Thursday, May 14, 2009

SEMAKIN RAMAI DESAK BUBAR DUN PERAK!

Drama krisis di Perak memasuki fasa yang yang lebih jauh dan dalam. Nampaknya semua pihak sudah semakin buntu. Semakin banyak cabang-cabang perundangan yang perlu diselesaikan. Baru satu kes, sangkut lagi beberapa kes. Selesai mahkamah tinggi, mahkamah rayuan pula menunggu, menang Nizar, Zamby pula halang. Selepas itu Nizar pula merayu. Tamat watak Nizar, Speaker pula menjadi pertikaian. Dulu Sivamukar sah menjadi Speaker, kini Ganesan pula mengaku jadi Speaker. Yang halal dibatilkan oleh yang haram. Itu baru satu bahagian. Bagaimana pula dengan kes sidang bawah pokok, perlantikan Speaker serat sidang DUN 7 Mei, serta lain-lain kes.

Para peguam semakin pening menafsirkan undang-undang. Bahkan tidak kurang hakim-hakim yang memberikan pelbagai persepsi perundangan. Jalan penyelesaian di Perak semakin buntu, ibarat ikan yang tersangkut di pukat tunda. Semakin dilerai, semakin kusut jadinya.

Jalannya ada dan mudah. Iaitu dengan cara membubarkan DUN dan berikan hak itu kepada rakyat Perak. DYMM Sultan Perak perlu melihat ini sebagai jalan keluar dari terowongan yang gelap ini. Jika dibiarkan, semakin kusut dan buntu. Sedangkan Perak perlukan pengemudi yang mampu memangkin kestabilan politik dan ekonomi negeri tersebut. Kalaulah semua ini dilihat dengan mata yang halus, saya yakin Perak telah lama menemui jalan penyelesaiannya.

Semakin berlarutan semakin ramai yang bersuara. Daripada kaca mata rakyat sudah tentu pilihanraya semula negeri Perak memberikan cahaya. Mandat baru diperlukan bagi membentuk kerajaan yang lebih mantap. Perak tidak akan dapat dipimpin oleh dua orang Ketua, ataupun berkerajaankan dua gabungan parti yang saling berselisihan. Hanya mereka yang buta gagal melihat kebenaran dan keadilan.

Terkini SUHAKAM telah bersuara. Menyatakan rasa yang sama, bahawa Perak dahagakan Pilihanraya semula. Pulangkan kepada rakyat menentukannya dan memilih kerajaan baru mereka. Tengku Razaleigh Hamzah juga bernada sama, mendesak Paduka Tuanku Sultan menerima hasrat Pakatan Rakyat. Lalu datanglah suara Gerakan dari Pulau Pinang menyatakan hasrat yang sama. Sebenarnya mereka ini telah melihat apa yang rakyat inginkan. Rasionallah dan berfikir waraslah, apakah mampu kemelut ini diselesaikan dengan baik tanpa perlu Pilihanraya semula.

Zambry mendakwa dia Menteri Besar yang sah, sedangkan dia sebenarnya merampas kuasa. Nizar pula kehilangan sokongan akibat tindakan khianat 3 orang ADUNnya. Lalu jalan apakah yang paling selamat kalau bukan pembubaran DUN. Rakyat Perak dan seluruh negara sebenarnya sedang menanti kalimat keramat muncul dari lidah DYMM Sultan Perak, iaitu memperkenankan PEMBUBARAN KERAJAAN NEGERI PERAK!

No comments: