Berlari tak cukup tanah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendapat tahu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Berbulan SPRM selongkar fail dan kenyataan terkini Pengarah SPRM bahawa SPRM akan terus siasat dan dakwa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Alangkah efisyennya pegawai-pegawai SPRM bekerja apabila ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka juga bertindak efisyen apabila ianya hanya melibatkan pegawai golongan bawahan. Syabas dan tahniah pegawai SPRM yang bekerja siang dan malam bagi memastikan ‘rasuah’ oleh pemimpin khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) diperangi sama sekali.
Demi menjaga prinsip keadilan dan kebenaran, sesiapa pun bersalah wajar dihadapkan ke muka pengadilan, hatta melibatkan pemimpin tertinggi PAS sekalipun. Islam tidak membela individu, tetapi membela keadilan dan kebenaran. Dalam hal ini, sekiranya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bersalah, hukumlah beliau. Sebaliknya, jika tidak bersalah, silalah bersihkan nama beliau.
Yang menjadi tandatanya rakyat sejauh mana keberkesanan dan efisyen SPRM apabila rasuah itu melibatkan pemimpin UMNO-BN. Mengapa kalau rasuah dan laporan itu melibatkan pemimpin tingi BN-UMNO, SPRM bertindak lambat seperti kura-kura. Ia seperti sebuah skrip yang semua rakyat tahu jalan ceritanya. Awalnya SPRM akan bermula garang tetapi di akhirnya cerita ini ‘happy ending’ bagi pemimpin UMNO-BN. Dibebaskan begitu sahaja. Pelbagai alasan yang akan diberikan SPRM apabila seseorang pemimpin UMNO-BN bebas yang semua kita sudah ketahui ayatnya, iaitu : ‘tidak cukup bukti’, ‘telah serahkan pada Peguam Negara, tetapi Peguam Negara tidak bertindak’, ‘tidak cukup kakitangan’, ‘saksi tidak konsisten’, ‘bidang kuasa SPRM yang terhad’, dan pelbagai lagi alasan.
Telah berguni-guni dan berpuluh-puluh fail didedahkan, dan dilaporkan ke SPRM, namun tahap efisyennya tidak berkesan seperti tindakan terhadap Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz. Rakyat telah muak hendak bertanya, apa sudah jadi dengan pelbagai kes penyelewengan kuasa dan salah laku pemimpin UMNO-BN. Setengahnya telah memakan masa hampir sepuluh tahun, tetapi kes itu tetap dipengapkan begitu sahaja.
Untuk rekod, elok kita bertanya, apa sudah terjadi kepada kes rasuah pilihanraya di Johor pada tahun 2004, yang ejen calon BN telah ditangkap ketika cuba menyogokkan wang kepada calon PAS untuk menarik diri. Bukti, rekod dan gambar sudah dikemukakan. Bagaimana dengan laporan terhadap DS Dr Mohd Khir Toyo yang telah diadukan mengenai rasuah beliau beserta maklumat dan bukti yang telah disebarkan melalui akhbar dan internet. Apa kesudahan kepada kes rasuah PKFZ yang menelan berbilion ringgit. Bagaimana pula dengan kes rasuah pemimpin UMNO Kedah yang cuba membeli ADUN Pakatan Rakyat di Kedah. Rakaman video dan dokumen telah ada, tetapi apa kesudahannya? Bagaimana kes melibatkan pembelian kapal selam Scorpene yang komisyennya menelan beratus juta ringgit. Apa terjadi kepada kes beli ADUN di Perak dan Ahli Parlimen yang lompat parti sekarang ini, tidak terliurkah SPRM hendak menyiasat punca mereka lompat? Bagaimana dengan kes bangunan dan stadium di negeri Terengganu yang runtuh. Mengapa SPRM tidak menyiasat dakwaan beli undi oleh BN dalam setiap Pilihanraya Kecil termasuk di Hulu Selangor. Banyak lagi pertanyaan dan persoalan yang SPRM perlu jelaskan kepada rakyat.
Sememangnya hari ini SPRM terus menjadi bahan ketawa rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa. Indeks rasuah negara terus merudum dan hampir masuk ke kategori corot. Hampir semua mengetahui bahawa negara diambang kebinasaan kerana sikap acuh tidak acuh SPRM bertindak mengawal rasuah negara. Cukuplah sekadar merasai atmosfera demokrasi Malaysia, sudah boleh mengagak betapa parahnya rasuah di Malaysia.
Bagi memastikan indeks rasuah negara bersih dan menjaga imej negara di mata dunia, adalah elok SPRM bertindak adil kepada semua pihak. Membanteras rasuah perlu dilakukan secara serius tanpa memilih bulu dan mengira latar belakang parti politik. SPRM perlu berani berubah dan bertindak tegas di luar batasan kuasa politik yang bergantungan pada agensi yang strategik!
No comments:
Post a Comment