Thursday, July 22, 2010

PARTI MELAYU TERBESAR BUKAN BERERTI TERBAIK!

Tiada siapa menyangkal bahawa UMNO memang parti Melayu terbesar di Malaysia. Tetapi tiba-tiba Dato’ Seri Najib, Presiden UMNO pula yang melaung seakan merasa rakyat tidak yakin bahawa UMNO parti Melayu terbesar di Malaysia. Sama ada Dato’ Seri Najib merasa rakyat tidak yakin, ataupun beliau sendiri tidak yakin bahawa UMNO parti Melayu terbesar di Malaysia.

Memanglah UMNO parti Melayu terbesar, kerana ia bersifat nasionalis. Agenda yang diperjuang dan dilaung-laung sejak dulu, kini dan selamanya hanyalah hidup Melayu. Walaupun pada dasarnya bukan Melayu sangat yang dibelanya, melainkan beberapa kerat pemimpin Melayu yang berada dianjung kuasa.

Sedangkan PAS sejak dulu melaungkan takbir yang membesarkan Allah SWT. PAS berjuang untuk Islam yang termasuk di dalamnya semua kaum dan bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Arab, Iban, Kadazan dan lain-lain. Islam adalah adil dan sesuai untuk semua kaum, semua bangsa dan semua zaman. Justeru tidak ada masalah bagi bukan Islam dan kaum lain bernaung di bawah PAS. Kerana itu juga PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari bangsa Cina dan India.

Soal siapa parti terbesar atau tidak bukan menjadi isu utama. Pokok persoalannya adalah UMNO sendiri bergolak. Pemimpinnya bercakaran sesama sendiri. Masing-masing berebut pengaruh dan kuasa. Ahli-ahlinya bercempera. Cawangan dan bahagiannya goyah. Bagaimana mereka boleh berbangga menaungi umat Melayu seramai berjuta orang ini, dalam keadaan organisasinya caca merba.

Yang penting, adakah UMNO parti yang bersih dan selamat untuk rakyat. Bagaimana boleh menjadi bersih sekiranya di dalamnya penuh dengan kefasadan dan kekotoran. Percaya atau tidak, majoriti pemimpin UMNO apabila bercakap soal rasuah dan integriti akan menjadi bahan ketawa dan jenaka rakyat jelata. Yakin atau tidak, rata-rata rakyat Malaysia mempersoalkan pemimpin-pemimpin UMNO sama ada mereka bebas atau tidak dari rasuah. Itu belum masuk dengan pelbagai isu sama ada ketelusan, penyalahgunaan kuasa, dan lain-lain.

Bagaimana UMNO parti yang selamat untuk bangsa Melayu sekiranya bangsanya sendiri menjadi korban pembangunan di bumi mereka sendiri. Yang mendapat habuan hasil pembangunan pesat bukannya umat Melayu yang dibela itu, tetapi taikun-taikun bangsa selain Melayu! Subsidi dipotong, biasiswa dihapuskan, hak istimewa sedikit demi sedikit dicabar dan ditanggal.

Percayalah, agenda perjuangan bangsa adalah agenda lapuk yang sudah ketinggalan zaman. Hari ini rakyat ingin melihat perjuangan berteraskan kepada keadilan, ketelusan, kejujuran dan pembelaan kepada semua tanpa mengira warna kulit. Rakyat sedang melihat masa depan parti politik yang meletakkan keadilan pada semua, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Bangsa Melayu dijadikan teras untuk diperjuangkan tanpa mengira pangkat atau jawatan politik. Itulah politik realiti yang diimpikan rakyat, bukan diukur pada kecil besarnya jumlah ahli pada parti tersebut!

No comments: