Friday, May 8, 2009

LAKUKANLAH APA SAHAJA DI PERAK KERANA PERAK KINI ADALAH ZON BEBAS UNDANG-UNDANG

Saya berkesempatan mengikuti perjalanan polemik politik di Perak dari dekat. Terpanggil dengan arahan mengadakan munajat seawal jam 5 pagi di Masjid Al Ittihadiyyah, Manjoi, Perak, kami rombongan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berangkat jam 12.45 malam. Seperti biasalah, pasukan 'selective committee' membawa kelengkapan seadanya . Meskipun diberi amaran bermacam-macam, demi menyahut seruan jihad ini kami langkahkan kami.

Setiba di masjid Ittihadiyyah, langkah awal kami rombongan rakyat disekat oleh pasukan FRU. Bayangkan, masjid dikunci dari imarah. Tuan rumah (Perak) lantas bergegas menukar lokasi ke surau Al Ikhlasiyah tidak jauh dari Masjid Ittihadiyyah. Usai bermunajat, ucapan pembakar semangat dari Tuan Haji Aris Awang anggota Badan Mobilisasi Rakyat mengujakan. Namun terkilan sedikit kerana pimpinan PAS awal-awal menyekat kemaraan rakyat untuk turun berhimpun. Ya, mungkin mesejnya supaya PAS tidak dipalitkan dengan imej buruk seperti demo 'baring' atas jalan raya di Kuala Kangsar dua bulan lepas berulang.

Semalamnya heboh dengan penangkapan Haji Mohamad Sabu, Pengerusi BERSIH. Apakan daya dalam negara jakun seperti ini, segalanya dihalalkan demi mencapai matlamat UMNO-BN. Saya turut mendengar info Cikgu Bard turut ditahan polis. YB Salahuddin sebut ada beberapa figur penting lain sedang diburu ketika itu.

Selepas 'nge-teh' dan roti canai di rumah YB Dr Lo' Lo', langkah kami laju ke bangunan SUK. Kesesakan luar biasa di Bandaraya Ipoh menceritakan segalanya. Polis seakan menjadikan sekitar bangunan SUK seakan zon perang. Tatkala kami sampai, berpuluh aktivis yang turut hadir sedang dan telah ditahan. Dahsyatnya tindakan polis apabila menahan sesiapa sahaja yang berkumpul selih dari 5 orang. Kesian saya melihat 'apek' cina yang sudah tua turut menjadi tahanan polis. kami tersangkut dan tersekat setakat itu sahaja. Menjelang tengahari apabila langkah kami terhalang setakat bandaraya Ipoh kami mengambil keputusan untuk pulang.

Terkejut apabila diupdate maklumat di dalam dewan apabila Speaker dihurung umpama penjenayah. Speaker digantikan dengan sedemikian rupa tanpa pertimbangan dan kewarasan sewajarnya. Siapa pula izinkan pihak polis berwenang mengotori memenuhi ruang dewan DUN dan mengangkat Speaker dan mengurungnya di sebuah bilik. Jelas UMNO sudah kemaruk kuasa, sidang ini wajib mereka adakan kerana sekiranya ditangguhkan juga takut-takut terbubar DUN dengan sendirinya.

Speaker baru pula dilantik dalam keadaan kelam kabut. Mengangkat sumpah sekelip mata dan sejurus kemudian dipakaikan jubah Speaker. Dalam keadaan Speaker masih ada di adakan seorang lagi Speaker. Perak kini menjadi sejarah paling pelik, memiliki dua speaker, dua setiausaha DUN, dua MB dan dua barisan Exco.

Dan sejarah tercatat lagi di Perak. Belum pernah Sultan terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk merasmikan sidang DUN terpaksa berbuat demikian hingga jam 3.30 petang. Jauh tersasar YM Raja Dr Nazrin dari jangkaan masa perasmiannya dari jam 10 pagi. Angkara siapa kesemua drama dan kekalutan ini berlaku kalau bukan kerana kebodohan UMNO-BN?

Hairan juga bagaimana pihak Bentara di taklimatkan supaya patuh hanya pada Speaker yang baru dilantik dan bukan Sepaker yang sedia ada. Speaker yang baru dilantik pula boleh keluarkan arahan ketika Speaker yang sah masih di kerusinya. Bagaimana Zamry dan Exconya yang telah diusir keluar dewan enggan patuh pada kuasa Speaker lalu mengusulkan supaya Speaker pula disingkirkan. Undang-undang Tubuh mana mereka pakai dan di bawah peruntukan mana dalam Perlembagaan mereka guna untuk justifikasikan tindakan mereka?

Saya nak cadangkan selepas ini apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuashati dengan Speaker, maka usulkan sajalah pemecatan beliau. Kalau Speaker menolak saya cadangkan MP Pakatan Rakyat beramai-ramai angkat Sepaker dan humban keluar. Kalau ini terjadi bagaimana warna demokrasi di Malaysia agaknya!

Perkara yang belum pernah berlaku hari ini telah berlaku. Berlaku di Perak, negeri yang banyak sejarahnya. Undang-undang, perlembagaan dan peraturan sudah dibakul sampahkan.

Maka dengan ini saya isytiharkan Perak adalah negeri zon bebas undang-undang. Saya cadangkan semua penduduk Perak, selepas ini jangan patuhi lagi undang-undang kerana Dewan Undangan Negeri tempat memutuskan undang-undang sekalipun sudah dikotori. Tidak perlu lagi pekatuhan kepada peraturan.

Di Perak tiada makna lagi perlaksanaan undang-undang. Andaikan selepas ini kenderaan anda berada di depan lampu trafik berwarna merah, jalan sajalah. Kalau polis menahan anda, langgar polis tersebut. Tidak perlu saudara bersusah payah membayar cukai kerana pembayar cukai hanya tertakluk di negeri yang menyanjung undang-undang. Kalau MB (yang haram) ini melawat kawasan anda, dan merasmikan sesuatu di kawasan anda, balingkan saja telur-telur busuk ke mukanya! Bila ditangkap katakan Perak adalah zon bebas undang-undang. Tidak percaya rujuk lah kembali pada Sidang DUN 7 Mei 2009 sebagai panduan.

Anda tidak perlu bersusah payah membaharui cukai jalan, abaikan saja. Sudah tentu polis tidak akan menahan anda di negeri bebas Undang-undang seperti Perak. Kalau anda bosan dengan majikan yang tidak henti-henti berleter dan bengkeng, angkat saja beramai-ramai bersama kakitangan lain, campakkan majikan anda keluar. Anda bebas, sebebas-bebasnya tanpa undang-undang. Perak adalah negeri pertama di dunia yang menjadi zon bebas undang-undang, dipraktikkan permulaannya di DUN Perak pada 7 Mei 2009.

No comments: