Saturday, July 4, 2009

BIASISWA NASIONAL TIDAK ADIL DAN LENGKAP

Biasiswa Nasional seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dianggap tidak adil. Seperti yang diutarakan oleh Presiden PAS, biasiswa tersebut hanya mellaui sistem meritokrasi. Ini bermakna hanya mereka yang memperolehi keputusan cemerlang dalam akademik sahaja yang dibantu.

Kebiasaannya, kecemerlangan akademik ditentukan oleh kemudahan pelajar itu sendiri. Mereka yang mendapat tempat di sekolah berasrama penuh atau sekolah yang cemerlang, dibantu oleh guru-guru yang terlatih dan profesional, serta tuisyen di waktu malamnya mampu mencapai kecemerlangan akademik.

Bagaimana nasib dengan anak-anak peneroka felda, pemandu teksi, tukang gunting rambut, nelayan, petani dan sesiapa sahaja yang berjawatan rendah. Apa peluang anak-anak mereka mencapai kecemerlangan akademik? Sudah tentu mereka tiada pilihan untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah terpilih, mendapat guru-guru yang terlatih dan profesional, serta mendapat tuisyen di waktu malamnya. Mereka dihimpit kemiskinan dan mereka tidak punya peluang yang sama. Beruntunglah mereka yang duduk di bandar dengan kemudahan yang tersedia di depan mata. Tetapi bagaimana mereka yang duduk di luar bandar dengan kemudahan asas yang tidak sempurna?

Mungkin bukan semua anak luar bandar yang tidak cemerlang. Ramai juga anak 'orang luar bandar' yang berjaya, tetapi peratusnya sangat sedikit.

Yang patut kita tanya kenapa Biasiswa Nasional tidak diberi kepada semua pelajar. Kenapa masih ada sikap berpilih-pilih dalam menentikan hak rakyat, khususnya yang miskin? Meritokrasi tidak menjamin keadilan dan hak sama rata sesama rakyat. Saya membayangkan hanya segelintir pelajar sahaja yang dibantu, sedangkan majoriti pelajar termangu dalam perjuangan meneruskan kehidupan mereka.

Seharusnya kerajaan UMNO-BN meletakkan sasaran agar semua rakyat diberi hak untuk pelajaran. Jangan biarkan ada seorang pun yang tercicir dalam pelajaran mereka. Kerajaan juga perlu menetapkan sasaran agar seramai mungkin pelajar berjaya, khususnya yang duduk di kampung dan pedalaman. Hanya cara ini dapat menyelamatkan dari gejala keciciran pelajaran dari kalangan rakyat Malaysia.

No comments: