Ramai yang terkejut dan merasa tidak percaya dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk dr Awang Adek Hussein berhubung cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen perjudian bolasepak sempena Piala Dunia 2010.
Datuk Dr Awang Adek Hussein memberi alasan jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa. Mudahnya alasan beliau. Hanya kerana judi akan terus berleluasa tanpa kawalan, maka dihalalkan aktiviti perjudian.
Patutlah pusat perjudian terbesar di Asia yang terletak di puncak Genting diberikan permit dan lesen untuk beroperasi. Patutlah juga pusat-pusat perjudian tumbuh bercambah di setiap daerah dan negeri. Rupanya mereka beroperasi secara sah dan berlesen. Kerana takut ia akan terus beroperasi secara haram , maka ia diberikan lesen dan dihalalkan!
Sejak bila berjudi dan aktiviti perjudian menjadi halal? Sudah turunkah hukum Islam yang menghalalkan perjudian di akhir zaman ini? Agaknya mungkin persepsi dan pandangan Datuk Dr Awang Adek, sekiranya diberi lesen dan ianya sah disisi kerajaan, maka berjudi menjadi halal. Yang haram judi hanyalah sekiranya ia beroperasi tanpa lesen atau permit rasmi kerajaan.
Lebih mengharukan lagi beliau menyatakan bahawa hasil judi boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini. Maksudnya sumber yang haram (hasil berjudi) boleh digunakan untuk tujuan yang baik (sukan). Suka diingatkan ramai atlit dan pegawai sukan di negara ini adalah beragama Islam. Adakah mereka hendak menyuap makanan mereka sehari-hari hasil dari pendapatan judi? Kalau digunakan untuk prasarana seperti stadium, lihatlah apa yang terjadi kepada stadium di Terengganu yang runtuh. Apakah Dr Awang Adek mahu menyaksikan siri keruntuhan stadium kesan dari hilangnya keberkatan akibat meraih pendapatan dari hasil judi.
Dalam Islam berjudi hukumnya haram. Meskipun ia dinamakan dengan apa sahaja dan untuk tujuan apa pun, kalau ia adalah untuk aktiviti perjudian, hukumnya tetap haram. Walaupun bolasepak merupakan sukan paling popular di didunia, dan mungkin ia melibatkan jutaan peminat yang mungkin menjadi pengundi BN dalam setiap PRU, namun kalau ia adalah larangan yang datang terus dari Allah, maka ia wajar diharam terus. Tidak ada khilaf dan alasan lagi.
Berjudi hukumnya berdosa besar. Ia seumpama dadah, arak, zina, rasuah dan lain-lain dosa besar. Kalau alasannya meraikan bukan Islam, maka tidak wajar Malaysia meletakkan Perlembagaan Islam sebagai agama rasmi negara. Susah sangatkah mencegah aktiviti perjudian berbanding dengan dosa yang terpaksa ditanggung negara dan rakyat kesan dari hasil judi yang telah dihalalkan di negara ini?
No comments:
Post a Comment