Thursday, December 24, 2009

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH MASIH BERBISA

Semalam saya berkesempatan menemani Ketua DPP Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkunjung ke rumah YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Jalan Ampang.

Dengan keluasan rumahnya dan dibantu oleh pembantunya seramai 5 orang itu ddapat saya simpulkan bahawa Ku Li seorang yang berada. Maklumlah, pernah menjadi Menteri Kewangan dan pernah menjadi Pengerusi Petronas suatu ketika dulu.

Kami berbincang panjang. Sudah tentu antara persoalan yang menjadi isu penting adalah berkenaan petroleum. Daripada jawapan dan ulasan pandangan Ku Li saya menyimpulkan bahawa beliau seorang yang sangat berpengalaman, luas pengetahuannya, hebat visi dan pemikiran politiknya serta mempunyai wawasan jauh. Jelas sekali usia 72 tahun tidak melunturkan ingatan beliau terhadap sejarah penubuhan Petronas, bagaimana Perlembagaan digubal, rundingan-rundingan serta tindakan politik yang pernah dilakukan beliau.

Beliau juga saya anggap masih berbisa. Kerana itu Pak Lah dan pimpinan UMNO lainnya agak menggelupur apabila mengetahui Ku Li hendak bertanding merebut Presiden UMNO tahun lepas. Rupanya beliau masih berpengaruh dan sangat mempunyai visi yang jelas bagaimana untuk memacu negara. Cuma sayangnya, beliau UMNO..

Patutlah Tun D rMahathir juga sangat tidak keruan apabila Ku Li bertanding jawatan Presiden UMNO tahun 1987. Saya yakin kalaulah UMNO masih berfikiran waras dan memberi sedikit ruang kepada Ku Li untuk menggilap sedikit masa depannya dalam politik UMNO, tempatnya kini sama ada di kerusi Najib ataupun Muhyiddin.

Pengalaman manis bersama tokoh UMNO ini saya abadikan dalam diari. Semoga dapat bertemu lagi dengan beliau..

MANUSIA SEMAKIN KEJAM

Semakin maju manusia, semakin kejam mereka. Apakah dosa kanak-kanak ini sehingga diperlaku sedemikian? Apakah kerana nafsu yang melulu sehingga membutakan mata, hati dan perasaan..

Buat penjenguk blog ini, mari kita kongsikan kesedihan ini dan mengutuk perbuatan kejam pelakunya. Semoga Allah membalas kejahatan perilakunya setimpal dengan dosanya..


Sumber : Berita

Mangsa Mati Dijerut Sebelum Dihumban Ke Kolam - Polis

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dalam Kolam Tadahan Banjir, Kampung Boyan, Lorong Gurney, Jalan Semarak di sini semalam dibunuh dengan kejam iaitu dijerut dengan kuat di leher menggunakan sehelai tuala.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati terdapat kesan-kesan lebam di leher mangsa, tetapi tidak di bahagian badan yang lain.

Katanya, mangsa yang berumur kira-kira 12 tahun itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan berkenaan yang berpagar dan berkunci tetapi terdapat beberapa ruang yang boleh diceroboh.

"Sama ada terdapat unsur liwat atau rogol, polis tidak dapat mempastikannya kerana masih menunggu pemeriksaan lanjutan oleh pihak patologi dan laporan daripada Jabatan Kimia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memperoleh laporan bedah siasat daripada HKL di sini hari ini.

Mengenai identiti dan bangsa mangsa terbabit, Zakaria berkata, ia tidak dapat dipastikan melainkan mangsa berketinggian 121 sentimeter, berkulit gelap, mirip kepada bangsa India dan Melayu, bertubuh gempal, berambut hitam pendek dan lututnya melecet.

Tambahnya, mangsa berada dalam keadaan separuh bogel, berbaju tidur yang bertali, berbintik-bintik biru dengan motif 'teddy bear' di beberapa tempat pada bajunya.

Terdahulu Zakaria menegaskan, polis enggan mengaitkan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan itu dengan kes Nurin Jazlin dan Sharlinie Mohd Nashar.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya, polis mengkategorikan kes itu sebagai kes baru atau berasingan daripada kes-kes terdahulu.

"Polis berharap ia tidak disensasikan atau dikaitkan dengan kes-kes sebelum ini," katanya yang menambah tiada suspek dikenal pasti setakat ini.

Bagaimanapun katanya, polis akan menyiasat kes itu daripada semua sudut termasuk ia mungkin dilakukan oleh ahli-ahli keluarga sendiri.

Nurin, 9, diculik pada 20 Ogos 2007. Mayatnya yang diperlakukan dengan kejam ditemui dalam sebuah beg pada 16 September.

Seorang kanak-kanak perempuan, Sharlinie, 5, hilang dari rumahnya di Taman Medan pada 9 Januari 2008. Dia tidak dijumpai selepas itu.

Monday, December 21, 2009

HADIR DI KONVENSYEN BLOGGER PAS 2009

Terima kasih kepada seorang Blogger yang telah merakam foto saya sebagai Pengerusi Majlis di Konvensyen Blogger PAS 2009. Saya mempengerusikan majlis di Majlis Perasmian yang dirasmikan oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya tidak sempat mengikuti sehingga tamat Konvensyen tersebut kerana ada komitmen lain. Apapun program berjalan dengan baik dan tahniah kepada Lajnah Penerangan PAS Pusat kerana menganjurkan program sepenting ini.

ULAMA' BESAR DUNIA KUNJUNGI PEJABAT AGONG PAS


Syeikh Dr Yusof Al Qaradhawi yang diiktiraf sebagai ulama' tersohor dunia abad ini hadir ke Kuala Lumpur, dan memilih Pejabat Agong sebagai salah satu kunjungan rasminya.

Beliau bukan orang sembarangan, ulama' manapun di dunia kini mengiktiraf kealiman dan kehebatan ilmunya.

Selepas dianugerah sebagai Tokoh Maal Hijrah Malaysia tahun 2009, beliau memilih Pejabat Agong dan bertemu dengan pimpinan PAS Pusat sebagai salah satu destinasinya.

Syeikh Dr Yusof Al Qaradhawi memang telah lama terlibat dengan Ikhwan Muslimin di Qatar. Beliau antara pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin dunia. Ilmu dan ketinggian namanya menjadi sebutan dan rujukan pimpinan Ikhwan yang lainnya.

Alhamdulillah, beliau sempat bertemu dan bermuzakarah bersama pimpinan PAS. Jelas PAS juga diiktiraf dan mendapat tempat di hati beliau.

Kita mendoakan semoga pimpinan PAS juga setanding dan sehebat beliau.

PENCURIAN PINTAR.

Enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berada di bawah kawalan tentera pun hilang! Pelik berita ini tetapi benar. Bagaimana alpa dan lekanya pegawai-pegawai TUDM apabila menyedari enjin jet itu hilang pada tahun 2007 dan kini baru didedahkan.

Soalnya, mudahnya integiriti dan maruah pegawai TUDM diceroboh dan dijual beli. Bayangkan kalau dokumen sulit yang ditawarkan berjuta-juta ringgit oleh kerajaan AS kepada mana-mana pegawai tentera dan mereka menyanggupinya, pasti tergadai negara.

Dan lagi, mengapa sekarang baru didedahkan kejadian tersebut? mengapa tiada tindakan cepat diambil seawal tahun 2007 ketika baru menyedari ianya telah hilang?

Kalau yang hilang itu enjin di rumah awam yang terletak jauh dari pemantauan, itu boleh dikira munasabah. Tetapi yang hilang itu adalah enjin jet (sudah pasti ia besar), dan berada di bawah kawalan ketat 24 jam masih hilang, sudah pasti sesuatu yang tidak masuk akal.

Kementerian Pertahanan perlu dipertanggungjawabkan, begitu juga dengan Menterinya, Pegawai-pegawai tinggi tentera (TUDM), serta Setiausaha Kementerian berhubung insiden ini. Tindakan tegas perlu diambil agar ianya tidak akan berulang.





Saturday, December 19, 2009

PAKATAN RAKYAT MENCIPTA SEJARAH

Hari ini, warga Selangor bertuah kerana Pakatan Rakyat, parti masa depan negara telah mengadakan konvensyen pertamanya.

Meskipun pelbagai tohmahan, serta label yang negatif diberikan khususnya kepada pemimpinnya, negeri-negeri yang ditunjangi Pakatan Rakyat hebat diserang pelbagai penjuru, namun kesepakatan antara ketiga-tiga parti ini tetap terserlah.

Gambar ini menyimpulkan pelbagai makna buat pemimpin dan ahli-ahlinya. Umumnya, buat rakyat seluruh Malaysia. Pastinya ramai yang gembira kerana pemimpin tertingginya mampu duduk semeja, berpelukan dan berbahas bersama.

Untuk lebih mengharukan, beberapa reolusi telah disepakati bersama yang kesemuanya menjurus kepada perjuangan membela rakyat. Saya akan rumuskan nanti (dalam tulisan akan datang) kesemua dasar yang telah dipersetujui dalam Konvensyen ini.

Mudah-mudahan kesepakatan ini membawa kekuatan dan mampu menumbangkan rejim UMNO-BN yang sekian lama menyombong di persada takhta.

Friday, December 18, 2009

APA RESPONS SAUDARA?

Bagaimana kalau kita sebagai ibu bapa mendapat berita dari anak gadis kita sendiri. Apa reaksi dan respons saudara bila mendengar maklumat ini dari mulut anak gadis kita sendiri?

Inilah yang telah terjadi dan sedang berlaku dalam masyarakat. Mujurlah ibu bapa gadis tersebut cepat menyedari dan dapat mengambil tindakan. Bagaimana pula ribuan kes yang tidak pernah disedari oleh ibu bapa, tetapi sedang berlegar dalam masyarakat?

Bayangkan anak-anak yang lahir tanpa bapa, gadis-gadis muda yang sudah ternoda dan hamil tanpa diketahui siapa bapa mereka. Bayangkan masa depan anak-anak gadis yang mengalami kehidupan seperti ini.

Sumber Berita - Harian Metro.

KUALA LIPIS: Mengucap panjang seorang bapa sebaik menonton rakaman melalui telefon bimbit aksi anak gadisnya yang baru berusia 14 tahun berasmara dengan dengan lima lelaki serentak.

Adegan seks secara bergilir-gilir berkenaan di sebuah kampung berhampiran Merapoh, dekat sini, itu dipercayai dirakamkan seorang daripada lima lelaki berusia 20-an berkenaan menggunakan telefon pelajar perempuan tingkatan dua terbabit.

Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, gadis terbabit yang bersekolah di sebuah sekolah menengah, dekat sini, dengan selamba pulang ke rumah bersama telefon bimbit berkenaan.

Bagaimanapun, telefon bimbitnya terlepas ke tangan seorang ahli keluarga yang kemudian membuat pemeriksaan pada fail rakamannya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata terkejut melihat rakaman itu, ahli keluarga terbabit segera memaklumkan kepada bapa gadis berkenaan.

Menurutnya, bapa mangsa yang tergamam dengan tindakan anak gadisnya selepas menonton rakaman berkenaan segera menyoal anak gadisnya.

Katanya, selepas didesak berulang kali, gadis terbabit mengakui kejadian itu sebelum bapanya membuat laporan di Balai Polis Merapoh, dekat sini, kelmarin.

Abdul Razak bagaimanapun berkata, polis masih belum memeriksa rakaman berkenaan bagi mengesahkan kesahihan kejadian terbabit, namun siasatan masih diteruskan.

“Polis sudah menubuhkan pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memburu lima suspek terbabit dan pada masa sama masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

SERAHAN MEMORANDUM KEPADA MAIWP

Oleh kerana desakan untuk mendapatkan penjelasan serta mendesak agar tidak berlakunya penyelewengan, maka Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Agam Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Isunya ialah kerana status tanah masjid di Sri Hartamas, telah bertukar kepada perniagaan. Banyak persoalah meragukan bagaimana tanah tersebut boleh ditukar status, siapa pemajunya, mengapa diserahkan kepada pemaju tertentu, bagaimana 20 buah lot kedai diberikan status pegangan bebas 'free hold' dan lain-lain lagi.

Asasnya, tanah masjid yang telah diwakafkan telah tergadai hanya kerana mahu mendapatkan keuntungan. Ibaratnya, agama serta syiarnya boleh dijual beli dan digadaikan begitu sahaja untuk mendapatkan keuntungan material.

Seperti biasa, Ketua Pengarah MAIWP seakan tiada hujah atau bahasa yang dapat menjawab kesemua persoalan yang dilemparkan. Bila ditanya, dijawabnya akan disiasat, diambil tindakan, akan semak maklumat sebenar dan lain-lain lagi.

Inilah akibatnya bila agama diserahkan kepada orang yang jahil dan tidak minat mempertahankannya.

DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN HIJRAH

DOA AKHIR TAHUN.

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…

Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.’


DOA TAHUN BARU HIJRAH

Segala puji bagi Alla, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…

Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan,’Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’


Thursday, December 17, 2009

GERAKAN BERGEGAR LAGI

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan - yang digantung keahliannya selama tiga tahun - bertindak keluar dari parti itu dan bakal menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM).

Sama ada ia berita positif ataupun tidak, yang pasti Parti Gerakan telah senget dan condong. Mampukah ia kembali tegak atau terus tenggalam bersama nakhodanya, tidak pula diketahui. Harap-harapnya ia mampu menenggelamkan terus kapal bernama BN.

Moga-moga ramai lagi yang isytihar keluar parti. Untuk mereka yang tidak punya pendirian atau yang sudah berpatah arang, saya tawarkan parti masa depan negara, sertailah Parti Islam Se Malaysia..

TAWADDUKNYA DATO' AHMAD YA'ACOB

Orangnya sangat sederhana. Taqwanya usah dicerita. Kemana sahaja pasti ada al Qur'an disisi.
Zuhudnya, sangat mempersonakan. beliau tidak pernah meminta untuk dipuji dan dipuja. Tidak pernah meminta untuk disebut namanya.

Kerendahan hati dan budinya sangat menikam jiwa. Saya pernah beberapa kali berhadapan dengan pimpinan besar ini. sekali peristiwa sewaktu makan tengahari di Pejabat Agung PAS, ketika kami kakitangan sedang enak menjamu selera, sekonyong-konyong terpacul Ust Mat (Dato' Ahmad Ya'acob) ini . Kebetulan saat itu kerusi semua sudah penuh diduduki. Tidak ada ruang kerusi kosong di dewan makan.

Tanpa banyak bicara, tanpa kerenah apa-apa dan tanpa perlukan apa-apa protokol, beliau ambil makanan sendiri dan duduk bersila di samping kami. Tersipu-sipu kami bangun untuk mempersilakan beliau duduk, tetapi beliau enggan dan meneruskan makanan tanpa ada rasa kekok.

Suatu ketika saat terserempak dengan beliau, beliau lebih dahulu beri salam dan menghulurkan tangan berjabat tangan dengan kami.

Tutur bicaranya sangat kurang. Beliau tidak gemar berkonflik seperti Pemuda macam saya. Masa kosongnya banyak dihabiskan dengan membaca al Qur'and an berzikir. Beliau tidak gemar publisiti, tidak menulis blog, tidak membuat sidang media untuk tujuan peribadi, serta tidak pernah mengupah mana-mana bloggers atau fotographer untuk mengambil gambar atau menulis tentang riwayat diri beliau.

Orang inilah yang diisyaratkan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pengganti beliau di kerusi Menteri Besar. Dan Dato' Ahmad Ya'acob dengan kerendahan hatinya menolak dengan rasa tawaddhuknya.

Saya masih rasakan, bahawa ramai lagi pemimpin PAS berjiwa besar dan taqwa seumpama Ustaz Dato' Ahmad Ya'acob. Maka layak dan wajarlah amanah kepimpinan diletakkan di atas bahu jemala insan seperti ini..

NAJIB HAMPIR DITEWASKAN DI PARLIMEN

Isnin lalu bajet 2010, yang dibentangkan oleh Najib sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tersebut.

15 ahli parlimen Pakatan Rakyat masing masing lima dari PAS dan bakinya dari PKR dan DAP gagal hadir pada sesi pengundian tersebut.

Manakala 70 Ahli Parlimen dari BN juga gagal hadir pada pengundian tersebut.

Kalaulah yang jadi sebaliknya, iaitu 66 menentang dan 63 lagi menyokong, maknanya Najib telah kalah dalam pertarungan membentangkan bajetnya.

Maknyanya juga Najib telah ditolak oleh majoriti Ahli Parlimen, termasuk dari BN sendiri.

Maknanya Najib ditolak oleh rakyat secara umumnya. Tetapi sayang, 15 MP termasuk 5 dari PAS tidak hadir sidang Parlimen tersebut. Bayangkan kalau mereka hadir. Terpaksalah Najb bikin Bajet baru dan bentangkannya kembali dan bahaskannya balik.

Kita akan dengar penjelasan MP Pakatan Rakyat ini, kenapa mereka tidak hadir. Pastinya ketidak hadiran mereka disebabkan asas yang kukuh dan lebih awla dari kepentingan negara seperti pengundian Isnin lalu. Tahniah MP Pakatan Rakyat. Undian ini pasti menjadi sejarah kepada negara.





Monday, December 7, 2009

PERLAWANAN BOLASEPAK PERSAHABATAN PEMUDA TITIWANGSA - ZON KG BARU V ZON KERAMAT


Lama tak main bola sesekali main semput juga. Orang lain main sejam tak rasa apa-apa. Bagi saya yang sudah separuh abad ini, lima minit adalah masa yang sangat meletihkan.

Mujurlah tidak jadi apa-apa. Apa pun inilah permulaannya. Pemuda Titiwangsa akan bersahabat dengan anak-anak muda di sekitar Parlimen Titiwangsa. Kami akan bermain bola sepak bersama, main bowling, mengadakan barbeque, menjenguk anak yatim dan ibu tunggal, melawat rakan bermotor dan lain-lain lagi.

Target kami, biarlah kami berkawan dengan sebanyak mana anak muda, agar mereka mengenali apa itu Islam dan apa itu PAS!

Saturday, December 5, 2009

RIBUAN RAKYAT KELANTAN NYATA SOKONGAN KEPADA TOK GURU



Fakta memang tidak boleh ditipu dan dinafikan. Rekalah apa juga cerita bagi menyedapkan halwa telinga, namun kenyataan tidak boleh dipesongkan. kehadiran puluhan ribu rakyat yang membanjiri Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan semalam bagi menyatakan sokongan kepada YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri besar Kelantan. Ia bercanggah sama sekali dengan jumlah kehadiran mereka yang membantah dan mendesak YAB Dato' Nik Abdul Aziz meletak jawatan beberapa hari sebelumnya.

Yang pasti, Tok Guru tak meminta mereka hadir menyokongnya. Tidak ada upah atau elaun untuk hadir beramai-ramai menyokongnya. Yang datang menaiki bas, tidak pula tampil untuk 'claim' minyak dan nilai pengangkutan mereka. Semua hadir dengan ikhlas dan kesedaran bahawa YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz masih disayangi di Kelantan.

Yang datang pula pelbagai kaum. Ada India, ada Cina dan ada kaum Siam turut bersama. Rakyat Kelantan lebih mengenali pemimpin mereka. Mereka pula tidak menyokong membuta tuli melainkan melihat kepada akhlak dan perilaku seseorang pemimpin. YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz adalah simbol kesederhanaan dan kerendahan jiwa seorang pemimpin, disamping mempunyai imej yang bersih dari rasuah dan penyelewengan.




Hari esok bagaimana pula peranan media negara milik UMNO-BN untuk memutar jumlah kehadiran penyokong ini. Jangan terkejut ribuan ini dikatakan berpuluh orang sahaja. Dan jangan terkejut nanti media memusing fakta menyatakan yang datang itu dianggap segelintir kecil dari sebahagian besar rakyat Kelantan lain yang menolak kepimpinan YAB Tuan Guru!

Friday, December 4, 2009

AKHIRNYA TEMBELANG BTN PECAH JUA.

Mari kita buat pertandingan. Siapakah yang dapat mendedahkan penyelewengan BTN secara terperinci dan paling tepat.

Apakah UMNo-BN mahu menafikan lagi penyelewengan mereka melalui BTN?



Sumber : Harakahdaily

BTN sudah lama terpesong- Bekas Pengarah

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 3 Dis: Biro Tata Negara (BTN) yang diwujudkan kini bukan lagi untuk menjaga semangat bangsa dan cintakan negara, sebaliknya untuk menjaga kekuatan parti Umno.

Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah memberitahu modul kursus yang diajar dalam BTN khususnya selepas tahun 1998, lebih menekankan pengukuhan peserta kursus kepada pada parti pemerintah itu.

“Pada masa yang sama, peserta kursus juga turut diajar memusuhi pemimpin parti-parti pembangkang, khususnya ulama dalam PAS, lebih bersifat perkauman dan berbagai lagi,”ujarnya lagi.

Katanya, tindakan pemimpin kerajaan Selangor yang menghalang kakitangannya menghadiri kursus dalam BTN sebenarnya satu langkah yang baik memandangkan setiap peserta akan diasak sedemikian rupa untuk memenuhi impinan kerajaan Umno dan BN.

Beliau yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan BTN Pusat, itu seterusnya memberitahu, propaganda termasuk tuntutan Hindaf juga turut dicanang kepada peserta kursus berkenaan.

“Modul kursus BTN khususnya diawal era 90-an, berbeza khususnya sewaktu dibawah seliawan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut ditekankan soal pendidikan Islam.

“Sekarang ni khususnya selepas tahun 1998, kursus berkenaan bukan sahaja tidak ditekankan soal pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus pada propaganda Umno, perkauman dan memburukkan ulama’ khususnya dalam PAS,”ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masyarakat begitu mengagumi BTN sehingga antara tahun 1991 hingga 1998 merupakan zaman kegemilangan BTN kerana modul kursus yang diperkenalkan termasuk pendidikan Islam.

Namun tambahnya, kini ianya menjadi hambar kerana lebih bersifat politik demi untuk kepentingan parti pemerintah.

Beliau yang kini Timbalan Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali juga memberitahu, keberkesanan kursus BTN sekitar tahun berkenaan juga menyebabkan rakyat turun ke bawah akibat kesan dari reformasi yang disuntik dari semangat kursus BTN, khususnya selepas penyingkiran Anwar.

“Kini mereka ingin melakukan perkara yang sama namun lebih sistemetik demi untuk kemenangan mereka dalam pilihan raya umum akan datang,”ujarnya lagi.

Jelasnya, kursus BTN dalam tempoh lima hari amat berkesan kepada peserta kursus dengan asakan serta cara mereka menyampaikan ceramah melalui modul yang telah disediakan kepada peserta.

Jelasnya, BTN kini juga telah terpesong dari matlamat asal penubuhan iaitu untuk menguatkan bangsa Melayu itu sendiri, yang mana kini tidak menumpukan soal bangsa apa lagi agama, sebaliknya menanam semangat perjuangan Umno pada jiwa peserta kursus.

Pada masa yang sama beliau turut menyokong langkah kerajaan Selangor menghalang kakitangannya mengikuti kursus BTN bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri itu perlu mengadakan satu medan kursus khas untuk kakitangannya memandangkan setiap kakitangan awam perlu mengikuti kursus untuk kenaikan pangkat mereka.

Menurutnya lagi, kursus khas di bawah Menteri Besar perlu ditubuhkan sebagai alternatif baru untuk kakitangannya mengikuti kursus.

Pada masa yang sama, sambungnya masyarakat perlu didedahkan tentang intipati yang terdapat dalam kursus BTN agar mereka selamanya tidak diperbodohkan oleh kerajaan khususnya yang mengaitkan hanya Umno mampu memerintah negara.

“Fahaman atau ajaran sesat ini sewajarnya dibuang dari minda rakyat kerana Pakatan Rakyat juga mampu memerintah,”ujarnya.

Thursday, December 3, 2009

MALAYSIA BOLEH!



Transeksual warga Malaysia Mohammed Fadzil atau Fatine tiba-tiba menggemparkan negara. Foto perkahwinannya di Britain dengan soerang hartawan di sana benar-benar mengejutkan.
Suaminya Ian Young, 30, pemilik syarikat penyelenggaraan hartanah tidak diketahui status agamanya. Kristian atau selain itu, tidak diketahui. Kelihatan di foto tidak seakan perkahwinan orang Islam.



Lebih mengejutkan lagi, bagaimana seorang Islam, anak Melayu yang dilahirkan sebagai lelaki tiba-tiba bertukar jantina dan berkahwin dengan seorang kristian tanpa memeluk agama Islam. Soalnya, apakah status Fetine kini dan bagaimana ini boleh terjadi?

Sungguh ia memalukan orang Melayu dan umat Islam. Malaysia pula bakal menempah satu lagi sejarah yang 'membanggakan' (memalukan) negara. Apa kata Jabatan Agama Islam, JAKIM, pihak Mufti, serta tokoh-tokoh agama negara, sama-sama kita nantikan.

MENANTI RESPONS SPRM TERHADAP ADUAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

Hari ini Pemuda Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Shamsul Iskandar Mat Akin dan pimpinan Pemuda PAS serta DAPSY memanjat Pejabat SPRM menyerahkan dokumen berhubung pendedahan Raja Petra terhadap isu pengakuan PI Bala. Isunya ialah bagaimana PI Bala diugut oleh individu bernama Deepak dan Nazim Razak yang juga adik Najib Tun Razak supaya menarik balik pengakuan bersumpah yang pertama iaitu mengaitkan Najib dengan hubungan intim serta pembunuhan Altantuya.

Semua ingin melihat apakah respons SPRM kali ini. Bagaimana mereka menyusun langkah untuk bersilat menafikan tindakan terhadap laporan-laporan tersebut.

Sebelum ini sungguh cemerlang SPRM apabila ada pendedahan dari blog Kickdefella berhubung penyalahgunaan kuasa oleh Ariffahmi dalam PMBK. Maka berlarilah SPRM tidak cukup tanah mengejar Pejabat PMBK di Kota Bharu. Tambahan lagi Pemuda UMNO menambah perisa dengan membuat laporan rasmi kepada SPRM. 'Bertindak atas aduan' tersebut, maka Ariffahmi terpelanting keluar dari Pejabat PMBK. Tidak cukup dengan itu, SPRM dengan bangganya isytihar untuk dakwa Ariffahmi.

Saya dapat mengagak bagaimana persepsi rakyat Malaysia dengan aduan Pemuda Pakatan Rakyat hari ini. Kita sudah boleh mengagak bagaimana skrip serupa akan dimainkan oleh SPRM bagi mencari helah daripada bertindak terhadap aduan tersebut. 'Tidak cukup bukti', saksi tidak dapat dikesan, dokumen tidak lengkap, aduan palsu, SPRM akan buat siasatan terlebih dahulu dan pelbagai jawapan standard bagi menyedapkan hati.

Hakikatnya nanti, aduan ini akan terperap bertahun lamanya, sepertimana kes-kes besar sebelum ini. Akhirnya ia akan tinggal sebagai dokumen sejarah, dan pesalah kelas atasan ini terus terlepas begitu sahaja.

Silap haribulan, Pemuda Pakatan Rakyat pula yang akan didakwa kerana memberi 'laporan palsu'. ataupun taktik lain yang dimainkan ialah dengan memangsakan individu lain dan highlight besar-besaran 'kejayaan' SPRM ini. Maka rakyat akan terpana kehebatan dan ketelusan SPRM, walhal laporan Pemuda Pakatan Rakyat hari ini bakal tidak terusik pun.

Itulah peranan yang akan dimainkan selama UMNO-BN masih berkuasa. Sudah jelas lagi bersuluh, kesemua agensi kerajaan kini adalah pak turut UMNO-BN dan telah melacurkan diri menjadi hulubalang UMNO-BN. Semua sudah tahu ini dan tidak perlu disembunyikan lagi!

Tuesday, December 1, 2009

UMNO SUDAH BUSUK SELURUH TUBUHNYA


Tun Dr Mahathir mengakui melalui rakannya bahawa UMNO sudah membusuk sehingga ke ususnya. Sepatutnya beliau menambah, bukan setakat ususnya, tetapi seluruh tubuh UMNO semakin membusuk berbau bangkai.

Maklumlah, UMNO sudah nazak benar. hanya talian hayat UMNO bergantung kepada SPR, SPRM, PDRM, mahkamah dan lain-lain agensi kerajaan. Kalau ini tidak menyokong UMNO, sudah lama UMNO disemadikan.

Siapa boleh nafikan bahawa yang menyertai UMNO adalah mereka yang berhajat kepada material semata-mata, bukan kerana perjuangannya. Kalaulah UMNO menjadi pembangkang dalam negara ini, saya yakin, ia kini tinggal nama sahaja.

Dan siapa boleh memberikan fakta, pemimpin tertinggi manakah UMNO bersih dari rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan lain-lain lagi. Daripada peringkat bahagian, Perhubungan, MT Pusat, sehinggalah ke Menteri Kabinet, tidak ada yang terlepas dari masalah rasuah. Sehingga rakyat berpersepsikan UMNO dan rasuah adalah kembar siam seiras yang tidak boleh dipisahkan.

Selagi UMNO tidak dikuburkan dan ditalkinkan, selagi itulah ia membusuk. UMNO tidak boleh diperbaiki lagi, melainkan dilahirkan kembali dengan wadah selain UMNO...