Sunday, October 18, 2009

UMNO SUDAH MULA MENERIMA HAKIKAT PERJUANGAN ISLAM YANG BENAR.

Sedikit demi sedikit UMNO mula berubah dan meniru dasar perjuangan PAS. Dalam perhimpunan Agungnya yang luar biasa baru-baru ini, sudah acap kali terdengar laungan dan jeritan yang hanya kita dengar sebelum ini dari PAS. Banyak kalimat tentang Islam sudah terpacul dari lidah pemimpin UMNO.

4 Rukun UMNO yang mahu memperbaharui ISlam Hadhari, seakan memberi wajah baru kepada UMNO. kalimat wahdatul fikr, wahdatul qalb, jamaah, jihad dan perjuangan dan lain-lain sebenarnya adalah kalimat biasa yang terpacul dalam setiap siri tamrin dan program perkaderan PAS.

Ini menandakan bahawa perjuangan PAS diakui benar dan berada di landasan yang sebenar. UMNO terpaksa akui dalam diam bahawa parti yang berteraskan perkauman, kebangsaan seperti mereka sudah lama mereput. Rakyat sudah muak mendengar retorik perjuangan yang berkisar hanya sekitar bangsa.

PAS telah lama keluar dari kepompong perkauman. PAS sudah jauh ke depan dengan sebuah visi untuk memperjuangkan keadilan rakyat sejagat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan keturunan. Bangsa hanyalah kelompok yang diciptakan Allah. Kemuliaan hakiki terletak pada taqwanya mereka.

Kini baru UMNO sedar bahawa tidak akan kemana kalau perjuangan hanya sekitar kebangsaan. Sempadan geografi menetapkan Melayu hanya bermastautin di sekitar Tanah Melayu sahaja, tidak jauh dari itu. Berbanding dengan perjuangan Islam yang dipelopori PAS, sempadannya tidak bertepi. Hakikatnya semua Islam adalah bersaudara, dan wajib bagi umat Islam membela saudaranya yang jauh di perbatasan seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain.

Manakala keadilan yang diinginkan berdasarkan kepada perjuangan Islam adalah keadilan untuk semua, sama ada mereka itu Cina, India mahupun Melayu.Kononnya UMNO telah membawa satu tema iaitu UMNO untuk semua, padahal tema itulah yang digunakan oleh PAS dua tiga tahun kebelakangan ini. Kalaulah ada hak pemilikan tertentu pada tema, sudah tentu UMNO akan disaman kerana meniru PAS bulat-bulat.

Dan PAS sanggup melaungkan hasratnya untuk melantik seorang berbangsa Cina sebagai Perdana Menteri asalkan dia seorang yang ISlam. Bagaimana dengan UMNO, sanggupkah mereka menanggalkan kulit bangsa mereka dan melagukan slogan yang sama dengan PAS?

No comments: