Tuesday, May 5, 2009

DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN BERMUKTAMAR DALAM SUASANA PENUH UKHWAH

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan selesai menjalani proses Muktamar ke 24 pada Sabtu dan Ahad (2 dan 3 Mei 2009). Inilah kali pertama dalams ejarah, Muktamar DPPWP dilangsungkan selama dua hari. Ustaz Nasrudin Hassan merasmikan Muktamar tersebut diiringi ucapan-ucapan oleh YB Dr Lo' Lo' Hj Ghazali serta Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, tuan Haji Mohamad Noor bin Mohamad.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pula melaksanakan ucaptamanya dengan penuh bersemangat dan berapi-api, walaupun terlupa tema! Dalam kesuntukan masa dan kesibukan komitmen beliau, akhirnya sempat juga beliau menyiapkan ucaptama tersebut. Tahniah kerana ucapan beliau menyentuh banyak hal, daripada persoalan dalaman tarbiyah, organisasi membawa kepada pertembungan fikrah hinggalah kepada isu antarabangsa termasuk perlantikan Barrack Obama selaku presiden Amerika Syarikat. Nampaknya radar pemuda Wilayah Persekutuan juga terjurus kepada persoalan dunia sejagat, bukan hanya terarah kepada kepompong politik Malaysia.

Saya melihat daripada banyak aspek, yang banyak ditekankan oleh KP Wilayah Persekutuan (Kamaruzaman Mohamad) adalah aspek sepak terajang politik. Betapa besar hasratnya nak jadikan Kuala Lumpur benar-benar sebagai universiti politik terbuka, serta bersungguh beliau nak lahirkan jaguh demonstrasi sepertinya. Mesej tersuratnya adalah sesiapa yang ingin menjadi pemimpin pemuda Wilayah, mesti juara dalam demonstrari jalanan. Lebih hebat kalau orang itu ditangkap, direman sehari dua dalam penjara. Kalau tidak jangan bermimpi nak jadi pimpinan pemuda!

Meremang juga saya apabila beliau bingkas mengajak pemuda fokus kerja kepada Kebajikan dan Kemasyarakatan, khususnya di parlimen Titiwangsa. Ya, Parlimen Titiwangsa adalah sasarannya dan kamilah pemuda kawasan Titiwangsa yang akan menjadi perantaranya. Tak menang tangan nanti kami nak melayan kerenah kerja yang pelbagai serta arahan bersilang fungsi.

Sekalung tahniah kepada pembahas yang mula menjinakkan diri dengan mikrofon. Aktivis PAS mesti membiasakan diri membasahkan lidah serta menghangatkan suasana dengan mikrofon s. Ini juga buat pertama kalinya, ada agenda perbahasan ucaptama dan semua kawasan berjaya melepasinya.

Akhir sekali tahniah diucapkan kepada Exco DPPWP yang terpilih sepenggal tahun 2009-2011. DPPWP meneruskan tradisi syura dengan lantikan Ketua, Timbalan dan Naib tanpa pertandingan. Kalianlah penyambung perjuangan Islam buat dua tahun berikutnya. Dua tahun mendatang menjanjikan cabaran yang pastinya sengit untuk dicaturkan. Musuh tidak akan berdiam diri dan Wilayah Persekutuan adalah salah satu medan utamanya!

No comments: