Friday, February 27, 2009

KEMUNCAK KEMARAHAN RAKYAT PADA PPSMI

Semalam Sindrom penafian UMNO-BN semakin terserlah dengan keengganan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein berdebat dan bersemuka. Sudahlah enggan terima memorandum Pemuda PAS yang mengajak berbincang, mahu berdebat secara terbuka pun turut disanggah. "Nak debat apa lagi", sergah Hishamuddin.

Mujur Pemuda UMNO diselamatkan oleh Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin yang sudi terima surat pelawaan debat YB Salahuddin Ayub. Surat itu diterimanya di Parlimen bagi mewakili UMNO. Paling tidak, seorang anak muda bernama Khairy ini berjiwa terbuka. Yang lain-lain semuanya enggan terima, dengan risiko takut bertentang dengan polisi dan dasar tertutup UMNO.

Memang itulah budaya UMNO. Suka menafikan dan menyalahkan orang lain. Bila kalah Pilihanraya Umum disalahkan pengundi. Apabila pengundi muda menolak UMNO dikatakan anak-anak muda ini tidak berjiwa patriotik, tidak ada semangat kebangsaan, tidak bersyukur. Apabila sesuatu dasar ditentang maka dihalakan kesalahan itu kepada rakyat. Apabila gagalnya suatu dasar kerajaan, maka dituding kepada rakyat sebagai punca. Inilah perangai UMNO.

Seperti PPSMI ini, berpuluh memorandum, rapat umum, ceramah penerangan, surat bantahan, sidang media, dialog dan pertemuan diadakan. Sudah acap kali suara kritis bergema mengumandangkan bantahan pada PPSMI. Sehinggakan Sasterawan Negara, A. Samad Said terpaksa turun padang mencemar duli membasah jiwa kontang kemarahan rakyat. Pun tiada layanan. Akhirnya bersuara pula puak PIBG seluruh negara menyokong pemansuhan PPSMI. Mereka menggertak untuk turun sama ke jalan raya berdemosntrasi andai kerajaan masih bebal mengekalkan PPSMI.

Sudah enam tahun dasar PPSMI ini dididik diperingkat sekolah. Penafian UMNO menyatakan ia berjaya melahirkan pelajar cemerlang. Hakikatnya di kampung-kampung, pelajar-pelajar cenderung menjawab soalan periksa dalam bahasa ibunda mereka. ramai juga merasa pelik apabila keputusan PMR dan SPM diumumkan mereka lulus dengan baik. Walhal di peringkat percubaan sekolah tidak pernah lulus pun. Adakah sesuatu rahsia telah disimpan oleh kerajaan, dengan menurunkan gred lulus kepada suatu tahap yang ramai pelajar lemah mampu mencapainya? Ini suatu misteri.

Kemarahan rakyat kini sudah di kemuncaknya. Percubaan enam tahun memburukkan keadaan. Pelajar seakan mengeja dan menterjemah bahasa dahulu baru boleh menjawwab soalan periksa. Semua pihak berganding bahu dan bersetuju GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) patut berarak ke jalan raya. Nama Dato' Dr Hassan Ahmad menjadi terbilang sebagai pejuang bahasa. A. Samad Said akan dikenang seberani Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, dan Dr Burhanuddin al Helmi yang kental menentang penjajah. Manakala tokoh-tokoh besar PPSMi yang sanggup bergelumang beberapa tahun ini turut harum sebagai pelopor kebangkitan perjuangan bahasa. UMNO telah lama ketinggalan, dan tiada lagi cop mohor sebagai pejuang Melayu. Mungkin telah menjadi petualang Melayu.

Apapun, nantikan 7 Mac 2009 ini di Istana Negara. Rakyat Malaysia yang cintakan pendidikan dan Bahasa Ibunda akan berarak merafak sembah ke Yang Di Pertuan Agong memohon restu campurtangan agar mengajar kerajaan sombong BN. Ayuh, kita menghukum kebiadapan pemimpin retorik Melayu ini. jadikan tarikh itu sebagai keramat pembuka sejarah lembaran baru di Malaysia.

No comments: