Melenting puak-puak UMNO bila Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengancam untuk membacakan doa timpa bala ke atas Perdana Menteri - Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah menarik balik royalti minyak di Kelantan kepada wang ehsan.
Maka di buatlah wawancara dengan kononnya orang awam bagi membidas tindakan Tok Guru Nik Aziz itu. 'Ramai' yang marah dan terkejut, kononnya doa meminta bala tidak ada dalam ajaran Islam. Dalam wawancara tersebut adalah seorang hamba Allah itu menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw sendiri berdoa agar Allah membuka pintu hati kaumnya yang sesat, seperti didoakan Nabi dalam peristiwa di Thaif (bukan doa minta bala).
Hakikatnya tidak ramai yang celik agama atau faham keadaan sebenar tentang Islam. Agaknya mungkin ramai pesimis atau berpandangan serong terhadap jihad perjuangan dalam Islam. mungkin ramai mentafsir jihad hanya dari sudut ekonomi, melawan hawa nafsu dan tidak ada agenda jihad itu adalah mengangkat senjata terhadap musuh Allah. Mungkin ramai menafsirkan perjuangan jihad di Palestin sebagai sia-sia atau kejam!
Justeru tidak wajar ada yang mempertikaikan doa minta bala yang dibacakan oleh Tuan Guru Nik Aziz. memanglah banyak tempat Nabi Saw mendoakan kebaikan umat Islam, tetapi pernahkah mereka yang jahil agama ini semak sejarah bahawa Nabi Muhammad Saw sendiri pernah mendoakan kutukan serta bala terhadap musuh Allah swt. Tak perlu saya ulas satu persatu pada peristiwa manakah Nabi memanjatkan doa tersebut. Saya yakin, sekiranya mereka yang jahil membuka lembaran sirah, akan ketemukan doa minta bala oleh Nabi saw. Bahkan, Nabi-nabi terdahulu pun pernah meminta bala agar dimusnahkan kaum yang tidak beriman. Jangan pula berdalih mengatakan kaum itu memang tidak beriman, sedangkan Najib beriman!
Soalnya, kenapa Tok Guru Nik Aziz mahu menadah tangan mendoakan keburukan kepada Najib? Apakah salah Najib? Isu yang dimuntahkan sekarang ialah sikap Najib yang jauh dari sifat kemanusiaan dan keadilan. Minyak yang mengalir keluar dari bumi Kelantan, menghalir menyusur tanah jajahan Kelantan. Wajar atau tidak Kelantan mendapat royalti? Kalau ada emas mengalir dari tanah kita sendiri, masuk ke dalam rumah dan kemudiannya diambil oleh kerajaan, tidak wajarkah kerajaan membayar pampasan kepada kita? Ini isunya yang ditenggelamkan oleh media BN.
Kelantan berhak mendapat royalti. Seperti mana Terengganu sebelum diperintah oleh PAS, mereka mendapat royalti. Selepas itu, berlaku kezaliman yang teramat nyata dan kerajaan merampas hak kerajaan Terengganu yang ditukar kepada wang ehsan. Siapakah pemilik wang ehsan? kerajaan negerikah atau Ketua UMNO Bahagian?
Di kelantan, UMNO sengaja mahu mencari pasal dengan menukar wang ehsan. Yang berkuasa nantinya ialah Ketua UMNO Bahagian, dan ditangannyalah diagihkan wang ehsan itu yang sepatutnya dimiliki oleh kerajaan negeri Kelantan. Kalau wang tersebut boleh dimilik peribadikan, maka akan berlakulah pengagihan yang tidak adil. Yang sokong UMNO pasti akan dapat lebih, manakala yang membangkang, sama ada mendapat hampas atau tidak dapat langsung!
Sudah tentu Tok Guru Nik Aziz selaku pemerintah kerajaan Kelantan merasa teraniaya. Tindakan Najib jelas menganiaya kerajaan negeri kelantan. Maka tidak wajarkah Tok Guru Nik Aziz menadah tangan meminta bala kepada penzalim kerajaan Kelantan. kerana Tok Guru mengadu kepada Raja Segala Raja, Yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa. Kelantan tidak ada kuasa untuk mendesak kerajaan UMNO memberikan royalti, maka pengaduan ini dihadapkan kepada Allah.
Kalau Najib tidak mahu didoakan keburukan, maka berlaku adillah. Apabila adil maka ramai yang akan sayang dan mendoakan kebaikan untuk beliau. Begitu juga pengampu-pengampu UMNO, kalau mahu didaoakan kebaikan maka laksanakan keadilan, antaranya lepaskan semua mangsa tahanan ISA. Kerana mereka yang ditahan tanpa bicara adalah mereka yang dianayai, dan doa orang yang dianaya pasti akan dimakbulkan ALLAH!
No comments:
Post a Comment