Monday, June 14, 2010

BALASUNGKAWA BUAT ALMARHUM UST HASSAN SYUKRI

Terkejut dan agak sedih mendengar berita kepulangan almarhum Ustaz Hassan Syukri ke rahmatullah jam 2.00 petang hari ini. Baru sahaja saya melihat kelibat beliau di Muktamar dalam keadaan sihat dan bertenaga, tetapi Allah menghendaki segalanya..

Beliau baru sahaja dinobat sebagai Tokoh Dewan Pemuda PAS pada Muktamar DPP Pusat di PUTIK beberapa hari yang lalu. Dan itulah pertemuan saya yang terakhir di dunia dengan beliau.

Ustaz Hassan mungkin tidak sempat menatap kolej Universiti Zulkifli Mohamad di atas tanah yang diwakafnya, namun jasa beliau pasti akan dikenang sehingga bila-bila. Di atas tanah itu beliau berusaha bersama ahli-ahli dan pimpinan PAS membangunkan Markaz Tarbiyah PAS Pusat. Markaz itulah sejak sekian lama menjadi pusat kegiatan aktiviti tarbiyah PAS. Daripada ceramah, konvensyen, ijtimak, usrah, tamrin sehinggalah kepada Muktamar Agung. Paling meriah adalah sambutan bulan Ramadhan setiap tahun yang pasti tidak kurang pengunjung dan tetamu yang datang dari dekat dan jauh.

Bila saya bersama rakan-rakan mendengar cerita beliau bagaimana susahnya generasi awal membangunkan PAS, pasti saya akan merasa sebak dan terharu. Dengan ikhlas dan tawadhuk, tawakkal, serta sabar beliau bersama generasi awalan berjihad untuk membina PAS sehinggalah ke tahap hari ini yang boleh dibanggakan. Tidak tergambar bagaimana beliau boleh berjalan merata Malaysia dalam keadaan kemudahan yang terhad serta komunikasi yang kurang semata-mata mahu menyebarkan risalah dakwah Islam kepada masyarakat.

Tidak sesiapa dapat menafikan ketokohan dan kepakaran beliau dalam Perlembagaan PAS. Selama ini beliaulah yang menulis dan meminda perlembagaan. Sehinggalah Perlembagaan terkini tahun 2009, beliaulah orangnya yang menulis dengan tekun perlembagaan PAS. Beliau tahu satu persatu fakta dan fasal dalam perlembagaan PAS walaupun tidak menatap buku tersebut. Sehinggakan sesiapa sahaja menjadi kagum dengan kekuatan ingatan beliau terhadap perlembagaan PAS.

Dimana-mana beliau berceramah pasti beliau akan menyebut perihal cawangan dan pentingnya menubuhkan cawangan. Beliau berkata itulah faktor kemenangan jemaah dimana-mana tempat, iaitu dengan kekuatan cawangan yang berselerak merata-rata.

Dengan ketokohan beliau, hampir semua jawatan penting di dalam PAS kecuali Presiden PAS telah beliau sandang. Daripada Ketua Pemuda PAS (1971-1973), AJK PAS Pusat, Setiausaha Agung, Naib Presiden, Timbalan Presiden, sehinggalah kepada Ahli Majlis Syura Ulama' PAS. Beliau juga sempat menjawat jawatan selaku Senator selama dua penggal. Namun kesederhanaan beliau tidak membezakan beliau dengan ahli. Bahkan ramai tidak menyangka beliau dengan bersahaja menyapu sampah, membersih serta membakar sampah di markaz hampir setiap hari!

Zaman beliau selaku Setiausaha Agung PAS boleh dianggap antara zaman terhebat PAS. Beliau kerap berkelana untuk menubuhkan cawangan PAS di merata-rata. Beliau jugalah insan yang sangat mengambil berat kebajikan kakitangan dan golongan murabitun. Tanyalah kepada Sdr Zubir, Taufik, Mohd Zain serta Sulaiman Bujang, Ust Hassan tidak pernah kekok menyantuni mereka seakan-akan mereka adalah keluarga Ust Hassan.

Saya bila mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada staf Pejabat Agung, pasti rasa sebak dan terharu. Saban tahun beliaulah orangnya yang memberi 'infak wajib' beras kepada kami setiap kali menjelang hari raya Aidilifitri. Bahkan beliau tidak kedekut memberi saguhati hari raya sekurang-kurangnya RM 200 setiap tahun kepada kami. Dalam keadaan insan lain melupakan kami, beliau adalah pembela yang menjadi pelindung kami kakitangan Pejabat Agung PAS.

Ramai peminta sedekah yang datang ke markaz PAS Pusat, pasti tidak akan pulang dengan kehampaan. Dengan kemammpuan beliau, beliau akan menghulurkan sejumlah sumbangan untuk di bawa pulang.

Pemergian Ust Hassan Syukri, antara pangasas PAS sukar dicari ganti. Dengan jasa dan pengorbanan beliau sebegini besar, marilah kita medoakan roh beliau diangkat sebagai kekasih Allah di tempatkan sebagai golongan syuhada dan solihin. Alfathihah...