Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, ia diekori oleh negara-negara Arab yang lain.
Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga mengamalkan demokrasi. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan. Bahkan pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab.
Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mmedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya.
Keadaan di Malaysia, meskipun tidak ketara tetapi situasinya hampir sama. Meskipun parti politik bebas bertanding dalam pilihanraya, namun hanya BN diberi tempat yang luas. Setiap pilihanraya berlangsung dalam keadaan yang tempang dan pincang. Undi pos adalah senjata utama bagi memenangkan percuma buat BN. SPR pula dijadikan kuda tunggangan dengan pelbagai peraturan ketat buat pembangkang, bukan BN. Daftar pemilih dimanipulasi sehingga berlaku penyelewengan yang ketara. Sengaja pemerintah tidak melaksanakan sistem celup jari bagi mengelakkan keadilan terlaksana. Manakala jentera kerajaan diperah semaksima mungkin bagi berkempen untuk pihak mereka. Media pula bersikap seolah-olah hanya BN sahaja parti bertanding. Pembangkang dinafikan hak untuk akses di mana-mana media. Lebih dari itu, pembangkang dihinakan sebagai parti yang tidak layak menjadi sebuah parti politik berdaftar yang sah di Malaysia. Pengundi pula ada yang dipujuk dengan pelbagai habuan seperti kain pelikat, beras termasuk wang ringgit. Habis berjuta ringgit duit kerajaan masuk ke poket pengundi.
Kalau dikira tekanan, maka wajarlah Malaysia disamakan dengan negara-negara Arab. Segala macam himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang, kebiasaannya disuraikan dengan gas pemedih mata dan tangkapan-tangkapan. Kebebasan bersuara, berhimpun hampir tiada di Malaysia untuk pembangkang.
ISA dikekalkan sebagai perisai utama kerajaan BN. Mangsanya ramai dari kalangan pemimpin pembangkang. AUKU adalah ugutan utama mahasiswa di kampus-kampus. Telah berapa ratus aktivis mahasiswa pernah menjadi mangsa AUKU ini.
Selain itu, rakyat terus dibiarkan terhimpit dengan kesusahan. Dengan kenaikan harga barang keperluan, harga minyak petrol, tol, menghapuskan biasiswa, pelbagai cukai lain dikenakan. Rumah-rumah rakyat dianggap setinggan dan haram dirobohkan sesuka hati, kemiskinan bandar tidak diubati, manakala dasar gaji minimum tidak dilaksanakan sebagai bukti rakyat dibiarkan kesusahan.
Kekayaan negara diagihkan sesama mereka dan hanya cebisan diberikan kepada rakyat atas nama wang ihsan. Pemerintah pula hidup bermewah dengan membelanja duit rakyat di luar negara. Pemerintahan negara diserahkan secara warisan sesama mereka.
Inilah antara persamaan Malaysia dengan negara Arab. Dalam keadaan demikian, sukar untuk rakyat menghirup udara demokrasi yang bersih di Malaysia. Mungkin hanya dengan revolusi negara akan bebas dari belenggu rejim yang ganas ini. Mungkinkah revolusi di dunia Arab akan menyusul di Malaysia?
No comments:
Post a Comment