Tuesday, June 17, 2008

APABILA EZAM MASUK UMNO: MAHATHIR KELUAR UMNO

Mutakhir ini UMNO diuji dengan pelbagai peristiwa. Bermula dengan kejutan Tsunami politik dalam PRU 12, digoncang dengan kesetiaan ahli-ahli Parlimennya yang mengancam keluar parti, kini berita Tun Dr Mahathir keluar UMNO mencuri perhatian.

Dalam keadaan demikian, datang pula hulubalang baru menghulur jasa. Ezam Mohd Nor, yang bersuara lantang datang balik menadah harap pada bahtera yang hampir karam. Bagi saya, peristiwa Tun Dr Mahathir keluar UMNO dan Ezam masuk semula UMNO melantarkan pandangan berikut:-

1. UMNO perjuangannya rapuh. Hujahnya, kalau seorang presiden yang bergelar negarawan pun keluar parti, manakala bekas Timbalan Perdana Menteri pun terpelanting keluar lalu menubuhkan parti baru, di mana keaslian pada UMNO? Apa jaminan Pak Lah tidak lakukan tindakan yang sama dengan Tun ketika beliau tidak lagi di perdu kuasa?

2. Apabila Ezam memilih semula UMNO, jelaslah bahawa beliau seorang yang hipokrit dan tiada pendirian. Keyakinan kita pada perjuangan ialah bahawa Allah swt menyaring umatnya untuk berada di jalannya. Alasan beliau sangat longgar untuk memilih UMNO. Mengapa tidak beliau berada di dalam GERAK yang beliau sendiri tubuhkan, dan berjuang melaluinya?

3. Ketika UMNO dalam keadaan tenat dan Ezam pula memilih UMNO, melihat kepada kegelojohan Ezam mendapat sesautu habuan. Ezam pasti diberikan tugas mengembalikan kepercayaan anak muda terhadap UMNO dan balasannya ialah ganjaran jawatan, sesuatu yang diintainya sejak sekian lama.

4. Ezam mungkin mendakwa beliau ikhlas dengan UMNO kerana masuk di saat UMNO hampir karam. Soalnya, mengapa beliau memilih UMNO dan mahu karam bersamanya? Adakah beliau mencontohi anak Nabi Nuh yang memilih untuk tenggelam dalam banjir besar sedangkan ayahnya Nabi Nuh menyerunya bersama di bahtera penyelamat bersamanya?

5. Tindakan Tun Dr Mahathir mewakili sekelompok yang kecewa dengan UMNO. terdapat sejumlah ratusan bahkan ribuan lagi yang kecewa dengan perjuangan UMNO yang kini jauh tersasar dari landasannya. Di mana perjuangan membela nasib umat Melayu di saat ini? Dasar Ekonomi Baru kini untuk siapa? kroni dan pak penakan yang dapat faedahnya.

6. Tun Dr Mahathir menguatkan hujah bahawa tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang boleh dipercayai. Dasar dan perjuangannya dah lari jauh. Pemimpinnya pula jauh dari layak dipercayai. Kini tiada lagi dalam UMNO yang boleh diharapkan.

7. Alasan Ezam menyertai UMNO ialah untuk menentang Anwar kerana dakwanya Anwar gagal membela nasib orang Melayu Islam. Soalnya mengapa tidak bersama dalam perjuangan Islam di dalam PAS? Mana lebih baik antara masuk UMNO dengan masuk PAS? rekod telah ada, sejarahnya panjang. Apa asas kejayaan UMNO membela umat Islam?

8. Tun Dr Mahathir membogelkan seluruh pekung UMNO selama ini. Baik beliau selaku Perdana Menteri atau selepasnya, pemimpin UMNO dilihat rasuah, tida amanah, perompak, serta tamak kuasa dan mencuri harta rakyat.

Kesimpulannya, saya bersyukur dengan dua peristiwa besar ini. Kini keyakinan pendokong PAS semakin menebal. Kepada, penyokong UMNO, tunggu apa lagi, fikir-fikirkanlah.

No comments: