Thursday, April 29, 2010

Keadilan Untuk Aminulrasyid

Ini adalah cerita remaja malang yang ditembak dua hari lepas, dari versi YB Khalid Samad...


Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis. Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali masyarakat tempatan.

Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun. Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asr telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan. Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.

Saya kemudianya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan. Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.

Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, “dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri”. Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan ‘stay low profile’. Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka. Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi “seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam….sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun….suspek kedua berjaya melepaskan diri..”

Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ. Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan. Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.

Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas. Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.
Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :-

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.
2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.
3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya. Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

ALANGKAH CEKAPNYA SPRM BERTINDAK…!

Berlari tak cukup tanah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendapat tahu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Berbulan SPRM selongkar fail dan kenyataan terkini Pengarah SPRM bahawa SPRM akan terus siasat dan dakwa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Alangkah efisyennya pegawai-pegawai SPRM bekerja apabila ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka juga bertindak efisyen apabila ianya hanya melibatkan pegawai golongan bawahan. Syabas dan tahniah pegawai SPRM yang bekerja siang dan malam bagi memastikan ‘rasuah’ oleh pemimpin khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) diperangi sama sekali.

Demi menjaga prinsip keadilan dan kebenaran, sesiapa pun bersalah wajar dihadapkan ke muka pengadilan, hatta melibatkan pemimpin tertinggi PAS sekalipun. Islam tidak membela individu, tetapi membela keadilan dan kebenaran. Dalam hal ini, sekiranya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bersalah, hukumlah beliau. Sebaliknya, jika tidak bersalah, silalah bersihkan nama beliau.

Yang menjadi tandatanya rakyat sejauh mana keberkesanan dan efisyen SPRM apabila rasuah itu melibatkan pemimpin UMNO-BN. Mengapa kalau rasuah dan laporan itu melibatkan pemimpin tingi BN-UMNO, SPRM bertindak lambat seperti kura-kura. Ia seperti sebuah skrip yang semua rakyat tahu jalan ceritanya. Awalnya SPRM akan bermula garang tetapi di akhirnya cerita ini ‘happy ending’ bagi pemimpin UMNO-BN. Dibebaskan begitu sahaja. Pelbagai alasan yang akan diberikan SPRM apabila seseorang pemimpin UMNO-BN bebas yang semua kita sudah ketahui ayatnya, iaitu : ‘tidak cukup bukti’, ‘telah serahkan pada Peguam Negara, tetapi Peguam Negara tidak bertindak’, ‘tidak cukup kakitangan’, ‘saksi tidak konsisten’, ‘bidang kuasa SPRM yang terhad’, dan pelbagai lagi alasan.

Telah berguni-guni dan berpuluh-puluh fail didedahkan, dan dilaporkan ke SPRM, namun tahap efisyennya tidak berkesan seperti tindakan terhadap Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz. Rakyat telah muak hendak bertanya, apa sudah jadi dengan pelbagai kes penyelewengan kuasa dan salah laku pemimpin UMNO-BN. Setengahnya telah memakan masa hampir sepuluh tahun, tetapi kes itu tetap dipengapkan begitu sahaja.

Untuk rekod, elok kita bertanya, apa sudah terjadi kepada kes rasuah pilihanraya di Johor pada tahun 2004, yang ejen calon BN telah ditangkap ketika cuba menyogokkan wang kepada calon PAS untuk menarik diri. Bukti, rekod dan gambar sudah dikemukakan. Bagaimana dengan laporan terhadap DS Dr Mohd Khir Toyo yang telah diadukan mengenai rasuah beliau beserta maklumat dan bukti yang telah disebarkan melalui akhbar dan internet. Apa kesudahan kepada kes rasuah PKFZ yang menelan berbilion ringgit. Bagaimana pula dengan kes rasuah pemimpin UMNO Kedah yang cuba membeli ADUN Pakatan Rakyat di Kedah. Rakaman video dan dokumen telah ada, tetapi apa kesudahannya? Bagaimana kes melibatkan pembelian kapal selam Scorpene yang komisyennya menelan beratus juta ringgit. Apa terjadi kepada kes beli ADUN di Perak dan Ahli Parlimen yang lompat parti sekarang ini, tidak terliurkah SPRM hendak menyiasat punca mereka lompat? Bagaimana dengan kes bangunan dan stadium di negeri Terengganu yang runtuh. Mengapa SPRM tidak menyiasat dakwaan beli undi oleh BN dalam setiap Pilihanraya Kecil termasuk di Hulu Selangor. Banyak lagi pertanyaan dan persoalan yang SPRM perlu jelaskan kepada rakyat.

Sememangnya hari ini SPRM terus menjadi bahan ketawa rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa. Indeks rasuah negara terus merudum dan hampir masuk ke kategori corot. Hampir semua mengetahui bahawa negara diambang kebinasaan kerana sikap acuh tidak acuh SPRM bertindak mengawal rasuah negara. Cukuplah sekadar merasai atmosfera demokrasi Malaysia, sudah boleh mengagak betapa parahnya rasuah di Malaysia.

Bagi memastikan indeks rasuah negara bersih dan menjaga imej negara di mata dunia, adalah elok SPRM bertindak adil kepada semua pihak. Membanteras rasuah perlu dilakukan secara serius tanpa memilih bulu dan mengira latar belakang parti politik. SPRM perlu berani berubah dan bertindak tegas di luar batasan kuasa politik yang bergantungan pada agensi yang strategik!

Monday, April 26, 2010

APABILA POLITIK TIDAK DIIZINKAN DI MASJID

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz dituduh tidak menghormati sultan dan institusi istana apabila engkar arahan agar tidak berkhutbah politik di masjid. Pelbagai label buruk ditohmah hanya kerana beliau meneruskan khutbah tersebut. Kononnya Tuan Guru Nik Aziz telah memecah belahkan perpaduan umat Islam, merosakkan pemikiran umat Islam dan lain-lain.

UMNO nampaknya masih berpemikiran 'sekular' dan ortodoks (lapuk). Pemimpinnya masih belum keluar dari zon pemikiran 'penjajah' yang mahu memisahkan politik dan agama. Inilah ajaran yang telah diserapkan oleh British tatkala mereka menjajah negara suatu ketika dulu. Bagi mereka agama dan segala institusinya adalah suci yang tidak wajar bercampur aduk dengan urusan kehidupan. Bagi mereka juga, kehidupan adalah kotor dan hanya mereka sahaja layak memperkatakannya, (bukannya golongan ulama').
Tuan Guru Nik Abdul Aziz diminta berhenti menjadi ahli politik dan menumpukan hanya pada bidang ke 'ulamakkan sahaja. Mentaliti rendah sebegini yang memasungkan umat Islam dari kepompong kehidupan dan realitinya.

UMNO mungkin lupa, Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin yang menguasai serba bidang. Baginda adalah pemimpin negara (ahli politik), baginda juga naik ke mimbar membaca khutbah, baginda juga Imam solat, baginda mengetuai pasukan ketenteraan, baginda adalah ayah dan bapa dan segala-galanya. Mungkin UMNO lupa, Nabi Muhammad SAW apabila berhijrah ke Madinah, perkara utama yang dibuatnya adalah membina masjid. Di masjid itulah Nabi Muhammad SAW mengajar dan mendidik disamping menegur dan memberi amaran kepada umat Islam mahupun musyrikin. Di zaman Nabi Muhammad SAW, tidak ada pemisahan bidang kehidupan. Politik, ekonomi, pendidikan, kenegaraan, kehakiman, perundangan dan lain-lain lagi. Islam ketika itu merangkumi semua aspek kehidupan.

Apabila politik tidak diizinkan dibicara di masjid, maka apakah kesan kepada institusi paling penting kepada umat Islam? Seperti yang kita lihat hari ini, institusi masjid menjadi mandom dan tidak berperanan. Ianya hanya untuk solat berjemaah, solat Jumaat, solat tarawih, jenazah, hari raya dan itu sahaja. Kuliah yang diizinkan pun hanya meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah, topik yang telah diulang-ulang sejak 20 tahun yang lepas. Ini yang diizinkan dalam masjid ala UMNO. Khutbah pula disediakan teksnya dan dipantau keras. Mana-mana khatib yang membaca khutbah tanpa teks akan diambil tindakan, termasuk tidak akan dijemput lagi.
Sebab itu UMNO menjadi sasau apabila Tuan Guru Nik Aziz membaca khutbah atau tazkirah politik dalam masjid. Kerana selama ini doktrinnya tidak pernah perkara sebegini tembus dalam masijd. Apa yang ditakuti sangat adalah sekiranya ramai jemaah yang mendengar kuliah tersebut dan mula sedar tentang ‘waqi’ politik negara. Lebih gerun lagi, kalau jemaah masjid mula membuat keputusan meninggalkan UMNO. UMNO selesa umat Islam berada dalam kejahilan, kerana senang untuk dicucuk hidung dan di arah.

Dalam keadaan tersepit, UMNO gunakan sultan untuk bertitah. Tuan Guru dituduh derhaka dan tidak ‘wala’ pada sultan. Institusi istana adalah senjata ampuh UMNO sejak dulu hingga kini. Lihatlah pada negeri Perak dan kesudahan episod rampasan kuasa. Istana dijadikan perisai untuk menghalalkan tindakan mereka.

Cuma timbul persoalan, bagaimana pula Najib, Muhyiddin atau Jamil Khir pula menggunakan masjid untuk adakan sebarang aktiviti? Najib, Muhyiddin, Hishamuddin dan barisan kabinet tertinggi belum ada sejarah naik mimbar berkhutbah. Hanya Anwar sahaja pernah membaca khutbah. Tetapi kalau mereka juga menggunakan masjid, mungkin nada dan intonasi nya juga turut berubah. Ketika itu yang haram selama ini menjadi halal. Dan Sultan pula turut gembira masjid dipolitikkan. Ini hanya terjadi kalau UMNO yang berpolitik di masjid kerana UMNO memang terkenal menghalalkan semua perkara yang haram....

BN BELANJA PULUHAN JUTA RINGGIT HANYA UNTUK MENANG DENGAN 1700 UNDI.

Seperti telah diduga, BN menang di Parlimen Hulu Selangor. Maka hebohlah seantero alam kemenangan bergaya BN dalam pertarungan senget sebelah ini. Di jaja habis kononnya keyakinan rakyat pada kepemimpinan DS Najib kembali bertaut.

Sebenarnya di atas kertas, BN sudah memenangi PRK Hulu Selangor. Tanpa pilihanraya pun BN sudah mendahului dengan 6000 undi! Mengikut rekod, ketiga-tiga DUN di Hulu Selangor dimenangi BN dengan majoriti 6000 undi. Hanya nasib yang memenangkan calon PR pada PRU ke 12 yang lepas. Dan kini PR bergelut untuk mencuri beberapa ribu undi dari pengundi BN untuk memenangkan Zaid.

Melihat kepada jentera kempen dan cara bagaimana PR bekerja sememangnya amat mengkagumkan. PKR dan PAS dengan jentera yang dikerahkan hampir 70% keseluruhan sudah pasti tidak mampu untuk capai setiap individu pengundi. Bayangkan Parlimen Hulu selangor yang sebesar negeri Melaka ini. Seramai 60,000 pengundi yang duduk di seluruh pelusuk kawasan, ramai petugas yang tidak terkejar untuk pergi rumah ke rumah. Dari Hulu Yam Bharu hingga ke Felda Sungai Tengi yang jaraknya lebih kurang 120 kilometer, itulah besarnya Parlimen Hulu Selangor. Mungkin SPR terlepas pandang untuk memecahkan Parlimen Hulu Selangor mengikut Gerrymandering (persempadanan semula).

Petugas PR berbelanja dengan duit sendiri. Poster, duit minyak, makan minum, penginapan, bahan risalah kempen, program dan lain-lain lagi semuanya adalah peruntukan parti ataupun individu. Hanya kos cetakan agensi parti seperti Harakah, Siasah dan Suara Keadilan taja sepenuhnya.

Saya mendapat maklumat bahawa bahan cetakan seperti poster dan bendera di sabotaj oleh ahli-ahli PKR yang keluar parti. Lebih kurang 3 kontena bahan kempen itu dicuri dan disembunyikan. Bayangkan dengan ujian dan cabaran seperti ini, bagaimana PR boleh bekerja dengan baik.

Pengundi pula, bagi golongan muda di kawasan bandar dan pesisirnya sambutannya sangat baik. Program-program kempen sepanjang tempoh kempen di kawasan tersebut mendapat sambutan yang sangat baik. Yang menjadi masalah adalah pengundi di Felda-felda dan pedalaman kampung. Rata-ratanya apabila bertemu mengucapkan terima kasih kepada BN kerana memberi air percuma! Sedangkan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang memberikan air percuma. Inilah yang dikatakan, "Lembu punya susu, sapi dapat nama". BN menumpang tuah kebaikan kerajaan PR dengan mengelabui mata pengundi.

Dengan peruntukan kepada Kementerian-kementerian melalui program 'segeranya' di Hulu Selangor, sumbangan basikal, hamper, baja, alat permainan, duit sumbangan, turap jalan, tidak termasuk janji-janji manis dan lain-lain lagi, bagaimana boleh kempen PRK berjalan dengan baik. BN juga seperti bisa mengerahkan hampir semua jentera kerajaan seperti polis, RELA, pegawai-pegawai kerajaan hanya untuk berkempen bagi pihak mereka.

SPR seperti biasa bersikap 'pekak badak' dan berlagak seolah pengadil yang baik. Tidak terlintas oleh SPR dan SPRM bahawa program-program 'segera' hampir semua Kementerian di Hulu Selangor adalah rasuah politik yang jijik dan kotor!! Ini belum lagi aksi kempen melalui media perdana seperti televisyen dan akhbar milik negara, semuanya dimanipulasi semaksima mungkin seolah-olah mereka sahaja yang bertanding. Dan dalam hal ini, SPR dan SPRM mejadi 'buta dan tuli' daripada mendengar keluhan dan suara rakyat. Tidak menjadi kesalahan kepada SPRM kalau BN berbelanja berjuta-juta ringgit, lebih dari kemampuan sebuah parti asalkan kesalahan itu dilakukan oleh BN.

Dengan peruntukan BN sedemikian banyak, maka tidak wajar mereka hanya memenangi dengan 1700 undi. Sepatutnya mereka boleh menang dengan 6000 undi majoriti. Syabas dan tahniah sebenarnya adalah untuk jentera petugas Pakatan Rakyat, yang mampu bertahan dan sabar dengan serangan bertali arus dari dari pelbagai sudut dan mendapatkan undi majoriti 1700. Syabas juga kepada pengundi yang melihat kebenaran dengan memilih PR. Takziah kepada pengundi Islam di Hulu Selangor, yang telah memilih seorang bukan Islam sebagai pemimpin mereka. Selepas ini ajaklah Kamal itu sebagai Imam solat berjemaah, Imam solat jenazah di masjid ataupun membaca tahlil arwah dikampung-kampung...

Friday, April 23, 2010

RUPANYA KITA BERPEMIMPINKAN PEMINUM ARAK!

Mengejutkan apabila Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali mendedahkan dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini, bahawa empat Perdana Menteri kecuali Pak Lah pernah minum arak. Ada yang dilihat dengan matanya sendiri.

Pendedahan Dato' Mustaffa Ali itu sememangnya amat menyedihkan. Memanglah UMNO selama ini telah dipalitkan dengan pelbagai kecurangan dan skandal, tetapi apabila beliau mendakwa ada kejadian yang beliau lihat dengan matanya sendiri, ini menunjukkan betapa parahnya UMNo dan pemimpinnya.

Semua orang mengetahui bahawa Dato' Mustaffa Ali pernah duduk dalam kerajaan dan kabinet. Beliau pernah menjadi Timbalan menteri suatu ketika dahulu di zaman 70'an. Sudah tentu pelbagai kejadian yang beliau saksikan di depan mata beliau sendiri. Beliau lah yang paling mengenali setiap pemimpin UMNO dulu dan sekarang.

Saya berkeyakinan, beliau tidak bercakap bohong. Beliau adalah saksi hidup yang dapat menceritakan serba serbi perangai hodoh dan buruk pemimpin UMNO. Bahkan yang lebih mengejutkan, katanya lagi, 'tidak ada pemimpin utama UMNO yang terlepas dari melakukan empat dosa iaitu rasuah, arak, judi dan perempuan. Kadangkalanya ada pemimpin yang 'pakej' sekali empat dilakukannya.

Kesian rakyat Malaysia yang terhegeh-hegeh memenangkan pemimpin UMNO. Rasa sayu pada golongan ulama' yang menyokong pemimpin UMNO. Teringat pada tok-tok lebai dan imam masjid yang bersungguh-sungguh kempen bagi pihak UMNO. Sebak apabila mengenangkan tok-tok guru dan pakcik-pakcik yang berulang kali mengerjakan haji yang masih menyokong UMNO. Simpati pada mereka yang mengajar di masjid-masjid erti dosa dan pahala, tetapi berketua negara kan pemimpin yang minum arak!

Tetapi yang malang, pemimpin ini juga menjaja seluruh negara mengajar erti akhlak dan peribadi yang bersih. Walaupun ia penting, tetapi yang bercakap itu juga melakukannya, apa cerita...

Justeru, tidaklah layak pemimpin UMNO bercakap soal akhlak dan peribadi bersih. Lebih baik mereka menumpukan pada agenda pembangunan negara yang mereka janjikan dulu sebelum bercakap soal sahsiah. Kerana nantinya yang mendengar ucapan mereka akan gelak ketawa dan sorak sorai mengenangkan mereka juga melakukan dosa yang sama.

Friday, April 9, 2010

ISU APCO. MALAYSIA SEDANG DALAM BAHAYA...

Telah tersebar seantero Malaysia bahawa kerajaan yang ditunjangi UMNO-BN sedang bersekongkol dengan Apco, sebuah syarikat konsultan yang memberi khidmat nasihat pemulihan imej negara dan pemimpinnya. Telah diketahui umum kini bahawa APCO telah terlibat secara langsung dengan kerajaan Israel dan bertanggungjawab mempopularkan slogan 1Israel sama seperti mereka mempopularkan 1 Malaysia.

Isu ini sangat berat dan besar. Bukan nak dipolitikkan sangat, tetapi ia perlu ditangani secara tegas. Kita yang selama ini dilihat tegas dalam isu umat Islam rupa-rupanya dalam kantung keselamatan negara khususnya yang melibatkan sistem komunikasi negara telah bocor kepada pihak luar. Lebih dahsyat lagi, pihak itu adalah Israel.

Serasa macam letih umat Islam berdemo mempertahankan mujahidin di Palestin yang menjadi pembunuhan kejam Israel. Semua mengetahui bahawa Israel adalah pusat kejahatan. Hampir semua krisis di dunia khususnya di dunia Islam dicipta oleh Israel.

Kita juga memahami bahawa Israel sedang menguasai ekonomi dunia, melalui puppetnya Amerika. Mereka lah yang mencipta inflasi, masalah kewangan dunia serta naik turun ekonomi dunia. Mujur ada China sebagai pengimbang ekonomi dunia. Kalau tidak pasti seluruh dunia terpaksa bersujud kepada Israel.

Umat Islam mengimani bahawa Dajjal yang akan dibangkitkan akan memimpin tentera Yahudi dan Israel. Mereka adalah musuh no wahid umat Islam yang dipimpin oleh Imam Al Mahdi. Israel dan Dajjal akan merosakkan seluruh dunia dan memaksa supaya manusia menyembah dajjal.

Dalam sejarah, tidak sedikit Allah ceritakan perihal kaum degil Yahudi dan bani Israel. Nabi-nabi yang didatangkan dari kaum mereka dimusuhi. Sebahagiannya mereka bunuh. Allah sehingga memesan agar umat Islam jangan sesekali terpedaya dengan pujukan dan tipu daya Yahudi dan bangsa Israel ini. Bangsa mereka pernah ditukar menjadi kera dan babi.

UMNO dalam beberapa bulan kebelakangan ini sibuk cuba menjadi hero Islam. Isu Kalimah Allah dipolitikkan sebegitu rupa, seakan mereka sahaja yang berjuang untuk Islam. sampai YB Kulim pun terpedaya dengan kehebatan UMNO 'mempertahankan' kalimah Allah.

Rupanya dalam isu Israel dan APCO ini, terlerailah tembelang UMNO. Rakyat seharusnya membuka mata dan melihat siapa UMNO yang sebenarnya. Dalam dua tiga hari ini juga, tembelang UMNo sekali lagi pecah. Bukan setakat sistem komunikasi negara diambil alih oleh syarikat yang ada kepentingan dengan ISrael, bahkan PDRM juga berjaya diterobos masuk. Mereka masuk sehingga ke Bukit Aman, kubu pertahanan dan keselamatan paling kebal di Malaysia.

Bila jadi perkara ini, apa perlu dibuatkan? Telah banyak mana maklumat perisikan negara telah sampai ke bumi Israel? yang kita sama-sama hairankan mengapa kerajaan tidak berhati-hati dalam melantik penasihat imej negara. Soalnya lagi, perlukah dihabisi berjuta ringgit hanya untuk memulihkan imej negara dan pemimpin yang sudah pun tercalar??

Kalau memulihkan imej dengan memulihkan kredibiliti kerajaan tidaklah mengapa. Rasuah, kronisme, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, menipu dan lain-lain kalau dibuat reformasi secara besar-besaran saya rasa sudah lebih dari memadai. Berikan kebebasan pada akhbar, PDRM, SPRM, mahkamah, SPR, Peguam negara, pihak istana. Rasa-rasanya reformasi pada ini sudah cukup untuk memulihkan imej negara tanpa perlu menghanguskan berjuta ringgit.


Alhamdulillah, Allah telah membuka jalan. Semoga rakyat dapat menilainya dan mengenali siapa UMNO sebenarnya...

Friday, April 2, 2010

Alfatihah! Din Beramboi meninggal dunia...




Din Beramboi meninggal
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Era dan pelawak terkenal, Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43, atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi meninggal dunia di Hospital Selayang (HS) di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas menghidap demam denggi berdarah sejak Isnin lalu.

Adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, berkata mesin sokongan hayat yang dipasang sejak beliau tidak sedarkan diri dihentikan atas nasihat doktor berikutan kegagalan organ dalaman terutama buah pinggang dan hatinya berfungsi.

“Atas permintaan keluarga, doktor masih mengekalkan mesin sokongan hayat sehinggalah ia dihentikan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang di sini.

Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu sejak Isnin lalu selepas menghidap demam denggi berdarah dan keadaannya dilaporkan kritikal serta tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menerima rawatan.

Ketika dimasukkan ICU Allahyarham menggunakan sepenuhnya alat bantuan pernafasan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suhaini Che Man dan tiga cahaya mata perempuan termasuk anak sulungnya, Nil Aina Adibah, 18.

Jenazah dijangka dibawa ke kediamannya di Taman Ehsan, Kepong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ihsan Kepong sebelum solat Jumaat.
Allahyarham berasal dari Sungai Besi disini, dan mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelawak dan pelakon terkenal itu menerima rawatan di HS akibat demam denggi berdarah, bukannya jangkitan virus air kencing tikus seperti yang didakwa pelbagai pihak. - Bharian

Thursday, April 1, 2010

PERJANJIAN DENGAN APCO. APA SEBENARNYA BERLAKU?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
PERJANJIAN DENGAN APCO: NEGARA KINI DIAMBANG BAHAYA

(30 Mac 2010)
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius dakwaan bahawa kerajaan Malaysia terlibat secara langsung dengan APCO Inc, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan rejim Zionis Israel sebagai syarikat perundingan total kepada komunikasi negara. DPPWP merujuk kepada pendedahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan penglibatan APCO dengan kerajaan Israel serta kerajaan Malaysia.
DPPWP berpendapat dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat serius kerana ia melibatkan keselamatan negara. Memandangkan syarikat tersebut menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat, maka sudah tentu negara berada dalam keadaan bahaya. Tidak mustahil maklumat penting negara telah terlepas ke tangan syarikat berkenaan dan sudah pasti negara boleh tergadai pada bila-bila masa. Sejarah pernah mencatat sebuah syarikat komunikasi antarabangsa yang pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat. Apakah jaminan kerajaan tidak memberikan apa-apa maklumat strategik negara kepada syarikat berkenaan?
Malaysia baru kehilangan enjin jet pejuang yang telah terlepas kepada syarikat dan negara lain, yang risikonya aset serta maklumat pertahanan negara telah bocor kepada pihak luar. Dalam kes ini, maklumat strategik dan komunikasi rakyat diketahu secara langsung melalui rundingan dengan kerajaan Malaysia, apakah jaminan rakyat dan negara Malaysia berada dalam keadaan selamat sekarang?
DPPWP merasa kesal tindakan kerajaan mengadakan rundingan dengan syarikat yang ada kaitan dengan rejim Zionis. Dalam keadaan seluruh dunia Islam membenci dan memusuhi rejim Zionis kerana tindakan zalim mereka menyerang umat Islam khususnya di negara Palestin, kerajaan seakan tidak menjaga sensitiviti umat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia. Apakah alasan yang akan diberikan jika umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan akibat perjanjian langsung negara dengan syarikat yang ada kaitan dengan rejim Zionis Israel. Mengapa kerajaan tidak bersikap berhati-hati dengan menyemak latar belakang syarikat serta tokoh-tokoh di sebalik syarikat berkenaan terlebih dahulu?
DPPWP mempersoalkan apakah relevannya kerajaan membazirkan wang rakyat berjuta-juta ringgit hanya untuk memperbaiki imej kerajaan UMNO-BN dan Perdana Menteri yang sudah rosak di mata rakyat. Perdana Menteri dan kerajaan tidak perlu menipu rakyat dengan slogan dan imej yang dibuat-buat. Rakyat di Malaysia sangat cerdik dan celik maklumat untuk mengenali Perdana Menteri mereka.
Akhir sekali, DPPWP mendesak kerajaan agar membatalkan perjanjian dengan APCO serta merta dan mendesak agar ditubuhkan Siasatan Di Raja bagi menyiasat skandal yang memalukan negara ini.
Disediakan oleh
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

LEPAS ZAHRAIN, GILIRAN ZAMBRY PULAK MEMBUAT LAWAK LOMPAT PARTI.

Semuanya berinspirasikan maklumat sensasi dari Dato Zahrain. Dengan cerita leluconnya beliau berjaya membuatkan media massa berbicara buat beberapa minggu. kemuncak kebodohan cerita tersebut apabila juak UMNO membuat laporan polis meminta Anwar disiasat, bukan Zahrain. Takpelah habis satu babak.

Ceritanya disambung oleh Zulkifli Noordin. Satu Malaysia tahu penglibatan Najib dengan konspirasi pembunuhan Altantuya. Tiba-tiba beliau membuat pengakuan ditawarkan ganjaran supaya bersubahat mengaku mengatur konspirasi terhadap Najib. Satu Malaysia gelak ketawa dengan pengakuannya. Setelah dipecat baru mengaku, selama ini mengapa berdiam diri?

Kini baton disambut oleh Zambry. Cerita sama diolah lebih sensasi. Kononnya beliaulah calon favourite MB Pakatan Rakyat, andainya beliau melompat. Hilai ketawa lagi rakyat Malaysia sehingga menitis air mata dengan kelawakannya. Siapa tak kenal UMNO. Tiada fulus boleh mampus. PR nak tawar apa pada YB UMNO? Setakat janji manis air liur bolehlah.

Setakat perasan dialah calon MB PR, saya ingat sesiapa boleh mengaku. Apa, aset berharga sangatkah dia??? Selepas ini siapa pula bakal mengaku dipujuk, ditawar dan diganjarkan dengan imbuhan lumayan. Yang pasti, semuanya pelawak yang cuba memeriahkan pentas politik negara.

PELAWAK DIN BERAMBOI KRITIKAL

Tersebar berita pelawak terkenal Din beramboi koma dan berada dalam kritikal akibat virus dipercayai kencing tikus atau denggi berdarah. Kita bersama doakan agar beliau cepat sembuh. Beliau terkenal dengan gaya spontan lakonan yang berjaya mencuit hati...