Tuesday, July 8, 2008

DEBARAN 16 SEPTEMBER SEMAKIN PUDAR

Nampaknya cerita penubuhan kerajaan pada 16 September yang begitu dinanti-nantikan rakyat Malaysia semakin pudar. Entah macamana, ranking cerita ini jatuh merudum diserang isu-isu sensasi. Memang rakyat Malaysia suka cerita sensasi. Kali ini jalan ceritanya sama, wataknya yang berbeza. Kini timbul pula cerita sensasi lapuk yang diperbaharui - isu liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim. Diselang seli dengan cerita terhangat dewasa ini, isu pembunuhan Altantuya.

Nampaknya Malaysia sekarang agak gawat. Berlaku pertembungan dua kuasa, dua tokoh politik tersohor negara. Merekalah penentu kuasa politik dalam negara. Pertembungan dua gergasi, mewarisi dua versi. Seorang pencetus reformasi, seorang lagi mengekalkan tradisi!


Rakyat dibiar terhimpit dan berselerak. Ibarat dua gajah bertelagah, pelanduk mati ditengah-tengah. Bagaikan diagak, kedua-duanya saling menyerang dan bertahan. Sudah tentu, yang paling beruntung dan tergelak sekarang ialah Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia. Dua tiga bulan lalu, orang inilah yang paling cemas dan kritikal, hari ini, dengan perencanaan budak-budak tingkat 4 itulah, beliau kini selesa.

Menyerang dua peribadi yang menggugat kuasa beliau sangat menguntungkan. Kedua-duanya kini dalam bertahan, dan terpaksa bersumpah. Lalu lupalah rakyat akan isu sebenar yang lebih dahsyat, iaitu isu kredibiliti Pak Lah. Memang perancangan beliau sangat licik. Bunuh dan musnahkan karier politik pencabarnya. Inilah budaya UMNO!

Isu ini sedikit sebanyak menenggelamkan isu lompat parti dan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Hari ini tidak kedengaran lagi suara jelas dan yakin Anwar membicarakan isu lompat parti dan tubuh kerajaan.

Lalu apa jadi pada 16 September? Mana cerita kata 4 orang Ahli Parlimen BN akan hijrah parti? Bagaimana nasib SAPP? siapa yang menyusul mereka? tenggelam timbul, isu hilang hilang dicelah kemelut politik negara.

Yang pasti dalam keadaan Anwar terpaksa menjelajah ke pelusuk negara, seakan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat, seperti yang diimpikan seluruh rakyat semakin kelam dan kabur. Yang pasti bukan jalan ke Putrajaya semakin dekat, tetapi jalan ke mahkamah dan Sungai Buluh yang hampir. Bersedialah kita sekali lagi, menempuh dunia fitnah gerombolan elit penguasa rakus mempertahankuasa kuasa!

No comments: