Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU...

Obor Hemah

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.


Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. Samad Said
2 April 1988
Pejuang Bahasa

Tuesday, May 11, 2010

DALAM KEADAAN DARURAT BOLEH TINGGAL SOLAT?

Inilah hukum yang pertama yang saya pernah dengar mengenai dibolehkan tinggal solat dalam keadaan darurat. Sebelum ini saya hanya mendengar dan membaca dari kitab-kitab fiqh mengenai rukhsah solat dalam keadaan pelbagai. Antaranya solat dalam keadaan musafir, solat dalam keadaan perang, solat dalam keadaan ketiadaan air, solat dalam keadaan sakit dan sebagainya. Pokoknya solat tetap wajib dilakukan dalam apa keadaan sekalipun. Hanya orang yang gila (hilang ingatan), lupa, tidur, dan mati sahaja diharuskan tidak bersolat.

Hukum kedua, dalam keadaan darurat boleh tidak mandi wajib (junub). memang betul ada hukum tu, tetapi digantikan dengan tayammum, itupun kalau sekiranya ketiadaan air ataupun sakit. Tayammum boleh menggantikan mandi wajib.

Dalam kes Saiful Bukhari, nak tergelak dan marah bila membaca jawapan balas beliau apabila disoal oleh peguam Karpal Singh. Beliau mengaku menjadi muslim yang baik, tetapi tidak mandi wajib dan bersolat selama 3 hari, bukan 1 waktu!

Dalam keadaan darurat apakah beliau boleh meninggalkan solat dan mandi wajib? Kalau benar beliau dirogol atau diliwat, mengapa sejurus selepas kejadian beliau dirogol beliau tidak lapor pada polis dan rujuk ke hospital. Mengapa hanya selepas 3 hari baru beliau rujuk ke hospital. Tidak mensucikah beliau kesan dirogol itu?

Mungkin saiful terkesan dengan kenyataan Dr Mashitah suatu ketika dulu, yang mengharuskan melacur sekiranya dalam keadaan darurat. Justeru, darurat adalah alasan paling baik meninggalkan kewajipan sebagai seorang muslim.

Soalan mungkin timbul pula selepas ini, apakah nilai muslim seorang Saiful Bukhari itu. Dan bagaimanakah status sumpah laknat beliau, bolehkah sumpah seorang fasik (yang meninggalkan solat) dipercayai dan diyakini?

Yang memalukan lagi, yang bertanya soalan adalah seorang Punjabi (Karpal Singh) yang sudah tentu tidak beragama Islam. Tetapi beliau mengetahui serba sedikit hukum Islam yang langsung Siaful tidak terjangka untuk ditanya. Jelaslah, Saiful dimalukan oleh seorang yang bukan Islam.

Semakin lama kes ini semakin menjijikkan. Tembelang satu demi satu mulai pecah, dan kelihatan di khalayak. Bagaimanakah konspirator selepas ini menyusun ayat dan skrip agar dapat menghilangkan kecacatan yang semua rakyat sudah mengetahui. Nantikan hari esok dan jawapan yang menggelikan hati dari Saiful...

dipetik dari berita..


"Saiful Bukhari Azlan yang disoal balas peguambela Karpal Singh pada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengaku tidak solat langsung selepas diliwat bekas majikannya itu pada 26 Jun 2008.

Menjawab soalan Karpal bahawa beliau bukan seorang Islam yang baik kerana tidak menunaikan solat lima waktu yang diwajibkan, Saiful berkata beliau tidak dapat solat kerana beliau diliwat dan belum mandi wajib.

"Saya dalam keadaan darurat ketika itu," katanya. Saiful juga mengakui beliau tidak mandi junub pada 27 dan 28 Jun sebelum ke Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun untuk membuat pemeriksaan.

Saturday, May 8, 2010

SEJAK BILA JUDI MENJADI HALAL?

Ramai yang terkejut dan merasa tidak percaya dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk dr Awang Adek Hussein berhubung cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen perjudian bolasepak sempena Piala Dunia 2010.

Datuk Dr Awang Adek Hussein memberi alasan jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa. Mudahnya alasan beliau. Hanya kerana judi akan terus berleluasa tanpa kawalan, maka dihalalkan aktiviti perjudian.
Patutlah pusat perjudian terbesar di Asia yang terletak di puncak Genting diberikan permit dan lesen untuk beroperasi. Patutlah juga pusat-pusat perjudian tumbuh bercambah di setiap daerah dan negeri. Rupanya mereka beroperasi secara sah dan berlesen. Kerana takut ia akan terus beroperasi secara haram , maka ia diberikan lesen dan dihalalkan!

Sejak bila berjudi dan aktiviti perjudian menjadi halal? Sudah turunkah hukum Islam yang menghalalkan perjudian di akhir zaman ini? Agaknya mungkin persepsi dan pandangan Datuk Dr Awang Adek, sekiranya diberi lesen dan ianya sah disisi kerajaan, maka berjudi menjadi halal. Yang haram judi hanyalah sekiranya ia beroperasi tanpa lesen atau permit rasmi kerajaan.

Lebih mengharukan lagi beliau menyatakan bahawa hasil judi boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini. Maksudnya sumber yang haram (hasil berjudi) boleh digunakan untuk tujuan yang baik (sukan). Suka diingatkan ramai atlit dan pegawai sukan di negara ini adalah beragama Islam. Adakah mereka hendak menyuap makanan mereka sehari-hari hasil dari pendapatan judi? Kalau digunakan untuk prasarana seperti stadium, lihatlah apa yang terjadi kepada stadium di Terengganu yang runtuh. Apakah Dr Awang Adek mahu menyaksikan siri keruntuhan stadium kesan dari hilangnya keberkatan akibat meraih pendapatan dari hasil judi.

Dalam Islam berjudi hukumnya haram. Meskipun ia dinamakan dengan apa sahaja dan untuk tujuan apa pun, kalau ia adalah untuk aktiviti perjudian, hukumnya tetap haram. Walaupun bolasepak merupakan sukan paling popular di didunia, dan mungkin ia melibatkan jutaan peminat yang mungkin menjadi pengundi BN dalam setiap PRU, namun kalau ia adalah larangan yang datang terus dari Allah, maka ia wajar diharam terus. Tidak ada khilaf dan alasan lagi.

Berjudi hukumnya berdosa besar. Ia seumpama dadah, arak, zina, rasuah dan lain-lain dosa besar. Kalau alasannya meraikan bukan Islam, maka tidak wajar Malaysia meletakkan Perlembagaan Islam sebagai agama rasmi negara. Susah sangatkah mencegah aktiviti perjudian berbanding dengan dosa yang terpaksa ditanggung negara dan rakyat kesan dari hasil judi yang telah dihalalkan di negara ini?