Friday, October 30, 2009

BNBBC PUN DAH MULA DESAK PEMIMPIN PARTI KOMPONEN BERHENTI JADI MENTERI

Alhamdulillah.. Berita yang baik. Mungkin pemimpin UMNO mula berfikir untuk berjuang sendiri tanpa rakan dari parti komponen yang menyusahkan. Pemimpin BNBBC pun dah melenting, itu tandanya mereka telah tidak peduli pada rakan-rakan mereka.

Bagaimana agaknya kalau PAS berjuang sendiri??...





Penyokong BN Minta Datuk Seri Ong Tee Keat Dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berundur
Posted on Thursday, October 29 @ 05:47:37 PDT by Paktam

Seorang penyokong kerajaan Khamis secara lantang mendesak Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk melakukan perkara sama kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.


Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.

"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.

"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya

Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat di dahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu....jalan, jangan tunggu...get out you!," katanya.

Mengenai kedudukan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga dan menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau berkata menteri itu sendiri tidak menunjukkan prestasi yang baik.

"Jaga KPI tetapi kalau diri tidak ada KPI, kakitangan di bawah hilang kepercayaan, bagaimana keberkesanan kita sebagai menteri.

"Saya kasihan pada kawan saya (bekas Anggota Parlimen) Batu Kawan (Huan Cheng Guan), dulu seorang Anggota Parlimen yang baik tetapi kawasannya dirampas Presiden (Gerakan, Koh) yang bertanding, tetapi kalah satu negeri, macam ini hendak jaga KPI," katanya.

Beliau juga menyifatkan Koh sebagai 'suka mengampu' kerana tidak pernah hadir di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.

"Jadi senator, masuk pintu belakang, jadi menteri, tak datang pun Parlimen. Perdana menteri datang, dia datang, perdana menteri datang, dia datang...ini namanya menteri mengampu," katanya yang menerima sokongan beberapa anggota Parlimen lain termasuk pembangkang.

Kemudian dengan nada yang lebih rendah, Mohamad yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat, turut menasihati para menteri agar tidak bersikap sombong atau bongkak.

"Kata orang tua kalau dongak ke langit jangan lupa rumput di bumi. Jangan jadi teratai, ke langit tidak sampai ke bawah tidak jejak. Hari ini kau menteri esok orang biasa, untung macam saya semalam Anggota Parlimen, hari ini Anggota Parlimen, esok dan selama-lamanya Anggota Parlimen," katanya disambut derai ketawa mereka yang hadir.

YB PAS SAMPAI MATI PERTAHAN KERUSI : ADUN PKR PULA MUDAH LOMPAT PARTI

Berita terkini semalam, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham telah mengisytiharkan diri keluar PKR dan menjadi bebas. Kebiasaannya, bila dah jadi Bebas ni, beberapa jam kemudian akan sertai UMNO. Begitu mudah insan sepertinya berubah angin. Hilang sudah semangat perjuangan hanya semata-mata habuan dunia atau mungkin sikap tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, maka prinsip perjuangan dilelongkan begitu sahaja.

Dalam keadaan PKR yang begitu goyah begini, masih ada manusia yang sanggup berdamai dan duduk setia di bawah payung Pakatan Rakyat. Ialah, setiakawan perlu dijaga dan diteruskan. Tetapi wajarkah sahabat yang kita perlu jaga hatinya, tetapi sahabat itu tidak sedikit pun menjaga hati rakyat dan ahli-ahli PAS?

Sekadar perkongsian, di Perak, hanya kerana sikap YB dari Pakatan Rakyat juga maka Kerajaan Negeri Perak tumbang. Sehingga hari ini, kerajaan itu tidak dapat kembali. Perak jadi tunggang langgang angkara perangai tiga orang dari bekas Pakatan Rakyat - dua darinya dari PKR dan satu DAP.

Pun begitu, bergaduh dalam PAS hanya kerana sesetengah pihak mahu bersetia dan dilihat sangat setia dalam berkawan. Sedangkan sahabat setianya sendiri tidak mahu menjaga setiakawan ini!

Dalam PAS, YB dan pimpinannya, sampai mati pertahan kerusi yang dimenangi. Kita menganggap inilah jihad besar yang perlu digalas. Amanah rakyat serta baiah diri terhadap jemaah mengikat diri dari melakukan khianat. Ada yang sakit-sakit terpaksa hadir ke Sidang DUN atau Parlimen.

Bukan tidak pernah YB PAS ditawarkan ganjaran lumayan. Ketika merudumnya kerusi PAS di Kelantan tahun 2004-2008, berjuta ganjaran di beri kepada mana-mana ADUN yang mahu melompat parti. Tetapi, alhamdulillah, kesemua itu tidak terkesima. Kelantan masih boleh bertahan walaupun hanya dengan satu kerusi lebih dan dengan majoriti dua undi!

Wednesday, October 21, 2009

GEMPAR.. TEOH DIBUNUH? APA PULA DALIH SPRM KALI INI!

PAKAR : YAKIN 80% TEOH DIBUNUH

Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand membuat kesimpulan yang mengejutkan dalam inkeus kematian Teoh Beng Hock pagi ini dengan menyatakan bahawa setiausaha politik itu telah dicekik sebelum jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.

Katanya, terdapat tanda bulat pada leher Teoh yang menunjukkan dia 'dicekik'.

Menurutnya lagi, retakan pada tengkorak Teoh bukan satu kecederaan akibat terjatuh.

Manakala kecederaan pada lubang dubur Teoh, katanya, boleh disebabkan dicucuk dengan objek sebelum dia jatuh.

Ini, katanya, berdasarkan kepada gambar-gambar yang diambil di tempat Teoh ditemui jatuh.

Dr Pornthip membuat kesimpulan bahawa 80 peratus Teoh dibunuh dan 20 peratus dia membunuh diri.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi pakar di inkues tersebut yang diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.

Dr Pornthip adalah pengarah dan pengasas bersama Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan Thailanad dan dianggap pakar dalam siasatan kes-kes pembunuhan yang rumit.

Tuesday, October 20, 2009

UMNO BERKAWAN DENGAN KOMUNIS PULA

Suatu ketika, bukan main bersilat UMNO menyerang Chin Peng, bekas pengasas Parti Komunis Cina di Malaya. Seakan bumi Malaysia sudah tidak ada tempat bagi Chin Peng yang sudah pun tua dan mahu kembali ke pangkal jalan. Kini UMNO pula ke Tembok China dan mencari Parti Komunis China sebagai rakan sekutu mereka. Apa UMNo sudah ketandusan rakan untuk kerjasama?


Untuk makluman semua, ideologi komunis adalah ideologi yang bertentangan dengan Islam. Seperti mana nasionalis, sosialis, kapitalis dan lain-lain, komunis adalah agenda jahat musuh Islam bagi mengabui umat Islam. Berapa ramai umat Islam telah terpesong dengan ideologi songsang bikinan yahudi ini.

Kini UMNO mahu berbaik dengan Komunis pula, dan apa label yang boleh kita berikan kepada UMNO sekarang?




Umno iktiraf Parti Komunis China -
Posted on Monday, October 19 @ 10:01:47 PDT by Paktam

PAS memandang berat tindakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Liga Pemuda Komunis China (CYLC) akan menubuhkan sekretariat tetap bagi memastikan program kerjasama antara mereka dapat dilakukan secara berterusan seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar harian, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.


"Kenapa pemimpin Umno/BN bersifat talam dua muka dalam soal hubungan dengan parti komunis. Ketika isu Chin Peng yang hendak dibawa balik ke Malaysia, maka bangunlah hero kampung dusun Sarip Dol sanggup bersingsing lengan kononnya ini penghinaan kepada rakyat Malaysia.

"Kononnya menghina tentera kita yang telah berkorban menentang Komunis.Kenapa Umno/BN tidak dianggap Pemuda BN itu pengkhianat negara kerana mengadakan hubungan diplomatik dengan sebuah Parti Komunis. Kalau diplomatik antara negara bolehlah diambil kira. Sedangkan ini hubungan dengan parti yang menganut ideology Komunis," tegas beliau kepada Harakah.

Beliau mendakwa, Dato’ Hishamudin Hussin yang menjadi Menteri Dalam Negeri adalah orang yang memulakan hubungan dengan Liga Pemuda Komunis China semasa beliau menjadi ketua pemuda.

"Apakah beliau sekarang menjadi pelindung kepada ideologi komunis? Apakah komunis sudah halal untuk bergerak? Apakah komunis tidak lagi menjadi ancaman negara? Apakah komunis tidak mengancam negara apabila berbaik dengan umno?" soal Ustaz Idris.

Khairi Jamaludin ketika ditanya mengenai tindakan Pemuda BN yang mahu menjalinkan hubungan erat dengan Parti Komunis itu, beliau berkata macam Pak Pandir "Parti mereka adalah Parti Komunis, tetapi telah mengalami banyak perubahan, kalau ke China hari ini, ekonomi mereka bukannya ekonomi komunis, sebaliknya ekonomi pasaran".

"Parti komunis di sana adalah sama dengan BN di sini, ia adalah parti pemerintah dan bukannya komunis yang ganas atau membunuh orang dalam hutan," tegasnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Idris mempersoalkan bagaimana Khairy cuba memisahkan parti dengan kerajaan yang diperintah oleh Parti Komunis.

"Semacam juga kita hendak pisahkan dasar Kerajaan Malaysia tidak sama dengan Parti Umno/BN. Inilah Parti Umno, parti kelabu asap, orang lain buat khianat negara, Umno buat halal.

"Walhal parti komunis di Beijing merupakan penyokong kuat Parti Komunis Malaya (PKM). Selainkan menyediakan dana, Beijing juga merupakan destinasi latihan buat pimpinan Parti Komunis Malaya. Sah Umno parti cacar marba," tegas beliau.

RAJA ADIL RAJA DIHORMATI.. RAJA ZALIM???

Saya mengutip artikel ini dari Raja Blog, Raja Petra. Mana beliau dapat maklumat, saya tidak peduli tetapi yang saya kisahkan bagaimana manusia sanggup membelakangkan hukum Allah swt demi kepentingan diri. Saya tidak tujukan kepada sesiapa tetapi kepada kita semua..

Pengajarannya, Raja Namrud pernah dihukum sekeras-kerasnya oleh Allah swt kerana berlaku zalim dan menentang Nabi Ibrahim a.s., Raja Firaun juga dihina oleh Allah swt kerana kezalimannya dan penentangannya terhadap Nabi Musa a.s., banyak pemimpin-pemimpin yang angkuh telah dibinasakan oleh Allah swt. Soalnya, apakah kejadian di dalam al Quran itu sekadar menjadi sejarah dan tidak akan berulang. Fikir-fikirkanlah. Allah juga pemilik kerajaan langit dan bumi.




Mengapa Pakatan Rakyat Perak dijatuhkan?
Oct 19th, 2009 | By Admin | Category: Mat Saman Kati, Rencana

Kita semua tahu apa yang berlaku di Perak. Tetapi ramai yang tidak tahu, mengapa ia berlaku.

Sekiranya anda masih ingat, ianya mengambil masa seminggu untuk kerajaan baru di Perak dan Selangor mengangkat sumpah selepas pilihanraya umum Mach 2008. Kedua-dua Sultan dinegeri ini mahu ‘membincangkan’ terlebih dahulu dengan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.Sultan kemudiannya meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju untuk melantik Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri yang baru.

Jurang masa selama seminggu itu telah memberika masa kepada kerajaan negeri yang lama iaitu Barisan Nasional untuk memindah dan memusnahkan banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

Kelewatan selama seminggu ini juga membolehkan Barisan Nasional menawarkan kemungkinan untuk Umno bergabung dengan Pas untuk membentuk kerajaan baru di Selangor dan Perak. Malah, Umno bersetuju memberikan kerusi Menteri Besar kepada Pas dikedua-dua negeri ini. dan kemuncaknya, Umno malah bersetuju untuk membenarkan Pas melaksanakan undang-undang Islam dikedua-dua negeri ini.

Tetapi, Pas terus bersama dengan dua rakan mereka, PKR dan DAP didalam Pakatan Rakyat dan menolak tawaran Umno. Akhirnya, kedua-dua Sultan tidak mempunyai pilihan melainkan menerima Pakatan Rakyat sebagai kerajaan baru di Perak dan Selangor. Tetapi ini tidak menghentikan mereka dari terus merancang dibelakang tabir tentang bagaimana untuk menjatuhkan kedua-dua kerajaan ini.

Sultan Selangor agak bersedia untuk menerima keadaan yang berlaku. Tambahan pula, Pakatan Rakyat Selangor mempunyai majoriti yang cukup banyak dan agak susah untuk membeli ramai Ahli Dewan Undangn Negeri. Tetapi, Perak agak berlainan sama sekali. Majoriti yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat Perak amat sedikit berbanding Selangor.

Sebaik saja kerajaan baru dibentuk di Perak, Sultan Perak mula meminta macm-macam. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak bersedia bertolak ansur, demi menjaga hubungan baik dengan istana. Tetapi apa yang diminta oleh Sultan dan kerabat diraja agak berlebihan dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak mempunyai pilihan melainkan menolak permintaan Sultan.

Dan ini menyebabkan Sultan murka. Dan apabila Pakatan Rakyat Perak kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional mempunyai jalan yang amat mudah untuk mendapatkan perkenan untuk Barisan Nasional membentuk kerajaan baru.

Pada mulanya, Sultan Perak tidak begitu pasti sama ada hendak menyingkir kerajaan Pakatan Rakyat dan memilih Barisan Nasional. Apabila Menteri Besar, Nizar Jamaludin berjumpa dengan Sultan dan memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya baru diadakan, Sultan meminta masa untuk membuat pertimbangan. Tetapi sebaik saja selepas itu, Najib Tun Razak berjumpa Sultan dan mempengaruhi Sultan untuk menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, sebaliknya melantik Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan yang baru.

Taktik Najib amat mudah. Nazrin, anak kepada Sultan Azlan Shah, tidak sepatutnya menjadi Raja Muda. Dan ini bermakna, dia tidak sepatutnya menjadi Sultan kelak. sekiranya Sultan Azlan mangkat. Kerajaan Pusat tidak akan menyokong Nazrin sebagai Sultan Perak seterusnya. Lihatlah apa yang berlaku di Negeri Sembilan. walaupun Yamtuan melantik anaknya sebagai Raja Muda, tidak bererti dia akan menjadi Yamtuan.

Oleh itu, sama ada Nazrin boleh menjadi Sultan atau tidak bergantung kepada hubungan baik dengan kerajaan Pusat. Tetapi hubungan baik itu hanya boleh diperolehi sekiranya Barisan Nasional menjadi kerajaan negeri. Kalau Pakatan Rakyat masih lagi menjadi kerajaan negeri, maka Nazrin terpaksa membayar harganya apabila tiba masa untuk menggantikan bapanya.

Tambahan pula, Sultan dan keluarganya telah meminta banyak perkara dari kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya telah ditolak. Umno pula akan memastikan bahawa semua permintaan Sultan dan keluarganya akan dipenuhi sekiranya Barisan Nasional dipilih sebagai kerajaan negeri.

Dan dengan itu, Pakatan Rakyat menemui ajalnya di Perak. Sultan memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan negeri yang baru dan Pakatan Rakyat menjadi pembangkang.

Apakah permintaan Sultan dan keluarganya yang ditolak oleh Pakatan Rakyat dan sebaliknya diterima oleh Barisan Nasional? Mari kita tengok, dalam masa beberapa bulan saja, Sultan dan keluarganya tiba-tiba menjadi salah satu keluarga diraja yang terkaya di Malaysia, sebaik saja Pakatan Rakyat tumbang.

1. Umno menghadiahkan kepada Sultan sekeping tanah yang dikenali sebagai lot 183578. Tanah seluas kira-kira 600 ekar ini terletak di Tanjung Tualang, dalam daerah Kinta. Tanah ini telah di berikan kepada salah seorang proksi Sultan yang bernama Mohamed Khaair Johari Hj. Osman.

2. Umno menghadiahkan kepada Sultan konsesi balak seluas 1,000 ekar yang terletak di Ulu Kenderong, Gerik, Hulu Perak, disepanjang lebuhraya Gerik-Kupang. Konsesi ini pada mulanya diberikan kepada Universiti Utara Malaysia. Walaubagaimanapun, pemberian ini ditarik balik dan diberikan kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak dimana Pengerusinya ialah Raja Datuk Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah.

3. Umno menghadiahkan kepada Sultan tujuh konsesi balak di kompartmen 39, 41, 42, 43, 44, 45 dan 49 di Hutan Simpan Kenderong di Hulu Perak. Ketujuh-tujuh lot ini, yang berjumlah kira-kira 600 ekar, diberikan kepada dua syarikat proksi Sultan - Syarikat Zotonjaya Sdn Bhd dan Kibaran Wang Sdn. Bhd.

4. Umno akan meluluskan satu cadangan penghutanan semula (reforestation) yang melibatkan 10,781 hektar. 5,781 hektar terletak di Hutan Simpan Gunung Besout, di selatan Perak wementara 5,000 hektar lagi di Pondok Tanjung dalam daerah Larut Matang. Syarikat yang akan mendapat projek ini ialah Permatang Utama Sdn. Bhd (nombor syarikat 513583-D) dimana Pengerusi Eksekutifnya ialah Datuk Seri Ismail Farouk Abdullah, menantu kepada Sultan Azlan Shah).

5. Berikutan dengan itu, Datuk Seri ismail Farouk Abdullah dibenarkan untuk mengambil alih Hotel Casuarina milik kerajaan negeri dengan harga yang paling murah iaitu RM43 juta dimana harga sebenar jauh lebih tinggi dipasaran terbuka. Hotel tersebut terletak dikawasan paling strategik di Ipoh malah harga tanah lapang saja mempunyai nilai yang amat tinggi.

Keluarga Diraja Perak bukan orang susah. Tetapi nampaknya mereka tamak. Raja datuk seri Eleena Azlan Shah merupakan Pengarah kepada Gamuda Berhad dan juga merupakan orang ke 25 kaya di Malaysia dengan harta bernilai RM773 juta. Ini menjadikan beliau wanita kedua terkaya di malaysia selepas Puan Sri Chong Chook Yew, yang menduduki tangga ke 18 dengan harta bernilai RM1 billion.

Gamuda Berhad juga telah diberikan kontrak bernilai lebih RM10 billion. Ia juga mengurus dan menyelenggara lebuhraya sepanjang 230 kilometer dan juga merupakan pemaju hartanah di empat projek bandar baru yang melibatkan lebih dari 30,000 rumah.

Itulah kisahnya. Rakyat Perak, khususnya orang Melayu, merasakan bahawa pembangkang tidak menunjukkan hormat kepada Sultan. Apa yang tidak diketahui oleh mereka ialah Sultan tidak seharusnya diberikan penghormatan. Dan ramai juga yang tidak tahu mengapa Sultan mahukan Pakatan Rakyat disingkir di Perak.

Sekarang, kita berharap, rakyat Perak tahu apa yang berlaku.

(Artikel diatas adalah terjemahan daripada artikel asal Raja Petra “Why the Pakatan Rakyat government was brought down in Perak” yang disiarkan di Malaysia Today)

KERAJAAN BN MULA IKTIRAF TARIKH 16 SEPTEMBER

Akhirnya kerajaan UMNO-BN iktiraf tarikh 16 September dan jadikannya cuti umum. Inilah tarikh yang setahun lalu sangat digeruni oleh pemimpin mereka. Sehingga terpaksa lari dan membawa lari bersama Ahli Parlimen ke Taiwan. Semata-mata mahu mengelak tarikh keramat itu.

Setahun yang lalu, Dato' Seri Anwar dan ramai pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan majlis sambutan 16 September sebagai hari Malaysia. Maka UMNO seakan-akan terpana dan tersedar dari lena. Rupanya itulah tarikh penyatuan Malaysia, tarikh yang mereka sudah lupa sekian lama.

Kini mereka sedikit demi sedikit mengakui tidak sia-sia disambut 16 September, Dan buktinya, Najib isytihar ia sebagai cuti umum Malaysia. Patutnya UMNO-BN berterima kasih kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang memperjuangkan tarikh 16 September itu..




Cuti 16 Sept sempena "Hari Malaysia" disambut baik

KOTA KINABALU: Pengumuman cuti umum bagi seluruh negara sempena Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun disambut baik oleh kalangan pemimpin serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Ketika mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia akan dirayakan dengan acaraacara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia, kata Najib.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pengiktirafan tinggi oleh Perdana Menteri yang mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum amat signifikan bagi menggambarkan bahawa gagasan 1Malaysia telah lama dihayati dan menjadi amalan rakyat Sabah selama ini.

"Sesungguhnya, 16 Sept merupakan peristiwa yang amat bersejarah bagi rakyat negeri ini. Ini kerana, pada tarikh keramat tersebut, rakyat Sabah daripada pelbagai kaum dan etnik bersatu dan sepakat mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata pengumuman itu pasti akan mencetuskan semangat dan iltizam kerajaan negeri dan rakyat Sabah untuk terus mengukuhkan perpaduan dan rasa kekitaan sebagai pemangkin bagi memacu kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, sesuai dengan aspirasi gagasan 1Malaysia.

ALHAMDULILLAH SELAMAT DARI SATU BALA.

Alhamdulillah.. Berkat doa dan bantahan umat Islam semua, konsert artis yang terkenal dengan imej seksinya akhirnya batal.

Dalam keadaan dunia baru ditimpa bencana, negara Indonesia yang dilanda gempa bumi, tiba-tiba kita disini mahu mengundang amarah Allah swt. Mujur konsert itu tidak berlangsung.

Bayangkan dalam keadaan bersesak-sesak manusia menyaksikan maksiat, dengan tak semena-mena Allah turunkan bala seperti yang berlaku di Indonesia.

Semoga kerajaan sedar apa yang mereka lakukan. Lakukanlah apa yang disuruh (mengikut syariat) dan tinggalkan apa yang ditegah, maka selamatlah rakyat.

Mudah-mudahan kita semua terus beristiqomah dalam menjalankan kerja Amar ma'aruf nahi mungkar.


Dipetik dari Berita...


Beyonce postpones concert in Malaysia

KUALA LUMPUR: Pop star Beyonce Knowles has postponed her widely anticipated Malaysian leg of her tour scheduled for Sunday, Oct 25, to a date that will be announced soon.

Organisers Marctensia Sdn Bhd said that the official postponement statement by Beyonce’s Artiste Management, Music World would be released by this week.

“The postponement is solely the decision of the Artiste and has nothing to do with other external reasons.

“The Organisers sincerely apologise for any inconvenience caused,” Marctensia said in a statement.

Fans who have bought the tickets but can’t wait for the announcement of the new date, can get their refunds between Oct 26 and Nov 14 at Ticket Axcess head office in Petaling Jaya.

For more details on ticket refund, fans can contact the official ticketing agent Axcess through its hotline 03 7711 5000 or log on www.axcess.com.my

Beyonce’s “I am…” live concert was originally scheduled to be held at Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sunday, October 18, 2009

UMNO SUDAH MULA MENERIMA HAKIKAT PERJUANGAN ISLAM YANG BENAR.

Sedikit demi sedikit UMNO mula berubah dan meniru dasar perjuangan PAS. Dalam perhimpunan Agungnya yang luar biasa baru-baru ini, sudah acap kali terdengar laungan dan jeritan yang hanya kita dengar sebelum ini dari PAS. Banyak kalimat tentang Islam sudah terpacul dari lidah pemimpin UMNO.

4 Rukun UMNO yang mahu memperbaharui ISlam Hadhari, seakan memberi wajah baru kepada UMNO. kalimat wahdatul fikr, wahdatul qalb, jamaah, jihad dan perjuangan dan lain-lain sebenarnya adalah kalimat biasa yang terpacul dalam setiap siri tamrin dan program perkaderan PAS.

Ini menandakan bahawa perjuangan PAS diakui benar dan berada di landasan yang sebenar. UMNO terpaksa akui dalam diam bahawa parti yang berteraskan perkauman, kebangsaan seperti mereka sudah lama mereput. Rakyat sudah muak mendengar retorik perjuangan yang berkisar hanya sekitar bangsa.

PAS telah lama keluar dari kepompong perkauman. PAS sudah jauh ke depan dengan sebuah visi untuk memperjuangkan keadilan rakyat sejagat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan keturunan. Bangsa hanyalah kelompok yang diciptakan Allah. Kemuliaan hakiki terletak pada taqwanya mereka.

Kini baru UMNO sedar bahawa tidak akan kemana kalau perjuangan hanya sekitar kebangsaan. Sempadan geografi menetapkan Melayu hanya bermastautin di sekitar Tanah Melayu sahaja, tidak jauh dari itu. Berbanding dengan perjuangan Islam yang dipelopori PAS, sempadannya tidak bertepi. Hakikatnya semua Islam adalah bersaudara, dan wajib bagi umat Islam membela saudaranya yang jauh di perbatasan seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain.

Manakala keadilan yang diinginkan berdasarkan kepada perjuangan Islam adalah keadilan untuk semua, sama ada mereka itu Cina, India mahupun Melayu.Kononnya UMNO telah membawa satu tema iaitu UMNO untuk semua, padahal tema itulah yang digunakan oleh PAS dua tiga tahun kebelakangan ini. Kalaulah ada hak pemilikan tertentu pada tema, sudah tentu UMNO akan disaman kerana meniru PAS bulat-bulat.

Dan PAS sanggup melaungkan hasratnya untuk melantik seorang berbangsa Cina sebagai Perdana Menteri asalkan dia seorang yang ISlam. Bagaimana dengan UMNO, sanggupkah mereka menanggalkan kulit bangsa mereka dan melagukan slogan yang sama dengan PAS?

Thursday, October 15, 2009

UMNO TERKIAL MENCARI MAKNA KETUANAN SEBENAR

Setelah lebih 50 tahun merdeka dan setelah berdekad memerintah negara, baru kini UMNO mahu mencari makna ketuanan Melayu sebenar.

Selama ini ketuanan yang mereka faham ialah membaham apa sahaja hasil mahsul negara, dengan maksud untuk memberikan hak kepada orang melayu. Walhal, yang diberikan itu adalah kepada keluarga mereka sendiri, manakala rakyat di bawah melopong.

Selama ini ketuanan Melayu yang mereka faham ialah mesti memberikan hak lebih kepada peniaga dan kontraktor Melayu, sedangkan mereka sebenarnya tidak berhak pun. Tanpa usaha, tanpa kelulusan, tanpa kelayakan dan rekod cemerlang, semua projek dapat ke kroni (yang namanya Melayu UMNO) sedangkan ramai lagi rakyat yang layak tidak diberikan hak.

Selama ini ketuanan Melayu yang mereka faham ialah Ketuanan UMNO. Semua projek, kemudahan dan insentif duduk di ketiak Ketua bahagian atau Ketua Kampung yang memang UMNO. Untuk mendapat habuan, kena isi borang UMNO atau setidak-tidaknya kena pangkah UMNO.

Setelah satu pertiga negara dikalahkan oleh Pakatan Rakyat, baru kini mereka menyedari makna sebenar ketuanan Melayu. Dan PAS telah lama mendifinisikan makna sebenar ketuanan, iaitu ketuanan Islam. Semenangnya hanya ketuanan Islam yang lebih adil kepada semua rakyat, dan inilah yang gagal difahami oleh UMNO...




UBAH ERTI KETUANAN MELAYU -malaysiakini

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Umno dan pergerakan itu tetap menjadi pejuang bangsa - mempertahankan Islam, kedudukan Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu - tetapi menyarankan ia bukan lagi berteraskan konsep kekuasaan Melayu yang sempit tetapi kepimpinan Melayu yang adil dan rahmah.

"Kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain.

"Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah," kata Khairy dalam ucapan dasarnya di perhimpunan Pemuda Umno di PWTC hari ini.

PEMUDA UMNO TAKUT ANWAR LEBIH TAKUT ALLAH

Tak semena-mena nama Anwar dijulang oleh Khairy dalam Persidangan Pemuda UMNO. Walhal, Anwar tidak ada pun dalam majlis tersebut. Dan Anwar telah lama dengan sikap begitunya, yang konsisten lantangnya sejak dahulu.

Tidak ada siapa pun yang menjolok, tiba-tiba Khairy memberi amaran untuk menghalang Anwar dari melangkah ke Pejabat Perdana Menteri. Semua orang tahu, bukan mudah Anwar sebagai ketua pembangkang mahu menjejakkan kaki di Pejabat Perdana Menteri. Banyak rintangan yang perlu dihadapi. Sebagai pembangkang di sebuah negara ala kuku besi seperti Malaysia, tidak ada apa yang dapat dilakukan melainkan melainkan jerit dan slogan untuk menyedarkan rakyat Malaysia. Untuk bercita-cita tinggi dalam masa terdekat, tidak termimpi oleh sesiapa pun dari kalangan parti Pakatan rakyat.

Pun begitu, Anwar tetap menjadi mimpi ngeri pemuda UMNO yang terkenal tahan lasaknya. Hebat sangatlah mereka ini sehingga sanggup memukul petugas PAS dalam PRK Bagan Pinang baru-baru ini, tetapi apabila mendengar nama Anwar dilaungkan menjadi kecut perut.

Nyatalah Anwar adalah ancaman terbesar UMNO. Kemana sahaja dan apa sahaja majlis mereka, nama Anwar bersama Pakatan Rakyat sangat berhantu.

Mungkin dendangan Khairy ada dua maksud. Dalam politik, kita kena membaca banyak sudut. Pertama, mungkin Khairy sengaja menyebut nama Anwar agar dengan hasrat itu, ramai tokoh Pakatan Rakyat akan melenting. Dan ini sudah pasti melonjakkan namanya. Bukankah Khairy sangat gemarkan kemasyhuran dan dengan begini beliau akan dijulang sebagai wira oleh pemuda UMNO. Pakatan pula akan melabelnya sebagai musuh nombor wahid. Walhal standard Khairy tidak lebih dari Ketua Pemuda PAS, PKR dan DAP sahaja. Tidaklah sepenting mana.

Kedua, Khairy sengaja cetuskan isu untuk diperbesarkan. Selain kemenangan di Bagan Pinang, UMNO sudah ketandusan isu untuk dimainkan. Bila politik UMNO sejuk, ia membahayakan mereka. Sukar untuk UMNO sedarkan rakyat yang sudah mual sebati dengan Pakatan Rakyat. Lalu isu terpaksa diolah supaya politik negara kembali berkocak. Isu kepala lembu, Teoh Beng Hock, SPRM dan lain-lain adalah buah tanggung Pakatan terhadap UMNO.

Ketiga, dan ia mungkin agak keterlaluan, Khairy berpakat dengan Anwar. Ini supaya Anwar tetap menjadi entiti yang digeruni oleh Najib dan pimpinan UMNO yang lain. Memang Najib menggeruni karisma Anwar yang jauh ke depan berbanding puak-puak UMNO. Dalam Poliitik, segalanya mungkin. Siapa tahu, selepas ini seorang bernama Khairy mampu berpakat dengan individu besar seperti Anwar buat menumbangkan sebuah rejim di bawah Najib?!

Monday, October 12, 2009

CATATAN BAGAN PINANG. UNDI POS ADALAH SENJATA MEMENANGKAN BN

Seperti permainan silap mata dalam PRK Bagan Pinang, sehingga BN mencapai kemenangan besar lebih lima ribu majoriti. Seperti biasa, media rasmi tajaan UMNO-BN berkokok dan mendendangkan lagu kemenangan mereka berhari-hari. PAS akan dilihat serba lemah, dan rakyat sudah mula menolak politik Islam PAS, kata mereka.

Jika dilihat pada keputusan itu, kemenangan ini awalnya sudah dijangka. Bagan Pinang adalah kubu kuat UMNO, dan situlah tempat mereka berpaut. Sanak keluarga ISA Samad ramai yang menetap di Taman Eastern. Itulah talian hayat mereka.

Jika ditolak undi pos, kemenangan ISA tidaklah membanggakan sangat. Majoriti 5,435 adalah termasuk undi pos. Majoriti undi pos adalah 2,920, sudah boleh mengenyangkan ISA. Dengan undi pos sahaja sudah memadai untuk ISA menang tanpa perlu bersusah payah turun berkempen. Semenangnya undi pos adalah senjata awal dan terakhir UMNO untuk berada di takhta kuasa.

Saya menyaksikan sendiri proses undi pos berlangsung. Budaya ugut dan mendesak telah lama menjalari kem tentera. Sedari awal, kawalan ketat tentera terhadap anggotanya dari menerima tempias kempen PAS. Kami mengedarkan risalah di depan pintu depan kem mereka sudah menjadi suatu bencana buat anggotanya. Bergegas pasukan risikan yang tidak ada kerja lain turun dan mengungut setiap kereta yang keluar dari kem agar tidak mengambil risalah kami. Jika menerima risalah sahaja, nombor plat kereta akan diambil dan seterusnya akan diambil tindakan keras.

Maka menggigillah anggota tentera apabila melalui kawasan kami berhimpun, setengahnya tidak mampu untuk mengangkat kepala melambai kami. Walhal, pemimpin UMNO yang memakai baju Menteri sehingga ke dalam kem berkempen politik parti mereka, sesuatu yang menyanggah dengan tentera (tentera dilarang keras berpolitik kepartian di dalam kem).

Saya bersetuju politik kepartian tidak dibenarkan di dalam kem atas alasan menjaga keharmonian dan kebulatan tentera. Tetapi itu di dalam kem. Mengapa perlu pasukan risikan bersusah payah menjalankan tugas sehingga di luar kem? Kalau nasi lemak di haramkan didalam kem, apa peduli jika tentera memakan nasi lemak di luar kem. Itukan hak mereka. Begitulah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Ketika proses pengundian berlangsung, berlaku kelucuan yang tidak munasabah. Bagaimana sebuah organisasi yang mempunyai disiplin yang begitu tinggi tiba-tiba apabila dalam proses pengundian, disiplin itu langsung tidak terpakai. Pasukan PACA (Polling Agent & Counting Agent) kami terpaku mendapat senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR langsung tidak digunakan, bahkan digantikan dengan daftar pemilih milik tentera. Sehinggakan senarai itu tidak lengkap, ada yang bertulisan (font) berlainan dari yang lainnya. Bahkan ada yang ditulis tangan. Begitulah harunya tentera yang boleh diperkudakan sedemikian rupa.

Ramai anggota yang mengadu tidak boleh mengundi kerana daftar pemilih yang dikeluarkan oleh kem tidak ada, sedangkan senarai di SPR ada. Alangkah lucunya. Apabila didesak oleh wakil calon untuk mendapatkan senarai daftar pemilih yang dimiliki oleh kem, mereka enggan menyerahkan dengan pelbagai alasan. Yang meminta adalah wakil calon (orang yang punya autoriti dalam PRK, bukan sebarangan orang).

Pasukan Polling Agent kami menerima 'kebodohan' oleh SPR dan tentera apabila pasukan tentera yang mengundi tidak langsung disebutkan nama dan no kad pengenalannya. Bagaimana boleh dikenalpasti mereka adalah pengundi yang sebenar. Apabila kami bertegas mahu memeriksa senarai nama yang mengundi, jumlah baki nama yang masih belum mengundi mereka enggan bekerjasama. Kalau begitu apa perlunya di adakan PRK dan pemantauan begini.

Ada laporan tentera menafikan hak sesetengah dari kalangan mereka untuk mengundi Beberapa nama yang kami perolehi tidak mengundi, tetapi nama mereka digunakan oleh pengundi lain untuk mengundi. Saya menganggarkan tidak kurang seratus nama berdasarkan kepada laporan dan rungutan mereka yang tidak boleh mengundi tetapi telah diundi oleh orang lain.

Sukar untuk disiasat di kawasan kem tentera yang punyai autonomi sendiri. Mereka beralasan kami orang luar dan tidak mempunyai hak apa-apa Apabila diadukan kepada SPR, SPR berlepas tangan dengan mengatakan ini kuasa tentera.

Tatkala mengundi, pengundi tidak langsung disebutkan nama dan no kad pengenalan tentera. Lazimnya, nama pengundi akan dilaungkan supaya Polling Agent boleh menyemak kesahihan mereka. Ini tidak berlaku. Sudahlah jarak antara Polling Agent dengan pengundi jauh, mereka pula langsung tidak dilaungkan nama. Seolah-olah Polling Agent hanya sebagai 'pak pacak' sahaja. Inilah sistem yang diguna pakai sejak sekian lama bagi menimbulkan keraguan dan seterusnya boleh memihak kepada BN.

Bagi undi luar dari kem pula, SPR akan mengepos undi tersebut. Bayangkan siapa pula dapat memantau apakah setiap helai kertas undi yang dipos (lebih kurang 2,000) boleh sampai ketangan pengundi yang sebenar. Siapa pula dapat mengesahkan mereka yang mengundi dan bukan orang lain. Di Pejabat Tanah (Tempat pengiraan undi pos) kami menerima bertalu-talu undi yang datang dari luar kem (melalui pos). Entah bagaimana undi yang dipos dalam masa dua hari boleh sampai kembali ke tangan SPR tepat pada masanya. Membayangkan setiap pengundi luar sangat peka berlangsungnya PRK Bagan Pinang dan mereka bertindak seberapa segera untuk mengundi dan mengepos undi mereka.

Semasa proses pengiraan undi, kami diarah untuk membantah mana-mana undi yang meragukan. Lebih seratus undi yang dibantah, tetapi hanya 60 bantahan sahaja diterima (undi ditolak). Dan seperti diduga, undi BN jauh mengatasi undi PAS. PAS hanya memperoleh 601 berbanding undi BN (2929). Kalaulah politik tidak dibenarkan di dalam Kem, bagaimana pengundi dapat memilih BN dan menolak PAS? Bukankah itu bermakna perlu politik dan berparti terhadap anggota tentera supaya mereka dapat memilih parti yang mereka inginkan?

Saya hairan di peti undi 14,15 dan 16 tidak ada langsung undi yang memihak kepada PAS. Peti-peti tersebut sampai lewat beberapa jam sebelum tutup pusat pengundian. Sangat meragukan. Agak-agak tidak ada langsung pengundi di peti undi 14-16 ini memihak atau simpati kepada PAS? Adakah semua mereka adalah ahli UMNO-BN, atau penokong tegar BN. Pelik walaupun tidak mustahil.. Mungkin agaknya pengundi ini telah diugut supaya mengundi hanya BN. Ataupun mungkin pengundi tersebut tidak pernah melihat kertas undi mereka sebagaimana yang berlaku kepada beberapa puluh pengundi. Agak malang data mereka tidak dapat kami rekodkan kerana ketakutan mereka untuk ke ketengah pihak pengadilan.

Akhirnya jelas sudah undi pos adalah alat untuk memenangkan BN. Sudah terang lagi bersuluh, BN bergantung harap kepada undi pos. Dengan pekbagai kehairanan serta kepincangan yang wujud, tidak mungkin ia dikekalkan melainkan ada sebab buat BN. Dan apakah alasan lagi buat SPR untuk terus mengekalkan undi pos dalam keadaan negara sekarang yang aman tanpa huru hara. Semestinya hak rakyat perlu diserahkan kepada rakyat secara adil dan saksama, bukan berselindung di sebalik undi pos seperti hari ini..

Friday, October 2, 2009

UNDI POS DIMANIPULASI UNTUK MENANGKAN BN: INI BUKTINYA!

Apa lagi daleh dan alasan SPR, UMNO-BN bagi menafikan usaha jahat mereka. Sekarang dah ada bukti..


Pengakuan Bekas Tentera : Mengundi Bagi Pihak BN
Pengakuan ini dibuat oleh Kepten Mejer (B) ABu Bin Kassim dihadapan Suruhanjaya SPR. Berikut adalah sedutan pertemuan kami dengan SPR.

Pada hari isnin 28hb September 2009 pimpinan PAS yang diketui oleh YB. Dato Abdul Halim Bin Abd Rahman telah berjumpa dengan SPR. Wakil PAS adalah YB. Salahuddin Ayub, Sdr. Kamaruzaman, YB Firdaus, saya sendiri Suhaizan Kayat dan ramai lagi. Pihak SPR pula dibarisi oleh Pengerusinya Tan Sri Abd Aziz Bin Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi Dato Wan Ahmad Wan Omar dan lain-lain lagi. Berikut adalah sedutan ucapan saya dalam pertemuan tersebut.

Suhaizan Kaiat : Selepas Komanden menerima Karung Khas SPR yang di dalamnya terdapat Sampul-sampul Keutamaan dan selepas Proses Penyerahan pada hari pertama bagi menunggu Proses Penyerahan untuk hari yang kedua Karung Khas SPR akan disimpan dalam Gurd Post tentera atau lokup polis atau bilik kebal SPR. Pihak EPP(Ejen Pengundian Pos) tidak dibenarkan berkawal kerana kedua-duanya adalah kawasan larangan untuk orang awam. Keadaan ini mencurigakan. Terdedah kepada sabotaj daripada pihak-pihak tertentu. Kes Al-Maunah dan suspek lari daripada lokup di Kota Tinggi tahun 2008 merupakan bukti-bukti yang balai polis dan Kem Tentera tiada jaminan Karung Khas SPR selamat.

Dato’ Wan Ahmad Wan Omar : Jadi tuan tidak percaya dengan tentera dan polis lah?

Suhaizan Bin Kaiat : Maaf Pengerusi saya minta bekas anggota tentera Pak Abu Kassim berpangkat Kapten Mejer(B) yang turut sama datang hari ini beritahu kita bagaimana beliau handle Karung Khas SPR semasa bertugas.

Pak Abu Kassim : Maaf tuan. Saya ni bekas anggota tentera. Terlibat dalam pentadbiran. Sayalah yang pangkah dacing pada kertas-kertas undi tu. Saya pangkah BN. Banyak tuan.

Tan Sri Abd Aziz : Kenapa tak pangkah bulan ?

Pak Abu Kassim : Saya pangkahkan bulan juga tapi saya rosakan borang 2. Saya takut masa tu tuan sebab pegawai saya duduk belakang saya. Saya patuh ajalah arahan dia.

Tan Sri Abd Aziz : Bila tu Pak Abu?

Pak Abu Kassim : Masa saya bertugas sebelum tahun 2000.

Tan Sri Abd Aziz : Itu cerita lama. Sekarang era saya tak akan berlaku lagi.

Suhaizan Kaiat : Lama memang lama. Tapi sistem tetap sama tuan.

Tan Sri Abd Aziz : Sekarang tidak akan berlaku lagi.

Suhaizan Bin Kaiat : Saya minta EPP(Ejen Pengundian Pos) dibenarkan mengawal 24jam tuan.

Dato Wan Omar : Perkara tersebut tidak ada dalam undang-undang. Nanti SPR kena pertisen pulak. Kawalan ini telah dibuat oleh pihak tentera dan polis. Mengapa kita curiga?

Pak Abu Kassim : Maaf tuan. Masa saya jaga kawalan selepas saya berhenti tentera. Tahun 2000. Masa Roslan Kassim lawan Sothinathan. Tan Sri Isa Samad mahu masuk dalam kawasan Majlis Daerah PD. Saya yang halang tuan.

Dato’ Wan Omar : Saya pun tak pasti Pak Abu ni. Saya banyak terima aduan macam ni. Saya pun tak pasti. Pak Abu begitu lancar sekali. Tan Sri Isa masuk tu tak de bukti. Lagi pun pihak lagi satu(UMNO) pun tidak ada disini untuk mempertahankannya.

YB. Dr Maria : Bukan kita tidak percaya dengan polis dan tentera Tan Sri Pengerusi tetapi kejadian-kejadian yang telah berlaku sebelum ini telah membuktikan bahawa manipulasi tersebut berlaku. Kita kena kawal semua ini Tan Sri.

Pertemuan ini bermula jam 11.30 pagi dan berakhir jam 2 ptg. Banyak perkara yang dibincangkan. Tetapi tiada suatu pun komitmen SPR untuk berubah dalam pilihanraya Bagan Pinang ini. SPR nampak baik aja. Tetapi sebenarnya SPR menyimpan pekung yang sangat besar dalam pengurusan UNDI POS.


Suhaizan Bin Kayat
Pengerusi J/K Khas Undi POS
Dewan Pemuda PAS Pusat.

SPR SEMAKIN MENGGILA

Timbalan Pengerusi SPR telah melarang mana-mana parti selain parti yang bertanding dari berkempen, termasuk memasang bendera atau poster.

Ini sudah tentu ditujukan khas buat Pakatan Rakyat dengan koalisinya PKR dan DAP. Jelaslah yang dimaksudkan ialah supaya PKR dan DAP jangan sibuk-sibuk menggantung bendera dan poster pemimpin mereka.

Sedangkan BN diiktiraf sebagai sebuah parti yang sah. Dan dengan begini mana-mana pemimpin dalam BN boleh ditampal poster mereka sama ada dari MCA, MIC, Gerakan atau mana-mana pemimpin BN dari Sabah dan Sarawak (kalau mereka nak).

Apalah yang hendak ditakutkan sangat kalau Pakatan Rakyat dengan kerjasama 3 buah parti politik ini berkempen menggunakan bendera dan poster mereka. Sudah tentu rakyat ingin mengetahui hubungan erat yang terjalin antara komponen Pakatan Rakyat ini, dan sudah tentu rakyat ingin mengenali pemimpin mereka.

Meskipun PKR dan DAP tidak bertanding, tetapi mereka tetap di bawah sebuah Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS. Tanpa PAS siapalah Pakatan Rakyat, begitulah juga tanpa PKR dan DAP, tiada ertinya PAS dalam sebuah PR.

Patutnya SPR menghalang mana-mana parti politik yang bertanding dari menggunakan jentera kerajaan. Ini lebih besar bahayanya kerana melibatkan penyalahgunaan kuasa. Kenapa tidak dilarang BN menggunakan jentera rasmi kerajaan seperti polis, tentera, Kementerian Pendidikan, sekolah, dan lain-lain dari diperbudakkan.

Nampak sangat SPR mahu memberi kelebihan walau dalam keadaan apa pun kepada BN. Dan ini bukan sekali dilakukan untuk memenangkan BN, sudah acapkali. Termasuk menggunakan kaedah undi pos yang sangat diragui oleh seluruh rakyat yang sedar dan celik politik. Harapnya ini yang terakhir cara yang digunakan untuk menyelamatkan hayat UMNO-BN yang sudah nazak. Selepas ini kiranya UMNO-BN tumbang di Bagan Pinang, nantikan sebuah kehancuran mereka, dan terdirilah sebuah demokrasi yang berpaksikan keadilan rakyat!

APABILA BUMI MEMUNTAHKAN ISI PERUTNYA..

Marilah kita merenung dengan penuh keinsafan. Tatkala manusia semakin alpa, ketika nafsu bermaharajalela, apabila maksiat melata, nasihat dan larangan tuhan sudah dilupa. Maka ketika itulah Allah memerintahkan bumi bergegar, maka ia pun bergegarlah.

Bumi telah memuntahkan segala isinya. Dan manusia ketika ini kembali ingin kepada fitrah. Alangkah kerdilnya diri seorang manusia, yang selama ini menongkat langit.

Bumi Padang (Indonesia) menjadi saksi. dan Indonesia telah acapkali diuji dengan ujian maha hebat. Tusnami, gunung berapi, banjir, dan kini gempa bumi. Semoga Allah menambah iman mereka yang dibadai musibah ini..



JAKARTA 30 Sept. – Indonesia sekali lagi dilanda gempa bumi kuat, kali ini wilayah Sumatera Barat digegarkan dengan gempa berukuran 7.9 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh dan beratus-ratus rumah musnah.

Bencana tersebut dilaporkan turut menyebabkan kebakaran di bandar Padang dan bekalan elektrik terputus mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Gempa yang berpusat di Kilometer 57, Padang Pariaman dengan kedalaman 87 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (pukul 6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang.

Gempa di Sumatera Barat itu berlaku hampir sebulan selepas Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat digegarkan dengan gempa kuat yang mengorbankan 123 orang.

Ia juga berlaku selang sehari selepas gempa kuat menggegarkan Lautan Pasifik yang mencetuskan tsunami di kepulauan Samoa, American Samoa dan Tonga awal pagi ini menyebabkan 113 orang terkorban, manakala 50 yang lain cedera dan berpuluh-puluh lagi dilaporkan masih hilang.

Gempa di Lautan Pasifik tersebut mencetuskan ombak setinggi 4.5 hingga 6 meter menyebabkan banyak kampung di kepulauan tersebut musnah atau ditenggelami air dan ramai pekerja hilang di sebuah taman negara di American Samoa.

Di Sumatera Barat, pasukan mencari dan menyelamat dari Medan, Aceh, Palembang dan Pekanbaru telah dikerahkan ke lokasi gempa membawa peralatan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, televisyen tempatan melaporkan jalan di Kota Padang terputus sama sekali dan bekalan elektrik serta komunikasi juga terputus.

Sumatera Barat dilanda gempa kedua berukuran 6.2 pada skala Richter pada pukul 5.38 petang yang turut menggegarkan kawasan Pariaman di kedalaman 110 kilometer dari dasar laut.

Reuters melaporkan gempa menyebabkan sejumlah rumah dan jambatan rosak serta berlaku kebakaran di Padang.

“Ratusan rumah rosak sepanjang jalan. Juga ada kebakaran, jambatan terputus dan kepanikan luar biasa terjadi kerana paip air bocor sehingga membanjiri jalan,” ujar seorang saksi.

Pusat Peringatan Tsunami Pasifik sebelum itu telah mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Thailand, Malaysia dan India, tetapi kemudiannya menarik balik amaran tersebut.

Agensi berita AFP yang memetik jurucakap Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Rahmat Triyono berkata, beberapa buah hotel di Padang dilaporkan turut musnah.

“Pada masa ini kami tidak dapat menghubungi Padang kerana komunikasi terputus sama sekali," kata Rahmat.

Di Jakarta yang terletak kira-kira 950 kilometer dari lokasi kejadian turut dirasakan gegaran tetapi tidak sekuat gempa yang melanda Tasikmalaya awal bulan ini.

Gegeran akibat gempa tersebut turut dirasai di bangunan-bangunan tinggi di Malaysia termasuk di ibu negara, Kuala Lumpur.

Indonesia terletak di kawalan lingkaran gunung berapi dan Aceh sendiri pernah dilanda gempa dan tsunami pada 2004 yang mengorbankan 220,000 orang. – Utusan