Wednesday, July 23, 2008

RAKYAT BUKAN MAHU SISTEM BARU BAYAR TOL, RAKYAT MAHU HAPUSKAN TOL!

Saya kira tajuk di atas perlu dibesar-besarkan sebesar-besar font yang boleh. Agar dinampak oleh Menteri Kerja Raya dan seluruh kabinet. Hebat macamana pun sistem itu, bebannya tetap terbahu kepada rakyat.

Walaupun kesesakan jalan raya dapat dielakkan, tetapi duit poket pengguna jalan raya tetap kosong. Hairan juga, bagaimana kerajaan mampu memikirkan kaedah membayar tol paling cepat tetapi tidak mampu memikirkan kaedah paling baik mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol sepenuhnya.

Apa nak buat, inilah mentaliti pemerintah. Yang difikirnya hanyalah memenuhkan perut dan periuk nasi mereka, tetapi tidak pernah memikirkan derita rakyat sekian lama...




BERNAMA:Sistem baru, pengguna lebuh raya mungkin tak perlu berhenti di tol?

KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya pada masa hadapan mungkin tidak perlu berhenti di pondok tol untuk membuat bayaran sebaliknya masih boleh berbuat demikian walaupun ketika sedang memandu pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membuat ujian sistem pembayaran tol baru pada November ini yang dinamakan Laluan Pantas PelbagaiGuna.

"Ujian ini akan dibuat di Plaza Tol Sungai Penchala (LDP)," katanya selepas menghadiri forum ‘Menglobalisasikan Profesional Muda Malaysia Perspektif Masa Depan’ di sini hari ini.

Beliau berkata sistem baru yang dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Jepun dan mampu merekod bayaran pada kelajuan tinggi itu didapati amat berkesan apabila mampu mengendalikan lebih 2,000 kenderaan sejam berbanding sistem SmartTag yang hanya boleh mengendalikan 800 ke 1,000 kenderaan sejam.

Mohd Zin berkata sistem bayaran tol secara tunai pula hanya boleh mengendalikan 300 kenderaan sejam menyebabkan sering berlaku kesesakan di plaza tol terutama pada musim perayaan.

Beliau berkata jika sistem baru itu berkesan dan digunakan, pemandu tidak lagi perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk membayar tol seperti amalan sekarang dan sekali gus mengatasi masalah kesesakan.

Sistem baru itu menggunakan teknologi gelombang mikro boleh mencatat bayaran dua kali lebih pantas walapun kenderaan bergerak laju lebih 100 km sejam, berbanding teknologi infrared yang digunakan pada sistem SmartTag sekarang, katanya.

Beliau berkata LLM berminat menggunakan sistem pantas itu yang turut digunakan di negara-negara maju seperti Australia dan Jepun bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol.

Mohd Zin berkata bagaimanapun pihaknya akan mengkaji faktor kos tambahan untuk memasang sistem pengesan kesalahan trafik, selain kos tambahan penyelenggaraan yang lain termasuk keberkesanan sistem itu pada ujian November ini.

Difahamkan ujian sistem itu akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat Jepun berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin berkata penubuhan Institut Kajian Kerja Raya telah diluluskan oleh kabinet tiga minggu lepas. BERNAMA

"

No comments: