Sekonyong-konyong kerajaan pimpinan Pak Lah cuba membeli hati rakyat dengan memberi kelulusan permit berniaga untuk pekerja. Selesaikah masalah rakyat?
Bukan semua rakyat mampu dan tahu berniaga. Berniaga itu satu seni. Mencari pendapatan sampingan melalui perniagaan memang perlu di saat ini. Hendak menampung kos hidup yang terlalu tinggi memerlukan pendapatan sampingan, itu tidak dapat disangkal.
Tetapi langkah kerajaan berikan permit bukan jalan penyelesaian kepada kemelut kemiskinan rakyat yang mendadak akibat kenaikan harga bahan bakar. Itu adalah satu alternatif yang baik, tetapi yang rakyat mahukan ialah jalan penyelesaian dan keluar dari permasalahan ini.
Di khalayak, rakyat sedang menjerit kelaparan. Rata-rata merungut kenaikan harga bahan bakar mengubah terus hidup mereka. Ada yang berfikir dua kali untuk menghantar anak ke tuisyen di waktu malam. Ada yang berkira-kira mahu menjual kereta kedua, tidak kurang yang mencongak-congak mahu makan magee selang sehari. Itulah masalah rakyat yang Pak Lah tidak dengar dan tahu.
Mahu berniaga, berapa ramai rakyat yang tahu dan sanggup berniaga? Dibungkus dengan kesuntukan masa di pejabat, terpaksa berkejar pula ke pasar malam membuka gerai berniaga. Yang berniaga pemasaran pelbagai peringkat (MLM), menebalkan pipi menghurung teman mencari pelanggan. Berapa ramai yang tegar?
Memberi lesen berniaga tidak semestinya rakyat selesai masalah. Ia melegakan beberapa orang yang tahu berniaga, beribu bahkan berjuta lagi rakyat biasa duka nestapa.
Patutnya kerajaan ambil langkah lain dulu selain dari menaikkan harga minyak. Manikkan harga minyak mesti menjadi jalan terakhir setelah pelbagai usaha dilakukan. Kerajaan perlu berbincang, naikkan bonus dan elaun, memberi cola, menarik subsidi selain dari bahan keperluan, memotong gaji menteri, dan lain-lain. Lepas itu jika tiada jalan keluar barulah naikkan harga minyak. itupun berilah notis awal supaya rakyat boleh bersedia. Pemimpin yang cerdik tidak semestinya cerdik dalam bab ekonomi dan politik, lebih dari itu mestilah cerdik dalam memikirkan kebajikan rakyat!
Petikan akhbar Berita Harian, Isnin 23 Jun 2008.
Permit niaga lebih banyak
Oleh Norfatimah Ahmad, Anwar Hussin dan Nazura Ngah
Kerajaan umum 4 langkah tambahan bantu rakyat hadapi kesan kenaikan harga
KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam bersetuju mengeluarkan lebih banyak permit peniaga kecil dan penjaja kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam, untuk menambah pendapatan dengan berniaga di tapak pasar tani, pasar malam serta kawasan perumahan.
Langkah itu, yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah antara beberapa inisiatif tambahan bagi membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak.
Kerajaan turut mengumumkan rakyat tempatan yang memiliki kenderaan persendirian dengan enjin sehingga 3,000 cc di Sabah dan Sarawak kini layak menuntut rebat tunai subsidi minyak berjumlah RM625 setahun, berbanding 2,000cc, selain trak pikap dan jip enjin sehingga 2,500cc sebelum ini serta memperkenalkan sistem dua pam di stesen minyak berhampiran sempadan.
Serentak itu, satu usul khas berkaitan isu kesan kenaikan harga minyak dan barangan akan dibentangkan oleh kerajaan pada sidang Dewan Rakyat hari ini bagi membo- lehkan semua pihak mengenal pasti pelbagai langkah susulan yang boleh diambil bagi meringankan lagi beban rakyat.
Perdana Menteri berkata, inisiatif tambahan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang yang sudah dirangka kerajaan untuk membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah serta mereka yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Kerajaan bersetuju mengeluarkan lebih banyak permit peniaga kecil dan penjaja kepada rakyat berpendapatan rendah yang ingin menambah pendapatan dengan berniaga di tapak pasar tani, pasar malam serta kawasan perumahan yang dibenarkan.
"Kakitangan kerajaan juga boleh memohon permit ini yang akan diberi untuk tempoh jangka pendek atau panjang, mengikut keperluan," katanya selepas menyampaikan taklimat khas mengenai penstrukturan semula subsidi kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Ahli Dewan Negara di Auditorium Perdana Angkasapuri, di sini...
No comments:
Post a Comment