Tuesday, July 22, 2008

MUZAKARAH: PAS SEDANG DIUJI!

Isu Muzakarah adalah isu perbahasan negara hari ini. Ia bagaikan suatu pesta buat bloggers menyampaikan isi hati. Tidak kurang yang terjun kepada suatu justifikasi tanpa apa-apa maklumat mendalam mengenainya. Siapapun yang memberi komen, pasti ada kebenarannya. Menghalang muzakarah pun betul, pergi muzakarah pun boleh diterima.

Bagi saya isu ini menjadi semakin kompleks dan sukar dirungkaikan. Isu asal adalah muzakarah, kini bertukar menjadi pertemuan sulit pimpinan dua parti. Kejujuran pimpinan PAS pula menjadi topik. Walhal maudhuk asal adalah isu membincangkan ketuanan melayu Islam (sejak bila PAS berjuang kerana bangsa?).

Tak pasal-pasal daripada kita seronok menyerang dan merancang, kini bertukar menjadi bertahan dan menerima asakan. Kini pimpinan PAS pula teruji. Bagi saya, dengan pendedahan Pak Lah itu menunjukkan mereka tidak ikhlas. Kalau mereka ikhlas mahu bermuzakarah, apa perlunya Pak Lah mendedahkan butiran pertemuan dan individu yang bertemu dengannya. Tiba-tiba pula Dr Khir Toyo keluarkan kenyataan beberapa pimpinan PAS pernah bertemu dengannya bagi merundingkan pembentukan kerajaan. Apa ceritanya, kalau bukan untuk melaga-lagakan ahli dan pimpinan PAS.

Memang benar rata-rata ahli dan penyokong PAS melahirkan rasa kurang senang isu muzakarah tersebut. Saya pun pernah mengutarakan rasa bimbang di atas kelicikan UMNO berselut politik ini. Bab ini, UMNO memang juara.

Saya pernah meluahkan isi hati kepada seorang pimpinan pemuda PAS berkenaan isu ini. Tetapi beliau menganggap saya termakan dakyah akhbar nyamuk. Rasa tidak selesa saya bukan berlegar kepada isu muzakarah, lebih dari itu mengenai suatu perundingan rahsia antara PAS dan UMNO. Saya tidak risau muzakarah tersebut, tetapi apa akan jadi kalau suatu perundingan rahsia di atur membentuk suatu pakatan yang membentuk kerajaan.

Saya juga pernah mengutarakan betapa UMNO adalah suatu spesis yang sukar untuk dijustifikasikan. Betapa Pak Lah memerlukan dahan buatnya berpaut. Betapa UMNO dalam keadaan tertekan, memerlukan apa sahaja untuk melonjakkan dirinya. Betapa UMNO pernah mengkhianati sebuah persahabatan, dan mereka tidak pernah bertaubat dari dosa silam.

Saya suka mengibaratkan PAS seperti HAMAS dan UMNO seperti FATAH di Palestin. Apa kesudahannnya dari episod pergabungan dua parti terbesar tersebut.

Ternyata ramalanku benar belaka. Kini pimpinan PAS diuji. Kesetiaan mereka dicabar. Keikhlasan mereka diragui. Ucapan mereka tidak diyakini dan kejujuran mereka dipersoalkan. Betapa berat pun persoalan ini berlegar di bibir kita, pastinya bola kini di kaki Pak Lah dan UMNO. Dan kita kini sedang bertahan di gawang mengelak gol kemenangan percuma disumbat saat akhir permainan.

Buat pimpinan, sedarlah dan jauhkan fitnah. Sabarlah atas ujian sedikit dan jangan terikut rentak tari musuh. Anda punya amanah untuk dipikul. Jangan kerana bunyi guruh dilangit habis tempayan air dicurahkan.

Buat ahli dan penyokong, ingatlah. Kita masih punya berbaki kekuatan dan semangat kental serta pepraduan yang UMNO tak miliki. Takkan kerana seketul najis yang terpalit, kita lari bertempiaran. Biarkan UMNO terjun dengan labu-labunangya. Biarkan mereka mencanang dan mengadu domba ibarat anjing menyalak bukit, selepas penat isu ini terdiam dan terpinggir begitu sahaja!

No comments: