Monday, November 2, 2009

BEKAS MUFTI PUN PERLU TAULIAH?



Kelakar bila membaca berita isu tangkapan ke atas Dr Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis. Kononnya alasan penangkapan beliau kerana beliau tidak memiliki tauliah. Kalaulah bekas Mufti kerajaan Malaysia sendiri dianggap tidak bertauliah, gamaknya siapa pula yang layak memiliki tauliah? Berapa ramai ustaz atau ulama' di Selangor yang ada tauliah? Sedangkan masjid, surau serta pejabat-pejabat yang memerlukan kuliah, tazkirah serta ceramah jumlahnya beribu di negeri Selangor ini. Kalau ikutkan panduan JAIS, pastilah tidak ada yang mampu mengisi setiap ruang masjid dan surau di Selangor ini kerana terlampau banyak. Sedangkan yang memiliki tauliah berapa kerat je.

Patutlah ramai umat Islam jahil. Rupanya mengajar kena ada tauliah. Itupun tak boleh ajar ilmu yangt sebenar. Cukup mengajar ilmu fardhu ain semata.. Sehinggakan orang yang meluluksna tauliah (dulu Dato' Ismail Kamus) sendiri diharamkan ceramah kerana tidak ada tauliah, kini bekas mufti menerima nasib yang sama..

Kalaulah alasan Dr Asri tu pengamal ajaran Wahabi, soalnya, sesatkah Wahabi? Di Arab Saudi pengamal Wahabi bersepah sehingga menjadi anutan Imam Masjidil Haram Mekah. Tidak ada Qunut, tidak ada zikir selepas solat, tidak ada bismillah sebelum Fatihah, tidak ada tahlil, tapi Mufti Besar negara mana pun tidak pernah mengatakan Wahabi itu sesat. Yang bercelaru ahli-ahli dan pengikut yang ramai, sedangkan ulama'-ulama' sunni yang lain tidak pernah bertelagah pun. Bahkan, pengikut atau pemimpin Syiah di Malaysia tidak pernah pun ditangkap kerana amalan Syiah mereka. Tiba-tiba pula Dr Asri ditangkap atas alasan menyebarkan fahaman Wahabi. Lucu betul Malaysia ini!


Sumber dari berita.

Bekas Mufti Perlis Ditahan Semasa Adakan Ceramah

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, Ahad malam.

Menurut beberapa saksi, Asri ditahan semasa berceramah kira-kira pukul 12.10 tengah malam oleh polis serta pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kemudian dibawa ke Balai Polis Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.

Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.

– BERNAMA

………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Bekas Mufti Perlis didakwa mengajar tanpa tauliah

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut.

Apabila pasukan Jais memasuki premis berkenaan sekumpulan lelaki cuba menghalang anggota penguat kuasa menahannya.

Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib yang turut mempertikaikan kesahihan tindakan Jais untuk menahan Dr Mohd Asri.

Anggota Jais dikatakan memasuki banglo berkenaan kira-kira jam 9 malam dan kelihatan membawa Dr Mohd Asri keluar pada jam 12.10 ke Balai Polis Hulu Klang.

Polis yang memantau operasi turut berdepan masalah kerana tidak mempunyai waran tangkap dan hanya menjadi perantara bagi urusan membawa Dr Mohd Asri dan beberapa pengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan.

Turut mengiringi beliau ke balai polis ialah Zuraida, Saari dan beberapa pengikutnya menaiki kenderaan Jais.

Menurut sumber, Jais menyiasat kegiatan Dr Mohd Asri sejak beberapa bulan lalu kerana dipercayai cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kelompok tertentu, terutama kumpulan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini di sekitar Selangor.

Sebelum ini beliau dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Fahaman itu diperkenalkan Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Muhammad dilahirkan pada 1703 di Najd.

Antara ajaran Wahabi ialah menolak doa qunut, amalan membaca Yasin, bertahlil di kuburan dan zikir selepas sembahyang yang menjadi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ajaran itu dikatakan menimbulkan keraguan serta kontroversi sehingga menyebabkan ia dikatakan punca perpecahan umat Islam di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (Jappis) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan difahamkan menolak serta menyekat ajaran itu disebarkan di negara ini.

Ia tidak bersesuaian dengan pendekatan Islam di negara ini dan dikhuatiri akan menggugat perpaduan umat.

No comments: