Monday, January 31, 2011

MUNGKINKAH REVOLUSI DI ARAB AKAN BERJANGKIT KE MALAYSIA

Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, ia diekori oleh negara-negara Arab yang lain.

Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga mengamalkan demokrasi. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan. Bahkan pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab.

Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mmedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya.

Keadaan di Malaysia, meskipun tidak ketara tetapi situasinya hampir sama. Meskipun parti politik bebas bertanding dalam pilihanraya, namun hanya BN diberi tempat yang luas. Setiap pilihanraya berlangsung dalam keadaan yang tempang dan pincang. Undi pos adalah senjata utama bagi memenangkan percuma buat BN. SPR pula dijadikan kuda tunggangan dengan pelbagai peraturan ketat buat pembangkang, bukan BN. Daftar pemilih dimanipulasi sehingga berlaku penyelewengan yang ketara. Sengaja pemerintah tidak melaksanakan sistem celup jari bagi mengelakkan keadilan terlaksana. Manakala jentera kerajaan diperah semaksima mungkin bagi berkempen untuk pihak mereka. Media pula bersikap seolah-olah hanya BN sahaja parti bertanding. Pembangkang dinafikan hak untuk akses di mana-mana media. Lebih dari itu, pembangkang dihinakan sebagai parti yang tidak layak menjadi sebuah parti politik berdaftar yang sah di Malaysia. Pengundi pula ada yang dipujuk dengan pelbagai habuan seperti kain pelikat, beras termasuk wang ringgit. Habis berjuta ringgit duit kerajaan masuk ke poket pengundi.

Kalau dikira tekanan, maka wajarlah Malaysia disamakan dengan negara-negara Arab. Segala macam himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang, kebiasaannya disuraikan dengan gas pemedih mata dan tangkapan-tangkapan. Kebebasan bersuara, berhimpun hampir tiada di Malaysia untuk pembangkang.

ISA dikekalkan sebagai perisai utama kerajaan BN. Mangsanya ramai dari kalangan pemimpin pembangkang. AUKU adalah ugutan utama mahasiswa di kampus-kampus. Telah berapa ratus aktivis mahasiswa pernah menjadi mangsa AUKU ini.

Selain itu, rakyat terus dibiarkan terhimpit dengan kesusahan. Dengan kenaikan harga barang keperluan, harga minyak petrol, tol, menghapuskan biasiswa, pelbagai cukai lain dikenakan. Rumah-rumah rakyat dianggap setinggan dan haram dirobohkan sesuka hati, kemiskinan bandar tidak diubati, manakala dasar gaji minimum tidak dilaksanakan sebagai bukti rakyat dibiarkan kesusahan.

Kekayaan negara diagihkan sesama mereka dan hanya cebisan diberikan kepada rakyat atas nama wang ihsan. Pemerintah pula hidup bermewah dengan membelanja duit rakyat di luar negara. Pemerintahan negara diserahkan secara warisan sesama mereka.

Inilah antara persamaan Malaysia dengan negara Arab. Dalam keadaan demikian, sukar untuk rakyat menghirup udara demokrasi yang bersih di Malaysia. Mungkin hanya dengan revolusi negara akan bebas dari belenggu rejim yang ganas ini. Mungkinkah revolusi di dunia Arab akan menyusul di Malaysia?

TUGAS KITA HANYA BERJUANG, MENANG BUKAN URUSAN KITA..

Telah diumumkan keputusan rasmi PRK DUN tenang malam tadi. Dengan undi sebanyak 6699 oleh calon BN Mohd Azahar Ibrahim berbanding calon yang lebih popular 'Cikgu Mala' hanya sebanyak 2992 undi. Calon BN ini mendapat majoriti sebanyak 3707 undi. Maka sahlah Mohd Azahar Ibrahim sebagai ADUN Tenang.

Bersorak sakanlah media pengampu BN meraikan kemenangan BN ini. seolah-olah Utusan Malaysia, Berita Harian, TV1, TV 3 dan lain-lain media adalah parti komponen BN. Cara pihak BN menyambut kemenangan pula menyakitkan jiwa pejuang-pejuang kebenaran. Meraikan kemenangan seolah-olah tiada akhirat bagi mereka!

Memang sedari awal telah diduga BN akan menang di Tenang. 'Menang sudah pasti, kalah tidak sekali'. Itu untuk BN. Tenang adalah kawasan tradisi dan tembok kebal mereka. Di Tenang pula ada 'fixed deposit' untuk BN iaitu kawasan felda. Memang sejak merdeka undi felda tidak pernah menghampakan BN. Macam 'pondok' dan madrasah kepada PAS. PAS kuat dikawasan pondok, sekolah agama dan madrasah.

Kerana itu juga PAS membuat strategi meletakkan calon Muslimat. sekruang-kurangnya, itu adalah test market buat Cikgu Mala untuk berhadapan dalam PRu ke 13 kelak. Setidaknya pun, boleh mengurangkan majoriti BN.

Sasaran awal PAS pun, hanya untuk mengurangkan majoriti, bukan untuk menang. Cawangan PAS tidak ada di DUN Tenang. Mungkin lepas ini PAS Johor boleh mencongak untuk menubuhkan PAS di Tenang bagi menguatkan PAS di sana.

PRK di mana-mana pun sebenarnya tidak boleh menjadi ukuran. Ini kerana PAS (Pakatan Rakyat) bertanding di padang yang tidak sama rata. Dengan manipulasi hampir semua jentera kerajaan, media dan dengan dana berjuta ringgit mencurah-curah masuk ke poket pengundi atau kepada pemimpin setempat, mana mungkin Pakatan Rakyat akan mampu bersaing dengan BN (baca : jentera kerajaan). Dengan faktor lain seperti undi pos, ugutan dan juga kempen berat sebelah, membeli undi dan lain-lain, PRK adalah medan BN memebelasah Pakatan Rakyat sesuka hati tanpa rasa malu. Biasanya, mana-mana PRK akan swing 10 peratus undi Pakatan Rakyat kepada BN kerana faktor takut atau kerana pujukan. Dan biasanya yang akan membuat swing adalah pengundi atas pagar. Kerana itulah, undi majoriti kepada BN meningkat hampir seribu orang.

Kepada 'Cikgu Mala' yang cekal dan gigih, tahniah diucapkan. Berada ke tahap ini adalah suatu kebanggaan kita bersama. PAS membuktikan tidak pernah kering dari melahirkan pemimpin muda yang berwibawa. Teruskan momentum ini kerana PRU ke 13 sudah berada di jauh dari sekarang.

Buat petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam tanpa upah dan habuan, tahniah dan syabas diucapkan. Ketekunan mereka menjadi inspirasi buat PAS. Bersabar dan bekerjalah seikhlas dan semampu mungkin. Tugas kita hanya berjuang. Yang menentukan kemenangan adalah ALLAH SWT. Yakinlah, bahawa suatu hari nanti pasti Allah akan membukakan pintu hati pengundi khususnya di kawasan felda untuk menyokong perjuangan Islam. Allah tidak bertanyakan kemenangan kita, yang ditanyakan adalah banyak mana kita bekerja dengan ikhlas!

Sunday, January 9, 2011

EVENT KARPET MERAH AJL JAM 7.30 MALAM?

Dimaklumkan bahawa event Karpet Merah untuk Anugerah Juara Lagu ke 25 berlangsung jam 7.30 malam ini. Event 'Karpet Merah' adalah suatu event besar untuk artis, yang ditiru dari Hollywood. Kononnya semua artis akan disambut dan berjalan di atas karpet merah, dengan pakaian bermacam fesyen.

Kalangan artis dan penganjur seakan tidak sensitif dengan iklim negara Malaysia. Nak meniru Hollywood yang tiada pegangan agama. Sedangkan mereka ramainya beragama Islam. Setidaknya kalaupun tidak mahu bersembahyang, hormatilah waktu solat. Jam 7.30 umat Islam sibuk ke masjid dan surau berdekatan, mereka ini pula adakan majlis maksiat ini. dengan tidak endah halal dan haram, pergaulan yang bebas semacam.. Insaflah.

Kita mengharapkan jangan ada bala hasil dari maksiat segelintir umat Islam yang lupa pada Tuhannya!

BAYANGKAN ALLAH MENGABULKAN DOA 30 RIBU UMAT ISLAM BERHIMPUN..

Seramai 30 ribu umat Islam berhimpun, bermunajat dan bersolat hajat di Stadium Malawati malam ini. Isunya adalah kontroversi pelantikan SUK Selangor, Dato' Khusrin. Ribuan umat Islam menyatakan kebencian terhadap kebiadapan UMNO yang menggunakan Istana bagi membelakangkan kerajaan Selangor yang telah dipilih oleh rakyat.

Mampukah UMNO bersuara menyatakan rakyat seramai ini menderhaka Sultan? Ketahuilah wahai UMNO, menderhakai Allah lebih teruk daripada menderhakai Sultan..

Bayangkan kalau seramai ini bermunajat dan solat hajat, dan kesemua doa umat Islam yang teraniaya di Selangor ini dimakbulkan Allah... Moga kerajaan Selangor kekal dalam dakapan Pakatan Rakyat.