Thursday, June 24, 2010

TIDAK WAJAR TUAN GURU DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG MENJADI PENGGANAS

Heboh kebelakangan ini ada pihak cuba mengaitkan PAS dengan pengganas, pemimpin seperti YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai individu yang ada hubungan dengan pengganas.
1. Presiden PAS adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980an lagi. Daripada menjadi Naib Yang Di Pertua, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002. Beliau juga adalah Ahli Parlimen dan seorang ADUN. Mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara. Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media.

2. Pengganas tidak bersifat demikian. Seorang pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak. Beliau takut dirinya akan ditangkap. Segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan. Ambillah contoh beberapa figur yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya. Sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi YB Dato’ Seri Presiden PAS.

3. Kalau YB Tuan Guru Presiden PAS seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru hara. Sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan sepertimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand berlaku. Pengikut PAS dan penyokong YB Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS ada di mana-mana di Malaysia ini. Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau. Populariti beliau lebih daripada YAB Perdana Menteri sendiri. Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri. Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat.

4. Semua tulisan dan ucapan beliau tidak pernah menjuruskan ke arah keganasan. Beliau tidak pernah meminta umat Islam Malaysia berperang dengan kerajaan Malaysia. Semua ucapan dan penulisan beliau adalah berbentuk dakwah dan tarbiyah. Beliau menjurus persoalan akidah dan tauhid, akhlak dan syariat yang menjadi pedoman umat Islam. Beliau selalu meluruskan umat Islam yang bengkok dan lari dari landasan perjuangan.

5. Apakah kerana ketegasan YB Presiden PAS terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, Selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas. Sedangkan itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen. Sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi.

6. Keganasan bukan sikap PAS dan cara PAS mendapatkan kuasa. Sejak tahun 1951, PAS telah menyertai Pilihanraya. Kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS. Tidak pernah PAS mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya.

7. Mengaitkan YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang ini. Tindakan yang mengaitkan beliau dengan keganasan tidak lain hanyalah sikap manusia yang ‘desperate’ serta dengki terhadap populariti beliau. Bahkan orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.

No comments: