Wednesday, January 14, 2009

NAJIB RASUAH PENGUNDI TERENGGANU TERANG-TERANGAN!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya membuka lembaran fail siasatan segera hasil dari kenyataan Dato' Seri Najib. Najib kali ini memilih isu royalti sebagai umpan buat melembutkan hati pengundi.

Ucapan Najib seperti menggertak dan menawarkan 'rasuah' kepada rakyat di Kuala Terengganu. Tatkala pemilih sedang mencongak-congak pemimpin pilihan mereka, Najib seperti menawarkan sesuatu yang istimewa sekiranya rakyat Kuala Terengganu memilih calon BN.

Royalti adalah hak milik rakyat dan kerajaan Negeri Terengganu. Ia dirompak ketika PAS berjaya memerintah Terengganu pada tahun 1999-2004. Kerana sikap 'double standard' dan iri hati wang royalti ditukar menjadi wang ihsan. Kerajaan Pusat ketika itu menukar royalti kepada wang ihsan dan hak daripada kerajaan Terengganu kepada terus di bawah pemimpin UMNO. Jadilah UMNO BN perompak duit rakyat.

Ketika era UMNO-BN berkuasa kembali tahun 2004 dan kemudiannya tahun 2008, royalti dikembalikan smeula kepada kerajaan Negeri. Konon dakwaannya kerajaan pusat prihatin, cakna rakyat, amanah dan macam-macam slogan untuk menaikkan nama mereka. Sedangkan selama lapan tahun duit royalti dirompak sesuka hati. Diberikan kepada siapa yang mereka ingini, menarik balik kepada sesiapa yang tidak disukai.

Najib kini menggula-gulakan rakyat Terengganu dengan wang royalti. Secara tersiratnya boleh difahami, beliau seakan memberi amaran kalau BN kalah, mungkin hak royalti ini mungkin tidak dinikmati lagi. Sedangkan apa pun keputusannya dalam PRK Kuala Terengganu, ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan BN di Malaysia! UMNO masih tetap memerintah Terengganu dan royalti masih boleh didapatkan oleh rakyat. Kenapa perlu Najib keluarkan kenyataan bernada ugutan. Meminta rakyat bersyukur kerana hanya kerajaan BN sahaja boleh memberi kesenangan dan rezeki, kerajaan PAS tidak boleh memberi kesenangan? Aqidah apa yang mereka anuti?

Adakah bermakna kalau UMNO menang, jumlah royalti akan ditambah manakala kalau kalah royalti akan dikurangkan atau ditarik balik? Kalau ini maksudnya, ia bermaksud rasuah dan ugutan kepada pengundi di Kuala Terengganu. Sepatutnya dalam keadaan Pilihanraya Kecil seperti ini, apa sahaja ucapan dan aktiviti yang dianjurkan tidak boleh berunsur rasuah atau ugutan dengan tujuan memikat atau menakut-nakutkan pengundi seperti pemberian hadiah, sumbangan, projek segera, bantuan dan lain-lain insentif mahupun berupa ancaman seperti menarik balik subsidi, bantuan, undi diketahui, pegawai kerajaan akan ditukarkan, menarik balik kemudahan dan lain-lain lagi. Tindakan ini menyebabkan tekanan kepada pengundi dan memberi kesan kepada undi dalam PRK nanti.

Oleh itu, SPRM sekiranya benar-benar mahu bebas dan berwibawa harus melepaskan diri dari cengkaman penguasa. Selagi berada di bawah ketiak pemimpin, selagi itulah SPRM akan tersekat dan berada di bawah lembayung pemimpin atasannya. Ketuanya harus berani memerangi rasuah kepada sesiapa pun agar mampu mengangkat darjat dan maruah negara di persada antarabangsa.

No comments: