Tuesday, November 30, 2010

KETUANAN MELAYU VS KETUANAN ISLAM

Mengamuk sakan juak UMNO dan Perkasa apabila Dr Wan Azizah mempertikaikan ketuanan Melayu dan mahu menggantikan dengan Ketuanan Rakyat. Seolah-olahnya Perjuangan Melayu adalah perjuangan suci dan maksum.

Seolahnya, orang Melayu adalah umat terbaik yang dipilih Allah untuk manusia. Seakannya, umat Melayu lebih mulia dari keturunan Rasulullah saw. sebegitu tinggi segelintir orang Melayu mahu pelihara dan mengangkat umat Melayu melebihi perjuangan menegakkan Islam sendiri. Katanya, Melayu itu automatik Islam di Malaysia. Perlembagaan yang memaktubkan perkara ini. Sedangkan ramai umat Melayu murtad atau tidak beragama, itu Islam kah? Melayu yang menentang Islam, Islamkah? Melayu yang memperlekeh Islam dan undang-undang peraturannya, Islamkah?

Kalau nak dilihat pada dasar perjuangan mereka yang kononnya kuat berslogan memperjuangkan umat Melayu itu, lihatlah apa yang mereka perbuat kepada bangsa Melayu. Siapakah yang memadamkan tulisan jawi dalam silibus pelajaran sekolah? Orang Cina ke Melayu? Yang menghapuskan biasiswa untuk pelajar universiti, yang mahu membuka sistem meritokrasi di universiti, siapakah itu? Siapakah yang menghapuskan rumah-rumah setinggan milik Melayu digantikan dengan kondominium mewah milik bangsa lain. Siapakah yang merampas tanah di Iskandar, Johor lalu membuka pemilikan itu kepada sesiapa sahaja. Siapakah yang menderhakai Raja Melayu lalu menurunkan kuasa raja dan kesultanan Melayu. Siapakah yang mahu menggadai tanah Kampung Baru? Bukankah juak-juak mereka juga yang merampas dan berebut ghanimah harta rakyat yang bernama Melayu?

Jelaslah mereka sedang memainkan episod retorika ketuanan bangsa. Sedangkan mereka lupa, bahawa yang menjadikan manusia ini mulia adalah kerana Islam. Dr Wan Azizah silap sedikit pada slogan yang dimainkan. Patutnya Ketuanan Islam bagi menggantikan Ketuanan Melayu!

Thursday, November 4, 2010

BERMARUAHKAH KEMENANGAN BN DI GALAS DAN BATU SAPI?

Akhirnya BN diisytiharkan menang di Galas dan Batu Sapi. Di Galas BN merampas kerusi yang dimenangi oleh PAS tahun 2008 dulu. Manakala di Batu Sapi mempertahankan kerusi yang pernah mereka menangi

Maka tersenyumlah Najib dan Muhyiddin. Lebih penting lagi Rosmah tersengeh-sengeh. Tidak sia-sia Rosmah menggalas tugas suaminya merasmikan program besar negara. Tidak sia-sia beliau bertemu dengan pemimpin luar negara sebagai menggantikan suaminya. Tidak rugi beliau meminta peruntukan RM 111 juta untuk Permata berbanding hanya RM 95 juta untuk SAR. Tidak ada kesan apa-apa menaikkan harga minyak petrol RM 0.05 sen beberapa hari yang lalu. Semuanya bahkan menaikkan undi BN lagi.

Muhyiddin pula dan BN, tidak segan-segan meratah jentera kerajaan sepuas-puasnya. Habis sekolah, dengn m urid-muridnya, guru-guru, ibu bapa, polis, tentera, pegawai kesihatan, hospital dan pelabagai agensi dikerah bagi berkempen untuk UMNO. Semuanya digunakan semaksimum mungkin tanpa rasa malu dan segan.

Hampir tergelak sekalian rakyat yang cerdik telatah SPR yang diperkudakan. Kalau PAS buat, semuanya ditohmah rasuah, walaupun ianya zakat. Tapi yang dibuat BN, depan mata, sogokan berjumlah RM 250, RM 100, RM 1000 dan pelbagai rasuah wang dianggap sebagai peruntukan kerajaan kepada rakyat. Kesian SPR yang masih hitam dari kebebasan demokrasi.

Di Batu Sapi, apakah keburukan yang tidak dilemparkan oleh BN terhadap pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat? Naik jemu kita mendengar pujian melangit media terhadap kepemimpinan Perdana Menteri dan BN. Kononnya hanya BN layak perintah negara. Pembangkang pula - lembaplah, rasuahlah, tidak cekaplah, tidak peduli rakyatlah, tiada wawasanlah dan macam-macam lagi perkataan buruk dilemparkan.

Sekiranya inilah trend kerajaan BN dalam berkempen yang tidak mempedulikan etika dan menjaga kebebasan media, maka sukarlah indeks kebebasan akhbar negara untuk meningkat. Labih jauh lagi, bagaimana Malaysia akan diiktiraf dunia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenar.

Apakah yang BN hendak dibanggakan dengan kemenangan ini. Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri, bermaruahkah kemenangan ini dengan segala macam penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan?

Bagi Pakatan Rakyat, kekalahan ini memberi makna bahawa Galas dan Batu Sapi akan kembali dimenangi dalam Pilihanraya Umum akan datang sebagaimana terjadi di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan DUN Ijok tahun 2008. Kerana Pilihanraya Kecil bukanlah ukuran kekuatan BN melainkan sebagai ukuran kekuatan jentera kerajaan yang menggempur Pakatan Rakyat!

Monday, November 1, 2010

NAJIB KE ROSMAH PM MALAYSIA?

datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memang Perdana Menteri Malaysia ke enam. Semua orang mengiktirafnya. Tetapi semalam apabila Datuk Seri Mohd Najib diisytiharkan tidak sihat kerana dijangkiti demam cacar 'chicken pox' beliau pun menguzurkan diri dari merasmikan program Karnival Deepavali 1Malaysia di Brickfield.

Yang menghairankan, yang menggantikan Nasjib selaku PM adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Rosmah lah yang membaca teks ucapan beliau dan seterusnya merasmikan karnival tersebut.

Betulkah protokol di Malaysia ni? Bukankah program-program rasmi negara seharusnya perlu didahulukan pemimpin negara untuk merasmikan. Memanglah Rosmah isteri Perdana Menteri, tetapi beliau tidak ada jawatan utama dalam kerajaan.

Apakah apabila Najib sakit, maka orang nombor dua beliau adalah isterinya sendiri. Di mana Timbalan Perdana Menteri, atau Menteri-menteri kabinet yang lain? Atau mungkin Setiausaha Parlimen, Ketua Setiausaha atau Setiausaha Politik Najib?

Selepas ini, kalau Najib sakit atau uzurkan diri, maka yang akan merasmikan perhimpunan Agung UMNO, yang akan merasmikan program rasmi negara atau menghadiri Perhimpunan PBB bukannya Muhyiddin, tetapi Rosmah....

KELANTAN JUARA BARU PIALA MALAYSIA. TAHNIAH!

Sekalung tahniah diucapkan kepada Pasukan Kelantan yang berjaya menjuarai Piala malaysia tahun ini. Memang dari awal telah dijangka Kelantan akan memenangi piala ini. Dengan baarisan bintangnya, serangan agresif sedari awal permainan, ditambah sokongan padu penonton akhirnya Kelantan berjaya memenangi perlawanan ini.

Negeri Sembilan merupakan pasukan juara bertahan, tetapi tahun ini bukan rezeki mereka. Serangan bertali arus menyebabkan akhirnya Negeri Sembilan terkulai layu di tangan Kelantan.

Tahniah, sang juara baru Piala Malaysia. Semoga ia menyemarakkan lagi pengundi PAS di Galas untuk memenangi PRK Galas.