Friday, October 2, 2009

APABILA BUMI MEMUNTAHKAN ISI PERUTNYA..

Marilah kita merenung dengan penuh keinsafan. Tatkala manusia semakin alpa, ketika nafsu bermaharajalela, apabila maksiat melata, nasihat dan larangan tuhan sudah dilupa. Maka ketika itulah Allah memerintahkan bumi bergegar, maka ia pun bergegarlah.

Bumi telah memuntahkan segala isinya. Dan manusia ketika ini kembali ingin kepada fitrah. Alangkah kerdilnya diri seorang manusia, yang selama ini menongkat langit.

Bumi Padang (Indonesia) menjadi saksi. dan Indonesia telah acapkali diuji dengan ujian maha hebat. Tusnami, gunung berapi, banjir, dan kini gempa bumi. Semoga Allah menambah iman mereka yang dibadai musibah ini..



JAKARTA 30 Sept. – Indonesia sekali lagi dilanda gempa bumi kuat, kali ini wilayah Sumatera Barat digegarkan dengan gempa berukuran 7.9 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh dan beratus-ratus rumah musnah.

Bencana tersebut dilaporkan turut menyebabkan kebakaran di bandar Padang dan bekalan elektrik terputus mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Gempa yang berpusat di Kilometer 57, Padang Pariaman dengan kedalaman 87 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (pukul 6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang.

Gempa di Sumatera Barat itu berlaku hampir sebulan selepas Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat digegarkan dengan gempa kuat yang mengorbankan 123 orang.

Ia juga berlaku selang sehari selepas gempa kuat menggegarkan Lautan Pasifik yang mencetuskan tsunami di kepulauan Samoa, American Samoa dan Tonga awal pagi ini menyebabkan 113 orang terkorban, manakala 50 yang lain cedera dan berpuluh-puluh lagi dilaporkan masih hilang.

Gempa di Lautan Pasifik tersebut mencetuskan ombak setinggi 4.5 hingga 6 meter menyebabkan banyak kampung di kepulauan tersebut musnah atau ditenggelami air dan ramai pekerja hilang di sebuah taman negara di American Samoa.

Di Sumatera Barat, pasukan mencari dan menyelamat dari Medan, Aceh, Palembang dan Pekanbaru telah dikerahkan ke lokasi gempa membawa peralatan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, televisyen tempatan melaporkan jalan di Kota Padang terputus sama sekali dan bekalan elektrik serta komunikasi juga terputus.

Sumatera Barat dilanda gempa kedua berukuran 6.2 pada skala Richter pada pukul 5.38 petang yang turut menggegarkan kawasan Pariaman di kedalaman 110 kilometer dari dasar laut.

Reuters melaporkan gempa menyebabkan sejumlah rumah dan jambatan rosak serta berlaku kebakaran di Padang.

“Ratusan rumah rosak sepanjang jalan. Juga ada kebakaran, jambatan terputus dan kepanikan luar biasa terjadi kerana paip air bocor sehingga membanjiri jalan,” ujar seorang saksi.

Pusat Peringatan Tsunami Pasifik sebelum itu telah mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Thailand, Malaysia dan India, tetapi kemudiannya menarik balik amaran tersebut.

Agensi berita AFP yang memetik jurucakap Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Rahmat Triyono berkata, beberapa buah hotel di Padang dilaporkan turut musnah.

“Pada masa ini kami tidak dapat menghubungi Padang kerana komunikasi terputus sama sekali," kata Rahmat.

Di Jakarta yang terletak kira-kira 950 kilometer dari lokasi kejadian turut dirasakan gegaran tetapi tidak sekuat gempa yang melanda Tasikmalaya awal bulan ini.

Gegeran akibat gempa tersebut turut dirasai di bangunan-bangunan tinggi di Malaysia termasuk di ibu negara, Kuala Lumpur.

Indonesia terletak di kawalan lingkaran gunung berapi dan Aceh sendiri pernah dilanda gempa dan tsunami pada 2004 yang mengorbankan 220,000 orang. – Utusan

No comments: