-negara Arab. Segala macam himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang, kebiasaannya disuraikan dengan gas pemedih mata dan tangkapan-tangkapan. Kebebasan bersuara, berhimpun hampir tiada di Malaysia untuk pembangkang.

ISA dikekalkan sebagai perisai utama kerajaan BN. Mangsanya ramai dari kalangan pemimpin pembangkang. AUKU adalah ugutan utama mahasiswa di kampus-kampus. Telah berapa ratus aktivis mahasiswa pernah menjadi mangsa AUKU ini.

Selain itu, rakyat terus dibiarkan terhimpit dengan kesusahan. Dengan kenaikan harga barang keperluan, harga minyak petrol, tol, menghapuskan biasiswa, pelbagai cukai lain dikenakan. Rumah-rumah rakyat dianggap setinggan dan haram dirobohkan sesuka hati, kemiskinan bandar tidak diubati, manakala dasar gaji minimum tidak dilaksanakan sebagai bukti rakyat dibiarkan kesusahan.

Kekayaan negara diagihkan sesama mereka dan hanya cebisan diberikan kepada rakyat atas nama wang ihsan. Pemerintah pula hidup bermewah dengan membelanja duit rakyat di luar negara. Pemerintahan negara diserahkan secara warisan sesama mereka.

Inilah antara persamaan Malaysia dengan negara Arab. Dalam keadaan demikian, sukar untuk rakyat menghirup udara demokrasi yang bersih di Malaysia. Mungkin hanya dengan revolusi negara akan bebas dari belenggu rejim yang ganas ini. Mungkinkah revolusi di dunia Arab akan menyusul di Malaysia?

TUGAS KITA HANYA BERJUANG, MENANG BUKAN URUSAN KITA..

Telah diumumkan keputusan rasmi PRK DUN tenang malam tadi. Dengan undi sebanyak 6699 oleh calon BN Mohd Azahar Ibrahim berbanding calon yang lebih popular 'Cikgu Mala' hanya sebanyak 2992 undi. Calon BN ini mendapat majoriti sebanyak 3707 undi. Maka sahlah Mohd Azahar Ibrahim sebagai ADUN Tenang.

Bersorak sakanlah media pengampu BN meraikan kemenangan BN ini. seolah-olah Utusan Malaysia, Berita Harian, TV1, TV 3 dan lain-lain media adalah parti komponen BN. Cara pihak BN menyambut kemenangan pula menyakitkan jiwa pejuang-pejuang kebenaran. Meraikan kemenangan seolah-olah tiada akhirat bagi mereka!

Memang sedari awal telah diduga BN akan menang di Tenang. 'Menang sudah pasti, kalah tidak sekali'. Itu untuk BN. Tenang adalah kawasan tradisi dan tembok kebal mereka. Di Tenang pula ada 'fixed deposit' untuk BN iaitu kawasan felda. Memang sejak merdeka undi felda tidak pernah menghampakan BN. Macam 'pondok' dan madrasah kepada PAS. PAS kuat dikawasan pondok, sekolah agama dan madrasah.

Kerana itu juga PAS membuat strategi meletakkan calon Muslimat. sekruang-kurangnya, itu adalah test market buat Cikgu Mala untuk berhadapan dalam PRu ke 13 kelak. Setidaknya pun, boleh mengurangkan majoriti BN.

Sasaran awal PAS pun, hanya untuk mengurangkan majoriti, bukan untuk menang. Cawangan PAS tidak ada di DUN Tenang. Mungkin lepas ini PAS Johor boleh mencongak untuk menubuhkan PAS di Tenang bagi menguatkan PAS di sana.

PRK di mana-mana pun sebenarnya tidak boleh menjadi ukuran. Ini kerana PAS (Pakatan Rakyat) bertanding di padang yang tidak sama rata. Dengan manipulasi hampir semua jentera kerajaan, media dan dengan dana berjuta ringgit mencurah-curah masuk ke poket pengundi atau kepada pemimpin setempat, mana mungkin Pakatan Rakyat akan mampu bersaing dengan BN (baca : jentera kerajaan). Dengan faktor lain seperti undi pos, ugutan dan juga kempen berat sebelah, membeli undi dan lain-lain, PRK adalah medan BN memebelasah Pakatan Rakyat sesuka hati tanpa rasa malu. Biasanya, mana-mana PRK akan swing 10 peratus undi Pakatan Rakyat kepada BN kerana faktor takut atau kerana pujukan. Dan biasanya yang akan membuat swing adalah pengundi atas pagar. Kerana itulah, undi majoriti kepada BN meningkat hampir seribu orang.

Kepada 'Cikgu Mala' yang cekal dan gigih, tahniah diucapkan. Berada ke tahap ini adalah suatu kebanggaan kita bersama. PAS membuktikan tidak pernah kering dari melahirkan pemimpin muda yang berwibawa. Teruskan momentum ini kerana PRU ke 13 sudah berada di jauh dari sekarang.

Buat petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam tanpa upah dan habuan, tahniah dan syabas diucapkan. Ketekunan mereka menjadi inspirasi buat PAS. Bersabar dan bekerjalah seikhlas dan semampu mungkin. Tugas kita hanya berjuang. Yang menentukan kemenangan adalah ALLAH SWT. Yakinlah, bahawa suatu hari nanti pasti Allah akan membukakan pintu hati pengundi khususnya di kawasan felda untuk menyokong perjuangan Islam. Allah tidak bertanyakan kemenangan kita, yang ditanyakan adalah banyak mana kita bekerja dengan ikhlas!

Sunday, January 9, 2011

EVENT KARPET MERAH AJL JAM 7.30 MALAM?

Dimaklumkan bahawa event Karpet Merah untuk Anugerah Juara Lagu ke 25 berlangsung jam 7.30 malam ini. Event 'Karpet Merah' adalah suatu event besar untuk artis, yang ditiru dari Hollywood. Kononnya semua artis akan disambut dan berjalan di atas karpet merah, dengan pakaian bermacam fesyen.

Kalangan artis dan penganjur seakan tidak sensitif dengan iklim negara Malaysia. Nak meniru Hollywood yang tiada pegangan agama. Sedangkan mereka ramainya beragama Islam. Setidaknya kalaupun tidak mahu bersembahyang, hormatilah waktu solat. Jam 7.30 umat Islam sibuk ke masjid dan surau berdekatan, mereka ini pula adakan majlis maksiat ini. dengan tidak endah halal dan haram, pergaulan yang bebas semacam.. Insaflah.

Kita mengharapkan jangan ada bala hasil dari maksiat segelintir umat Islam yang lupa pada Tuhannya!

BAYANGKAN ALLAH MENGABULKAN DOA 30 RIBU UMAT ISLAM BERHIMPUN..

Seramai 30 ribu umat Islam berhimpun, bermunajat dan bersolat hajat di Stadium Malawati malam ini. Isunya adalah kontroversi pelantikan SUK Selangor, Dato' Khusrin. Ribuan umat Islam menyatakan kebencian terhadap kebiadapan UMNO yang menggunakan Istana bagi membelakangkan kerajaan Selangor yang telah dipilih oleh rakyat.

Mampukah UMNO bersuara menyatakan rakyat seramai ini menderhaka Sultan? Ketahuilah wahai UMNO, menderhakai Allah lebih teruk daripada menderhakai Sultan..

Bayangkan kalau seramai ini bermunajat dan solat hajat, dan kesemua doa umat Islam yang teraniaya di Selangor ini dimakbulkan Allah... Moga kerajaan Selangor kekal dalam dakapan Pakatan Rakyat.

Thursday, December 16, 2010

PARLIMEN KANGAROO

Hari ini Parlimen Malaysia mencatat sejarah kerana berlaku kekecohan yang luar biasa antara Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Puncanya kerana ada usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 6 bulan gara-gara isu APCO yang bahaskannya.

Puncanya lagi kerana sikap double standard dan bias luar biasa oleh Speaker yang tidak mahu membuat ruling dan tidak membenarkan DSAI untuk membela diri. Beliau turut menerima untuk menggantung 3 lagi MP Pakatan Rakyat selama 6 bulan. Azmin Ali, Sivarasa Rasiah dan Karpal Singh adalah mereka yang digantung.

Lepas dari itu kecoh semua MP Pakatan rakyat bangun dengan membantah penggantungan ini. Rupanya BN lebih suka seberapa ramai manapun MP Pakatan Rakyat digantung, untuk menghalalkan tindakan mereka. Belum pernah terjadi kecoh sebegini umpama demonstrasi dalam parlimen.

Speaker pun satu.. Walau semua orang tahu dia orang BN, balance kan lah sedikit.. Jangan jadi orang tergelak dan labelkan Parlimen Malaysia macam Parlimen kangaroo.

Lebih baik gantung semua MP PR dan biarkan sahaja MP BN sahaja di Parlimen. Lepas tu nak bahas dan luluskan apa pun buatlah... Kelakar tengok BN ni....!

Tuesday, December 7, 2010

PERUTUSAN HIJRAH..

Salam Muharram..

Sempena sambutan Awal Muharram 1431, saya mengucapkan Selamat manyambut Hijratul Rasul 1432. Ingatlah usia yang semakin meningkat ini mendekatkan diri kepada kematian, menjadikan diri semakin tua, dan mendekatkan kita dengan hari pembalasan. Maka marilah kita bersama mendekatkan diri kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam dengan segala ketaqwaan kita.

Peristiwa Hijrah Nabi SAW membawa lembaran baru dalam sejarah, dengan membuka jalan kepada kemenangan Islam yang unggul. Selama seribu empat ratus tiga puluh dua tahun Nabi SAW meninggalkan kita, dan masih hijau segar lagi dalam diri kita sirah baginda seakan Nabi SAW masih hidup di kalangan kita.

Hijrah tidak hadir tanpa pengorbanan, jihad, kesabaran, kesetiaan serta sikap optimis terhadap kemenangan Islam. Tuntutan hijrah kita perlu terjemahkan dengan keyakinan dan kesabaran disamping jihad bagi mendaulatkan Islam di bumi tercinta sehingga tertegaklah daulah Islamiyah seperti yang kita idamkan.

Marilah kita bersama bermusahabah terhadap kerja buat selama ini. Banyakkah amalan dan taubat yang kita lafazkan, Al Quran dan hadis yang bertakhta di dalam diri, Sunnah yang kita amalkan, sabar dan ikhlas dalam diri kita, serta sifat mahmudah yang kita pakai sebagai hiasan peribadi diri kita. Ataukah selama setahun ini kita banyak menghabiskan usia dengan perkara yang lagha, banyak melakukan maksiat, kemungkaran, sehingga menjauhkan diri kita dengan Allah swt.

Justeru, kita perlu merasakan kekerdilan ini, wajib kita perbaiki untuk menempuh setahun akan datang. Tahun baru 1432 ini perlu kita persiapkan dengan segala persiapan bagi membina kekuatan diri kita menjadikan diri sebagain insan soleh / solehah disamping berusaha menjadikan masyarakat kita masyarakat yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Semoga tahun baru ini menguubah diri kita dan dijadikan kita sebagai mujahid di jalan Allah swt.

Salam Hijrah 1432.

SETELAH SEKIAN LAMA, BARU KINI KHIR TOYO DIDAKWA?

Setelah sekian lama, barulah kini Dato' Seri Dr Khir Toyo didakwa di mahkamah. Seingat saya, Ahamd Lutfi Othman, Editor Harakah telah lama membongkarkan kes rasuah Khir Toyo, namun kini barulah ianya di bawa ke mahkamah?

Mengapa sebegitu perlahan pendakwaan apabila melibatkan pemimpin UMNO-BN? Apa muslihat Gani Patail selaku Peguam Negara? sebenarnya berpuluh lagi kes rasuah yang dilaporkan, tetapi hanya kes ini sahaja yang sangkut.

Kita mengharapkan agar kes ini benar-benar dibicarakan secara tuntas dan telus. Jangan jadi seperti kes Tan Sri Kasitah Gaddam dan Eric Chia yang terlepas. Harapnya kes beliau dan Dr Ling Liong Sik mampu meyakinkan rakyat bahawa SPRM benar-benar bebas dari pengaruh politik.

Apakah mungkin juga monsoon pilihanraya membuatkan DS Khir Toyo 'dimangsakan' untuk seketika. Yang bakal dijulang rakyat adalah ketelusan Najib membanteras rasuah. Walhal kesnya sendiri (melibatkan Altantuya) masih belum selesai. Lepas pilihanraya nanti, selamatlah Khir Toyo. Sebagai rakyat, mari kita teropong peristiwa ini satu persatu, dan saksikan drama menarik lakonan BN. Saksikanlah benar-benarkah BN membanteras rasuah, atau sekadar kelabui mata rakyat agar dilihat parti yang anti rasuah menjelang pilihanraya...

Wednesday, December 1, 2010

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
KENAIKAN PETROL RON 97: TERIMA KASIH KERAJAAN BN !
(1 Disember 2010)


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa kesal kerana kerajaan menaikkan harga petrol RON 97 sebanyak 15 sen mejadi RM 2.30 sen seliter mulai hari ini. DPPWP merasakan tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol RON 97 kali kedua secara terburu-buru boleh menyebabkan kesukaran kepada rakyat dan menjadikan keadaan ekonomi negara dalam keadaan huru hara.

Meskipun harga petrol RON 95 dikekalkan pada harga RM 1.85 sen seliter, namun ia tidak membawa erti apa-apa. Dalam keadaan minyak petrol RON 95 yang dipertikaikan ramai kerana kualitinya dikatakan rendah dan boleh menyebabkan kebakaran kepada kenderaan apabila berlaku kemalangan, apakah pilihan kepada rakyat yang inginkan keselamatan mereka di jalan raya? Terlebih lagi minyak RON 97 adalah lebih berkualiti yang mampu menjaga enjin untuk tempoh masa yang lama berbanding RON 95.
Awal November 2010 yang lalu kerajaan telah menaikkan harga minyak petrol RON 97 kepada 5 sen dan tidak sampai dua bulan kerajaan telah menaikkan lagi harga petrol RON 97 menjadi RM 2.30 sen seliter. Mengapa terlalu cepat kerajaan menaikkan harga minyak tanpa mepedulikan impikasi kepada negara. Apakah kerajaan tidak melihat kepada kesengsaraan rakyat yang tidak tertanggung akibat kenaikan petrol. Bagaimana nasib pekerja kelas menengah dan rendah yang terpaksa menanggung beban akibat kenaikan petrol ini.

Dalam hal ini kerajaan langsung tidak bertanyakan respons rakyat terlebih dahulu sebelum mengumumkan kenaikan petrol. Dalam keadaan rakyat terpinga-pinga mahu mencari jalan keluar dari kemelut ekonomi mereka, kerajaan menghadiahkan satu lagi kenaikan petrol tanpa tanpa pengumuman awal sebagai persediaan. Bagi pemimpin BN, kenaikan ini tidak menjejaskan apa-apa kerana mereka tidak merasakan kesusahan hidup sepertimana rakyat biasa.
DPPWP merasa kecewa kerana kerajaan sanggup berbelanja RM 5 billion untuk membina Menara Warisan sedangkan subsidi minyak untuk rakyat dianggap membebankan kerajaan. DPPWP pasti dengan kenaikan ini akan menyebabkan kenaikan pada harga barang-barang keperluan. Peniaga kecil serta pengguna akan merasa terjejas akibat kenaikan harga barang yang berpunca dari kenaikan harga petrol.

Akhir sekali, DPPWP ‘berterima kasih’ kepada kerajaan yang ‘prihatin’ terhadap rakyat dan DPPWP jamin, isu kenaikan petrol ini akan menjadi bekalan buat rakyat menjelang PRU ke 13 nanti. DPPWP berharap kerajaan akan terus ‘komited’ menaikkan harga barang keperluan demi ‘kepentingan diri’ mereka sesuai dengan slogan ‘rakyat diutamakan’.

Disediakan oleh

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tuesday, November 30, 2010

KETUANAN MELAYU VS KETUANAN ISLAM

Mengamuk sakan juak UMNO dan Perkasa apabila Dr Wan Azizah mempertikaikan ketuanan Melayu dan mahu menggantikan dengan Ketuanan Rakyat. Seolah-olahnya Perjuangan Melayu adalah perjuangan suci dan maksum.

Seolahnya, orang Melayu adalah umat terbaik yang dipilih Allah untuk manusia. Seakannya, umat Melayu lebih mulia dari keturunan Rasulullah saw. sebegitu tinggi segelintir orang Melayu mahu pelihara dan mengangkat umat Melayu melebihi perjuangan menegakkan Islam sendiri. Katanya, Melayu itu automatik Islam di Malaysia. Perlembagaan yang memaktubkan perkara ini. Sedangkan ramai umat Melayu murtad atau tidak beragama, itu Islam kah? Melayu yang menentang Islam, Islamkah? Melayu yang memperlekeh Islam dan undang-undang peraturannya, Islamkah?

Kalau nak dilihat pada dasar perjuangan mereka yang kononnya kuat berslogan memperjuangkan umat Melayu itu, lihatlah apa yang mereka perbuat kepada bangsa Melayu. Siapakah yang memadamkan tulisan jawi dalam silibus pelajaran sekolah? Orang Cina ke Melayu? Yang menghapuskan biasiswa untuk pelajar universiti, yang mahu membuka sistem meritokrasi di universiti, siapakah itu? Siapakah yang menghapuskan rumah-rumah setinggan milik Melayu digantikan dengan kondominium mewah milik bangsa lain. Siapakah yang merampas tanah di Iskandar, Johor lalu membuka pemilikan itu kepada sesiapa sahaja. Siapakah yang menderhakai Raja Melayu lalu menurunkan kuasa raja dan kesultanan Melayu. Siapakah yang mahu menggadai tanah Kampung Baru? Bukankah juak-juak mereka juga yang merampas dan berebut ghanimah harta rakyat yang bernama Melayu?

Jelaslah mereka sedang memainkan episod retorika ketuanan bangsa. Sedangkan mereka lupa, bahawa yang menjadikan manusia ini mulia adalah kerana Islam. Dr Wan Azizah silap sedikit pada slogan yang dimainkan. Patutnya Ketuanan Islam bagi menggantikan Ketuanan Melayu!

Thursday, November 4, 2010

BERMARUAHKAH KEMENANGAN BN DI GALAS DAN BATU SAPI?

Akhirnya BN diisytiharkan menang di Galas dan Batu Sapi. Di Galas BN merampas kerusi yang dimenangi oleh PAS tahun 2008 dulu. Manakala di Batu Sapi mempertahankan kerusi yang pernah mereka menangi

Maka tersenyumlah Najib dan Muhyiddin. Lebih penting lagi Rosmah tersengeh-sengeh. Tidak sia-sia Rosmah menggalas tugas suaminya merasmikan program besar negara. Tidak sia-sia beliau bertemu dengan pemimpin luar negara sebagai menggantikan suaminya. Tidak rugi beliau meminta peruntukan RM 111 juta untuk Permata berbanding hanya RM 95 juta untuk SAR. Tidak ada kesan apa-apa menaikkan harga minyak petrol RM 0.05 sen beberapa hari yang lalu. Semuanya bahkan menaikkan undi BN lagi.

Muhyiddin pula dan BN, tidak segan-segan meratah jentera kerajaan sepuas-puasnya. Habis sekolah, dengn m urid-muridnya, guru-guru, ibu bapa, polis, tentera, pegawai kesihatan, hospital dan pelabagai agensi dikerah bagi berkempen untuk UMNO. Semuanya digunakan semaksimum mungkin tanpa rasa malu dan segan.

Hampir tergelak sekalian rakyat yang cerdik telatah SPR yang diperkudakan. Kalau PAS buat, semuanya ditohmah rasuah, walaupun ianya zakat. Tapi yang dibuat BN, depan mata, sogokan berjumlah RM 250, RM 100, RM 1000 dan pelbagai rasuah wang dianggap sebagai peruntukan kerajaan kepada rakyat. Kesian SPR yang masih hitam dari kebebasan demokrasi.

Di Batu Sapi, apakah keburukan yang tidak dilemparkan oleh BN terhadap pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat? Naik jemu kita mendengar pujian melangit media terhadap kepemimpinan Perdana Menteri dan BN. Kononnya hanya BN layak perintah negara. Pembangkang pula - lembaplah, rasuahlah, tidak cekaplah, tidak peduli rakyatlah, tiada wawasanlah dan macam-macam lagi perkataan buruk dilemparkan.

Sekiranya inilah trend kerajaan BN dalam berkempen yang tidak mempedulikan etika dan menjaga kebebasan media, maka sukarlah indeks kebebasan akhbar negara untuk meningkat. Labih jauh lagi, bagaimana Malaysia akan diiktiraf dunia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenar.

Apakah yang BN hendak dibanggakan dengan kemenangan ini. Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri, bermaruahkah kemenangan ini dengan segala macam penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan?

Bagi Pakatan Rakyat, kekalahan ini memberi makna bahawa Galas dan Batu Sapi akan kembali dimenangi dalam Pilihanraya Umum akan datang sebagaimana terjadi di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan DUN Ijok tahun 2008. Kerana Pilihanraya Kecil bukanlah ukuran kekuatan BN melainkan sebagai ukuran kekuatan jentera kerajaan yang menggempur Pakatan Rakyat!